Pada acara pelancaran Samsung Galaxy S24 Januari lalu di San Jose, pihak Samsung ada mengacah produk terbaru dikenali sebagai Samsung Galaxy Ring.
Malah, syarikat gergasi teknologi Korea Selatan itu turut memaparkannya buat pertama kali di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) di Barcelona, Sepanyol.
Produk berbentuk cincin pintar ini cukup unik kerana saiznya jauh lebih kecil berbanding jam namun dikatakan mempunyai pelbagai fungsi menarik berkaitan kesihatan.
Samsung berkongsi cincin pintar ini akan menawarkan masa penggunaan antara lima ke sembilan hari, memandangkan ketiadaan skrin, sekaligus membolehkan saiz bateri yang kecil digunakan untuk tempoh yang agak lama.
Samsung bukanlah syarikat pertama yang melancarkan gajet cincin pintar kerana terdapat pengeluar lain seperti Oura.
Dalam satu temu bual kepada The Verge, Hon Pak, ketua pasukan kesihatan digital di Samsung Electronics, membincangkan penerokaan pertama syarikat itu ke dalam kategori produk cincin, pertimbangan untuk model langganan bagi aplikasi Samsung Health, dan visinya untuk menghasilkan teknologi kecerdasan buatan yang boleh menjadi pemantau kesihatan anda.
Samsung Galaxy Ring akan dilancarkan dengan ciri penjejakan kesihatan termasuk pemantauan kadar denyutan jantung dan tidur sambil memberikan pengguna skor kesediaan kesihatan mereka pada setiap hari.
Kesemua fungsi menarik berkaitan kesihatan dan mungkin banyak lagi boleh diakses melalui aplikasi Samsung Health, menurut The Verge.
Syarikat itu juga sedang mengusahakan fungsi pemantauan glukosa bukan invasif serta pengesanan tekanan darah melalui peranti boleh pakainya, yang mempunyai sensor ECG.
Selain itu, syarikat itu juga mempertimbangkan untuk menambah ciri yang membolehkan Galaxy Ring melakukan pembayaran secara nirtunai, seperti telefon pintar menerusi sistem NFC.
Cincin pintar Galaxy Ring dijangka akan tersedia dalam beberapa warna dan dalam saiz 5 hingga 13 bergantung kepada jari pemakai.
Samsung berharap kepelbagaian fungsi peranti ini akan meningkatkan kedudukannya dalam bidang kesihatan, yang telah diusahakannya selama beberapa tahun.
Samsung berkata keputusan untuk melancarkan cincin pintar ini didorong oleh pelanggannya, dengan antara rancangan Samsung adalah mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam ekosistem kesihatan Samsung dan berharap teknologi ini mampu memberikan lebih banyak pandangan dan manfaat berkaitan kesihatan seseorang.
Samsung Galaxy Ring dikatakan akan mula dijual tahun ini, tetapi tarikh dan harganya belum diumumkan secara rasmi. Khabar angin daripada ET News sebelum ini melaporkan pelancaran penuh akan diadakan pada bulan Julai 2024.