Spekulasi mengenai ketidakhadiran Kate Middleton dari tugas awam terjawab apabila Princess of Wales mengesahkan sedang menjalani kemoterapi pencegahan susulan keputusan ujian yang diambil selepas menjalani pembedahan perut mendedahkan terdapat kehadiran kanser.
Kate, isteri pewaris takhta Britain, Putera William berusia 42 tahun, menyifatkan penemuan kanser itu sebagai “satu kejutan besar”.
Berita itu datang sebagai tamparan kesihatan baru kepada keluarga diraja Britain di mana Raja Charles III juga sedang menjalani rawatan kanser.
Kate menghabiskan dua minggu di hospital pada Januari selepas menjalani pembedahan di perut.
Bagaimanapun Kate berkata, ujian berikutnya telah mendedahkan kanser telah ditemui.
Jelas Kate menerusi mesej video, beliau kini berada dalam peringkat awal rawatan kemoterapi pencegahan selepas nasihat pasukan perubatan.
Menjelas lebih lanjut, Kate berkata, beliau dan Putera William telah melakukan segala yang mampu untuk memproses dan menguruskan perkara itu secara peribadi demi keluarga muda mereka.
Pada masa sama, Kate menjelaskan beliau dan William mahukan privasi mengenai kanser sehingga anak-anak mereka, Putera George, 10 tahun, Puteri Charlotte, 8 tahun, dan Putera Louis, 5 tahun, memulakan cuti sekolah yang bermula pada Jumaat.
Katanya, apa yang penting adalah untuk menjelaskan segala-galanya kepada anak-anak mereka dan meyakinkan bahawa beliau berada dalam keadaan baik.
Kate tidak pernah muncul di acara awam sejak beliau menyertai ahli keluarga diraja yang lain di gereja pada Hari Krismas tahun lalu.
Bagaimanapun, video yang dirakam pada Sabtu lalu oleh orang awam yang diterbitkan oleh akhbar Sun menunjukkan Kate kelihatan sihat, berjalan dan membawa beg membeli-belah bersama suaminya di sebuah kedai ladang di Windsor, berhampiran rumah mereka.
Kate dalam video itu memohon orang awam untuk memahami dan memberikan masa, ruang dan privasi untuknya menyelesaikan rawatan dengan fokus kini adalah untuk memulihkan kesihatannya.
Kate adalah rakyat biasa pertama yang berkahwin dengan seorang putera raja yang bakal menaiki takhta Britain dalam tempoh lebih 350 tahun.
Dalam satu kenyataan, Raja Charles III dikhabarkan sangat bangga dengan Kate kerana keberaniannya membuat pengakuan mengenai kanser yang dihidapinya.
Baginda berkata akan kekal meneruskan hubungan paling rapat dengan menantunya itu.
Charles dan isterinya Camilla “akan terus memberikan kasih sayang dan sokongan mereka kepada seisi keluarga dalam mengharungi detik-detik yang sukar ini.”
Kate berkahwin dengan Putera William pada 2011 dan sejak itu telah menjadi salah seorang kerabat diraja paling popular.
Sejak Januari, ketidakhadiran Kate dari tugas awam telah menyebabkan khabar angin tersebar tentang situasi kesihatan dan perkahwinannya dengan Putera William.
Khabar angin bertambah buruk selepas gambar yang dikongsi William dan Kate di media sosial pada Hari Ibu kemudiannya ditarik balik oleh agensi berita global kerana dikhuatiri telah disunting.
Kate kemudian mengeluarkan kenyataan di media sosial, memohon maaf atas kekeliruan yang disebabkan oleh gambar itu.