Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David telah meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia selepas mendapat undian sebanyak 318,943.
Beliau sekali gus berjaya mengalahkan James Kehoe iaitu legenda tarik tali Ireland yang mendapat sebanyak 113,120 undian.
Manakala atlet angkat berat Ukraine, Larysa Soloviova pula di kedudukan ketiga selepas meraih 80,790 undian.
Menurut laporan, atlet berusia 37 tahun kelahiran Pulau Pinang itu perlu bersaing undian secara dalam talian dengan 23 calon lain yang mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya Sukan Dunia dari tahun 1981 hingga 2017.
Difahamkan, undian tersebut berakhir pada 9 malam 1 Februari waktu Malaysia dengan mencatat satu lagi sejarah baru buat sukan negara yang membuktikan Nicol David berada pada kelasnya yang tersendiri.
Undian yang dibuka sejak 8 Januari lalu itu menyenaraikan hanya 10 atlet dengan undian tertinggi yang terus bersaing bagi anugerah berkenaan.
Malah, berita itu turut dikongsikan oleh laman rasmi Twitter The World Games, yang mengucapkan tahniah kepada Datuk Nicol David atas pencapaian beliau dalam sukan squash.
Anugerah itu dianjurkan oleh Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan ulang tahun ke-40 sukan dunia.
Rakyat Malaysia berasa bangga serta mengucapkan syabas dan tahniah di atas pencapaian terunggul yang diperolehi Datuk Nicol Ann David.