Dengan warna keemasan yang berkilau, emas merupakan sejenis logam yang cantik dipandang, mahupun dijadikan perhiasan diri khasnya buat golongan wanita.
Oleh kerana ia bernilai tinggi dan merupakan logam penyimpan nilai yang paling terbaik, maka tidak hairanlah kebanyakan daripada kita sanggup menyimpan wang untuk membelinya.
Seiring dengan perkembangan sektor perkhidmatan, emas juga boleh dibeli secara dalam talian menerusi platform beli belah pada zaman sekarang.
Namun ia agak berisiko, seperti apa yang berlaku pada pasangan yang berkongsi kisah mereka di laman Facebook baru-baru ini.
Pengguna tersebut, Raf Muhammad menceritakan bahawa dia sebelum ini mengumpul duitnya setiap bulan untuk membelikan gelang emas buat isterinya secara dalam talian.
Namun setibanya barangan yang dipesannya itu ke rumah, gelang emas itu sudah tiada. Ianya sudah dicuri.
“Mungkin tiada rezeki isteri pakai gelang emas hasil daripada titik peluk aku”, tulis yang mengakui bahawa isterinya sedang diuji Tuhan tatkala ini.
Jika dilihat pada foto yang turut disertakan, terdapat koyakan pada plastik bungkusan di bahagian belakang slip penghantaran yang dilampirkan.
“Kepada pekerja Pos Laju yang mengambil barang aku, aku doakan Allah berikan kamu hidayah”.
Dia turut mendoakan juga agak pekerja terbabit dilimpahkan rezeki agar tidak lagi menjalankan kegiatan mencuri barangan pelanggan sebegini lagi.
“Aku pun kerja posmen juga. Gaji pun tidaklah besar. Tidak mengapalah, tiada rezeki kami”, tulisnya pasrah.
Benarlah kata orang bahawa individu yang panjang tangan ini ada di mana-mana sahaja. Maka sebelum anda beli barangan berharga sebegini, beringatlah.
Untuk si pencuri, mungkin hari ini kamu akan terlepas namun mungkin kamu akan tertangkap di kemudian hari. Berubahlah, pikul amanah dan tanggungjawab tugas anda sebaiknya.