Sebuah video menjadi tular baru-baru ini apabila memaparkan penari tarian singa telah dilempar mercun sewaktu mereka membuat persembahan di depan lot kedai di Sandakan, Sabah.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Polis Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kejadian itu berlaku pada malam Isnin 12 Februari lalu.
Bagaimanapun beliau berkata, pemilik kedai sudah meminta maaf kepada penari tarian singa terbabit dan kata damai telah dicapai.
“Kami menerima laporan mengenai kejadian ini, namun kedua belah pihak telah menyelesaikan perkara itu sendiri,” katanya sambil menambah tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Dalam video tular tersebut, kelihatan seorang wanita dan lelaki membaling mercun dibakar ke arah penari singa yang sedang melakukan persembahan Tahun Baru Cina.
Difahamkan dua penari telah berlari menyelamatkan diri apabila mercun mula meletup-letup di kaki mereka, yang telah meninggalkan hanya seorang pemain yang membawa kepala singa.
Kelihatan seorang sahaja yang sedang melompat-lompat sambil masih mencuba menghabiskan persembahan tarian singanya.
Namun akhirnya, penari memegang kepala singa itu juga terpaksa beredar disebabkan letupan mercun berkenaan telah mendatangkan bahaya kepadanya.