Sama seperti manusia yang kurang bernasib baik, keadaan itu juga turut dialami oleh haiwan terbiar misalnya kucing dan anjing. Mereka mengharapkan belas ihsan manusia untuk mendapatkan makanan.
Manakala tempat berlindung pula, mereka akan ke mana sahaja yang dirasakan selamat. Samalah seperti seekor kucing yang bersembunyi di sebalik dinding ini.
Difahamkan ianya berlaku di Korea Selatan, di mana perkara itu disedari oleh seorang pemuda. Lelaki berkenaan menyedari terdapat ‘sesuatu’ yang tinggal di dalam dinding laluan bawah tanah.
Yakin bahawa ianya adalah kucing, lelaki tersebut bertindak memberikan makanan kepada kucing tersebut dalam tempoh dua tahun tanpa melihat kelibat kucing itu.
Laluan bawah tanah itu sering dilaluinya. Orang ramai juga kerap melihat lelaki terbabit meninggalkan makanan.
Dengan menggunakan pemutar skru, dinding laluan itu dibuka di bahagian bawah lalu semangkuk penuh makanan dan air minuman diletakkan di bahagian dalam dinding itu.
Sesudah itu, dinding itu sekali lagi ditutup oleh lelaki tersebut menggunakan pemutar skru. “Saya boleh dengar bunyinya, ia datang..”, kata lelaki berkenaan.
Lelaki itu yakin bahawa haiwan di sebalik dinding tersebut adalah kucing manakala tetangganya pula berkata bahawa ianya adalah tikus. “Kamu beri makan dan minum pada tikus”, kata jiran.
Kisah itu akhirnya tular dan menerima perhatian satu program televisyen yang turut mahu membantu meleraikan misteri haiwan di sebalik dinding terbabit.
Oleh kerana ingin tahu, program tersebut kemudiannya telah memasang kamera di dalam dinding untuk mengetahui perkara yang sebenarnya. Mereka hanya perlu menunggu.
Tidak lama kemudian, muncul satu objek berbulu pada kamera yang dipasang. Namun ia berwarna cerah dan ia sebenarnya adalah tapak tangan kucing!
“Betul bukan? Ia adalah kucing”, ujar lelaki itu yang begitu teruja. Ternyata kucing berwarna putih bertompok jingga itulah yang hidup atas belas ihsan makanan dan minuman lelaki tersebut.