Suami isteri yang bahagia adalah pasangan yang sentiasa melakukan sesuatu bagi menghargai pasangan masing-masing terutamanya pada hari yang bermakna seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.
Apabila kita sentiasa menghargai pasangan dan menunjukkan kasih sayang, maka hubungan itu akan sentiasa mekar dan dipenuhi dengan kenikmatan. Seperti pasangan suami isteri yang baru-baru ini tular setelah gelagat sang suami yang dipuji kerana menjaga batasnya dan sikap romantis si isteri membuatkan warganet memuji mereka.
Kisahnya bermula apabila si isteri melakukan pakatan bersama perancang perkhidmatan penghantaran hadiah untuk memberikan kejutan kepada suami tercinta di tempat kerjanya. Menerusi video tersebut, si isteri yang lengkap berpakaian maskod Minnie Mouse telah membawa sejambak bunga duit dan juga belon untuk diberikan kepada suaminya.
Selepas menghulurkan hadiah tersebut, Minnie Mouse ini kemudian melakukan cubaan ‘berani’ dengan memeluk suaminya. Bagaimanapun, suaminya yang tidak mengetahui identiti sebenar individu di sebalik maskot itu terus mengelak dan menjauhkan diri daripada wanita yang disangkakan perempuan lain itu.
Percubaan demi percubaan dilakukan oleh Minnie Mouse berkenaan namun tidak berjaya. Si suami tetap berkeras enggan berpelukan sebaliknya hanya mahu bergambar dari jarak yang jauh sahaja! Bagus! Ini yang wanita mahukan daripada seorang suami…
Tidak lama kemudian, lelaki ini mula mengesyaki sesuatu sebelum bertindak membuka kepala kostum Minnie Mouse itu. Dia kemudian terkejut dan terharu setelah mendapati wanita di sebalik kostum berkenaan adalah isteri tercintanya dan terus memeluk sebagai tanda penghargaan di atas usaha keras isterinya yang sanggup menahan panas semata-mata untuk memberikan kejutan!
Penularan video ini turut meraih pujian daripada warganet yang memuji tindakan si suami kerana tahu menjaga batas sebagai seorang suami. Kesetiaan yang dipamerkan oleh suami ini membuatkan ramai warganet mendoakan agar kedua-duanya akan kekal bahagia hingga ke jannah.