Starship terputus hubungan dan musnah ketika dalam perjalanan patah balik ke Bumi selepas hampir menyempurnakan ujian penerbangan ketiganya.
Pada 14 Mac lalu, Starship berjaya diterbangkan ke angkasa dari Starbase iaitu pangkalan SpaceX yang terletak di Selatan Texas.
Walau bagaimanapun, selepas 50 minit mengelilingi orbit, roket terbesar dan terhebat pernah dicipta itu musnah ketika dalam perjalanan balik iaitu sebaik sahaja memasuki atmosfera Bumi.
Starship berkenaan sepatutnya mendarat secara belly-flop di Lautan Hindi. Namun terputus hubungan dan dipercayai terdisintegrasi dan jatuh ke laut.
“Kapal tersebut hilang. Jadi, tiada pendaratan air hari ini.”
“Namun sekali lagi, ia sangat luar biasa untuk melihat apa yang telah kita capai kali ini,” Kata Dan Huot dari SpaceX.
“SpaceX telah jauh berjalan,” Kata Elon Musk pengasas SpaceX.
Dalam pada itu, NASA memuji kejayaan Starship milik SpaceX yang dikatakan mencapai “beberapa kepentingan utama” dalam perancangan menghantar angkasawan ke bulan pada masa akan datang.
Namun begitu, Nasa menyatakan masih banyak lagi “kerja” yang harus dilakukan.
“Dengan setiap ujian penerbangan, SpaceX cuba mencapai objektif yang semakin mencabar agar Starship mempelajari sebanyak mungkin demi pembangunan sistem misi masa depan,” Kata Lisa Watson-Morgan, pengurus program sistem pendaratan manusia (HLS) di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall NASA di Alabama dalam satu kenyataan.
“Kebolehan menguji sistem dan proses utama … membolehkan kedua-dua NASA dan SpaceX mengumpul data penting yang diperlukan untuk pembangunan berterusan HLS Starship,” Tambah Watson-Morgan.
Starship adalah pembekal HLS yang diberi tugas oleh NASA untuk mendaratkan angkasawan di bulan bagi program Artemis 3, yang kini dijadualkan untuk dilancarkan tidak lebih awal dari September 2026.
Dalam ujian penerbangan ketiga itu juga, SpaceX telah cuba untuk memindahkan bahan api di angkasa dari satu tangki Starship ke tangki yang lain. SpaceX dan NASA akan mengkaji data penerbangan dalam beberapa minggu lagi untuk melihat sejauh mana keberhasilannya.
Bahan api tersebut ialah cryogenic (telalu sejuk), dan jurutera mahu memastikan kestabilan Starship di angkasa tidak terjejas disebabkan operasi yang dilakukan, menurut NASA.
Kata agensi itu lagi, jurutera juga akan cuba melakukan pemindahan sebaik mungkin dengan memeriksa “pergerakan cecair di dalam tangki”.
Ini bertujuan untuk memastikan enjin Raptor (Starship) menerima keadaan bahan api yang diperlukan untuk menyokong penyalaan semula di orbit.
Walaupun begitu, semasa penerbangan ujian Starship tersebut, jurutera terpaksa menggugurkan “penyalaan semula yang dirancang di orbit dengan satu enjin Raptor,”
SpaceX berjanji untuk melakukan penerbangan pantas Starship tidak lama lagi, dengan empat daripadanya setinggi 400 kaki (122 meter) telah dibina sebelumya untuk digunakan pada ujian akan datang.
Siva Bharadvaj, seorang jurutera operasi angkasa di Space X berkata semasa siaran pelancaran, salah satu daripada kapal angkasa itu telah menjalani ujian api statik sebelum ini.
Walau bagaimanapun, NASA telah menyatakan bahawa mereka mahu kejayaan berulang sebelum menempatkan angkasawan dalam Starship.
Pada Januari lalu, pelancaran Artemis 3 ditunda ke September 2026, kira-kira setahun selepas sasaran asal disebabkan kelajuan pembangunan Starship yang tidak memberangsangkan selain terdapat beberapa isu teknikal dengan kapal angkasa krew Orion NASA dan hal-hal lain.
Pada Jun 2023, pegawai agensi Jim Free mengatakan bahawa SpaceX perlu menyiapkan “sejumlah besar pelancaran” sebelum aktiviti program Artemis.
Dalam pada itu, NASA juga telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan tentang kelajuan pembangunan Starship dalam beberapa bulan yang lepas.
SpaceX bukanlah satu-satunya pengeluar HLS. Blue Origin juga mendapat kontrak NASA bagi perkhidmatan pendaratan bulan berawak.
Pada mulanya SpaceX secara tidak dijangka dipilih sebagai pemenang tunggal pada 2021 bagi kontrak HLS, setelah NASA berjanji untuk memilih beberapa pengeluar.
Kemudian, pada Oktober 2021, Senat Amerika Syarikat mengarahkan NASA untuk memilih syarikat kedia, dan agensi akhirnya memilik Blue Origin bagi sistem pendaratan Blue Moonnya.