Seorang pekerja wanita sebuah bank berdepan detik cemas apabila dipukul sebelum disamun seorang lelaki warga asing dalam kejadian berhampiran sebuah hotel di Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada Jumaat, 16 Februari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 50 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul menggunakan kayu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata kejadian berlaku ketika wanita terbabit sedang berjalan kaki menuju ke tempat kerjanya.
Bagaimanapun, katanya, mangsa tiba-tiba didatangi seorang lelaki dan dipukul menggunakan kayu dari arah belakang.
“Mangsa cuba mempertahankan diri, namun suspek memukulnya beberapa kali.
“Suspek kemudian menarik beg tangan wanita itu sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media.
Terdahulu, tular klip video di media sosial memaparkan seorang wanita dipukul sebelum beg duit mangsa dilarikan seorang lelaki.
Kalsom berkata, mangsa yang cedera di kepala dan badan mengalami kerugian kira-kira RM5,000 termasuk kehilangan telefon pintar dan wang tunai.
Katanya, kejadian sempat dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun berjaya ditahan pada jam 2.30 pagi, 18 Februari.
“Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ditahan di Kampung Pondo, Pulau Gaya.
“Suspek positif dadah jenis metaphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Kalsom menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati pada setiap masa dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam.
“Ini kerana ia dipercayai memberi kesempatan kepada penjenayah untuk mengambil peluang di atas kelemahan mangsa.
“Elakkan juga ke tempat atau ke kawasan yang sunyi secara berseorangan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” saran Kalsom.