Pempengaruh media sosial Ryzal Duriankimchi baru-baru ini telah didenda RM10,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Miri di Sarawak.
Pempengaruh yang nama sebenarnya Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim itu didenda selepas mempersendakan busana tradisional wanita Iban ‘ngepan indu’, lapor Kosmo!
Hakim Azreena Aziz mengenakan hukuman itu selepas mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk pengakuan bersalah, rayuan tertuduh, keterangan fakta kes serta mengambil kira kepentingan awam.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji, dan dibantu TPR Ahmad Ihsan Jalalludin.
Ryzal didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) (ii) Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 (Akta 588).
Sementara itu, peguam bela Ryzal, Firdaus Morshidi, memohon hukuman untuk anak guamnya diringankan, dengan alasan ini adalah kesalahan pertamanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai peringatan atau pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.
Tindakan Ryzal yang dianggap tidak menghormati pakaian tradisi masyarakat Iban itu mencetuskan kemarahan yang menyebabkan 27 laporan polis telah dibuat terhadapnya.
Insiden itu berlaku pada Mei 2021 apabila Ryzal memuat naik video di Instagram Story yang menampilkan isterinya, Maryam You Narae, seorang TikToker Korea Selatan yang popular berusia 28 tahun, memakai pakaian tradisional Iban itu sambil mengenakan solekan di dalam bilik persalinan.
Dalam video tersebut, Ryzal didakwa menyamakan busana ‘ngepan indu’ seperti ‘sementing duit syiling’ yang sepatutnya disimpan di dalam poket, ‘tango’ sebagai kain alas peti televisyen, ‘kain kebat atau kain karap’ sebagai kain buruk dan ‘ngepan iban’ sebagai langsir.