Seorang remaja Rusia pernah menggemparkan dunia kerana mendakwa dia pernah hidup di Marikh sebelum dilahirkan semula di Bumi.

Boris “Boriska” Kipriyanovich mula mendakwa pernah hidup di Marikh pada usia tiga tahun. Ibunya Nadezhda mengatakan dia sedar anaknya itu istimewa sejak melahirkannya.
Menurut Nadezhda, dia tidak berasa sakit semasa melahirkan Boriska. Sebaik sahaja bertentangan mata, dia melihat pandangan bayinya itu seperti pandangan orang dewasa.
“Ia terjadi begitu cepat hingga saya tidak berasa sebarang kesakitan,” kata Nadezhda kepada Project Camelot mengenai pengalamannya bersalinkan Boriska.
Nadezhda mendakwa pada usia dua minggu, Boriska sudah mampu mengangkat kepalanya tanpa bantuan sesiapa dan dia mengucapkan perkataan pertamanya pada usia empat bulan.
Kata Nadezhda lagi, pada usia setahun setengah, Boriska mula membaca, melukis dan mewarna. Pada usia dua tahun, dia menghantar anaknya itu ke tadika.
Kebolehan Boriska bertutur serta mempunyai memori yang hebat disedari oleh guru-gurunya.
“Kadang-kadang dia duduk seperti sedang bertapa dan mula memberitahu kami fakta terperinci mengenai Marikh, sistem planet dan tamadun lain, ia benar-benar membingungkan kami.
“Dia boleh menamakan semua planet dalam sistem solar, termasuk satelit serta nama dan jumlah galaksi.

“Pada mulanya agak menakutkan, saya fikir anak saya di luar kawalan, namun saya memutuskan untuk semak jika nama-nama tersebut wujud.
“Saya ambil beberapa buah buku astronomi dan saya amat terkejut apabila menyedari anak ini tahu banyak mengenai sains,” kata Nadezhda.
Boriska dikatakan lahir pada tahun 1996 bersama ramai lagi yang sama ‘jenis’ dengannya bagi membantu mengelakkan malapetaka berlaku di bumi.
Menurut Boriska, dia dan rakan sejenisnya dikatakan ‘anak indigo’. Dia mendakwa pertama kali melawat Bumi sebagai perintis makhluk Marikh pada zaman Mesir.
“Saya ingat pada masa itu ketika berusia 14 atau 15 tahun. Makhluk Marikh telah melancarkan peperangan setiap masa jadi saya terpaksa menyertai serbuan udara dengan seorang rakan,” kata Boris dalam satu temu bual.
“Kapal angkasa Marikh sangat rumit. Ia berlapis dan boleh terbang di seluruh alam semesta.”
Kata Boriska lagi, makhluk Marikh setinggi tujuh kaki, dan kekal berusia antara 30 hingga 35 tahun dan bernafas dalam kabon dioksida.

“Jika saya berada dalam badan ini, saya bernafas melalui oksigen. Tapi awak tahu, itu akan menyebabkan penuaan.”
“Tidak, saya tidak takutkan kematian sebab kami hidup selamanya,” kata Borsika yang mendakwa dirinya makhluk Marikh.
Temu bual Boriska dengan Project Camelot telah dilakukan bertahun-tahun yang lalu dan menarik perhatian ramai pada masa itu.
Walau bagaimanapun, perkembangan terkini Boriska tidak diketahui media sama ada di laman web bahasa Inggeris atau Rusia.