AMERIKA SYARIKAT – Mei 2021 dijangka akan menjadi suasana yang bingit bagi warga Amerika Syarikat (AS) akibat fenomena semula jadi penetasan telur sejenis riang-riang hutan yang dikenali sebagai cicada.
Penetasan telur riang-riang yang disebut sebagai Brood X itu akan terjadi apabila suhu tanah musim bunga mencapai paras suhu tertentu yang menggalakkan proses penetasan. Pada masa yang sama, fenomena alam ini dikatakan hanya berlaku setiap 17 tahun dan kali ini, spesies yang bakal menetas dijangka memiliki saiz yang besar.
Menurut kurator zoologi invertebrata dari American Museum of Natural History iaitu Dr Jessica Ware, beliau menjangkakan anak riang-riang yang selama ini bersembunyi di dalam tanah dan di celah-celah akar pokok akan merangkak keluar untuk mencari makanan dan pasangan mengawan. Ketika ditanya mengenai tarikh sebenar fenomena ini, Jessica memaklumkan bahawa tiada tarikh yang jelas namun menganggarkan 13 Mei sebagai tarikh penetasan telur-telur itu.
”Ia seperti satu tarian. Si jantan akan menunjukkan kebolehan menghasilkan bunyi paling kuat sekali gus membuktikan bahawa ia adalah teman mengawan yang terbaik. Riang-riang betina pula akan mendengar sama ada bunyi itu cukup kuat dan sampai ke jarak paling jauh. Ini suatu tarian akustik yang sangat rumit”.
Jelas Jessica lagi, para saintis masih belum memperolehi bukti dan penjelasan kukuh tentang kitaran hidup riang-riang Brood X namun menyifatkan ia mungkin mempunyai perkaitan dengan proses evolusi sebagai mekanisma kelangsungan hidup. Pada masa yang sama, Jessica turut menegaskan bahawa riang-riang jenis ini tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada manusia sebaliknya boleh menjadi sumber makanan bagi burung, haiwan dan juga serangga lain.
“Saya sangat teruja apabila memikirkan tentang kemunculan Brood X kerana kali terakhir spesies ini dilihat di atas tanah adalah pada tahun 2004. Bila anda memikirkannya, banyak yang telah terjadi sepanjang tempoh 17 tahun itu”.
Telur Brood X ini juga dilaporkan bakal berlaku di kawasan tengah dan timur AS iaitu di Tennessee hingga ke selatan New York.