Baru-baru ini, seorang penghantar makanan telah membakar sebuah kereta peronda polis bantuan di Mutiara Damansara. Dia kemudian menyiarkan video kelakuannya itu di TikTok, sambil merakam mukanya di hadapan kereta yang sedang terbakar sambil memberi tanda ‘peace’.
Lelaki berusia 26 tahun itu kini telah ditahan dan didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan kerana melakukan khianat dengan api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana dan menconteng dinding stesen pada 15 Februari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohamad Hasif Syazani Zulkifle mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh dan Majistret Farah Azura Mohd Saad.
Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Mohamad Hasif didakwa melakukan khianat api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana di Stesen MRT Mutiara Damansara, pada jam 1.17 pagi 15 Februari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding di stesen terbabit pada jam 1.10 pagi hari yang sama.
Kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim dan Noor Khairun Nisa Noor Harun masing-masing mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mereka turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Peguam tertuduh, Kailash Sharma pula memohon jaminan paling minimum apabila menegaskan anak guamnya tiada risiko untuk melarikan diri dan rekod jenayah.
Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac.
Sebelum ini, dilaporkan polis menahan lelaki terbabit di Flora Damansara kerana disyaki membakar kereta polis bantuan.

Lelaki itu ditahan sepasukan anggota polis selepas dikesan memuat naik video berdurasi lima saat mengenai kejadian kebakaran itu dalam aplikasi TikTok atas akaun miliknya.
Polis turut merampas tukul besi dan botol air yang disyaki digunakan bagi mengisi petrol untuk digunakan dalam kebakaran itu, selain mendapati lelaki itu positif dadah jenis morfin hasil ujian saringan air kencing.
Siasatan motif kejadian termasuk kemungkinan suspek ingin mencari jumlah trafik tinggi untuk akaun TikTok miliknya.