Satu kejadian letupan bom menggegarkan pagi damai Palm Sunday pada 28 Mac, dipercayai dilakukan oleh dua pengebom nekad maut di hadapan pintu masuk Gereja Katedral Roman Katolik di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Menerusi satu video yang diambil dari sumber Katedral Sacred Heart of Jesus, klip terakhir merakamkan satu letupan kuat diikuti asap putih yang kelihatan di perkarangan gereja.
Menurut paderi gereja berkenaan, Wilhelmus Tulak, kira-kira sepuluh orang telah tercedera sejurus kejadian, dengan seorang petugas letak kereta mengalami luka kebakaran ketika percubaannya untuk menghentikan pengebom nekad maut.
Media tempatan melaporkan dua suspek pengebom cuba memasuki perkarangan gereja dengan menaiki sebuah motosikal sebelum dihentikan oleh seorang pengawal keselamatan.
Dalam perkembangan terbaru, jurucakap polis Sulawesi Selatan, E. Zulpan mengesahkan seramai 14 mangsa telah tercedera dalam tragedi letupan di gereja berkenaan.
Sementara Datuk Bandar Makassar, Mohammad Ramadhan Pomanto berkata terdapat anggota badan dan cebisan daging manusia ditemui dalam jarak 200 meter dari tempat kejadian, namun menambah tiada ahli gereja yang terbunuh.
Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada wujud sebarang hubungan antara pengebom berkenaan dengan kumpulan radikal, serta serangan itu ada kaitan dengan penahanan suspek militan baru-baru ini.
Pada bulan Januari, unit membanteras keganasan Indonesia menjalankan serbuan di Makassar dan membunuh dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam pengeboman sebuah gereja di Filipina pada tahun 2019 yang mengorbankan lebih 20 orang.
Letupan bom bunuh diri di luar gereja di Makassar, 14 Cedera
— BERNAMA (@bernamadotcom) March 28, 2021
https://t.co/Bm85TDTRJZ
🎥: Polis Indonesia pic.twitter.com/2zD2PsKhzV
@bernamadotcom/Twitter
Ini bukan kejadian pengeboman gereja pertama yang berlaku di Indonesia. Pada tahun 2018, tiga buah gereja telah dibom di Surabaya.
Kejadian itu dikaitkan dengan kumpulan pelampau tempatan yang ingin membentuk negara Islam.