Anak murid pasti mendapat tempat istimewa di hati para guru bukan? Walaupun bermacam ragam, namun itulah yang menceriakan suasana.
Guru terbaik pula adalah guru yang sentiasa mementingkan anak murid masing-masing, seperti yang dilakukan oleh guru bernama Muhammad Nazmi ini.
Guru bahasa Inggeris terbabit yang sebelum ini mengajar di SK Long Sukang, Lawas, Sarawak mengejutkan semua apabila beliau dikhabarkan bakal berpindah.
Beliau juga pernah meraih pelbagai anugerah sepanjang beliau bergelar pendidik. Berkat usaha dan dedikasinya, Nazmi turut dikenali sebagai guru yang luar biasa.
Oleh kerana beliau akan berpindah, maka beliau memutuskan untuk menjual koleksi miniatur karakter yang dikumpulnya selama ini yang bernilai sekitar RM2,000.
Ia dibuat ekoran Nazmi mahu membeli hadiah buat 120 orang muridnya di SK Long Sukang. “Empat tahun mengajar di SK Long Sukang, hati sudah tertambat dengan mereka yang saya anggap seperti anak sendiri”.
Muhammad Nazmi/Facebook
“Saya sanggup lakukan apa sahaja, termasuk menjual sebahagian permainan kesayangan untuk membeli hadiah baru buat mereka”, kata Nazmi.
Mengakui keputusan itu agak sukar buatnya memandangkan kebanyakan item koleksinya itu sukar dicari namun ia tidak dapat menandingi nilai kasih sayang pada anak murid.
Muhammad Nazmi/Facebook
“Menjualnya dan membeli hadiah perpisahan pada saya lebih besar nilainya”, katanya lagi.
Walaupun hanya membelikan buku nota, fail dan alat tulis yang lain, anak murid Nazmi nampaknya begitu teruja.
Muhammad Nazmi/Facebook
“Mereka tidak pernah dapat buku-buku nota cantik, comel macam ni. Padahal saya dan isteri hanya beli di kedai DIY sahaja”, ujarnya lagi.
Benarlah, apa-apa pemberian daripada insan yang kita senangi pasti akan dihargai dan sudah cukup menggembirakan tanpa mengira nilainya.
Semoga terus berjaya buat Nazmi di tempat baru dan tidak dilupaka, buat anak muridnya juga!