Kerajaan bersetuju untuk membenarkan keseluruhan baki perniagaan dalam sektor peruncitan kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula 10 Februari.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia telah diputuskan dalam mesyuarat khas Kabinet, bagi memastikan kelangsungan ekonomi peniaga kecil.
Baki sektor peruncitan yang dimaksudkan termasuklah kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kasut, barangan dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga atau nurseri, kraftangan dan cenderahati serta kedai antik.
Selain itu, kedai alat permainan, permaidani, kedai kandungan kreatif atau peralatan industri kreatif, barangan aktiviti luar, peralatan sukan, barangan rumah dan peralatan dapur, kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau, aksesori kenderaan dan Ar-Rahnu.

Tambah beliau, antara SOP pembukaan sektor itu adalah pelaksanaan proses nyah kuman dan pembersihan tiga kali sehari dalam tempoh operasi, mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka selain melarang kemasukan pelanggan dengan suhu lebih 37.5 darjah Celsius.
Selain itu, perlu ada cecair sanitasi tangan, memastikan kawalan keluar masuk pelanggan, merekodkan kehadiran pekerja dan pelanggan, penjarakan fizikal, mengehadkan jumlah pelanggan dan sebagainya.
Untuk kedai pakaian misalnya, pemilik premis perlu sediakan sarung tangan pakai buang untuk pelanggan yang memilih pakaian.

Untuk kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, hanya aktiviti jual beli sahaja dibenarkan.
Untuk kedai barang dan perkhidmatan fotografi, penggunaan studio hanya bagi seorang pelanggan dan jurugambar sahaja.
Penggunaan studio penggambaran tidak dibenarkan, kecuali bagi perkhidmatan gambar passport, visa dan lesen).
Rundingan secara bersemuka serta penggunaan ‘tester’ tidak dibenarkan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.
“Oleh kerana kita membuka lebih banyak sektor peruncitan, maka lebih ramai yang akan keluar. Saya mengingatkan bahawa pihak berkuasa akan memastikan pematuhan SOP oleh semua pihak.”