BANGKOK – Peserta Ratu Cantik Miss Grand International dari Myanmar dengan berani mengambil kesempatan dalam ucapannya apabila merayu bantuan antarabangsa untuk campur tangan dalam hal negaranya ketika kerajaan tentera terus menindas penunjuk perasaan sejak rampasan kuasa bulan lalu yang kini telah mengorbankan lebih 100 orang awam tidak bersalah.
Pelajar Universiti Yangon, Han Lay membuat komen itu di pertandingan Miss Grand International yang diadakan di Bangkok, Thailand pada 27 Mac lalu. Ketika beliau mengeluarkan kenyataan itu, sekurang-kurangnya 114 orang telah terbunuh dalam hari malang paling berdarah sejak rampasan kuasa junta tentera pada 1 Februari.
Han Lay tanpa bersembunyi melahirkan rasa simpati dalam satu wawancara video publisiti yang disiarkan pada minggu lalu dan turut lantang di laman Instagramnya, yang menunjukkan meme dan gambar gerakan protes di tanah airnya. Tidak mengejutkan apabila melihat peserta di pertandingan ratu cantik antarabangsa ini menggunakan acara tersebut untuk mengkritik pemimpin negaranya sendiri.

“Saya sangat simpati dengan mereka yang kehilangan nyawa di jalanan. Setiap warganegara di dunia menginginkan kemakmuran dalam negara mereka dan persekitaran yang damai. Untuk berbuat demikian, para pemimpin yang terlibat tidak boleh menyalah guna kuasa dan bertindak mementingkan diri sendiri ketika memerintah negara,” katanya.
“Hari ini di negara saya, Myanmar, ketika saya berada di atas pentas, ramai orang yang sedang terkorban, lebih 100 orang yang telah terkorban hari ini. Saya sangat bersimpati dan bersedih terhadap semua orang awam yang kehilangan nyawa,” luahnya sambil berhenti seketika menahan linangan air mata.
“Saya ingin katakan di sini, tolong bantu Myanmar. Kami perlukan bantuan antarabangsa dengan segera sekarang,” rayu Han Lay.
Pertumpahan darah pada 27 Mac di Myanmar menimbulkan kecaman antarabangsa, baik menerusi misi diplomatik di Myanmar bahkan dari luar negara.

Beberapa warga Myanmar berprofil tinggi telah menggunakan platform antarabangsa untuk mengkritik rampasan kuasa dan junta baru yang memerintah negara itu.
Beberapa warga Myanmar di luar negara yang berpaling tadah menyatakan taat setia mereka kepada kerajaan alternatif yang diisytiharkan, yang mana ahli parlimen yang terpilih dalam pilihan raya tidak diizinkan untuk menduduki Parlimen selepas tentera bertindak merampas kuasa.
Kyaw Moe Tun, wakil Myanmar di PBB yang juga telah berpaling tadah dengan menyatakan kesetiaan baharunya dalam sesi rasmi badan dunia itu, sambil memberikan simbol hormat tiga jari tanda menyokong gerakan protes di akhir ucapannya.
Di Myanmar, selebriti dari dunia hiburan dan peragaan turut menyatakan sokongan terhadap protes jalanan sebelum kerajaan junta melancarkan tindak balas keganasan bagi menghentikan penunjuk perasaan.

Pada bulan lalu kerajaan junta mengeluarkan waran tangkap ke atas beberapa pelakon dan pengarah terkenal yang secara terbuka menyokong tunjuk perasaan itu, dengan mendakwa mereka di bawah undang-undang ketenteraman awam yang membawa hukuman sehingga tiga tahun penjara.
Amat penting untuk mengambil perhatian akan rayuan Han Lay yang menyertai pertandingan ratu cantik Miss Grand International di Thailand. Thailand menjadi tuan rumah kepada 4 juta pekerja migran dari Myanmar, yang kebanyakannya bersimpati dengan perjuangan menuntut demokrasi oleh penunjuk perasaan di Myanmar, namun bimbang pekerjaan mereka mungkin akan terjejas sekiranya mereka bersuara kerana pegawai Thailand telah memberi amaran supaya jangan terlibat secara aktif dalam politik.