25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, October 24, 2025
Utama Blog Laman 401

Hitam itu menawan. Kenali 13 baka kucing berwarna hitam yang pasti mencuri hati anda

0

Kucing berwarna hitam sering kali sinonim dengan nasib malang. Bahkan kepercayaan karut masyarakat di Eropah dan Asia turut membabitkan penglibatan kucing hitam dengan sihir ataupun unsur jahat.

Untuk pengetahuan anda, kucing hitam sebegini adalah baka yang paling banyak terbiar dan jarang diadopsi daripada pusat perlindungan haiwan sebenarnya. Kasihan!

Semua kucing adalah sama dan warnanya sama sekali tidak membawa apa-apa maksud mistik. Dalam senarai kali ini terdapat 13 jenis baka kucing hitam, yang masing-masingnya unik. Antaranya :

#1 American Shorthair / American Wirehair

PXhere

Baka jenis ini lazim dibela oleh pencinta kucing. Mereka dikenali dengan mata dan telinga yang besar serta wajah yang sedikit rata. Baka ini sesuai dibela bersama seisi keluarga.

American Wirehair sebenarnya merupakan baka yang berasal daripada mutasi genetik American Shorthair, menjadikan personaliti mereka sangat serupa. Ia sangat dikenali dengan kulit yang berkedut dan misai yang keriting. Ia malah kelihatan seperti kambing biri-biri.

#2 Ragamuffin

PXhere

Ragamuffin sememangnya baka yang baik dan penyayang.  Mereka akan kerap menghampiri tangan anda untuk minta dibelai. Mereka sebaliknya juga akan memberikan kasih sayang sepenuhnya pada anda.

Bulu kucing ini mempunyai lapisan tebal, lembut. Penjagaannya pula agak mudah kerana mereka bersifat tenang, menjadikannya sangat sesuai dibela.

#3 British Shorthair

PXhere

British Shorthair merupakan keturunan kucing hitam tertua. Bahkan baka ini turut dibandingkan dengan patung beruang dan kot berbulu.

Mereka juga sering menghasilkan bunyi dengkuran manja namun baka ini agak cerewet, selain mudah mesra dengan manusia serta haiwan lain.

#4 Bombay

PXhere

Kucing baka ini hanya mempunyai satu warna – hitam sahaja. Sering dianggap sebagai harimau kumbang versi mini kerana bulunya yang berkilat dan pendek serta matanya yang berwarna jingga.

Bentuk mukanya pula bulat dan mempunyai personaliti yang berubah – boleh bermain kejar-kejar dengan anda atau bersantai di atas peha anda, mengikut kemahuan mereka.

#5 Cornish Rex

visualhunt

Tubuhnya agak langsing, memiliki bulu yang keriting, hidung yang menonjol dan bertelinga besar. Walaupun comel, mereka sebenarnya agak tangkas.

Walaupun bertubuh ramping, mereka agak kuat dan atletik. Kucing Cornish Rex sangat pintar dan suka bermain dengan manusia.

#6 Devon Rex

visualhunt

Secara fizikal, bentuk kucing baka ini kelihatan sama seperti kucing tanpa bulu, Sphynx namun bulunya pula agak sama dengan Cornish Rex.

Mereka agak sosial dan gemar menemani manusia, lebih-lebih lagi ketika anda makan. Mereka juga gemar ‘bercakap’ dan tidak teragak-agak untuk ‘menyuarakan’ pendapatnya.

#7 Eksotik

PXhere

Baka comel ini kelihatan seperti baka Parsi namun dengan bulu yang lebih pendek yang mudah diurus. Sangat dikenali dengan personaliti yang baik dan penampilan seperti patung beruang, kucing jenis ini gemar bermain. Mereka juga sering memerhatikan persekitaran mereka.

#8 LaPerm

visualhunt

Kucing ini wujud dengan pelbagai warna dan corak namun bulunya agak unik. Sewaktu kecil, kucing ini tidak berbulu namun setelah berusia 4 bulan, bulunya mula tumbuh dalam keadaan yang keriting. Kucing dewasa LaPerm memiliki bulu yang gebu. Mereka agak manja dan penyayang.

#9 Maine Coon

PXhere

Maine Coon berwarna hitam adalah baka yang mudah dikenali – saiz tubuh yang besar, bulu pada ekor yang gebu serta bulu yang tebal dan panjang membantu mereka ketika musim sejuk. Mereka juga merupakan satu-satunya baka yang sukakan air. Selain manja, mereka juga agak pintar.

#10 Parsi

PXhere

Bentuk hidung dan muka yang rata, baka ini juga sebenarnya terkenal dengan warna hitam. Mereka agak lemah lembut dan manja, maka tidak hairanlah baka ini berjaya ‘mencairkan’ hati semua.

Bulunya perlu kerap disikat. Mereka tidak begitu suka aktiviti akrobatik ataupun melompat tetapi gemar berjemur di tengah panas.

#11 Scottish Fold

PXhere

Baka ini dipercayai berasal dari kawasan bangsal di Scotland dan sangat dikenali dengan keunikan pada telinganya yang terlipat ke bawah, tidak seperti American Curl. Mereka agak pendiam, setia dan santai. Matanya pula besar dengan misai yang keriting membuatkan kita semua geram!

#12 Selkirk Rex

visualhunt

Kucing jenis ini mewarisi sedikit ciri baka Parsi – mata yang besar, hidung yang rata serta muka berbentuk bulat. Bulu mereka yang keriting menjadikan ia kelihatan sangat gebu.

Namun ia boleh jadi sedikit serabai. Bulunya juga tidak boleh disikat selalu. Kucing yang bersahaja dan sangat penyabar, menjadikan ia sesuai untuk dibela bersama keluarga.

#13 Siberian

PXhere

Kucing ini ada disebut dalam cerita dongeng Rusia, ia merupakan kucing baka kuno yang mempunyai lapisan bulu yang tebal dan kalis air, membantunya kekal hidup dalam musim sejuk ekstrim di Siberia.

Matanya berbentuk badam manakala bulu pada lehernya sedikit tebal. Bersifat akrobatik dan suka bermain.

Pemuda Indonesia sapa pelancong guna bahasa Inggeris, sebaliknya jawapan Mat Salleh buat netizen gelak besar

0

Rata-rata penduduk dunia khasnya rakyat Malaysia mahir berbahasa Inggeris. Tidak menjadi satu masalah untuk kita menggunakannya dalam kehidupan seharian.

Begitu juga jika kita terserempak dengan pelancong asing berkulit putih atau ‘Mat Salleh’. Bahasa Inggeris sahaja yang digunakan untuk berinteraksi dengan mereka bukan?

Itulah yang cuba dilakukan oleh seorang  lelaki di dalam satu video tular di Twitter ini, di mana ia menunjukkan interaksi yang tidak disangka-sangka.

@krisnaadinatha/Twitter

Kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah kedai kopi di Indonesia. Lelaki berkenaan dilihat menghampiri seorang Mat Salleh yang kebetulan berada di situ.

The view is nice right. Where are you from bro?”, sapa lelaki tempatan itu pada Mat Salleh yang merupakan pelancong asing daripada luar.

Ikut logik, memanglah kita secara automatiknya akan bertutur menggunakan bahasa antarabangsa dalam situasi sebegini bukan?

@krisnaadinatha/Twitter

Agak lucu pula jadinya apabila mat salleh tersebut kemudiannya menjawab bahawa dia tidak boleh berbahasa Inggeris.

Ya, dia menjawab dalam bahasa tempatan!

Tidak disangka pula soalan di tanya dalam bahasa Inggeris, dijawab dalam bahasa tempatan oleh Mat Salleh.

Adil juga bukan? Kita belajar bahasa Inggeris, Mat Salleh pula belajar bahasa tempatan. Pernahkah anda berhadapan situasi lucu sebegini?

Guru jual koleksi miniatur kesayangan bernilai RM2,000 untuk beli hadiah perpisahan buat muridnya

0

Anak murid pasti mendapat tempat istimewa di hati para guru bukan? Walaupun bermacam ragam, namun itulah yang menceriakan suasana.

Guru terbaik pula adalah guru yang sentiasa mementingkan anak murid masing-masing, seperti yang dilakukan oleh guru bernama Muhammad Nazmi ini.

Guru bahasa Inggeris terbabit yang sebelum ini mengajar di SK Long Sukang, Lawas, Sarawak mengejutkan semua apabila beliau dikhabarkan bakal berpindah.

Beliau juga pernah meraih pelbagai anugerah sepanjang beliau bergelar pendidik. Berkat usaha dan dedikasinya, Nazmi turut dikenali sebagai guru yang luar biasa.

Oleh kerana beliau akan berpindah, maka beliau memutuskan untuk menjual koleksi miniatur karakter yang dikumpulnya selama ini yang bernilai sekitar RM2,000.

Ia dibuat ekoran Nazmi mahu membeli hadiah buat 120 orang muridnya di SK Long Sukang. “Empat tahun mengajar di SK Long Sukang, hati sudah tertambat dengan mereka yang saya anggap seperti anak sendiri”.

“Saya sanggup lakukan apa sahaja, termasuk menjual sebahagian permainan kesayangan untuk membeli hadiah baru buat mereka”, kata Nazmi.

Mengakui keputusan itu agak sukar buatnya memandangkan kebanyakan item koleksinya itu sukar dicari namun ia tidak dapat menandingi nilai kasih sayang pada anak murid.

“Menjualnya dan membeli hadiah perpisahan pada saya lebih besar nilainya”, katanya lagi.

Walaupun hanya membelikan buku nota, fail dan alat tulis yang lain, anak murid Nazmi nampaknya begitu teruja.

“Mereka tidak pernah dapat buku-buku nota cantik, comel macam ni. Padahal saya dan isteri hanya beli di kedai DIY sahaja”, ujarnya lagi.

Benarlah, apa-apa pemberian daripada insan yang kita senangi pasti akan dihargai dan sudah cukup menggembirakan tanpa mengira nilainya.

Semoga terus berjaya buat Nazmi di tempat baru dan tidak dilupaka, buat anak muridnya juga!

Jururawat meninggal dunia akibat COVID-19, bayi selamat dilahirkan menerusi pembedahan

0

Seorang jururawat yang sedang mengandung dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami komplikasi COVID-19 pada awal pagi 2 Februari lalu.

Manakala bayi yang merupakan anak kelimanya itu selamat dilahirkan menerusi pembedahan dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU).

Jururawat tersebut, Artini Dzolkarnaini sebelum ini bertugas di Jabatan Pemulihan, Pusat Pakar Perubatan Universiti Mara (UiTM) Sungai Buloh.

https://www.facebook.com/fomuitm/posts/238690907836808?cft[0]=AZWbKiivV8dkO5ia6Dd13ycwK16oeLTdF8cOXEwNIFJoUoMZNENwhUmd4CiZOPqcS0osXsEc8jyUuRY0KScKetr9-0jeio8uAAqMxHzjHypwRHEJuoCHYBSyl2Lv244YFEcm1A47DjJpv-vCC9YrEmv7&tn=%2CO*F

Menurut sumber daripada keluarga terdekat, Artini telah dijangkiti COVID-19 ketika semasa kandungannya berusia 30 minggu.

Beliau yang berusia 41 tahun berkenaan tidak menunjukkan sebarang gejala ketika didapati positif Januari lalu.

Namun menurut laporan, keadaannya bertambah buruk sejurus dimasukkan ke dalam wad hingga terpaksa diintubasi bagi mendapatkan bantuan pernafasan.

Laman Facebook Fakulti Perubatan Hospital Teknologi Mara (UiTM) mendedahkan Artini menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Teknologi Mara (UiTM) pada jam kira-kira 5.30 pagi.

“Seluruh warga Fakulti Perubatan UiTM ingin merakamkan ucapan salam takziah. Kami mendoakan semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman”, menurut kenyataan itu.

Datuk Nicol David diiktiraf Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia

0

Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David telah meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia selepas mendapat undian sebanyak 318,943.

Beliau sekali gus berjaya mengalahkan James Kehoe iaitu legenda tarik tali Ireland yang mendapat sebanyak 113,120 undian.

Manakala atlet angkat berat Ukraine, Larysa Soloviova pula di kedudukan ketiga selepas meraih 80,790 undian.

Menurut laporan, atlet berusia 37 tahun kelahiran Pulau Pinang itu perlu bersaing undian secara dalam talian dengan 23 calon lain yang mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya Sukan Dunia dari tahun 1981 hingga 2017.

Difahamkan, undian tersebut berakhir pada 9 malam 1 Februari waktu Malaysia dengan mencatat satu lagi sejarah baru buat sukan negara yang membuktikan Nicol David berada pada kelasnya yang tersendiri.

Undian yang dibuka sejak 8 Januari lalu itu menyenaraikan hanya 10 atlet dengan undian tertinggi yang terus bersaing bagi anugerah berkenaan.

Malah, berita itu turut dikongsikan oleh laman rasmi Twitter The World Games, yang mengucapkan tahniah kepada Datuk Nicol David atas pencapaian beliau dalam sukan squash.

Anugerah itu dianjurkan oleh Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan ulang tahun ke-40 sukan dunia.

Rakyat Malaysia berasa bangga serta mengucapkan syabas dan tahniah di atas pencapaian terunggul yang diperolehi Datuk Nicol Ann David.

Pasangan jatuh cinta dan bertemu jodoh di pusat kuarantin, adakan sesi bergambar perkahwinan bertema PPE

0

Semuanya bermula ketika dua orang jururawat di Johor Bahru bertemu dan mengenali hati budi satu sama lain lalu jatuh cinta ketika bekerja sebagai petugas barisan hadapan menentang COVID-19.

Jurugambar dan pengguna Facebook Taufiq Noor baru-baru ini memuat naik beberapa gambar perkahwinan yang unik di mana pasangan ini memakai alat pelindung diri (PPE).

Taufiq Noor / Facebook

Pasangan itu memberitahu Taufiq, “Kerana COVID-19, kami ditakdirkan untuk bersama dan disatukan.”

Taufiq kemudian menambahkan, “Mereka bertemu dan berkenalan di pusat kuarantin COVID-19 ketika kes-kes baru muncul dan bermula di Malaysia. Mereka adalah pasangan yang berjiwa kental dan tabah.”

Taufiq Noor /Facebook

Menurut jurugambar ini, pasangan itu memakai PPE untuk sesi bergambar dari jam 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.

“Ia sangat panas tetapi mereka berkata mereka sudah terbiasa dengan peluh,” tulisnya.

Taufiq Noor /Facebook

Pasangan itu memulakan sesi bergambar perkahwinan dengan PPE penuh sebelum melucutkan untuk mendedahkan bahawa mereka turut memakai pakaian pengantin tradisional Melayu di dalamnya. 

Bayangkan betapa panas rasanya.

Taufiq Noor /Facebook

Hasilnya sudah tentulah penampilan gambar-gambar perkahwinan yang mempesonakan.

Sama padan sama cantik, kenangan zaman COVID-19 yang tidak akan pernah dilupakan. 

Taufiq Noor /Facebook

Tahniah dan Selamat Pengantin Baru kepada pasangan ini. Semoga berbahagia sehingga akhir hayat, dan semoga bertabah dengan kerjaya anda berdua yang benar-benar mencabar.

“Ekstra pedas sampai menangis,” netizen ini pesan ayam goreng pedas, permintaan buatnya menangis dimakbulkan

0

Ada orang kata, barangkali ini adalah hajat yang kesampaian. Bagi siapa yang berjiwa kental menelan rasa pedas melampau dengan limpahan rempah atas makanan, rasanya ini adalah pesanan yang anda patut cuba, setelah disyorkan oleh netizen ini.

Baru-baru ini, netizen dikenali Ait Lah berkongsi di Facebook dengan pengalamannya yang mencuit hati ketika dia meletakkan ‘permohonan khas’ di atas pesanan ayam goreng ekstra pedas Shihlin Taiwan Street Snacks menggunakan aplikasi Foodpanda dan mereka tidak mengecewakan permintaannya.

Ait Lah / Facebook

“Baru sahaja memesan ayam Shihlin. Saya selalu memesan yang pedas tetapi selalu dapat yang tidak pedas pun. Jadi saya menulis arahan khas,” tulis Ait dalam posting itu.

Kemudian dia berkongsi arahan khas itu yang berbunyi, “Extra pedas sampai menangis, kalau tak menangis, saya buat report.”

Ait Lah / Facebook

Ait Lah menulis dia hanya bergurau ketika membuat permintaan khas itu, tetapi terkejut melihatnya apabila pesanan ayam pedas itu tiba.

Ayam goreng itu benar-benar disiram dengan serbuk rempah khas Shihlin! Dalam gambar yang dikongsi oleh Ait Lah, kelihatan bahagian ayam goreng hampir tidak dapat dilihat kerana ia diliputi oleh rempah. 

Dan terdapat lebih banyak rempah lagi yang mengalir dalam bungkusan ayam goreng itu juga macam serbuk cili tertumpah.

Ait Lah / Facebook

Tidak dapat dinafikan, Ait Lah mengalirkan air mata dan mempunyai perjalanan yang agak menarik ke tandas selepas menikmati ayam goreng ‘ekstra pedas sampai menangis’ itu.

Salah satu contoh amalan perniagaan yang baik untuk mengenali sikap pengusaha makanan yang baik dalam memenuhi keperluan pelanggan adalah seperti ini. Jangan main-main!

Keluar beli barang bukan ‘jalan-jalan’, penduduk pedalaman Sabah sedih dikompaun RM1,000

0

KOTA KINABALU – Hasrat sekumpulan penduduk kampung pedalaman keluar membeli makanan dan ubat-ubatan di Pekan Tenom bukan sahaja tidak kesampaian, malahan mereka dikenakan kompaun RM1,000 ekoran didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika PKP.

Dalam kejadian 27 Januari itu, lapan penduduk termasuk warga emas dari beberapa kampung pedalaman di Sabah ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Tenom untuk dikenakan kompaun kerana bas yang dinaiki mereka melebihi kapasiti 50% penumpang seperti yang ditetapkan.

Beberapa penduduk menunjukkan kesedihan mereka kerana kesalahan itu bukan disengajakan, kerana jarak kampung mereka yang agak jauh dari pekan Tenom dan sukar berulang-alik semata-mata untuk membeli barangan keperluan.

Twitter

Seorang penduduk Irip Pang berkata, tujuan dia melakukan perjalanan itu adalah untuk membeli barangan keperluan cucunya yang masih kecil dan berstatus orang kelainan upaya (OKU).

“Bukan saya turun untuk jalan-jalan, saya mahu membeli barang keperluan untuk cucu saya, susu dengan lampin pakai buang, tiada yang menjaga dia (cucu) sebab ibu dia sudah meninggal dunia, suami saya sudah terlalu berusia dan tidak mampu keluar,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi penduduk Buriat Alipan berkata, dia terpaksa ke pekan pada hari itu kerana mahu membeli ubat kakinya yang sakit selain mendapatkan bekalan makanan.

“Mereka (polis) beritahu PKP, macam mana saya tidak turun (ke Pekan Tenom), saya mahu beli ubat kerana kaki saya sakit, sampai sekarang sakit sebab itu saya pergi pergi ke pekan,” katanya.

“Kami orang kampung, orang susah, bukan kami sengaja melakukan kesalahan itu, bukan keluar untuk suka-suka,” jelasnya.

Sementara itu, pemandu bas Ruil Taligi berkata dia pada mulanya tidak membenarkan basnya dinaiki lapan penduduk kampung berkenaan kerana sudah melebihi kapasiti asal.

Twitter

Bagaimanapun dia menjadi kasihan dengan penduduk kampung berkenaan kerana ada dalam kalangan mereka yang benar-benar memerlukan untuk ke pekan bagi tujuan membeli barangan keperluan.

“Polis memberitahu saya yang bas telah terlebih muatan (penumpang bas), saya sudah beritahu mereka (penumpang) tetapi mereka mahu naik juga, saya kasihan kerana mereka tidak selalu dapat keluar untuk membeli barang keperluan,” katanya.

“Saya merayu kepada polis yang bertugas dalam sekatan jalan raya itu, jika boleh beri amaran dulu atau saman saya seorang sahaja, mereka (penumpang) golongan susah yang hanya ingin keluar memberi barangan keperluan, tetapi anggota itu tetap mengarahkan kami pergi ke IPD (Tenom),” katanya.

Twitter

Dalam perkembangan terbaru, Naib Presiden Warisan yang juga ADUN Melalap, Peter Anthony telah tampil segera dengan membayar kompaun sebanyak RM8,000 bagi pihak lapan orang penduduk terbabit dari Kampung Angalor.

Selain itu, mereka juga akan menerima bantuan makanan serta barangan keperluan hasil sumbangan orang ramai dan para netizen yang bersimpati dengan nasib mereka lalu memulakan kutipan dana secara dalam talian selepas berita berkenaan menjadi tular di media sosial.

Teragak-agak untuk masuk ke rumah dan tidur di luar pada mulanya, selepas beberapa minggu barulah anjing ini dapat menyesuaikan diri di rumah barunya

0

Tidak semua orang mendapatkan hidup yang bahagia kerana ramai yang bahkan tidak mempunyai keluarga yang lengkap dan sempurna. Malah ada yang terpaksa terpisah dengan keluarga dan hidup bersendirian.

Itulah yang dialami oleh seekor anjing baka jenis pit bull yang diberi nama Lillie ini.

Lillie telah diadopsi oleh seorang wanita, Karen Masser yang tinggal di California, Amerika Syarikat. Sebelum ini, Lillie dikatakan tinggal di tempat perlindungan haiwan.

lookerpets

Apabila Lillie dibawa balik ke rumah dia tidak menunjukkan rasa gembira atau teruja. Tidak seperti haiwan lain yang dibawa pulang, Lillie kelihatan teragak-agak.

Malah dia juga kelihatan risau bahkan tidak mahu masuk ke rumah. Lillie hanya duduk di halaman rumah dan tidak bergerak dari situ serta tidur di luar sahaja.

lookerpets
lookerpets

Karen akhirnya memujuk Lillie untuk masuk ke dalam rumah tetapi Lillie hanya berdiri di sebelah katilnya sahaja. Lillie kemudian menyandarkan kepalanya pada bantal dan terus memerhatikan tuannya seolah-olah takut yang karen akan meninggalkannya.

Karen kemudian sedar bahawa Lillie tidak tahu banyak perkara termasuklah cara menggunakan mangkuk air. Tidak hanya itu, Lillie juga tidak tahu bermain dengan mainan.

Dia juga sangat takut dengan apa yang ada di persekitarannya. Oleh sebab itu, Karen mula mengajar Lillie secara perlahan-lahan tentang perkara-perkara baru.

lookerpets

Karen kemudian membawa Lillie bersiar ke seluruh rumah supaya Lillie tahu setiap sudut di rumah itu. Tidak lama kemudian Lillie mula terbiasa dengan rumah tersebut malah Lillie mula suka dengan sofa dan dia suka tidur di situ sehingga dia dikatakan suka tidur hampir sepanjang masa.

lookerpets

Karen menyangka Lillie terlalu bosan di rumah, jadi dia cuba membawa Lillie keluar berjalan-jalan tetapi Lillie tidak mahu keluar. Dia seolah-olah takut dia akan dihantar semula ke tempat perlindungan haiwan. Hanya selepas tiga minggu, barulah Lillie berani untuk keluar berjalan-jalan.

lookerpets
lookerpets

Selepas membiasakan diri dengan keadaan, Karen mendapati bahawa Lillie sebenarnya seekor anjing yang baik dan lembut. Lillie juga suka berada dekat dengan tuannya dan suka dipeluk serta menghabiskan masa bersama Karen.

lookerpets

Lama-kelamaan Lillie semakin ceria dan gembira dengan keluarga barunya. Dia tidak lagi malu atau ragu-ragu dengan keadaan di persekitarannya.

Perubahan Lillie sangat mengembirakan Karen. Dia mengatakan bahawa dia sangat bertuah kerana memiliki Lillie.

Nasi Lemak Jambatan Tamparuli yang popular di Sarawak kini di Shah Alam, beri 100 bungkus secara percuma selama 6 hari

0

Nasi lemak yang pernah tular dahulu, Nasi Lemak Jambatan Tamparuli (NLJT) yang diniagakan di Kuching, Sarawak dikhabarkan akan memulakan perniagaannya di Shah Alam.

Tahun lalu, gerai nasi lemak yang dikendalikan oleh Ustaz Mohd Ali Jainneh tular ekoran memberikan makanan berupa ayam goreng kepada seekor anjing yang kerap muncul di gerainya.

Anjing tersebut dilayan dengan baik hinggakan ia diberi nama Abang Long!

Nasi Lemak Jambatan Tamparuli/Facebook

Bagi meneruskan niat murninya itu, Mohd Ali berkongsi bahawa dia akan memberikan 600 bungkus nasi lemaknya pada minggu pertama perniagaannya beroperasi di Shah Alam.

“Sempena minggu pertama gerai kami beroperasi bermula 2 hingga 7 Februari ini, kami ingin mengalu-alukan warga Shah Alam khususnya untuk mendapatkan Nasi lemak Biasa”.

Menurut perkongsiannya, sejumlah 100 bungkus nasi lemak sehari akan diberikan secara percuma dan ia akan berlangsung selama 6 hari berturut-turut.

Nasi Lemak Jambatan Tamparuli/Facebook

Nasi lemak NLJT yang sebelum ini amat popular di Samarahan dan Kuching sejak tahun 2016 itu akan berpindah sepenuhnya ke Shah Alam.

Oleh kerana segala peralatan dan perkakas perniagaan masih dalam perjalanan dari Sarawak, maka gerai tersebut hanya akan menghidangkan nasi lemak biasa, nasi lemak telur mata dan nasi lemak ayam berempah.

Nasi Lemak Jambatan Tamparuli/Facebook

“InshaAllah, lauk-lauk lain akan menyusul untuk disajikan pada minggu seterusnya”, tulis perkongsian di laman Facebook berkenaan.

Jika anda mahu merasai sendiri nasi lemak NLJT ini, anda boleh pergi ke Jalan Ibus 18/40, Seksyen 18, Shah Alam (lokasi tapak gerai Azmi Goreng Pisang Shah Alam HQ).

Gerai akan mula dibuka sekitar jam 5:30 pagi hingga 9:30 pagi pada setiap hari Selasa hinggalah Ahad.