Seorang pelajar lelaki ditemui maut di bilik asrama, dipercayai dibelasah rakan dalam kejadian di sebuah kolej vokasional, di Lahad Datu, Sabah pada awal pagi 22 Mac.
Mangsa Muhd Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas, pada 6.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.
Katanya, mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.
“Bertindak di atas laporan polis yang dibuat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku di tingkat dua bangunan asrama lelaki kolej berkenaan dan kejadian benar berlaku berikutan penemuan satu mayat remaja lelaki dalam keadaan terbaring di atas lantai di dalam sebuah bilik asrama kolej itu,” katanya dalam kenyataan media pada 22 Mac.
Menurutnya, pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.
“Pihak polis mengenal pasti punca kejadian mungkin perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.
“Seterusnya mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.
Susulan kejadian, pihak polis telah menahan seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun bagi membantu siasatan manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sementara itu, Dr Rohan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini dan pihak polis juga sedang menjalankan siasatan secara telus dan terperinci dalam pelbagai sudut.