33.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025
Utama Blog Laman 397

2 tahun beri makan tanpa lihat kelibat haiwan di sebalik dinding, lelaki Korea ini teruja mengetahui ia adalah kucing

0

Sama seperti manusia yang kurang bernasib baik, keadaan itu juga turut dialami oleh haiwan terbiar misalnya kucing dan anjing. Mereka mengharapkan belas ihsan manusia untuk mendapatkan makanan.

Manakala tempat berlindung pula, mereka akan ke mana sahaja yang dirasakan selamat. Samalah seperti seekor kucing yang bersembunyi di sebalik dinding ini.

Difahamkan ianya berlaku di Korea Selatan, di mana perkara itu disedari oleh seorang pemuda. Lelaki berkenaan menyedari terdapat ‘sesuatu’ yang tinggal di dalam dinding laluan bawah tanah.

Yakin bahawa ianya adalah kucing, lelaki tersebut bertindak memberikan makanan kepada kucing tersebut dalam tempoh dua tahun tanpa melihat kelibat kucing itu.

Laluan bawah tanah itu sering dilaluinya. Orang ramai juga kerap melihat lelaki terbabit meninggalkan makanan.

Dengan menggunakan pemutar skru, dinding laluan itu dibuka di bahagian bawah lalu semangkuk penuh makanan dan air minuman diletakkan di bahagian dalam dinding itu.

Sesudah itu, dinding itu sekali lagi ditutup oleh lelaki tersebut menggunakan pemutar skru. “Saya boleh dengar bunyinya, ia datang..”, kata lelaki berkenaan.

Lelaki itu yakin bahawa haiwan di sebalik dinding tersebut adalah kucing manakala tetangganya pula berkata bahawa ianya adalah tikus. “Kamu beri makan dan minum pada tikus”, kata jiran.

Kisah itu akhirnya tular dan menerima perhatian satu program televisyen yang turut mahu membantu meleraikan misteri haiwan di sebalik dinding terbabit.

Oleh kerana ingin tahu, program tersebut kemudiannya telah memasang kamera di dalam dinding untuk mengetahui perkara yang sebenarnya. Mereka hanya perlu menunggu.

Tidak lama kemudian, muncul satu objek berbulu pada kamera yang dipasang. Namun ia berwarna cerah dan ia sebenarnya adalah tapak tangan kucing!

“Betul bukan? Ia adalah kucing”, ujar lelaki itu yang begitu teruja. Ternyata kucing berwarna putih bertompok jingga itulah yang hidup atas belas ihsan makanan dan minuman lelaki tersebut.

Plastik bungkusan terkoyak, suami isteri ini pasrah gelang emas yang dibeli ‘online’ lesap. “Mungkin tiada rezeki..”

0

Dengan warna keemasan yang berkilau, emas merupakan sejenis logam yang cantik dipandang, mahupun dijadikan perhiasan diri khasnya buat golongan wanita.

Oleh kerana ia bernilai tinggi dan merupakan logam penyimpan nilai yang paling terbaik, maka tidak hairanlah kebanyakan daripada kita sanggup menyimpan wang untuk membelinya.

Seiring dengan perkembangan sektor perkhidmatan, emas juga boleh dibeli secara dalam talian menerusi platform beli belah pada zaman sekarang.

Namun ia agak berisiko, seperti apa yang berlaku pada pasangan yang berkongsi kisah mereka di laman Facebook baru-baru ini.

Pengguna tersebut, Raf Muhammad menceritakan bahawa dia sebelum ini mengumpul duitnya setiap bulan untuk membelikan gelang emas buat isterinya secara dalam talian.

Namun setibanya barangan yang dipesannya itu ke rumah, gelang emas itu sudah tiada. Ianya sudah dicuri.

Raf Muhammad/Facebook

“Mungkin tiada rezeki isteri pakai gelang emas hasil daripada titik peluk aku”, tulis yang mengakui bahawa isterinya sedang diuji Tuhan tatkala ini.

Jika dilihat pada foto yang turut disertakan, terdapat koyakan pada plastik bungkusan di bahagian belakang slip penghantaran yang dilampirkan.

“Kepada pekerja Pos Laju yang mengambil barang aku, aku doakan Allah berikan kamu hidayah”.

Raf Muhammad/Facebook

Dia turut mendoakan juga agak pekerja terbabit dilimpahkan rezeki agar tidak lagi menjalankan kegiatan mencuri barangan pelanggan sebegini lagi.

“Aku pun kerja posmen juga. Gaji pun tidaklah besar. Tidak mengapalah, tiada rezeki kami”, tulisnya pasrah.

Raf Muhammad/Facebook

Benarlah kata orang bahawa individu yang panjang tangan ini ada di mana-mana sahaja. Maka sebelum anda beli barangan berharga sebegini, beringatlah.

Untuk si pencuri, mungkin hari ini kamu akan terlepas namun mungkin kamu akan tertangkap di kemudian hari. Berubahlah, pikul amanah dan tanggungjawab tugas anda sebaiknya.

Keletah bayi borak, gelak sakan dengan bapa hingga tepuk peha raih tumpuan ramai

0

Imitasi ataupun peniruan adalah keupayaan untuk mempelajari tingkah laku dengan memerhatikan tindakan orang lain dan itulah yang dilakukan oleh anak-anak kita.

Menerusi imitasi sebegini, kanak-kanak dapat berinteraksi dan menjalinkan hubungan dengan rakan sosial mereka terutamanya ibu bapa.

Mohamad Syafiq Mahpiz/Facebook

Begitulah apa yang berlaku di dalam satu video yang berjaya mencuri tumpuan pengguna di Facebook baru-baru ini.

Seorang bayi lelaki nampaknya riuh bergelak ketawa dan ‘berborak’ dengan bapanya di dalam kereta. Anda lihatlah sendiri :

Mohamad Syafiq Mahpiz/Facebook

Video yang dimuat naik oleh Mohamad Syafiq Mahpiz itu jelas menunjukkan keletah anaknya yang masih kecil berkelakukan seperti orang dewasa.

Riuh betul berborak walaupun menggunakan bahasa bayi yang tidak kita faham. Dengan tawanya, ianya sama seperti orang dewasa sedang berborak dan bergelak ketawa.

Mohamad Syafiq Mahpiz/Facebook

“Bila kau jumpa kawan baik kau yang satu kepala dan masuk air. Ketawa lagi banyak dari bercerita sebab setiap gerak geri tubuh badan pun rasa dah kelakar”, tulis lelaki tersebut.

Benar, situasi itu sama seperti perbualan kita dengan rakan lama. Anaknya itu pula seakan memahami apa yang sedang diperkatakan si bapa.

Mohamad Syafiq Mahpiz/Facebook

Lebih melucukan, anaknya itu pula sempat memukul manja peha bapanya. Memang sebiji macam orang dewasa yang gelak tak ingat dunia!

Pintar betul. Kecik-kecil lagi sudah pandai borak dan gelak sakan dengan orang dewasa..

Khas untuk bapa, gadis ini hasilkan kek kolam ikan koi yang begitu realistik. Sayang pula nak makan..

0

Masyarakat sekarang dilihat sudah menjadi semakin kreatif, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan hasil seni daripada tangan mereka sendiri.

Misalnya kebelakangan ini, tular hasil seni pada kek yang kelihatan sama seperti objek harian sebenar. Ianya 100% sama!

Seorang pembuat kek dari Canada, Grace ada berkongsi hasil seninya pada kek menerusi akaun @petrichoro di laman Instagram.

@petrichoro/Instagram

Salah satu kek yang mencuri tumpuan adalah kek kolam ikan koi yang menurut Grace, dihasilkan khas buat bapanya sempena Hari Bapa.

Uniknya kek berkenaan kelihatan halus perinciannya. Ramai yang tidak menyangka bahawa ia adalah kek ekoran kelihatan begitu nyata.

Memang susah mahu percaya ia adalah kek sebenarnya. Ujar Grace, proses menghasilkan kek sebegini agak rumit dan memakan masa.

@petrichoro/Instagram

Setelah melakukan beberapa kesalahan dan cuba memperbaikinya, Grace akhirnya berjaya menghasilkan kek yang indah sebegini.

Setiap ikan koi dan bunga teratai yang menghiasi kek tersebut dibuat sendiri. Setiap tusukan pada jeli kek itu dilakukan begitu terperinci. Bukan senang ya.

“Saya suka membuat perkara kecil dan rumit dan berasa sangat seronok dalam menghasilkan teratai dan koi”, tulisnya.

@petrichoro/Instagram

Menurutnya, setiap perincian di kek berkenaan boleh dimakan. “Ia adalah kali pertama saya menghasilkan kek menggunakan pes kacang dan agar-agar”.

Setelah siap, Grace juga ada berkongsi foto kek itu dipotong bagi membuktikan bahawa ia adalah kek sebenar.

@petrichoro/Instagram

Lapisan bawah kek itu adalah sifon bijan hitam, manakala lapisan keduanya adalah coklat putih dan mousse beri biru yang enak. Tengok pun terliur..

Bukan hanya cantik dipandang, rasa dan perisanya juga lazat. Pasti bapa Grace sayang mahu makan keknya bukan? Satu hasil yang menakjubkan!

TikTok antara 59 aplikasi China yang diharamkan India

0

NEW DELHI – Selepas meneliti maklumbalas daripada beberapa syarikat berkenaan isu privasi dan pematuhan, negara India mengekalkan keputusan untuk mengharamkan 59 aplikasi China termasuk TikTok.

India kekal dengan keputusan untuk haramkan 59 apliksi dari China termasuk TikTok dan PUBG

Ketika larangan pertama yang dilaksanakan pada Jun 2020, Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat India telah memberi peluang kepada kesemua 59 aplikasi tersebut untuk memberikan penjelasan lanjut berkenaan beberapa isu. Antara isu yang diutarakan adalah sama ada pihak syarikat aplikasi ini menapis kandungan, bekerja atas nama kerajaan asing, atau melobi pihak yang berpengaruh.

Larangan dibuat setelah timbulnya pertengkaran akibat sempadan India dan China di timur Himalaya

Pada Julai 2020, syarikat aplikasi perkongsian video terkenal ByteDance (TikTok), Tencent Holdings (WeChat) dan Alibaba (UC Browser) telah diminta untuk menjawab 77 soalan ketika berlakunya peningkatan ketegangan akibat pertembungan perbatasan sempadan di antara negara India dan rejim China.
Sebuah panel pemerintah kerajaan telah meneliti keputusan larangan tersebut dan beranggapan bahawa kedudukan negara tidak akan berubah memandangkan larangan tersebut dikeluarkan demi keamanan dan kedaulatan nasional India. Pihak kerajaan kemudian mengeluarkan notis untuk memaklumkan kesemua syarikat aplikasi tersebut mengenai keputusan tetap mereka.
Akhbar The Times of India melaporkan sehingga 25 Januari yang lalu, larangan ini masih dilaksanakan dan tindakan untuk menarik balik larangan ini masih belum dipastikan. Sementara itu, TikTok turut mengeluarkan kenyataan berhubung penerimaan notis tersebut.

TikTok turut mengeluarkan kenyataan untuk terus mematuhi undang-undang dan peraturan kerajaan India

“Kami akan terus berusaha untuk mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan serta melakukan yang terbaik bagi menangani segala isu yang menjadi kebimbangan kerajaan. Memastikan privasi dan keselamatan semua pengguna akan tetap menjadi keutamaan kami”.
Pada masa yang sama, UC Web dilaporkan enggan memberikan sebarang maklumbalas manakala Beijing pula bertindak mengkritik keputusan kerajaan India berkenaan tindakan tersebut pada 27 Januari lalu.
Menurut sumber, lanjutan larangan itu dibuat akibat kejadian ‘pertelingkahan’ yang melibatkan tentera India dan China berkenaan pertikaian kawasan sempadan di bahagian timur Himalaya.

Permainan video terkenal PUBG turut diharamkan India sejak September 2020

Terdahulu pada September 2020, India telah mengharamkan sebanyak 118 aplikasi mobil termasuk permainan video terkenal Tencent iaitu PUBG. Sehingga kini, larangan tersebut masih berkuat kuasa dan belum ada cadangan untuk menarik semula larangan berkenaan

Pak cik ini diajak ke surau sebelum ditinggalkan ahli keluarga yang tidak bertanggungjawab

0

Sejak kecil, kita ditatang bagai minyak yang penuh oleh ibu bapa. Namun, terdapat segelintir individu yang sanggup membuang orang tua sendiri kerana tidak sanggup untuk menjaga kebajikan mereka.

Dalam satu kejadian memilukan yang berlaku di Klang baru-baru ini, seorang lelaki warga emas telah diperdaya oleh ahli keluarganya sendiri sebelum ditinggalkan sendirian di sebuah surau.
Kisah malang yang berlaku terhadap pak cik ini membuatkan orang awam terus melaporkannya kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk mengambil tindakan.

“Sejurus mendapat maklumat mengenai seorang warga emas tidur di salah sebuah surau di sini, kami bergegas untuk membantu beliau memandangkan Selangor adalah negeri tertinggi kes Covid-19 buat masa ini. Tentunya bahaya sekiranya golongan berisiko tinggi tidur di tempat-tempat awam”.

Lebih memilukan lagi, ketika ditemui sendirian di surau berkenaan, pak cik tersebut berada dalam keadaan kelaparan, keletihan selain kesakitan di kaki akibat jangkitan bakteria.

Menurut perkongsian warga emas yang malang itu, dia yang belum berumahtangga dan tidak mempunyai zuriat telah dijaga oleh anak saudaranya sendiri. Walau bagaimanapun, keadaan kesihatan yang semakin merosot di samping kemelut kewangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan ahli keluarga yang menjaganya bertindak meninggalkan pak cik ini di surau berkenaan.

Pak cik ini turut berkongsi kisah bagaimana dia telah ditinggalkan oleh keluarganya itu. Menurutnya, dia telah dipujuk untuk melakukan solat secara berjemaah di surau berkenaan. Bagaimanapun, itu hanyalah tipu daya ahli keluarga untuk membawanya keluar dari rumah sebelum meninggalkannya seorang diri di situ. Malah, ahli keluarganya turut melakukan persiapan awal dengan meletakkan pakaian pak cik itu di dalam beg sebagai ‘bekalan’.
Pihak LZS kemudiannya mencadangkan untuk menempatkan pak cik ini di sebuah rumah kebajikan Rufaidah Home Care Services yang terletak di Dengkil. Difahamkan, segala kos rawatan dan penjagaan penuh akan ditanggung oleh LZS.

“Terima kasih kepada pengeluar zakat. Kami cuba sedaya upaya untuk salurkan zakat anda kepada mereka yang berhak. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka”

Tiga individu termasuk anggota polis maut selepas bertembung trak tentera

0

TUARAN – Tiga individu termasuk seorang anggota polis disahkan meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Jalan Marabahai, Tuaran-Kota Belud pada Sabtu, 6 Februari 2021.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 8 pagi itu, sebuah motosikal jenis Yamaha Ego S yang dinaiki oleh Denylee Sapiun dan Ilyasa Samsudin manakala seorang pemandu Perodua Kancil dikenali sebagai Shamsully Adly telah meninggal dunia setelah bertembung dengan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kereta kancil yang dipandu seorang anggota polis remuk setelah bertembung dengan trak ATM di Jalan Marabahai Spurs, Tuaran

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran iaitu Abdul Qawie Abdul Gapar, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian setelah terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Pemandu Perodua Kancil tersepit dalam keadaan terhimpit dengan trak ATM. Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Tuaran”.
“Sementara itu, pemandu dan tujuh penumpang dalam trak askar tidak mengalami kecederaan serius,”
jelasnya lagi.

Anggota polis yang maut dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah setelah menamatkan tugas

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, siasatan awal mendapati trak ATM yang dipandu dari arah Tamparuli menghala ke Tenghilan tidak dapat mengelak apabila sebuah motosikal yang dinaiki dua mangsa tiba-tiba keluar dari simpang Jalan Marabahai Spurs.
“Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng motosikal terseret ke laluan susur sebelum trak hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Kancil dari arah Kota Belud”.
Difahamkan pemandu kereta Kancil yang juga anggota polis sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bolong, Tuaran selepas menamatkan tugasnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Dua mangsa yang menunggang motosikal turut maut di lokasi kejadian

Operasi penyelamatan kesemua mangsa yang tersepit berjaya dilakukan sekitar jam 8.40 pagi sebelum, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 9.29 pagi dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pekerja J&T mogok, campak barang pelanggan kerana berang dengan pengurusan

0

PETALING JAYA – Sekumpulan pekerja syarikat kurier J&T Express telah bertindak mencampak barangan pelanggan akibat ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan syarikat.

Menerusi video berdurasi 15 saat yang tular di aplikasi TikTok itu, dilihat seorang pekerja di sebuah gudang barangan yang tidak diketahui lokasinya telah bertindak membaling barangan pelanggan manakala beberapa lagi pekerja lain turut menjerit bagi menunjukkan rasa tidak puas hati.

Menurut laporan, isu ini dibangkitkan akibat masalah pembayaran gaji oleh pihak J&T Express. Ekoran daripada penularan video tersebut, meskipun ramai yang bersimpati dengan nasib mereka, majoriti tidak bersetuju dengan tindakan para pekerja yang tidak melakukan tugas dengan sebaik mungkin.

Selain daripada menerima bungkusan dalam keadaan kemek dan koyak, terdapat juga pelanggan yang menyatakan barangan mereka hilang dipercayai dicuri oleh pekerja syarikat penghantaran tersebut.

“Nak mengadu pergilah pejabat buruh, jangan campak barang pelanggan”.

“Kami faham anda mogok dan marah tetapi jangan sampai barang kami jadi mangsa. Kalau barang lukisan saya pecah macam mana nanti?”.

“Baling bungkusan orang macam baling sampah. Kalau ya pun mogok, jangan libatkan penjual dan pembeli. Kami beli barang bukan guna daun pokok bunga mak”.

Sehingga kini, pihak J&T Express bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan penularan isu tersebut.

United Kingdom usir 3 orang perisik China yang menyamar sebagai wartawan

0

ENGLAND – Kerajaan England dilaporkan telah mengusir keluar mata-mata China yang menyamar sebagai wartawan seperti yang dilaporkan oleh Telegraph.

Laporan tersebut keluar sehari selepas pengatur siaran UK Ofcom menarik semula lesen rangkaian televisyen China. tidak lama selepas itu, Beijing dikatakan telah melakukan aduan rasmi ke atas laporan BBC mengenai virus PKC (Parti Komunis China), juga dikenali sebagai novel Koronavirus (COVID-19)

Thames House, ibu pejabat Perkhidmatan Keselamatan Britain (MI5) dilihat di London, pada 22 Oktober 2015. (Peter Nicholls/Reuters)

Menurut laporan Telegraph, sumber yang diperolehi daripada pegawai kanan kerajaan mengenai ketiga-tiga orang perisik tersebut ialah mereka bekerja di tiga buah agensi China yang berbeza. Walau bagaimanapun, nama agensi tersebut tidak didedahkan.

Mereka yang diusir terpaksa kembali ke China setelah pasukan MI5 menemukan identiti sebenar mereka bahawa mereka adalah pegawai perisik Kementerian Keselamatan Negeri Beijing.

Kebimbangan mengenai pengaruh PKC dan pengintipan di UK semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya di kalangan beberapa anggota parlimen Konservatif.

Pihak kerajaan diharapkan agar dapat memperbaharui undang-undang mengenai isu pengintipan pada akhir musim bunga.

Pengatur siaran Ofcom dilaporkan telah menarik lesen bagi China Global Television Network (CGTN) dengan alasan bahawa stesen berkenaan “dikendalikan oleh badan yang dikendalikan oleh Parti Komunis China.”

Undang-undang penyiaran UK tidak membenarkan lesen untuk media dimiliki oleh badan atau organisasi yang dikendalikan oleh mana-mana badan politik.

Para pegawai Beijing tidak lama kemudian mengajukan aduan terhadap BBC dengan menuduhnya sebagai “berita palsu” dalam laporannya tentang bagaimana PKC menutupi cerita mengenai wabak dan asal-usul virus PKC.

Dan pada hari Jumaat, jurucakap kementerian luar negeri China, Wang Wenbin mengecam keputusan Ofcom dan memperingatkan bahawa China berhak untuk melakukan “respons yang diperlukan”.

Peter Humphrey, bekas wartawan dan perunding yang dipenjarakan di China selama dua tahun, bercakap dengan NTD di England. (NTD/Paparan Skrin)

Bekas wartawan Britain, Peter Humphrey, salah satu daripada empat mangsa pengakuan paksa yang diwakili oleh NGO Safeguard Defenders telah memberitahu kepada The Epoch Times bahawa langkah “belum pernah terjadi sebelumnya” dan apa yang dilakukan oleh Ofcom adalah sebuah “saat kemenangan.”

Humphrey, yang menjalankan syarikat usahasama di China, telah ditahan oleh PKC kerana didakwa membeli dan menjual data peribadi. Tuduhan tersebut kemudian telah dinafikannya.

Dia juga memberitahu bahawa polis di China telah memberikannya ubat sehinggakan dia tidak sedarkan diri kemudian mengikatnya pada kerusi logam di dalam sangkar kecil, dan memaksanya untuk membaca sebuah penyataan yang ditulis seolah-olah dia mengaku atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Humphrey yang juga merupakan bekas wartawan dan perunding yang dipenjarakan di China selama dua tahun berkata, dengan melihat lesen mereka ditarik semula merupakan saat kemenangan, bukan hanya untuk dia, tetapi juga untuk semua mangsa.

“Ini adalah tamparan pada wajah pemerintah diktator di Beijing.” katanya lagi.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Pengantin baru antara 19 individu yang dikompaun kerana langgar arahan PKP

0

LANGKAWI – Sepasang pengantin baru berserta dengan 17 orang rakannya dilaporkan telah ditahan ekoran mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut laporan, kesemua mereka ditahan pada Rabu lalu ketika sedang asyik merakam gambar kenang-kenangan secara berkumpulan.

Facebook

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari, pasukannya telah mengesan kumpulan yang berpakaian sedondon itu sekitar jam 6.30 petang di sekitar kawasan perumahan di Ayer Hangat.

“Semasa rondaan, anggota polis ternampak kumpulan terbabit yang terdiri daripada sepasang pengantin dan 17 individu termasuk pengiring pengantin (seorang lelaki dan 16 perempuan) berhampiran sungai dan mengambil gambar beramai-ramai.”

Facebook

Polis terus menahan individu tersebut kerana berkumpul dan tidak mempunyai alasan kukuh untuk keluar rumah.

Mereka yang berumur sekitar 17-28 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Kuah untuk melalui proses dokumentasi dan masing-masing dikompaun RM1,000 sebelum dibebaskan.

Pada 28 Januari 2021, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mengumumkan bahawa perkahwinan hanya dibenarkan diadakan di Pejabat Agama Daerah mengikut SOP yang ditetapkan.