28.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 21, 2025
Utama Blog Laman 42

Galaxy Ring bakal diperkenalkan dengan ciri pemantauan kesihatan dan alat kawalan peranti

0

Pada acara pelancaran Samsung Galaxy S24 Januari lalu di San Jose, pihak Samsung ada mengacah produk terbaru dikenali sebagai Samsung Galaxy Ring.

Malah, syarikat gergasi teknologi Korea Selatan itu turut memaparkannya buat pertama kali di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) di Barcelona, Sepanyol.

Gambar THE ELEC

Produk berbentuk cincin pintar ini cukup unik kerana saiznya jauh lebih kecil berbanding jam namun dikatakan mempunyai pelbagai fungsi menarik berkaitan kesihatan.

Samsung berkongsi cincin pintar ini akan menawarkan masa penggunaan antara lima ke sembilan hari, memandangkan ketiadaan skrin, sekaligus membolehkan saiz bateri yang kecil digunakan untuk tempoh yang agak lama.

Samsung bukanlah syarikat pertama yang melancarkan gajet cincin pintar kerana terdapat pengeluar lain seperti Oura.

Dalam satu temu bual kepada The Verge, Hon Pak, ketua pasukan kesihatan digital di Samsung Electronics, membincangkan penerokaan pertama syarikat itu ke dalam kategori produk cincin, pertimbangan untuk model langganan bagi aplikasi Samsung Health, dan visinya untuk menghasilkan teknologi kecerdasan buatan yang boleh menjadi pemantau kesihatan anda.

Gambar Samsung

Samsung Galaxy Ring akan dilancarkan dengan ciri penjejakan kesihatan termasuk pemantauan kadar denyutan jantung dan tidur sambil memberikan pengguna skor kesediaan kesihatan mereka pada setiap hari.

Kesemua fungsi menarik berkaitan kesihatan dan mungkin banyak lagi boleh diakses melalui aplikasi Samsung Health, menurut The Verge.

Syarikat itu juga sedang mengusahakan fungsi pemantauan glukosa bukan invasif serta pengesanan tekanan darah melalui peranti boleh pakainya, yang mempunyai sensor ECG.

Gambar Samsung

Selain itu, syarikat itu juga mempertimbangkan untuk menambah ciri yang membolehkan Galaxy Ring melakukan pembayaran secara nirtunai, seperti telefon pintar menerusi sistem NFC.

Cincin pintar Galaxy Ring dijangka akan tersedia dalam beberapa warna dan dalam saiz 5 hingga 13 bergantung kepada jari pemakai.

Samsung berharap kepelbagaian fungsi peranti ini akan meningkatkan kedudukannya dalam bidang kesihatan, yang telah diusahakannya selama beberapa tahun.

Gambar Samsung

Samsung berkata keputusan untuk melancarkan cincin pintar ini didorong oleh pelanggannya, dengan antara rancangan Samsung adalah mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam ekosistem kesihatan Samsung dan berharap teknologi ini mampu memberikan lebih banyak pandangan dan manfaat berkaitan kesihatan seseorang.

Samsung Galaxy Ring dikatakan akan mula dijual tahun ini, tetapi tarikh dan harganya belum diumumkan secara rasmi. Khabar angin daripada ET News sebelum ini melaporkan pelancaran penuh akan diadakan pada bulan Julai 2024.

Remaja Rusia dakwa pernah hidup di Marikh

0

Seorang remaja Rusia pernah menggemparkan dunia kerana mendakwa dia pernah hidup di Marikh sebelum dilahirkan semula di Bumi.

Oddity Central

Boris “Boriska” Kipriyanovich mula mendakwa pernah hidup di Marikh pada usia tiga tahun. Ibunya Nadezhda mengatakan dia sedar anaknya itu istimewa sejak melahirkannya.

Menurut Nadezhda, dia tidak berasa sakit semasa melahirkan Boriska. Sebaik sahaja bertentangan mata, dia melihat pandangan bayinya itu seperti pandangan orang dewasa.

“Ia terjadi begitu cepat hingga saya tidak berasa sebarang kesakitan,” kata Nadezhda kepada Project Camelot mengenai pengalamannya bersalinkan Boriska.

Nadezhda mendakwa pada usia dua minggu, Boriska sudah mampu mengangkat kepalanya tanpa bantuan sesiapa dan dia mengucapkan perkataan pertamanya pada usia empat bulan.

Kata Nadezhda lagi, pada usia setahun setengah, Boriska mula membaca, melukis dan mewarna. Pada usia dua tahun, dia menghantar anaknya itu ke tadika.

Kebolehan Boriska bertutur serta mempunyai memori yang hebat disedari oleh guru-gurunya.

“Kadang-kadang dia duduk seperti sedang bertapa dan mula memberitahu kami fakta terperinci mengenai Marikh, sistem planet dan tamadun lain, ia benar-benar membingungkan kami.

“Dia boleh menamakan semua planet dalam sistem solar, termasuk satelit serta nama dan jumlah galaksi.

Oddity Central

“Pada mulanya agak menakutkan, saya fikir anak saya di luar kawalan, namun saya memutuskan untuk semak jika nama-nama tersebut wujud.

“Saya ambil beberapa buah buku astronomi dan saya amat terkejut apabila menyedari anak ini tahu banyak mengenai sains,” kata Nadezhda.

Boriska dikatakan lahir pada tahun 1996 bersama ramai lagi yang sama ‘jenis’ dengannya bagi membantu mengelakkan malapetaka berlaku di bumi.

Menurut Boriska, dia dan rakan sejenisnya dikatakan ‘anak indigo’. Dia mendakwa pertama kali melawat Bumi sebagai perintis makhluk Marikh pada zaman Mesir.

“Saya ingat pada masa itu ketika berusia 14 atau 15 tahun. Makhluk Marikh telah melancarkan peperangan setiap masa jadi saya terpaksa menyertai serbuan udara dengan seorang rakan,” kata Boris dalam satu temu bual.

“Kapal angkasa Marikh sangat rumit. Ia berlapis dan boleh terbang di seluruh alam semesta.”

Kata Boriska lagi, makhluk Marikh setinggi tujuh kaki, dan kekal berusia antara 30 hingga 35 tahun dan bernafas dalam kabon dioksida.

Oddity Central

“Jika saya berada dalam badan ini, saya bernafas melalui oksigen. Tapi awak tahu, itu akan menyebabkan penuaan.”

“Tidak, saya tidak takutkan kematian sebab kami hidup selamanya,” kata Borsika yang mendakwa dirinya makhluk Marikh.

Temu bual Boriska dengan Project Camelot telah dilakukan bertahun-tahun yang lalu dan menarik perhatian ramai pada masa itu.

Walau bagaimanapun, perkembangan terkini Boriska tidak diketahui media sama ada di laman web bahasa Inggeris atau Rusia.

Pelancong perlu bawa minimum RM1,992 sebelum dibenarkan memasuki Thailand

0

Para pelancong dinasihatkan untuk membawa sekurang-kurangnya wang tunai berjumlah RM1,992 (15,000 Baht) sebagai syarat baharu untuk berkunjung ke Thailand.

Menerusi satu temu bual rangkaian Radio Republik Indonesia (RRI), Menteri Kaunselor Kedutaan Indonesia di Bangkok, Dewi Lestari menjelaskan, peraturan itu terpakai kepada semua pelancong asing yang ingin memasuki Thailand.

Gambar Hiasan / Pexels

Beliau turut mendedahkan, kebanyakan rakyat Indonesia membuat aduan bahawa mereka dilarang memasuki Thailand ekoran tidak memenuhi syarat itu.

Menurut pihak kedutaan, pelawat mesti menunjukkan pasport mereka dengan tempoh sah minimum enam bulan, bukti tiket pergi dan balik serta bukti penginapan.

Pelawat juga dikehendaki memaparkan bukti keupayaan kewangan mereka semasa berada di Thailand dengan membawa masuk wang tunai yang mencukupi ke dalam negara berkenaan.

Gambar Reuters

“Imigresen Thailand tidak menyebut secara khusus jumlah wang yang perlu dibawa oleh pengunjung, tetapi berdasarkan sumber terbuka, (perlu bawa) sekurang-kurangnya 15,000 hingga 20,000 Baht seorang,” katanya.

“Kegagalan mematuhi arahan berkenaan bermakna seseorang itu telah melanggar Akta Imigresen B.E. 2522 (1979) dan pegawai imigresen diberi kuasa untuk menghalang pelancong berkenaan daripada memasuki Thailand,” tambah Lestari.

Peraturan tersebut terpakai kepada semua pelancong di seluruh dunia tetapi mungkin tidak akan dilaksanakan untuk semua individu.

Gambar Hiasan / Flickr

Ini kerana, peraturan ini bukanlah perkara baru memandangkan pihak berkuasa Thailand telah melaksanakan keperluan membawa wang tunai minimum bagi setiap pelawat asing selama hampir satu dekad.

Pegawai imigresen umumnya akan melakukan pemeriksaan secara rawak, tetapi pelancong digesa mematuhi dasar tersebut sebelum menjejakkan kaki ke Thailand.

“Memang donut bakar”- pekerja gerai donat

0

PETALING JAYA: Pekerja sebuah gerai donat tampil menafikan dakwaan mereka menggunakan roti burger seperti yang digembar-gemburkan oleh orang ramai.

Kosmo

Bercakap dengan Kosmo!, salah seorang pekerja gerai berkenaan mengatakan bahawa donat tersebut dibakar, bukannya digoreng seperti kebiasaannya.

“Donat itu bukanlah roti burger yang ditebuk, tetapi memang donat bakar. Doh roti yang dibuat lubang sebelum dibakar.

“Apa yang dikatakan (orang ramai) adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada Kosmo!

Terdahulu, seorang pengguna Facebook berkongsi gambar yang memaparkan donat bersalut manisan yang dikatakan roti burger.

Facebook

Menurut Fatimah Mulyani, dia membeli donat tersebut untuk anaknya ketika menghadiri ekspo di Pantai Irama Bachok baru-baru ini.

Namun alangkah terkejutnya Fatimah apabila mendapati donat yang berharga RM3 sebiji itu adalah roti burger yang dicelup coklat.

Fatimah cuba mendapatkan penjelasan daripada peniaga tentang kekeliruan itu namun peniaga tetap mengatakan itu adalah donat.

Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi warga siber yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan peniaga jika benar dia menggunakan roti burger.

5 punca golongan muda bankrap dan cara mencegahnya

0

Peningkatan kes kebankrapan dalam golongan muda membimbangkan. Berikut adalah 5 punca golongan muda bankrap dan cara mencegahnya.

Pexels

Pertama, pengurusan kewangan tidak berdisiplin. Segelintir golongan muda yang memiliki kad kredit menggunakannya tanpa kawalan. Mereka cenderung berbelanja mewah tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Kedua, pinjaman berlebihan. Antara pinjaman popular dalam kalangan orang muda ialah pinjaman peribadi, pendidikan, kereta dan rumah. Akibat meminjam melebihi kemampuan, mereka terjerumus ke arah kebankrapan.

Ketiga, ketidakstabilan pekerjaan. Golongan muda yang bergantung pada pekerjaan sementara tanpa jaminan masa depan berisiko hadapi bankrap pada masa depan.

Keempat, kegagalan dalam pelaburan. Segelintir orang muda tidak memahami risiko pelaburan dan gagal membuat keputusan dengan bijak. Dengan janji “cepat kaya”, mereka melibatkan diri dalam skim cepat kaya atau pelaburan yang tidak terjamin.

Kelima, pengurusan hutang yang buruk. Desakan nafsu untuk hidup mewah menyebabkan sebilangan orang muda tidak berupaya melunaskan hutang dalam masa yang ditetapkan.

Perkara ini dikupas oleh peguam Hafiz Baharuddin menerusi satu bual bicara bersama Financial Faiz. Menurut Encik Hafiz, banyak orang muda dalam lingkungan umur bawah 25 tahun pada masa kini bankrap disebabkan hutang kereta dan kad kredit.

Encik Hafiz telah menjelaskan lebih lanjut tentang bagaimana individu boleh menjadi bankrap. Katanya cara paling senang untuk jadi orang yang bankrap adalah penghutang berkenaan gagal melunaskan hutang.

TikTok

Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, amaun minimum keberhutangan yang boleh menjadikan individu bankrap ialah RM100,000.

Jika pihak institusi kewangan menyaman penghutang dan penghutang masih gagal menurut perintah mahkamah, maka penghutang boleh diisytihar bankrap.

Encik Hafiz berpesan, sebolehnya elakkan daripada diisytihar bankrap. Jika individu culas membayar hutang, cuba berbincang dengan bank sebelum mereka mula mengambil tindakan mahkamah.

Berikut adalah 5 kaedah untuk mencegah bankrap:

  1. Sediakan bajet. Individu perlu mendisiplinkan diri dengan membuat bajet bulanan dan patuhi perbelanjaan yang rasional.
  2. Kurangkan pinjaman: Sebelum membuat apa-apa pinjaman, individu disarankan untuk mengukur keperluan sebenar dan kemampuan membayar pinjaman.
  3. Pelaburan bijak: Elakkan skim cepat kaya dan pelajari tentang pelaburan.
  4. Bayar hutang tepat masa: Penghutang perlu membayar hutang tepat masa agar tidak bertimbun dan akhirnya diisytihar bankrap.
  5. Sediakan simpanan kecemasan: Individu perlu menyediakan simpanan kecemasan untuk menghadapi keadaan tidak terduga.
Pexels

Ingatlah, pengurusan kewangan yang bijak adalah kunci untuk mencegah bankrap terutamanya dalam kalangan orang muda.

Pempengaruh Ryzal Duriankimchi didenda RM10,000 selepas senda busana tradisional Iban

0

Pempengaruh media sosial Ryzal Duriankimchi baru-baru ini telah didenda RM10,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Miri di Sarawak.

Pempengaruh yang nama sebenarnya Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim itu didenda selepas mempersendakan busana tradisional wanita Iban ‘ngepan indu’, lapor Kosmo!

Hakim Azreena Aziz mengenakan hukuman itu selepas mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk pengakuan bersalah, rayuan tertuduh, keterangan fakta kes serta mengambil kira kepentingan awam.

Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim atau Ryzal Duriankimchi didenda selepas mempersendakan busana tradisional wanita Iban ‘ngepan indu’ (Gambar Instagram)

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji, dan dibantu TPR Ahmad Ihsan Jalalludin.

Ryzal didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) (ii) Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 (Akta 588).

Sementara itu, peguam bela Ryzal, Firdaus Morshidi, memohon hukuman untuk anak guamnya diringankan, dengan alasan ini adalah kesalahan pertamanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai peringatan atau pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.

Gambar YouTube

Tindakan Ryzal yang dianggap tidak menghormati pakaian tradisi masyarakat Iban itu mencetuskan kemarahan yang menyebabkan 27 laporan polis telah dibuat terhadapnya.

Insiden itu berlaku pada Mei 2021 apabila Ryzal memuat naik video di Instagram Story yang menampilkan isterinya, Maryam You Narae, seorang TikToker Korea Selatan yang popular berusia 28 tahun, memakai pakaian tradisional Iban itu sambil mengenakan solekan di dalam bilik persalinan.

Dalam video tersebut, Ryzal didakwa menyamakan busana ‘ngepan indu’ seperti ‘sementing duit syiling’ yang sepatutnya disimpan di dalam poket, ‘tango’ sebagai kain alas peti televisyen, ‘kain kebat atau kain karap’ sebagai kain buruk dan ‘ngepan iban’ sebagai langsir.

3 tanda mental penat dan cara mengatasinya

0

Pernahkah anda berasa lesu, tidak bermaya dan tidak mahu melakukan aktiviti kendiri? Jika ya, mungkin anda sedang mengalami mental penat.

Pexels

Menurut Dr. Azu Shahdan, tanda badan penat adalah kita akan tertidur tiba-tiba. Namun, apakah tanda-tanda yang menunjukkan mental kita pula yang penat?

Tanda pertama adalah individu hilang motivasi untuk melakukan sesuatu perkara. Contohnya rasa tidak bersemangat, tidak boleh bangun awal pagi dan rasa seperti hidup tidak bermakna.

Tanda yang kedua adalah individu mengalami kesukaran untuk fokus dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya jika sedang makan, individu berkenaan hilang fokus.

TikTok

Tanda yang ketiga adalah berlaku perubahan emosi seperti individu tersebut mudah tersinggung atau berubah daripada seseorang yang gembira menjadi seseorang yang sedih.

Kata Dr. Azu lagi, jika semua tanda yang beliau nyatakan itu ada pada diri seseorang, itu menunjukkan mental individu berkenaan penat.

Oleh yang demikian, individu tersebut perlu beri dirinya masa untuk berehat.

Selain itu, untuk menghilangkan serabut minda seperti yang dikongsikan oleh Dr.Ash di TikTok adalah dengan melakukan kaedah brain-dump.

TikTok

Brain-dump adalah satu kaedah untuk membantu individu menghilangkan keserabutan dalam mindanya.

Caranya ialah individu yang sedang serabut mindanya itu menulis di atas kertas semua fikiran yang terlintas pada waktu tersebut.

Kaedah ini umpama individu tersebut mengambil semua keserabutan itu dan buang ke atas kertas.

Kata Dr. Ash, “Dan inilah sebabnya ia dipanggil sebagai brain-dump.”

“Sifat manusia ni lebih mudah untuk buat tindakan apabila kita nampak benda tu depan mata. Fikiran dalam otak kita ni kita tak nampak.

“Tapi bila dah tertulis atas kertas ia bagi kita satu keyakinan dan perasaan, ada kawal diri.”

Menurut Dr Ash lagi, selepas menenangkan diri dan bersedia, baca semula apa yang ditulis dan rancang tindakan yang sesuai.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia memuat naik info grafik berkaitan dengan kesihatan mental menerusi Facebook mereka.

KKM

Antara tips untuk menjaga kesihatan mental adalah:

  1. Elakkan pengambilan rokok, dadah dan alkohol.
  2. Dapatkan bantuan profesional jika perlu.
  3. Berkongsi perasaan dengan orang yang dipercayai.
  4. Makan secara sihat.
  5. Dapatkan tidur yang cukup.
  6. Lakukan aktiviti riadah, fizikal atau senaman.

Sekiranya mana-mana individu yang memerlukan khidmat kaunseling dan bantuan sokongan sosial, bolehlah menghubungi Talian HEAL di 15555.

Mengajar di Sabah dengan kad pengenalan palsu selama 29 tahun, lelaki dipenjara 10 bulan

0

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan menggunakan kad pengenalan Malaysia yang palsu dan mengajar di sebuah sekolah menengah di Sabah selama 29 tahun.

New Straits Times melaporkan guru berkenaan, Ridal Abdul Kadir, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM6,000 kerana menggunakan kad pengenalan (KP) palsu untuk mendapatkan pekerjaan.

Gambar Bernama

Lelaki berusia 54 tahun itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani di Mahkamah Majistret Keningau pada Khamis, 22 Februari.

Ridal ditahan pada 29 Januari 2024 selepas aduan dibuat berhubung perkara itu menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan pemeriksaan dokumennya di SMK Kemabong di Tenom.

Menurut fakta kes, pada 11.30 pagi, 29 Januari, satu pemeriksaan dokumen telah dijalankan di kawasan letak kenderaan, kuarters guru sekolah berkenaan sebelum tertuduh ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bernombor 700711-12-5369 atas nama Ridal Bin Abdul Kadir.

Semakan lanjut dibuat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan bertaraf warganegara yang palsu dengan nombor dan nama tersebut untuk bekerja sebagai guru di sekolah itu.

Semakan rekod mendapati kad pengenalan dengan nombor dan nama sama pernah dikeluarkan oleh JPN, bagaimanapun dengan taraf Pemastautin Sementara.

Semakan juga mendapati tertuduh memiliki Dokumen Pengenalan Sementara dengan nombor serta nama sama dan Daftar Kelahiran bertaraf bukan warganegara sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Ridal dipercayai mendapat taraf pemastautin sementara di Malaysia kerana dilahirkan di Sabah, tetapi ibu bapanya adalah warganegara Indonesia.

Sekadar Gambar Hiasan.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya mendapatkan kad pengenalan Malaysia yang palsu untuk mendapatkan pekerjaan di SMK Kemabong di Tenom pada tahun 1994.

Semasa prosiding mahkamah, pegawai pendakwa JPN Mohd Naser Mohd Nadzeri meminta hukuman pencegahan berdasarkan kepentingan awam dan keadilan sosial.

Beliau menegaskan memiliki kad pengenalan palsu adalah satu tindakan yang salah dan tidak bertanggungjawab.

“Apa pun alasan yang dikemukakan untuk mewajarkan pemilikan kad pengenalan palsu adalah tidak relevan.

“Tertuduh juga telah menggunakan kad pengenalan palsu ini untuk bekerja sebagai guru selama lebih kurang 29 tahun dan telah menikmati faedah sebagai penjawat awam,” hujah pendakwa raya.

Bagaimanapun, peguam Ridal, Korventt Wheezar, memohon kelonggaran untuk anak guamnya, yang merupakan pesalah kali pertama dan bapa kepada empat anak.

SMK Kemabong, Tenom, Sabah (Gambar Wikipedia)

Wheezar berhujah Ridal hanya mengambil risiko sedemikian kerana dia ingin menjadi seorang pendidik.

“Beliau telah mendidik ramai pelajar dan ahli sukan yang cemerlang dalam tahun-tahun mengajarnya, dan melakukan semua itu dengan rasa bangga dan dedikasi, semata-mata kerana mahu mendidik anak bangsa, dan akan sentiasa menjadi minatnya yang terbaik,” katanya.

Peguam itu menambah, Ridal kesal dan meminta maaf kepada semua pihak yang mungkin terkesan dengan tindakannya.

Agong berangkat rasmi Istiadat Pembukaan Parlimen

0

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini, 26 Februari.

Turut berangkat sama ke istiadat berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada jam 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Gambar Bernama

Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka berdua ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.

Istiadat pembukaan Parlimen kali ini merupakan yang pertama oleh Sultan Ibrahim, sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Gambar Bernama

Ketika menyampaikan Titah Diraja, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara supaya menjaga adab dan tatatertib selain menggunakan pertuturan yang sopan.

Baginda turut memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli dewan yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.

Gambar Bernama

“Saya mahu ingatkan, Parlimen ini adalah tempat untuk penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat (YB) semua adalah penggubalnya.

“Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat. Justeru, saya harap semua ahli akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan ini.

“Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain,” titah baginda.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung  selama 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan dari kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Sidang Dewan Negara pula dijadual berlangsung dari 18 Mac hingga 4 April.

Antara sorotan Istiadat Pembukaan Parlimen di bawah:

Pemandu dipukul sehingga mati, lima lelaki ditahan

0

KUALA LUMPUR: Lima lelaki ditahan kerana disyaki memukul seorang pemandu kereta sehingga mati selepas kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, pada 20 Februari lalu.

Berita Harian

Terdahulu, polis menerima maklumat pada pukul 9.20 malam mengenai satu kemalangan.

Setibanya di lokasi kejadian, anggota trafik mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan di situ.

Pemandu kereta pula ditemui terbaring di jalan. Hasil pemeriksaan mendapati ada kesan pada pergelangan tangannya seperti bekas ikatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pasukan perubatan yang hadir ke lokasi bersama ambulans kemudian mengesahkan pemandu itu sudah meninggal dunia.

Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 42 tahun.

“Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, turut hadir di lokasi.

“Hasil siasatan mendapati saksi penghuni kawasan perumahan itu mendakwa selepas kereta dipandu mangsa terbabas, dia ditarik keluar dari kereta oleh sekumpulan lelaki sebelum dipukul.

“Kemudian, (saksi mendakwa) tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kenderaan.

“Apabila kenderaan Peronda Polis tiba di lokasi kejadian, semua individu yang berada di situ sudah beredar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman hadir di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Beberapa sampel ‘swabbing’ darah dan kesan cap jari diambil, manakala dua utas gumpalan tali berwarna hijau dan coklat di lokasi turut dirampas bagi membantu siasatan.

“Hasil maklumat dan risikan siasatan, kita berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 52 tahun pada pukul 2.05 pagi tadi di sekitar kawasan Semenyih serta Beranang yang disyaki ada kaitan,” katanya.

Menurut Mohd Zaid, semua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 25 Februari untuk membantu siasatan.

“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian itu kerana ada yang mendakwa ia berpunca daripada satu kemalangan lain membabitkan mangsa di sebuah lokasi berhampiran.

“Mangsa dikatakan melarikan diri dari tempat kemalangan pertama dan dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sehingga kenderaannya terbabas.

“Bagaimanapun setakat ini, belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan polis berkenaan kemalangan pertama yang didakwa membabitkan mangsa,” katanya.

Kata Mohd Zaid lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sementara itu, polis trafik membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh, melalui talian 013-7854100 bagi membantu siasatan.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kajang, Inspektor Ammar Tahir (018-2194013).

Terdahulu, tular satu rakaman video berhubung insiden mangsa didakwa melarikan diri dari lokasi kejadian selepas melanggar seorang penunggang motosikal di sebuah persimpangan lampu isyarat berhampiran.