PETALING JAYA: Pekerja sebuah gerai donat tampil menafikan dakwaan mereka menggunakan roti burger seperti yang digembar-gemburkan oleh orang ramai.
Bercakap dengan Kosmo!, salah seorang pekerja gerai berkenaan mengatakan bahawa donat tersebut dibakar, bukannya digoreng seperti kebiasaannya.
“Donat itu bukanlah roti burger yang ditebuk, tetapi memang donat bakar. Doh roti yang dibuat lubang sebelum dibakar.
“Apa yang dikatakan (orang ramai) adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada Kosmo!
Terdahulu, seorang pengguna Facebook berkongsi gambar yang memaparkan donat bersalut manisan yang dikatakan roti burger.
Menurut Fatimah Mulyani, dia membeli donat tersebut untuk anaknya ketika menghadiri ekspo di Pantai Irama Bachok baru-baru ini.
Namun alangkah terkejutnya Fatimah apabila mendapati donat yang berharga RM3 sebiji itu adalah roti burger yang dicelup coklat.
Fatimah cuba mendapatkan penjelasan daripada peniaga tentang kekeliruan itu namun peniaga tetap mengatakan itu adalah donat.
Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi warga siber yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan peniaga jika benar dia menggunakan roti burger.