28.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 5, 2025
Utama Blog Laman 39

Pelajar ditemui maut di asrama kolej vokasional, 13 penghuni ditahan polis

0

Seorang pelajar lelaki ditemui maut di bilik asrama, dipercayai dibelasah rakan dalam kejadian di sebuah kolej vokasional, di Lahad Datu, Sabah pada awal pagi 22 Mac.

Mangsa Muhd Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas, pada 6.50 pagi.

Gambar PDRM

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.

Katanya, mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.

“Bertindak di atas laporan polis yang dibuat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian.

Gambar PDRM

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku di tingkat dua bangunan asrama lelaki kolej berkenaan dan kejadian benar berlaku berikutan penemuan satu mayat remaja lelaki dalam keadaan terbaring di atas lantai di dalam sebuah bilik asrama kolej itu,” katanya dalam kenyataan media pada 22 Mac.

Menurutnya, pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.

“Pihak polis mengenal pasti punca kejadian mungkin perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.

“Seterusnya mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.

Gambar PDRM

Susulan kejadian, pihak polis telah menahan seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun bagi membantu siasatan manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, Dr Rohan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini dan pihak polis juga sedang menjalankan siasatan secara telus dan terperinci dalam pelbagai sudut.

Makan malam bertukar tragedi cederakan tujuh beranak bila alat memasak ‘steamboat’ meletup

0

Makan malam tujuh beranak bertukar tragedi apabila dapur gas mudah alih untuk memasak ‘steamboat’ meletup dalam kejadian di sebuah restoran di Temerloh pada 9 Mac lalu.

Mangsa, Noraini Abdullah, 53, berkata, kejadian jam 7 petang itu berlaku sekelip mata ketika dia bersama suaminya, Ayob Harun, 59, dan empat anak mereka, Fatin Nabilah, 29, Arif Fauzan, 26, Arif Fahmi, 23, Arif Fahin, 21 serta menantunya iaitu suami kepada Fatin, Azrul Fazrin Asri, 28, sedang menjamu selera.

Facebook

Menurutnya, sebelum itu mereka terdengar bunyi letupan sebelum dapur gas melambung.

“Kejadian berlaku terlalu pantas, kami tidak sempat mengelak dan semua terkena percikan api daripada dapur gas.

“Kami kemudiannya pergi ke klinik berhampiran mendapatkan rawatan awal sebelum pulang ke rumah di Bera,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.



Facebook

Noraini berkata, keesokan harinya mereka sekeluarga sekali lagi mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Triang sebelum diminta merujuk ke pakar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

“Keadaan suami dan anak kedua iaitu Arif Fauzan paling teruk melecur kerana membabitkan bahagian muka dan tangan.

Facebook

“Empat hari kami sekeluarga ditempatkan di wad dan sekarang ini kami berada di hospital swasta untuk pemeriksaan susulan,” katanya.



Tambahnya, mereka sekeluarga pernah datang ke restoran itu sebelum ini untuk menjamu selera dan tidak menyangka kemalangan berkenaan boleh berlaku.

Facebook

“Pemilik restoran ada berjumpa dengan kami dan memohon maaf,” kata Noraini.

“Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan kami berharap insiden sebegini tidak akan berulang lagi,” jelasnya.

Peluang saksi tengah hari ‘tanpa bayang’ di Putrajaya, Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Mac

0

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berkongsi peristiwa ekuinoks yang akan berlaku pada minggu ini.

Melaluinya, matahari akan berada betul-betul di atas garisan Khatulistiwa pada sepanjang hari, membawa kepada peristiwa yang dinamakan ekuinoks.

Pada tahun ini, peristiwa ekuinoks akan berlaku pada Rabu, 20 Mac 2024.

PlanetariumNegara / X

Ketika hari berkenaan, seluruh dunia akan mengalami masa siang dan malam yang sama panjang, iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam.

Bagi beberapa kawasan yang benar-benar di atas garisan Khatulistiwa, ia turut membawa kepada peristiwa waktu tengah hari ‘tanpa bayang’.

Di Malaysia, waktu tengah hari tanpa bayang dijangka akan berlaku sedikit lewat selepas ekuinoks, iaitu pada 27 Mac 2024 di Putrajaya, dan 28 Mac 2024 di Kuala Lumpur serta bandaraya lain seperti jadual di bawah:

PlanetariumNegara / X

Apa itu ekuinoks?

Fenomena ekuinoks dijangka berlaku di negara ini sekitar 20, 21 Mac dan 23 September.

Ekuinoks merupakan satu fenomena astronomi apabila kedudukan matahari sejajar dengan Garisan Khatulistiwa. Ia menjadikan bumi dan matahari berada pada jarak paling dekat dalam sistem solar.

Gambar timeanddate.com

Pertukaran posisi matahari dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan menyebabkan suhu bumi meningkat selain jangka masa siang dan malam menjadi sama iaitu 12 jam.

Bagi fenomena ekuinoks di Malaysia, kebiasaan suhu dijangka antara 30 dan 35 darjah Celsius.

Starship terputus hubungan ketika patah balik ke Bumi

0

Starship terputus hubungan dan musnah ketika dalam perjalanan patah balik ke Bumi selepas hampir menyempurnakan ujian penerbangan ketiganya.

Twitter

Pada 14 Mac lalu, Starship berjaya diterbangkan ke angkasa dari Starbase iaitu pangkalan SpaceX yang terletak di Selatan Texas.

Walau bagaimanapun, selepas 50 minit mengelilingi orbit, roket terbesar dan terhebat pernah dicipta itu musnah ketika dalam perjalanan balik iaitu sebaik sahaja memasuki atmosfera Bumi.

Starship berkenaan sepatutnya mendarat secara belly-flop di Lautan Hindi. Namun terputus hubungan dan dipercayai terdisintegrasi dan jatuh ke laut.

“Kapal tersebut hilang. Jadi, tiada pendaratan air hari ini.”

“Namun sekali lagi, ia sangat luar biasa untuk melihat apa yang telah kita capai kali ini,” Kata Dan Huot dari SpaceX.

“SpaceX telah jauh berjalan,” Kata Elon Musk pengasas SpaceX.

SPACE

Dalam pada itu, NASA memuji kejayaan Starship milik SpaceX yang dikatakan mencapai “beberapa kepentingan utama” dalam perancangan menghantar angkasawan ke bulan pada masa akan datang.

Namun begitu, Nasa menyatakan masih banyak lagi “kerja” yang harus dilakukan.

“Dengan setiap ujian penerbangan, SpaceX cuba mencapai objektif yang semakin mencabar agar Starship mempelajari sebanyak mungkin demi pembangunan sistem misi masa depan,” Kata Lisa Watson-Morgan, pengurus program sistem pendaratan manusia (HLS) di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall NASA di Alabama dalam satu kenyataan.

“Kebolehan menguji sistem dan proses utama … membolehkan kedua-dua NASA dan SpaceX mengumpul data penting yang diperlukan untuk pembangunan berterusan HLS Starship,” Tambah Watson-Morgan.

Starship adalah pembekal HLS yang diberi tugas oleh NASA untuk mendaratkan angkasawan di bulan bagi program Artemis 3, yang kini dijadualkan untuk dilancarkan tidak lebih awal dari September 2026.

Dalam ujian penerbangan ketiga itu juga, SpaceX telah cuba untuk memindahkan bahan api di angkasa dari satu tangki Starship ke tangki yang lain. SpaceX dan NASA akan mengkaji data penerbangan dalam beberapa minggu lagi untuk melihat sejauh mana keberhasilannya.

Bahan api tersebut ialah cryogenic (telalu sejuk), dan jurutera mahu memastikan kestabilan Starship di angkasa tidak terjejas disebabkan operasi yang dilakukan, menurut NASA.

Kata agensi itu lagi, jurutera juga akan cuba melakukan pemindahan sebaik mungkin dengan memeriksa “pergerakan cecair di dalam tangki”.

Ini bertujuan untuk memastikan enjin Raptor (Starship) menerima keadaan bahan api yang diperlukan untuk menyokong penyalaan semula di orbit.

theguardian

Walaupun begitu, semasa penerbangan ujian Starship tersebut, jurutera terpaksa menggugurkan “penyalaan semula yang dirancang di orbit dengan satu enjin Raptor,”

SpaceX berjanji untuk melakukan penerbangan pantas Starship tidak lama lagi, dengan empat daripadanya setinggi 400 kaki (122 meter) telah dibina sebelumya untuk digunakan pada ujian akan datang.

Siva Bharadvaj, seorang jurutera operasi angkasa di Space X berkata semasa siaran pelancaran, salah satu daripada kapal angkasa itu telah menjalani ujian api statik sebelum ini.

Walau bagaimanapun, NASA telah menyatakan bahawa mereka mahu kejayaan berulang sebelum menempatkan angkasawan dalam Starship.

Pada Januari lalu, pelancaran Artemis 3 ditunda ke September 2026, kira-kira setahun selepas sasaran asal disebabkan kelajuan pembangunan Starship yang tidak memberangsangkan selain terdapat beberapa isu teknikal dengan kapal angkasa krew Orion NASA dan hal-hal lain.

Pada Jun 2023, pegawai agensi Jim Free mengatakan bahawa SpaceX perlu menyiapkan “sejumlah besar pelancaran” sebelum aktiviti program Artemis.

Dalam pada itu, NASA juga telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan tentang kelajuan pembangunan Starship dalam beberapa bulan yang lepas.

SpaceX bukanlah satu-satunya pengeluar HLS. Blue Origin juga mendapat kontrak NASA bagi perkhidmatan pendaratan bulan berawak.

Pada mulanya SpaceX secara tidak dijangka dipilih sebagai pemenang tunggal pada 2021 bagi kontrak HLS, setelah NASA berjanji untuk memilih beberapa pengeluar.

Kemudian, pada Oktober 2021, Senat Amerika Syarikat mengarahkan NASA untuk memilih syarikat kedia, dan agensi akhirnya memilik Blue Origin bagi sistem pendaratan Blue Moonnya.

Pelancong dari Korea terpegun melihat roti tisu

0

Baru-baru ini tular video pelancong dari Korea terpegun melihat roti tisu sebaik sahaja makanan yang dipesan sampai ke meja mereka.

YouTube

Lima orang pelancong dari Korea ini sedang menikmati pengembaraan mereka di Malaysia. Mereka memulakan pagi itu dengan mencari sarapan.

Ketika sedang berjalan-jalan, mereka terlihat sebuah restoran yang kelihatan menarik. Mereka dapat merasakan restoran itu menghidangkan makanan tempatan.

Memandangkan masing-masing kelaparan, mereka terus masuk restoran mamak tersebut, mencari meja kosong dan duduk.

Salah seorang daripada mereka memanggil pelayan dan bertanyakan kepada pelayan apakah makanan yang dicadangkan untuk mereka cuba.

Pelayan mengatakan bahawa roti tisu adalah makanan terbaik sambil menunjukkan menu kepada pelancong dari Korea berkenaan.

YouTube

Selepas melihat menu, mereka memesan lima keping roti tisu, tomyam, nasi, minuman lassi, jus nanas dan coca-cola.

Sebelum menulis pesanan, pelayan bertanyakan kepada pelanggan adakah benar mereka mahukan lima keping roti tisu.

Tanpa berfikir panjang, pelanggan mengesahkan pesanan tersebut. Mereka menanti pesanan sampai sambil berborak mengenai aktiviti yang akan dilakukan pada hari itu.

Tidak berapa lama kemudian, makanan yang dipesan pun siap dan pelayan mula menghantar pesanan minuman dan makanan tersebut ke meja mereka.

Namun sebaik sahaja melihat roti tisu yang dibawakan oleh pelayan, kelima-lima orang pelancong itu terdiam dan ternganga.

YouTube

“Apa ini?” Kata salah seorang pelancong.

“Betulkah awak pesan lima roti tisu?” Kata seorang pelancong yang lain.

Masing-masing kelihatan terpegun dan tidak menyangka roti tisu setinggi itu. Mereka mengira roti tisu itu kecil seperti gambar dalam panduan menu. Sebab itulah mereka memesan satu roti tisu untuk setiap orang.

YouTube

Masing-masing sibuk menguruskan roti tisu masing-masing. Dua pelancong bertopi menghidu roti tisu dan menjangkakan makanan itu enak menerusi keharuman baunya.

Pelancong berkaca mata berbaju kemeja-T putih cuba untuk menghidu roti tisu namun tiba-tiba roti tisu itu berderai. Dia kelihatan begitu terkejut dengan insiden tersebut.

Memandangkan roti tisunya sudah pun berderai, pelancong itu terus merasai sedikit roti tisu tersebut.

“Sedapnya!” Kata pelancong lelaki itu.

YouTube

Sebaik sahaja mendengarkan kata-kata rakannya, pelancong yang lain pun turut mencuba roti tisu masing-masing.

“Yelah, sedap!” Kata mereka bersetuju dengan keenakan roti tisu tersebut.

Tanpa menghiraukan pelanggan tempatan yang mengambil foto kerana menyaksikan adegan yang mencuit hati tersebut, pelancong berlima ini terus makan roti tisu mereka.

YouTube

Biarpun pada awalnya terkejut melihat rupa bentuk roti tisu tidak seperti yang digambarkan, mereka tidak melatah atau menyalahkan mana-mana pihak.

Mereka semakin selesa dengan keadaan roti tisu yang panjang, rangup dan lazat itu. Mereka menikmati roti tisu dengan begitu berselera sekali.

Dalam pada itu, mereka mengatakan bahawa tomyam yang dipesan itu juga enak rasanya. Kesimpulannya, mereka berpuas hati dengan hidangan di restoran mamak tersebut.

Selepas membuat bayaran, mereka meneruskan perjalanan mengembara sekitar Kuala Lumpur. Pasti kenangan di restoran mamak itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Letupan restoran di China: ACJA bantah tindakan polis halau media

0

CHINA: Dalam kejadian letupan restoran di China, All-China Journalists Association (ACJA) membantah tindakan polis yang menghalau media dari lokasi.

theguardian

Persatuan wartawan China yang disokong oleh parti Komunis itu telah mengeluarkan teguran terhadap polis yang mengganggu tugas wartawan.

Tindakan yang jarang dilakukan itu berlaku selepas tersebarnya video yang menunjukkan wartawan media negara dihalau dari tapak lokasi letupan yang membawa maut berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan pada malam Rabu, ACJA menyatakan bahawa “wawancara sah adalah hak wartawan”.

ACJA menambah bahawa pihak berkuasa “tidak sepatutnya menghalang wartawan media daripada melakukan tugas mereka dengan cara normal dalam mengawal pendapat awam.”

Komen-komen luar biasa muncul selepas tersebarnya video yang menunjukkan dua orang wartawan dihalang daripada melaporkan insiden dari lokasi letupan di daerah utara Hebei.

Letupan restoran di China itu telah mengorbankan tujuh orang mangsa manakala 27 orang yang lain cedera.

Menerusi satu video, kelihatan seorang lelaki beruniform mengganggu Yang Hailing, seorang wartawan CCTV, ketika wanita itu sedang berbicara dengan pembaca berita di studio penyiaran negara dari tapak letupan.

Salah seorang pembaca berita itu kelihatan begitu terkejut ketika penyampaian laporan itu diganggu.

Dalam video lain, kelihatan sekumpulan pegawai polis menghalang Xu Mengzhe, seorang wartawan yang jelas memakai lencana berlogo dari Kumpulan Media China.

“Kami (wartawan) bertiga dikelilingi ramai orang, ramai yang menolak kami, datang dan menonton,” Kata Xu menerusi video tersebut.

theguardian

Dalam pada itu, ACJA menegaskan bahawa wartawan diperlukan untuk menyampaikan berita sahih dan “melindungi hak rakyat untuk mengetahui” kejadian yang berlaku.

Video berkenaan telah mencetuskan perdebatan di media sosial China, dengan beberapa orang pengguna mengatakan bahawa wartawan tersebut dipindahkan demi keselamatan mereka sendiri.

Walaupun perlembagaan China menjamin kebebasan akhbar, namun realitinya media negara dikawal rapi.

Selain itu, sama ada wartawan yang membuat liputan mengenai berita domestik mahupun antarabangsa sering diganggu secara fizikal ketika mereka sedang membuat laporan.

Tahun lepas, tiga orang pegawai polis ditahan selepas seorang wartawan China diserang semasa cuba menyiasat kematian dua orang guru di Guizhou.

Reporters Without Borders menganggap China sebagai negara kedua terburuk selepas Korea Utara dalam hal berkaitan kebebasan akhbar.

Menurut pengarah China Media Project David Bandurski, kenyataan ACJA mengandungi “bahasa yang sangat jarang”.

“Pada dasarnya mereka menegakkan hak untuk melaporkan” dan “menegakkan idea bahawa maklumat amat berharga kepada orang awam”.

Dua konsep ini “kedengaran sangat mirip dengan pandangan wartawan yang ditentang secara terang-terangan” di China, lebih-lebih lagi dibawah pemerintahan presiden China Xi Jinping.

Pada pagi Khamis, kenyataan tersebut telah dihapuskan daripada laman web persatuan namun masih tersedia di WeChat.

Biarpun begitu, ramai orang menyokong kenyataan ACJA dengan mengatakan bahawa hak wartawan untuk melaporkan perlu dilindungi.

Terdahulu, Reuters melaporkan satu letupan kuat berlaku di sebuah restoran ayam goreng di bandar Yanjiao dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

Reuters

Asap tebal dilihat berkepul-kepul naik ke udara selain bahagian depan beberapa kedai lain serta kenderaan yang berhampiran kedai ayam goreng itu rosak teruk.

Proses siasatan masih dilakukan oleh pihak bertanggungjawab.

Wanita teruja melihat dugong di Tanjung Aru

0

KOTA KINABALU: Lisa Poroting tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya kerana dapat melihat dugong di depan matanya itu pada satu pagi Rabu.

TheStar

Menerusi temu bual Poroting bersama TheStar, pada mulanya dia menyangka haiwan di dalam air itu adalah ikan lumba-lumba.

Namun apabila wanita yang bekerja sebagai pemandu SUP sambilan di Borneo Paddle Monkeys sejak September lalu itu berenang mendekati haiwan, dia yakin itu adalah dugong.

Ketika dalam perjalanan balik menuju ke pusat kayuhan itu, Poroting melihat ada sesuatu di dalam air kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Pada mulanya saya menyangka ia ikan lumba-lumba. Tetapi apabila melihat lebih dekat, rupa-rupanya ia adalah dugong. Saya tidak dapat berhenti menjerit (kerana terlalu teruja),” kata Poroting kepada TheStar.

TheStar

“Saya terus mengambil telefon bimbit dan merakam video haiwan itu.”

“Saya pernah melihat jerung sebelum ini, jadi saya mahu melihat sesuatu yang berbeza.”

“Saya begitu seronok melihat dugong di depan mata kerana jarang dapat melihat haiwan ini di alam liar,” kata Poroting.

Menurut Poroting, majikan dan rakan sekerjanya turut menyaksikan kejadian itu kerana mereka sama-sama baru pulang daripada melatih pekerja baharu.

“Haiwan terbabit berenang sejauh 100 meter dari pantai. Jika saya mempunyai topeng snorkel, pasti saya akan berenang bersamanya.”

“Saya dengar dugong hanya kelihatan di Pulau Mantanani jadi apabila terjumpa haiwan ini di Tanjung Aru saya rasa bertuah.”

“Saya pasti ia adalah dugong, ia berwarna merah jambu dan sangat comel dan jinak. Saya menghabiskan masa selama 20 minit sebelum ia berenang pergi,” kata Poroting, 45.

Poroting memuat naik gambar dan video pengalaman manis itu di Facebooknya. Sekejap sahaja hantarannya itu mendapat perhatian daripada warga siber.

TheStar

Ahli biologi Marin Dr Nicolas Pilcher mengesahkan haiwan yang dilihat oleh Poroting itu adalah dugong.

“Gambar (yang ditangkap oleh Poroting) jelas mengesahkannya,” kata pengarah eksekutif Marine Research Foundation.

Menurut Poroting lagi, pada pagi Khamis, dia terlihat lagi dugong tetapi dugong yang berbeza daripada yang dilihatnya sebelum ini.

“Saya tidak sempat mengambil gambar atau video untuk membuktikannya.”

“Namun tiada masalah, saya akan mencari haiwan itu lagi esok dan merakamnya,” kata Poroting.

Poroting mengingatkan bahawa adalah lebih baik untuk tidak menyentuh haiwan berkenaan.

“Dan lebih baik berada di atas papan kayuh atau kayak untuk melihat dugong. Ini adalah untuk keselamatan haiwan kerana kocakan air atau bot boleh menyakiti haiwan itu,” kata Poroting.

Bazar Ramadan: Tiada laporan kes keracunan diterima – KKM

0

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menerima sebarang laporan kes keracunan melibatkan bazar ramadan di seluruh negara setakat ini.

Facebook

Memetik laporan yang ditulis oleh Bernama, perkara tersebut disahkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada pemberita selepas melancarkan Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2024 baru-baru ini.

KKM telah melaksanakan 183 sesi taklimat kebersihan premis makanan dan pengendalian makanan yang selamat kepada pemilik gerai sebelum Ramadan lagi.

Dr Dzulkefly berkata taklimat yang bermula sejak Februari lalu melibatkan 70,334 pemilik gerai di 1,299 tapak bazar Ramadan yang dikenal pasti di seluruh negara pada tahun ini.

“Itu (tiada laporan keracunan makanan) petanda baik kerana sejak Februari lagi kita telah mulakan kesiapsiagaan, kita telah mula sesi penerangan dan latihan buat pemilik serta pengendali makanan,” Kata Dr Dzulkefly.

KKM turut memeriksa 324 premis penyediaan makanan termasuk kilang ais di semua negeri sebelum Ramadan.

Facebook

“Pemeriksaan premis makanan itu juga meliputi premis yang menyediakan bufet berbuka puasa seperti restoran dan hotel.”

“Pemantauan secara sistematik di sepanjang rantaian makanan ini meliputi pemeriksaan premis pembekal bahan mentah termasuk kilang ais dan premis penyediaan makanan bagi peniaga yang telah dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” Kata Dr Dzulkefly.

Sementara itu, bagi memudahkan pengguna menyalurkan sebarang aduan mengenai kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan sekitar Putrajaya, KKM meneruskan penggunaan Kod QR.

Terdahulu media tempatan melaporkan terdapat telur lalat di dalam sup daging yang dibeli oleh seorang wanita dari sebuah bazar Ramadan di Semabok, Melaka.

Menurut Dr Dzulkefly, pihaknya akan menyiasat perkara itu.

Dalam pada itu, KKM berharap mana-mana pihak melaporkan mengenai kejadian seumpama itu dan memberi jaminan akan menyiasat perkara tersebut.

“Kita pasti membuat siasatan dan mengharapkan laporan mana-mana pihak, KKM pasti ambil tindakan,” Kata Dr Dzulkefly.

Menerusi Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2024, Dr Dzulkefly turut menyerahkan dan memakaikan apron kepada peniaga-peniaga.

Facebook

Selain itu, Dr Dzulkefly juga mengagihkan bahan pendidikan kesihatan dan keselamatan makanan kepada gerai-gerai berkenaan.

Turut hadir dalam majlis pelancaran itu ialah YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Norhayati Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBrs. Ts. Norrani bt. Eksan, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM dan Encik Nik Shukri bin Nih Soh, Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar), Perbadanan Putrajaya.

Cikgu naik taraf bilik darjah suram bertukar ‘minimalis’ cantik, siap ada TV pintar dan pendingin hawa

0

Bukan mudah menemui seorang guru yang berdedikasi serta sanggup memberikan usaha dengan berkorban apa sahaja lebih 100 peratus demi mendidik anak bangsa.

Seperti terdapatnya kalangan guru yang pergi lebih jauh bagi memastikan semua anak muridnya dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan kondusif.

Guru contoh ini nampaknya telah berusaha keras bagi memastikan semua anak muridnya mendapat kemudahan terbaik ketika menjalani proses pembelajaran.

TikTok

Cikgu Yuslan Ibrahim baru-baru ini telah mendapat perhatian di platform media sosial apabila beliau mendedahkan telah membuat pengubahsuaian bilik darjah untuk kelasnya di Sekolah Kebangsaan Kampung Sri Rusa di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan bantuan dana daripada penaja yang diusahakannya sendiri.

Selepas mendapat dana yang diperlukan dan melakukan kerja ubah suai, Cikgu Yuslan memaparkan hasil transformasi bilik darjah itu dengan berjalan mengelilingi setiap penjuru kelas dalam video TikToknya.

TikTok

Apa yang mengagumkan Cikgu Yuslan berkongsi kemudahan sempurna dalam bilik darjahnya yang kelihatan minimalis, moden dan tersusun kemas, dengan dilengkapi penghawa dingin, televisyen pintar, kipas, meja dan kerusi para pelajar, sofa kecil dan lain-lain.

Guru itu juga menukar jadual yang digunakan dalam kelas kepada yang lebih besar bagi membolehkan anak muridnya berinteraksi antara satu sama lain semasa proses pembelajaran. 

TikTok

Di penghujung klip video, Cikgu Yuslan menunjukkan rupa kelasnya sebelum ini yang kelihatan suram dan kelam, memang nampak perbezaan yang ketara.

Cikgu Yuslan mengakui proses mengubah suai bilik darjah itu bukanlah satu proses yang mudah.

TikTok

“Saya tak habiskan RM2,000 duit bonus untuk hias kelas saya, tapi saya cari dana dan penaja swasta untuk dapatkan TV pintar, pendingin hawa, kipas, meja dan sebagainya untuk anak murid saya.

“Tidaklah senang prosesnya, namun rezeki dah tertulis buat anak murid saya untuk dapat gunakan TV pintar dan bilik darjah yang sangat selesa,” kata Cikgu Yuslan dalam video tersebut.

Katanya, kelas itu diubah dengan susun atur lebih kemas dan moden dengan tema ‘smart classroom’, dengan dekorasi yang tidak praktikal dan suram secara sepenuhnya telah dibuang olehnya.

TikTok

Cikgu Yuslan optimis dengan transformasi reka bentuk ini akan membantu anak-anak muridnya kekal lebih fokus dan seronok semasa belajar, kerana persekitaran mereka kelihatan lebih menarik berbanding sebelum ini.

“Maaf saya tak habiskan duit bonus untuk keceriaan kelas dan saya tak viral, ini secebis kisah cikgu yang sanggup buat apa sahaja untuk anak-anak murid mereka,” katanya di ruang kapsyen video itu.

TikTok

Video TikTok@yuslanibr dengan sejuta tontonan berkenaan menerima komen berbentuk pujian daripada pengguna lain:

“Cikgu yang boleh dijadikan contoh.. Terbaik!”

“Kalau persekitaran kelas macam ini, semua murid pun gembira dan lebih fokus hendak belajar.”

“Cikgu semakin mantap di zaman madani..”

“Tak kisah pakai wang bonus, dapatkan tajaan atau daripada pihak swasta sekalipun, yang penting niat kita tulus dan ikhlas, terima kasih cikgu.”

“Selesa budak-budak hendak belajar.. Kepala tak serabut dengan poster-poster di dinding..”

Tonton video di sini.

Kejadian pusaran angin seperti puting beliung melanda Lahad Datu

0

LAHAD DATU: Kejadian pusaran angin seperti puting beliung yang melanda Lahad Datu baru-baru ini telah menerbangkan beberapa kepingan bumbung zink.

Bernama

Kelihatan zink bumbung deretan kedai di Jalan Segama Industrial State, Batu 1 berterbangan menerusi rakaman video yang diambil oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi Bernama. Pihaknya bergegas ke lokasi pada pukul 2.40 petang.

“Berdasarkan saksi di tempat kejadian memaklumkan kejadian sebenar berlaku antara jam lebih kurang 1.30 tengah hari dan kejadian itu berlaku pantas, dalam tempoh antara tidak lebih daripada 60 saat.”

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku akibat kejadian itu,” kata Rohan Shah.

Astro Awani

Hasil pemeriksaan polis mendapati terdapat dua bangunan terjejas dan berlaku kerosakan pada beberapa bahagian bumbung deretan bangunan kedai.

“Polis juga tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam,” katanya.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama Datuk Mizma Appehdullah ketika dihubungi berkata pihaknya turut menerima maklumat mengenai kejadian puting beliung itu namun nilai anggaran kerosakan masih belum diketahui.