CHINA: Dalam kejadian letupan restoran di China, All-China Journalists Association (ACJA) membantah tindakan polis yang menghalau media dari lokasi.
Persatuan wartawan China yang disokong oleh parti Komunis itu telah mengeluarkan teguran terhadap polis yang mengganggu tugas wartawan.
Tindakan yang jarang dilakukan itu berlaku selepas tersebarnya video yang menunjukkan wartawan media negara dihalau dari tapak lokasi letupan yang membawa maut berkenaan.
Dalam satu kenyataan yang diterbitkan pada malam Rabu, ACJA menyatakan bahawa “wawancara sah adalah hak wartawan”.
ACJA menambah bahawa pihak berkuasa “tidak sepatutnya menghalang wartawan media daripada melakukan tugas mereka dengan cara normal dalam mengawal pendapat awam.”
Komen-komen luar biasa muncul selepas tersebarnya video yang menunjukkan dua orang wartawan dihalang daripada melaporkan insiden dari lokasi letupan di daerah utara Hebei.
Letupan restoran di China itu telah mengorbankan tujuh orang mangsa manakala 27 orang yang lain cedera.
Menerusi satu video, kelihatan seorang lelaki beruniform mengganggu Yang Hailing, seorang wartawan CCTV, ketika wanita itu sedang berbicara dengan pembaca berita di studio penyiaran negara dari tapak letupan.
Salah seorang pembaca berita itu kelihatan begitu terkejut ketika penyampaian laporan itu diganggu.
Dalam video lain, kelihatan sekumpulan pegawai polis menghalang Xu Mengzhe, seorang wartawan yang jelas memakai lencana berlogo dari Kumpulan Media China.
“Kami (wartawan) bertiga dikelilingi ramai orang, ramai yang menolak kami, datang dan menonton,” Kata Xu menerusi video tersebut.
Dalam pada itu, ACJA menegaskan bahawa wartawan diperlukan untuk menyampaikan berita sahih dan “melindungi hak rakyat untuk mengetahui” kejadian yang berlaku.
Video berkenaan telah mencetuskan perdebatan di media sosial China, dengan beberapa orang pengguna mengatakan bahawa wartawan tersebut dipindahkan demi keselamatan mereka sendiri.
Walaupun perlembagaan China menjamin kebebasan akhbar, namun realitinya media negara dikawal rapi.
Selain itu, sama ada wartawan yang membuat liputan mengenai berita domestik mahupun antarabangsa sering diganggu secara fizikal ketika mereka sedang membuat laporan.
Tahun lepas, tiga orang pegawai polis ditahan selepas seorang wartawan China diserang semasa cuba menyiasat kematian dua orang guru di Guizhou.
Reporters Without Borders menganggap China sebagai negara kedua terburuk selepas Korea Utara dalam hal berkaitan kebebasan akhbar.
Menurut pengarah China Media Project David Bandurski, kenyataan ACJA mengandungi “bahasa yang sangat jarang”.
“Pada dasarnya mereka menegakkan hak untuk melaporkan” dan “menegakkan idea bahawa maklumat amat berharga kepada orang awam”.
Dua konsep ini “kedengaran sangat mirip dengan pandangan wartawan yang ditentang secara terang-terangan” di China, lebih-lebih lagi dibawah pemerintahan presiden China Xi Jinping.
Pada pagi Khamis, kenyataan tersebut telah dihapuskan daripada laman web persatuan namun masih tersedia di WeChat.
Biarpun begitu, ramai orang menyokong kenyataan ACJA dengan mengatakan bahawa hak wartawan untuk melaporkan perlu dilindungi.
Terdahulu, Reuters melaporkan satu letupan kuat berlaku di sebuah restoran ayam goreng di bandar Yanjiao dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.
Asap tebal dilihat berkepul-kepul naik ke udara selain bahagian depan beberapa kedai lain serta kenderaan yang berhampiran kedai ayam goreng itu rosak teruk.
Proses siasatan masih dilakukan oleh pihak bertanggungjawab.