Pernahkah anda berasa lesu, tidak bermaya dan tidak mahu melakukan aktiviti kendiri? Jika ya, mungkin anda sedang mengalami mental penat.
Menurut Dr. Azu Shahdan, tanda badan penat adalah kita akan tertidur tiba-tiba. Namun, apakah tanda-tanda yang menunjukkan mental kita pula yang penat?
Tanda pertama adalah individu hilang motivasi untuk melakukan sesuatu perkara. Contohnya rasa tidak bersemangat, tidak boleh bangun awal pagi dan rasa seperti hidup tidak bermakna.
Tanda yang kedua adalah individu mengalami kesukaran untuk fokus dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya jika sedang makan, individu berkenaan hilang fokus.
Tanda yang ketiga adalah berlaku perubahan emosi seperti individu tersebut mudah tersinggung atau berubah daripada seseorang yang gembira menjadi seseorang yang sedih.
Kata Dr. Azu lagi, jika semua tanda yang beliau nyatakan itu ada pada diri seseorang, itu menunjukkan mental individu berkenaan penat.
Oleh yang demikian, individu tersebut perlu beri dirinya masa untuk berehat.
Selain itu, untuk menghilangkan serabut minda seperti yang dikongsikan oleh Dr.Ash di TikTok adalah dengan melakukan kaedah brain-dump.
Brain-dump adalah satu kaedah untuk membantu individu menghilangkan keserabutan dalam mindanya.
Caranya ialah individu yang sedang serabut mindanya itu menulis di atas kertas semua fikiran yang terlintas pada waktu tersebut.
Kaedah ini umpama individu tersebut mengambil semua keserabutan itu dan buang ke atas kertas.
Kata Dr. Ash, “Dan inilah sebabnya ia dipanggil sebagai brain-dump.”
“Sifat manusia ni lebih mudah untuk buat tindakan apabila kita nampak benda tu depan mata. Fikiran dalam otak kita ni kita tak nampak.
“Tapi bila dah tertulis atas kertas ia bagi kita satu keyakinan dan perasaan, ada kawal diri.”
Menurut Dr Ash lagi, selepas menenangkan diri dan bersedia, baca semula apa yang ditulis dan rancang tindakan yang sesuai.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia memuat naik info grafik berkaitan dengan kesihatan mental menerusi Facebook mereka.
Antara tips untuk menjaga kesihatan mental adalah:
- Elakkan pengambilan rokok, dadah dan alkohol.
- Dapatkan bantuan profesional jika perlu.
- Berkongsi perasaan dengan orang yang dipercayai.
- Makan secara sihat.
- Dapatkan tidur yang cukup.
- Lakukan aktiviti riadah, fizikal atau senaman.
Sekiranya mana-mana individu yang memerlukan khidmat kaunseling dan bantuan sokongan sosial, bolehlah menghubungi Talian HEAL di 15555.