30.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 14, 2025
Utama Blog Laman 359

Lebih 50 penumpang maut dalam tragedi nahas kereta api di Taiwan

0

TAIWAN – Kejadian kemalangan kereta api yang berlaku di bahagian timur Taiwan semalam dikatakan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang dan mencederakan 146 yang lain.

@DDNewslive/Twitter

Menurut pentadbiran kereta api Taiwan, kemalangan tersebut berlaku berhampiran dengan Chongde, Hualien. Targedi itu berpunca disebabkan oleh kereta api yang tergelincir dari landasannya ketika hendak masuk ke dalam satu terowong yang sedang menuju ke Taitung sekitar jam 9.30 pagi.

Dua gerabak pertama dikatakan telah tergelincir setelah melanggar sebuah trak sehingga meyebabkan bahagian gerabak tersebut termasuk ke dalam bahagian terowong. Jurutera kereta api, Yuan Chun-hsiu, 33, dan mekanik, Chiang Pei-feng, 32, yang turut berada dalam gerabak pertama telah terbunuh.

@Reuters/Twitter

Kereta api mengalami kerosakan teruk akibat hentaman pada dinding terowong. Antara mereka yang terkorban adalah seorang warganegara Perancis, dua orang warganegara Jepun dan seorang warga Macau. Seramai 146 orang yang cedera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Siasatan awal menunjukkan trak yang menyebabkan kemalangan itu berlaku telah diparkir di tapak pembinaan di lereng di atas landasan kereta api. Kenderaan itu juga ditinggalkan di situ oleh ketua lokasi, yang dikenali sebagai Lee Yi-hsiang, 49.

@AFP/Twitter

Pemimpin Taiwan, termasuk Presiden Tsai Ing-wen dan Perdana Menteri Su Tseng-chang, memerintahkan pihak berwajib untuk melakukan yang terbaik untuk menyokong usaha menyelamatkan dan memastikan rawatan diberikan kepada penumpang yang cedera.

Selain itu, operasi menyelamat dan memberi bantuan untuk keluarga si mati dan mereka yang cedera akan menjadi keutamaan pihak kerajaan serta misi mencari tahu siapa yang harus dipertanggungjawabkan atas tragedi tersebut akan dilaksanakan.

Jabatan kerajaan akan menurunkan bendera setengah tiang selama tiga hari mulai Ahad sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang terbunuh.

Tsai juga mengatakan bahawa pihak berkuasa telah memulakan siasatan mengenai punca kemalangan itu dan akan memaklumkannya kepada orang ramai secepat mungkin.

@AFP/Twitter

Pihak pentadbiran keretapi pula memberitahu bahawa semua perkhidmatan kereta api ke arah timur akan ditangguhkan sehingga kereta api yang terbabas berjaya dikeluarkan dan kerosakan pada trek dan diperbaiki.

Pegawai pengangkutan kemudian mengatakan bahawa mereka akan menyiasat jika terdapat undang-undang yang dilanggar mengenai jumlah penumpang yang ada ketika itu.

Pada tahun 2018, sebuah kereta api Puyuma Express tergelincir di wilayah Yilan timur laut Taiwan telah membunuh 18 orang dan mencederakan 170. Seramai 30 orang terbunuh dalam nahas kereta api di Taiwan pada tahun 1981.

Bayi 2 tahun duduk di kotak penghantaran, teman bapa dan ibu kerja buat ramai yang tersentuh

0

Pengorbanan ibu bapa tiada galang gantinya. Mereka adalah insan pemberian Tuhan yang sanggup bersusah payah demi membesarkan kita semua.

Seperti seorang bapa yang tular di China ini, di mana bapa mithali yang juga bekerja sebagai penghantar kurier itu turut dilihat membawa bayinya bersama ketika bertugas.

Bayi perempuannya, Li Fei’er yang berusia dua tahun itu diletakkan di dalam kotak penghantaran sementara bapanya menunggang skuter.

Elok sahaja Fei’er duduk di dalam kotak itu ketika dalam perjalanan, langsung tidak buat hal. Difahamkan Fei’er mula mengikut bapanya bekerja sejak berusia 6 bulan lagi.

Malah setiap kali bapanya, Li Yuanyuan memandang anaknya itu, Fei’er akan memberikan senyuman manis yang paling bermakna buatnya.

Bahkan melihat sahaja senyuman anaknya itu, Yuanyuan akan segera berasa segala kepenatannya hilang serta merta!

“Mengambil kira banyak sebab, maka saya terpaksa membawa anak saya bersama ketika bertugas. Ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi kami laluinya bersama”.

Kotak penghantaran yang digunakan untuk mengisi Fei’er sebenarnya dilengkapi dengan tilam, lampin dan botol susu.

Isteri Yuanyuan bekerja di pasar basah dan mereka berdua sering bergilir-gilir membawa dan menjaga Fei’er ketika bekerja.

Oleh kerana kerja Yuanyuan bermula pada waktu pagi, maka ia bermakna Fei’er turut perlu dikejut dan disiapkan untuk mengikutinya.

Selepas sahaja jam 11, Yuanyuan akan menghantar anaknya itu kepada isterinya untuk dijaga. “Saya kasihan melihatnya dalam situasi begini tetapi saya tiada pilihan”, kata Yuanyuan.

Ini kerana Fei’er didiagnos dengan penyakit pneumonia ketika berusia 5 bulan dan untuk menyelesaikan kos rawatan yang mahal, banyak wang simpanan mereka telah digunakan.

Jadi mereka berdua tiada pilihan lain selain melakukan tugas dan kerja serta menjaga Fei’er dalam waktu yang sama.

Di tempat kerja ibunya pula, Fei’er sering juga membantu tugas ibunya. Dia sering duduk di satu sudut tanpa sebarang permainan dan juga kawan.

Ekoran tertularnya kisah mereka, ramai yang tampil dan mahu menderma padanya tetapi ia ditolak oleh Yuanyuan.

“Saya sanggup usaha sendiri. Kami bukan di tahap yang memerlukan bantuan. Walaupun tinggal di bilik berkeluasan 107 kaki persegi, kami bahagia”.

Saksikan video penuhnya di sini.

Pemuda kutip 4 ‘karung emas’ sekitar tasik di Cyberjaya sempena hari lahir ke-31

0

Hari lahir semestinya merupakan hari yang bermakna buat seseorang dan itulah yang dilakukan oleh seorang pemuda ini.

Ini kerana lelaki yang bernama Najib Towy itu memutuskan untuk menyambut hari kelahirannya dengan berbakti kepada persekitaran, iaitu dengan mengutip sampah.

Najib difahamkan melakukan aktiviti itu di kawasan Tasik Utara SCV (Selangor Cyber Valley), Cyberjaya.

Menurutnya, kawasan itu menarik itu aktiviti santai di kala waktu petang, memancing, berkelah mahupun beriadah.

“Tapi mungkin disebabkan kurang pemantauan (atau ia tidak dibuka untuk orang awam), banyak sampah di kawasan sekitar yang terbiar”.

Namun dia tidak menunding jari pada sesiapa. Ini kerana tanggungjawab untuk menjaga kebersihan amat dituntut oleh agama, selain didikan yang diajar oleh ibu bapa.

Jadi pada hari lahirnya, dia mengambil inisiatif dengan membersihkan sebahagian kawasan di tasik tersebut. “Puas hati untuk hari ini, mungkin lepas ni boleh aku jadikan satu aktiviti bulanan atau mingguan”.

Ketika mengutip sampah, dia berkongsi bahawa ada sesetengah sampah yang agak pelik seperti air kencing dalam botol, sabun mandi dan lampin bayi, payung dan polisterina.

Najib turut memuji tindakan segelintir pengunjung yang mengutip sampah dan mengumpulkan ia di dalam bakul.

“Bagus, akan tetapi jangan ditinggakan bakul sampah disitu, sebab burung gagak, bangau, biawak atau anjing akan selongkar dan sampah akan berterabur semula”.

Sebenarnya inisiatif itu telah dimulakan Najib sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.

“Saya akan buat pada hujung minggu. Saya lihat tiada kerja-kerja selengara dilakukan dan juga tiada tong sampah disediakan”.

Najib turut berkongsi bahawa dia berniat untuk menjadikan aktitiviti ini sebagai aktiviti bulanannya. “Jagalah persekitaran kita. Jangan buang sampah merata-merata”, katanya.

Dia juga percaya bahawa didikan adalah kunci utama untuk menyedarkan masyarakat. Kita semua memainkan peranan penting untuk wujudkan kesedaran pada keluarga dan kenalan.

“Jagalah alam sekitar. Ia satu-satunya keindahan yang boleh dinikmati secara percuma, yang kita sering abaikan”.

Pelawat zoo rasa pelik, terperanjat lihat Golden Retriever comel dalam sangkar singa

0

Melawat zoo adalah satu aktiviti yang menyenoronokkan, terutamanya buat kanak-kanak yang sedang belajar mengenali spesies-spesies haiwan.

Tetapi tidak sangka pula sebuah zoo di China ini tular kerana haiwan di dalam sangkar tidak sama seperti deskripsi yang tertera.

Zoo yang terletak di Xichang, China itu tular selepas seorang pelawat mengesan sesuatu pada ‘penghuni’ sangkar singa Afrika.

Namun apa yang pelawat bernama Tang itu lihat bukanlah seekor singa, sebaliknya seekor anjing baka Golden Retriver!

Terpaksa menyamar jadi singa Afrika ya?

Walau bagaimanapun, setelah video yang dikongsi oleh Tang itu tular, pihak zoo menjelaskan bahawa ia adalah satu kesilapan.

Menurut laporan, seorang pekerja zoo ada memberitahu Tang bahawa singa tersebut telah dipindahkan ke lokasi lain. Papan tandanya pula tidak diturunkan.

Rupa-rupanya, anjing yang diletakkan di dalam sangkar itu sebenarnya adalah anjing belaan pemilik zoo tersebut.

Tambah Tang, dia langsung tidak dapat melihat singa di zoo terbabit. Pihak zoo juga sudah meminta maaf dan mengatakan bahawa kini sudah ada singa di zoo berkenaan.


Kanak-kanak 3 tahun tidak boleh bercakap dan jalan setelah minum ‘susu tepung’ China

0

Satu insiden melibatkan tepung susu palsu dilaporkan berlaku di Chongqing, China yang mengakibatkan kanak-kanak mengalami kerencatan pertumbuhan dan gangguan intelektual tahap kedua.

Walaupun berlaku kejadian pencemaran bekalan susu tepung kanak-kanak yang mengandungi melamin di Tanah Besar, ia kini masih lagi berlaku dan terdapat beberapa kes dilaporkan dua tahun kebelakangan ini.

Pada 29 Mac, media tempatan melaporkan anak kepada Huang dari bandar Chongqing menderita pneumonia selepas dilahirkan pada September 2017. Setelah discaj daripada hospital, doktor memberitahu bahawa anaknya perlu diberikan susu tepung dihidrolisis.

Huang kemudian membeli beberapa tin susu tepung jenis “Golden Dayang Bellecare Super Susamino Acid Formula Milk Powder” di kedai berhampiran mahupun secara dalam talian. Anaknya difahamkan sudah meminum susu itu selama lebih 20 bulan.

Sepanjang tempoh itu, perkembangan fizikal dan mentalnya sedikit terbantut. Kemudian pada Jun 2019, Huang bertindak menggantikan susu itu dengan jenama lain dan ia ternyata membawa perubahan. Berat badan anaknya kian bertambah.

Pengguna sedang meneliti dan memilih susu tepung bandar Haikou, wilayah Hainan di China/AFP

Huang mendapati pada bulan Mei 2020 bahawa formula hidrolisis yang disebutkan di atas bukanlah susu tepung, tetapi minuman pekat. Kedai dan laman web tempatnya membeli produk itu sebelum ini tidak lagi menjual ‘susu tepung’ tersebut.

Kini anaknya sudah berusia 3 tahun setengah namun masih tidak boleh berjalan dan bercakap. Situasi itu juga dikenali sebagai ‘Ketidakupayaan Intelektual Tahap 2’ oleh institusi perubatan.

Pada Julai 2020, Huang mengajukan tuntutan terhadap pengilang susu tepung dan tiga pengedarnya, menuntut ganti rugi sebanyak RMB 1.56 juta, tetapi tuntutan itu dikembalikan oleh badan pengadilan.

Malah, Huang pula disaman dalam empat kes hingga diajukan pada bulan Mac tahun ini. Perkara ini mencetuskan perbincangan hangat di kalangan netizen di aplikasi Weibo.

Mereka turut mengecam peniaga yang tidak bertanggungjawab, selain mempersoalkan penjualan produk sebegini di pasaran.

“Adakah aspek keselamatan makanan di China hanyalah cakap kosong semata? Mengapa perkara membimbangkan sebegini berlaku di China?”.

“Saya tidak faham mengapa ramai ibu bapa masih lagi berani memberikan anak mereka minum susu tepung domestik? Sedarlah”, kata pengguna Weibo.

Malah ada pengguna yang berkara bahawa dia telah banyak melihat video propaganda yang ‘mencuci minda’ agar orang ramai menyokong produk domestik.

Seorang pengguna lain berkata, “Bagaimana saya mahu sokong jika produk domestik jika ianya mengecewakan?”.

Foto hiasan/Pixabay

Pada tahun 2008, Kumpulan Sanlu, syarikat susu tepung bayi terbesar di daratan China, didapati telah menambahkan bahan kimia melamin pada bahan mentah susu tepung.

Ianya telah merosakkan sistem kumuhan bayi dan anak kecil, selain mengakibatkan kecederaan ginjal pada sekitar 300,000 orang bayi dan kanak-kanak.

Namun bekas ketua syarikat itu, Tian Wenhua yang sepatutnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas situasi itu secara diam-diam diberikan kelonggaran sebanyak 3 kali oleh pihak berkuasa.

Malah produk syarikatnya yang dicemari itu turut berada di pasaran.

Sebelum tahun 2003, bayi dan kanak-kanak di daerah Fuyang, Anhui terus mengalami bengkak pada kepala, penurunan berat badan dan demam. Mereka semua meminum susu tepung yang tidak berkualiti.

Selain itu, 12 orang bayi meninggal dunia akibat daripada susu sedemikan manakala 229 orang bayi lagi mengalami saiz kepala yang agak besar.

Situasi yang sama turut berlaku di bandar Hunan pada tahun 2019 hingga 2020, di mana susu tepung ‘Shu Er Gu’ dipromosikan oleh doktor di Hospital Kanak-kanak Chenzhou telah menyebabkan kekurangan zat makanan pada kanak-kanak.

Ketinggian, kecerdasan dan mobiliti kanak-kanak jelas ketinggalan berbanding kanak-kanak biasa, malah ia turut merosakkan organ dalaman mereka.

Dalam pada itu, di darah Yongxing, Chenzhou, ramai kanak-kanak yang didiagnosis dengan alahan pada susu. Mereka turut menderita riket, ‘eczema’ di seluruh badan, kehilangan berat badan dan saiz kepala menjadi besar selepas meminum susu tepung yang tercemar.

Manakala hospital yang mengesyorkan minuman itu pula diam seribu bahasa. Kedai yang menjual produk itu pula hanya didenda RMB 2 juta, yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.

Penasihat PKC gariskan rancangan terperinci untuk kalahkan AS, termasuk manipulasi pilihan raya

0

Seorang profesor China terkemuka, yang juga penasihat Parti Komunis China (PKC)  telah menyusun rancangan komprehensif agar rejim komunis mengambil alih Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia.

Strategi multi-serampang profesor itu melibatkan pelbagai tindakan jahat untuk menumbangkan AS sambil mengukuhkan rejim China. Ini termasuk campur tangan dalam pilihan raya AS, mengawal pasaran, menanam musuh global untuk mencabar AS, mencuri teknologi AS, memperluas wilayah China dan mempengaruhi organisasi antarabangsa.

Xi Jinping ketika bertemu dengan Presiden AS, Joe Biden di White House, Washington pada 14 Februari 2012/Getty Images

Jin Canrong, seorang profesor dan dekan bersekutu Sekolah Pengajian Antarabangsa di Universiti Renmin, Beijing menjelaskan rancangan itu semasa pidato pada Julai 2016 mengenai “Falsafah Strategik Sino-AS”.

Ucapannya itu diberikan selama dua hari penuh di Southern Club Hotel Business Class di bandar Guangzhou selatan China. “Kami ingin menjadi pemimpin dunia” kata Jin, menjelaskan keinginan pemimpin China, Xi Jinping untuk “pemulihan nasional” negara terbabit.

Digelar guru kebangsaan oleh netizen China, Jin adalah seorang sarjana terkemuka yang terkenal dengan retorik anti-AS. Dia adalah penasihat kepada beberapa organisasi PKC, termasuk dua badan berkuasa (Jabatan Organisasi dan Jabatan Kerja Bersatu) walaupun tidak jelas seberapa rapatnya dia dengan Xi.

Jin juga merupakan profesor pelawat di Gerald Ford School of Public Policy di University of Michigan, pada tahun 2003 dan 2007.

Program ‘How Xi Jinping Led China’s COVID-19 Battle’ yang disiarkan di kaca televisyen di London pada 4 Februari 2021/Getty Images

Melemahkan Amerika Syarikat

Strategi menjatuhkan Amerika Syarikat mempunyai dua komponen yang menyeluruh : melemahkan Amerika melalui sumber dalaman dan asing. Keduanya, memperkukuhkan kekuatan ekonomi, ketenteraan dan diplomatik rejim China.

Dengan menggunakan metafora syarikat untuk menggambarkan dinamik AS-China, Jin menyamakan AS dengan presiden syarikat dan China dengan naib presiden yang mahukan jawatan tertinggi.

“Amerika Syarikat adalah lelaki pertengahan umur yang tampan, mempunyai kemampuan yang kuat dan menerima sokongan kebanyakan pekerja”, katanya.

“(Untuk menggantinya), pertama sekali kita perlu membuat syarat untuk memudahkan AS melakukan kesalahan. Kedua, kita harus menjadikannya sesibuk mungkin (menangani masalah), sehingga akan merasa tertekan dan ingin menyerah. Ketiga, kita harus menjalin hubungan dengan AS, sehingga mereka tidak dapat menyerang kita”.

Jin mengatakan PKC sedang memikirkan banyak cara untuk melemahkan Amerika Syarikat, yang disifatkannya sebagai tugas yang sangat sukar. Dia turut menawarkan empat taktik praktikal.

Memanipulasi Pilihan Raya

Jin mencadangkan agar PKC campur tangan dalam pilihan raya AS untuk membolehkan calon pro-Beijing berkuasa. Dia memilih pemilihan kerusi di Dewan Perwakilan sebagai sasaran yang mudah.

“Pemerintah China ingin mengatur pelaburan China di setiap daerah kongres untuk mengawal ribuan pengundi di setiap daerah”, kata Jin.

Dia menyatakan bahawa dengan jumlah penduduk AS sekitar 312 juta di 435 daerah kongres pada masa itu, terdapat kira-kira 750,000 penduduk yang tinggal di setiap daerah.

“Kadar undian di AS adalah sekitar 30%, yang bermaksud sekitar 200,000 penduduk di setiap daerah kongres memilih perwakilan di daerah itu”, kata Jin.

“Biasanya, perbezaan undian antara dua calon adalah 10,000 atau kurang. Sekiranya China mempunyai ribuan undi, maka China akan menjadi bos calon”. Jin mengatakan bahawa cita-cita China adalah untuk mengawal sekurang-kurangnya Dewan Perwakilan AS.

“Senario terbaik ialah China dapat membeli AS dan mengubah Dewan Perwakilan menjadi Jawatankuasa Tetap kedua Kongres Rakyat Nasional”, katanya, merujuk kepada jawatankuasa yang mengawasi badan perundangan cap PKC.

Mengawal pasaran AS

Sebuah kapal kontena berlabuh di pelabuhan di Qingdao, wilayah Shandong, China pada 17 Mei 2019/AFP

Meningkatkan pelaburan China di Amerika Syarikat adalah cara lain untuk memberi pengaruh dalam sistem politik negara itu, kata Jin, sambil menyatakan bahawa taktik ini mempunyai manfaat tambahan untuk memperkaya pengusaha China dan PKC.

“Peluang pelaburan di Amerika Syarikat secara relatifnya adalah baik. Pasaran AS terbuka berbanding pasaran Jepun dan Eropah”, katanya. Dia menambah bahawa kekuatan pasaran termasuk ukuran, ketelusan, dan kestabilannya.

Dia mengatakan bahawa rejim China mahu peniaga China menguasai pasaran AS dan mengembangkan perniagaan mereka di negara itu.

Untuk mencapai tujuan ini, rejim China cuba berunding dengan Washington untuk Perjanjian Pelaburan Dua Hala AS-China (BIT). Perjanjian itu dirundingkan secara aktif selama satu dekad sebelum 2017, tetapi tidak termasuk dalam agenda pemerintahan Trump.

Beberapa syarikat AS ingin memasuki pasaran China, sementara Majlis Perniagaan AS-China telah menganjurkan untuk menandatangani BIT.

Memupuk musuh AS

Peluru berpandu balistik antara benua dilancarkan oleh kapal selam nuklear Vladimir Monomakh daripada tentera laut Rusia dari Laut Okhotsk, Rusia pada 12 Disember 2020/AP

Jin mengatakan “tugas strategik” PKC adalah untuk memastikan AS tidak mempunyai kurang daripada empat musuh. Itulah yang diperlukan untuk meregangkan sumber AS sambil mengganggu kerajaan dalam perbahasan domestik mengenai ancaman mana yang harus diutamakan”, kata Jin.

Sebagai contoh, sebelum Perang Dunia II, Amerika Syarikat mempunyai dua musuh, Jerman Nazi dan Kesatuan Soviet.

“Orang Amerika berdebat berulang kali mengenai pihak mana sebenarnya ancaman mereka. Jika mereka mempunyai empat musuh, ia akan membuat mereka hilang arah”.

Menganalisis keadaan pada tahun 2016, Jin menyimpulkan bahawa AS hanya mempunyai tiga musuh : Pengganas, Rusia dan pastinya, AS menganggap kami (China) sebagai pesaing. Ia tidak mencukupi”.

Profesor itu mengatakan bahawa dalam beberapa tahun terakhir, PKC telah berusaha menjadikan Brazil sebagai musuh AS, tetapi tidak berjaya kerana Brazil ‘tidak mahu ditambah baik’.

Dia mengatakan PKC melabur banyak di Brazil dalam usaha mendapatkan sokongan terhadap isu-isu global, termasuk mengambil sikap menentang AS. Xi juga telah mengunjungi Brazil pada tahun 2014 dan bersetuju untuk melabur dalam infrastruktur di wilayah barat negara itu, serta kereta api untuk menghubungkan pelabuhan di Brazil dan Peru.

Jin mengatakan bahawa rejim China telah menyerah pada pendekatan ini dan berusaha mencari calon baru untuk berkembang menjadi musuh AS.

Mencetuskan masalah antarabangsa kepada AS

Jin mengatakan bahawa rejim China mempunyai kelebihan strategik, kerana peranan AS sebagai penguat kuasa global. Setiap kali ada krisis di dunia, AS wajib campur tangan untuk menjaga kestabilan global, yang menyebabkan aliran keluar sumber daya AS dan mengalihkan perhatian daripada China.

Sebagai contoh, dia menyebut perang Afghanistan dan Iraq, yang digambarkannya sebagai usaha tidak bernilai yang merugikan AS sebanyak “$6 trilion dan mengorbankan 10,000 nyawa tentera”.

Hasilnya ialah AS “membuang masa selama 10 tahun” tanpa mengetahui perkembangan China dan “membiarkan China berkembang besar”.

Taktik lain yang mungkin adalah menjual bon PKC AS yang dipegang oleh PKC untuk memicu krisis hutang. Menurut Perbendaharaan AS, China pada masa ini menyimpan hampir $1.1 trilion dalam sekuriti Perbendaharaan AS.

Akhir sekali, terlibat dalam perundingan yang disusun adalah strategi yang berkesan untuk menjatuhkan AS sambil memberi masa kepada rejim China untuk fokus mengembangkannya sendiri, menurut Jin.

Semasa rundingan tersebut, AS tidak akan mengambil tindakan hukuman terhadap PKC seperti sekatan dan sebaliknya, menumpukan tenaganya untuk menyiapkan dan menjalankan perbincangan.

Sementara itu, rejim China yang tidak berniat untuk berunding dengan niat yang baik, menggunakan ruang yang diberikan kepadanya selama rundingan untuk mengukuhkan kekuatannya di dalam dan di luar China.

Bekas timbalan penasihat keselamatan negara, Matthew Pottinger pada Februari memberi amaran mengenai “perangkap rundingan” PKC. Dia mengatakan dialog formal berturut-turut antara kedua-dua pihak yang sudah dijalankan bertahun-tahun, seperti “Dialog Ekonomi Strategik” memungkinkan rejim untuk ‘menarik waktu’ dan meneruskan serangan ekonominya pada AS tanpa hukuman.

Memperkukuhkan rejim China

Pesawat jet penumpang besar pertama China, C919 yang dibangunkan sendiri, dilancarkan di Shanghai Aircraft Manufacturing Co. di Shanghai pada 2 November 2015/Getty Images

Jin mengatakan bahawa rejim China sangat bergantung pada perdagangan dan pelaburan AS untuk memacu perkembangan ekonominya sejak empat dekad yang lalu. Dia mengetengahkan empat pendekatan untuk memperluas kekuatan ekonomi dan politik PKC di dalam dan luar negara.

Mencuri teknologi AS

Profesor itu mengakui bahawa PKC bergantung pada teknologi AS yang dicuri untuk mendorong pertumbuhannya.

“Industri China mempunyai output yang besar tetapi tidak memiliki teknologi tertentu. Dalam 30 tahun terakhir, kami membeli teknologi, 46% daripadanya berasal dari Jerman. Tetapi AS  mempunyai teknologi terbaik, namun ia tidak dijual kepada kami.

“Orang Amerika berpendapat bahawa penggodam China mencuri banyak barang mereka. Ini mungkin benar”. Kata Jin, teknologi utama untuk jet tempur J-20 China dan peluru berpandu balistik antarabenua DF-41 dicuri dari AS.

Rejim ini juga ingin memanfaatkan teknologi ruang angkasa AS.

Pada bulan Jun 2016, roket Long March 7 China telah menghantar satelit pembersihan serpihan orbit Aolong-1 ke angkasa lepas. Beijing mendakwa bahawa Aolong-1 hanya membawa serpihan angkasa ke bumi, tetapi Jin mencadangkan satelit itu mempunyai misi lain.

“AS mengatakan bahawa Aolong-1 mengumpulkan satelit Amerika [dari angkasa] dan membawa mereka kembali ke China. Kami dapat membongkar satelit AS dan memasangnya kembali ke satelit China”.

Memperluas wilayah rejim

Jin yakin rejim China akan menduduki seluruh Laut China Selatan dan Taiwan dalam masa terdekat.

PKC mengaku hampir seluruh Laut China Selatan, walaupun keputusan 2016 oleh mahkamah antarabangsa mendapati bahawa tuntutan wilayahnya tidak sah. Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei, dan Taiwan mempunyai tuntutan bersaing di rantau ini. Berada di kawasan perikanan yang kaya dan sumber daya semula jadi yang berpotensi berharga, Laut China Selatan juga merupakan salah satu laluan perkapalan utama di dunia.

Salah satu pulau buatan manusia di Laut China Selatan pada 21 Mei 2015/Reuters

Beijing telah berusaha untuk meningkatkan tuntutannya di jalan air yang strategik dengan membina pulau-pulau buatan di kawasan itu dan membangun pos tentera di atasnya.

“Dalam satu setengah tahun [pada tahun 2013 dan 2014, di bawah pemerintahan Xi], China telah mengerjakan lebih dari 3,200 ekar wilayah. Empat negeri lain yang menuntut hanya menghasilkan 100 ekar dalam 45 tahun”, kata Jin.

Dia meramalkan bahawa PKC akan terus mencipta lebih banyak ciri di Laut China Selatan. Dia turut menyebut mengenai kejayaan rejim merebut Scarborough Shoal dari Filipina pada tahun 2012 dengan bantuan kapal nelayan China dan kapal pengawal pantai.

“Walaupun Filipina mahu AS mengambil alih terumbu karang di Laut China Selatan, AS tidak dapat menjaga mereka. Sekiranya AS menempatkan kapal induk di sana, China hanya dapat mengirim 2,000 kapal nelayan dan mengelilingi kapal induk itu. Pengangkut tidak berani menembak kapal nelayan”.

Berkaitan dengan Taiwan, PKC mempunyai lebih banyak cara untuk mengendalikan pulau demokratik, kata Jin. Rejim memandang pulau yang diperintah sendiri sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan telah berjanji untuk menjadikan Taiwan di bawah pengaruhnya dengan kekerasan jika perlu.

Sebagai contoh, rejim dapat menyuap ahli politik Taiwan, melarang perdagangan dan pelancongan dari China, meyakinkan beberapa negara yang masih mengakui Taiwan secara diplomatik untuk beralih ke China, menyekat penyertaan Taiwan dalam organisasi dan perjumpaan antarabangsa serta membunuh beberapa orang Taiwan untuk menimbulkan rasa takut antara penduduk.

Membina pengaruh global dengan projek unggul

Strategi global Xi untuk meningkatkan kekuatan global rejim memiliki dua tonggak, iaitu Inisiatif Belt and Road (BRI) dan Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP).

BRI, juga dikenal sebagai One Belt, One Road, adalah strategi pelaburan global besar-besaran yang dimulakan oleh PKC pada tahun 2013 bertujuan untuk meningkatkan pengaruh ekonomi dan politiknya di seluruh Asia, Eropah, Afrika dan Amerika Selatan.

Projek ini melibatkan pelaburan dalam projek infrastruktur dan sumber semula jadi di negara-negara di seluruh dunia. Ia dikritik oleh AS dan negara-negara lain sebagai contoh diplomasi ‘perangkap hutang’ kerana ia membebankan negara-negara membangun dengan beban hutang yang tidak berlanjutan sambil membiarkan rejim mengeksport teknologi dan pemerintahannya ke luar negara.

Tujuan utama BRI adalah untuk bekerjasama dengan kekuatan industri Jerman. Kemudian, tidak ada kedudukan AS dalam bidang perindustrian dunia. Untuk FTAAP pula, ia melibatkan cadangan perdagangan bebas antara 21 buah negara Asia-Pasifik, juga akan membuka saluran pengaruh bagi PKC di rantau ini.

Profesor itu juga percaya bahawa negara-negara yang menerima pinjaman dari Bank Pembangunan Baru yang disokong oleh China dan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia kemudiannya akan diperhatikan oleh rejim, kata Jin.

“Kami menjalin hubungan dengan rakan kami di dunia. Kami akan lebih berkuasa dan lebih banyak rakan daripada AS. Kemudian, kita dapat memberitahu AS bahawa kita adalah satu-satunya wakil dunia”.

Mempengaruhi organisasi antarabangsa

Jin juga menjelaskan rancangan PKC untuk memberikan pengaruh yang lebih besar ke atas badan-badan global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Perdagangan Dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Interpol, Dana Kewangan Antarabangsa, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, dan Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

Matlamat rejim China adalah untuk “semua organisasi antarabangsa ini dikendalikan oleh China.”

“Kita dapat melantik seseorang yang berbahasa Cina (dan yang mewakili China) untuk menjadi pemimpinnya”, kata Jin.

Qu Dongyu, calon China untuk mengetuai Organisasi Makanan dan Pertanian, berucap kepada anggota dan perwakilan FAO semasa peretemuan untuk pemilihan ketua pengarah di Rom pada 22 Jun 2019/AFP

Semasa berucap, Jin menekankan bahawa Xi tidak seperti pemimpin sebelumnya dalam mengejar cita-citanya. Pemimpin PKC sebelumnya, seperti Deng Xiaoping, Jiang Zemin, dan Hu Jintao, bekerja keras untuk mengembangkan kekuasaan rejim tetapi tidak berani menggunakannya.

Kata Jin, tidak kira berapa banyak kekuatan yang anda miliki, tidak berguna jika anda tidak berani menggunakannya. Ketua Xi berani menggunakannya. Pihak berkuasa memiliki kekuatan, berani menggunakan kekuatan itu dan semua serangannya membuat pihak lain ‘berdarah’.

Cita-cita Xi bagaimanapun, tidak dapat didedahkan kepada dunia luar, kata profesor itu.

Ketika Xi mengambil alih kekuasaan pada tahun 2012, dia mendesak negara itu untuk merealisasikan ‘Impian China’, bermaksud menjadi negara kaya pada tahun 2021 dan negara sosialis yang kuat, demokratik, beradab, harmoni dan moden pada tahun 2049.

Jin mengatakan bahawa sasaran Xi sebenarnya adalah untuk menggantikan Amerika Syarikat sebagai satu-satunya kuasa besar dunia pada tahun 2049.

“Kementerian Luar Negeri China terus mengatakan pada taklimat media bahawa China mencintai keamanan. Tetapi tidak ada wartawan pada taklimat media yang mempercayai hal ini”, kata Jin.

Demi lindungi keluarga tuan, anjing Husky mati setelah bertarung dengan ular tedung

0

Pilu mengenangkan nasib seekor anjing baka Husky yang bertarung melindungi keluarga pemiliknya di Taiping daripada serangan ular tedung baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku pada jam 11 pagi 20 Mac lalu menyaksikan seekor ular tedung sepanjang 4 meter melingkar lalu memasuki rumah Yap.

Saat itu, anjing belaan Yap yang bernama Dai Bao menyedari kejadian tersebut dan lantas menyerang ular berkenaan.

Ekoran pergelutan antara kedua-duanya, Dai Bao berhasil mencederakan ular tersebut namun dirinya turut cedera digigit ular.

“Pada masa itu, hanya ibu dan anak saya berada di rumah. Anak saya terdengar salakan Dai Bao dan segera keluar melihat apa yang berlaku”.

Menurut Yap, anak perempuannya itu terkejut tatkala melihat anjing mereka sedang menggigit ular dan menggerak-gerakkan tubuhnya.

Dai Bao kemudian melepaskan gigitannya, menyebabkan ular tedung tersebut jatuh ke lantai. Anjing tersebut juga kelihatan mengah.

Hidung Dai Bao dilihat berdarah pada ketika itu, malah matanya juga bengkak. Kata Yap, anjing miliknya itu jelas digigit ular.

Ibu Yap kemudian bergegas meminta bantuan saudara mara yang tinggal berdekatan dan bersama-sama mereka berjaya membunuh ular berkenaan.

“Selepas menerima panggilan daripada ibu, saya bergegas pulang ke rumah untuk membawa Dai Bao ke klinik veterinar”.

Namun doktor menasihati mereka sekeluarga untuk bersedia secara mental kerana tiada ‘anti-venom’ untuk haiwan di Malaysia.

Anjing itu sendiri perlu kuat dan terus bertahan. Walaupun telah menerima suntikan dan di masukkan air ke dalam tubuhnya, Dai Bao akhirnya mati.

menceritakan kenangan bersama anjing itu, Yap mengatakan bahawa Dai Bao diambil olehnya di jalanan pada 19 Julai 2019 untuk dibela.

“Kamu tinggal bersama kami kurang daripada dua tahun dan kini kamu tinggalkan kami selamanya”, ujar Yap sebak.

“Rakan saya kata, Dai Bao mahu membalas budi kerana kami mengambilnya untuk dibela dahulu. Tetapi kami tidak mahukan balasan. Kami hanya mahu Dai Bao menemani kami hinga kami tua kelak”, tambah Yap.

Tubuh Dai Bao kemudiannya ditanam di bawah pokok besar bersebelahan rumah Yap, di mana ia merupakan lokasi kegemaran Dai Bao untuk bermain.



Hasil kerja keras tamatkan pengajian dengan kepujian kelas pertama, bekas pelajar ini bersyukur dapat pengecualian pembayaran balik PTPTN

0

Tiada berita yang lebih menggembirakan apabila seorang pelajar cemerlang yang meminjam PTPTN disahkan mendapat pengecualian pembayaran balik pinjaman pendidikan itu dan tidak lagi terikat dengan hutang pembiayaan pelajaran yang bertempoh 15 tahun.

Bekas pelajar Universiti UCSI, Chai Wen Wen meluahkan rasa gembira sehingga hampir tidak dapat mempercayainya ketika menerima surat kelulusan pengecualian pembayaran balik pinjaman pendidikan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ia lebih membahagiakan daripada mendapat tiket penerbangan kelas pertama. Lagipun, ini adalah hasil kerja keras saya sendiri. Saya mengaku saya bukan pelajar yang rajin membaca,” luah Wen Wen di Facebook.

Facebook

“Saya tidak mahu mempunyai banyak hutang sebaik sahaja saya menamatkan pengajian. Jadi saya telah bekerja keras untuk mendapatkan kepujian kelas pertama sehingga tamat pengajian. Tujuan saya sangat jelas, iaitu untuk lulus sarjana muda dengan kepujian kelas pertama,” kata graduan jurusan Sains Seni Bina ini.

Untuk pengetahuan semua pelajar yang ingin membuat permohonan mendapatkan pengecualian pembayaran balik pinjaman PTPTN, tertakluk anda adalah seorang graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian sarjana muda dengan kepujian kelas pertama.

Apa yang perlu dilakukan bagi mereka yang automatik telah layak memohon ialah membuat permohonan tersebut dalam tempoh sah setahun selepas hari graduasi. 

Ikuti langkah berikut :

Periksa dahulu berapa banyak wang pinjaman pendidikan PTPTN yang anda perlu bayar.

Log masuk laman web rasmi PTPTN, dan pilih penyata baki.

Anda juga boleh melihat kembali kontrak yang telah ditandatangani.

Kontrak Wen Wen pada mulanya adalah RM283.50 sebulan sehingga tempoh 15 tahun.

Selepas mendapat kelulusan pengecualian pembayaran balik, maka Wen Wen tidak perlu membayar apa-apa kerana pinjaman kini berubah menjadi biasiswa.

Facebook

Cara memohon:

Dapatkan borang permohonan pengecualian bayaran balik, isi dan hantar sekali dengan segala dokumen yang diminta, penting dokumen yang disertakan dengan salinan yang telah disahkan. Rujuk borang bagi pihak-pihak yang boleh mengesahkan ‘certified true copy’ dokumen berikut:

1.Salinan Transkrip Peperiksaan.

2.Salinan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama. Pastikan perkataan KELAS PERTAMA dicatatkan pada Ijazah dan/atau Surat Pengesahan Kelas Pertama daripada Bahagian Akademik IPT jika tidak tercatat perkataan KELAS PERTAMA pada IJAZAH.

3.Salinan Sijil Perakuan Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) jika penerima pembiayaan itu adalah penuntut di IPTS.

Di sini Wen Wen membuat permohonan berkenaan secara dalam talian dan memuat naik segala dokumen diperlukan yang telah mendapat pengesahan oleh pengetua di sekolah lamanya. Pastikan fail yang diimbas dalam bentuk warna yang amat jelas dan PDF tidak melebihi 500MB. Namun proses ini agak memakan masa.

Untuk mempercepatkan proses permohonan, anda si pemegang ijazah kepujian kelas pertama boleh terus secara sendiri menghantar borang permohonan bersama kesemua dokumen yang lengkap disahkan ke Menara PTPTN jika anda berada di Kuala Lumpur dan Selangor. Bagi negeri lain, sila hantar ke cawangan PTPTN negeri di kawasan masing-masing.

Facebook

Kakitangan PTPTN yang sentiasa baik hati dan sedia membantu akan memaklumkan ketika anda menghantar borang permohonan yang lengkap, biasanya proses mendapatkan surat kelulusan PTPTN adalah dalam masa 90 hari, tetapi proses menyemak dokumen yang biasa dan pemberitahuan keputusan hanya akan mengambil masa 14 hari.

Dalam masa 30 hari anda akan menerima surat kelulusan pengecualian pembayaran balik pinjaman pendidikan dari PTPTN jika permohonan telah berjaya.

Jadi, tahniah Wen Wen kerana hasil usaha keras anda yang amat berbaloi!

Imaginasi masa depan hasil lukisan generasi zaman dahulu kelihatan agak menyimpang daripada realiti, namun ada yang sangat tepat tanpa dijangka

0

Tidak dinafikan kebanyakan orang di setiap zaman pasti tergerak di dalam hati dan fikiran untuk membayangkan bagaimana rupa dunia pada masa hadapan. Ciptaan ‘Masa Depan’ kadangkala seperti cerita sains fiksyen, di mana segala keperluan dan keadaan semasa akan menjadi kenyataan, pencetus pertama yang mengubah cara hidup masyarakat zaman itu dan masa depan buat selama-lamanya. Seperti penemuan telefon dan telefon pintar tidak lama dahulu, tetapi hari ini, ia telah menjadi rutin dan keperluan harian yang sangat diperlukan.

Dan bagaimana orang di masa lalu melihat ‘masa kita’ pada hari ini? Mari kita lihat ‘khayalan masa depan’ pada zaman dahulu. Sebahagiannya benar-benar menyimpang daripada kenyataan, namun tanpa disedari ada yang benar-benar tepat. Terdapat banyak penemuan di sini. Sudah tentu nampaknya kita rasa tidak masuk akal sekarang, tetapi khayalan ini didasarkan oleh penyatuan teknologi paling maju pada masa itu, jadi jangan berfikir bahawa orang zaman itu agak naif dan bodoh, kerana perbezaan itu adalah hanya pada zaman. Namun konsepnya sama.

#1 ‘Penghantaran makanan’ yang dibayangkan pada tahun 1940-an

Melihat gambar ini sekarang akan terasa sedikit lucu, tetapi fikirkan dengan teliti, perkhidmatan penghantaran seperti ini lebih maju daripada gambaran semasa kita. Semasa memesan makanan secara dalam talian, trak makanan akan terus menuju ke pintu rumah anda. Cef memasak makanan itu dan memasukkannya ke dalam kotak makanan yang cantik dan menghantarnya ke pintu rumah anda. Apabila anda menerimanya, makanan itu masih panas!

Walaupun pendekatan ini nampaknya sangat tidak cekap, ada perasaan memberontak dan tidak puas hati di kalangan masyarakat kapitalis pada zaman itu, namun konsepnya adalah perkara biasa pada zaman ini.

#2. Masyarakat tahun 1900-an membayangkan kehidupan generasi tahun 2000-an. Belon yang membantu orang berjalan di atas air

Sama ada lelaki atau wanita, kereta kuda atau kuda, asalkan anda mengikat belon yang besar ini, anda boleh berjalan bebas di atas air. Peranti yang kelihatan sangat baru pada pandangan pertama dan sangat mengarut pada zaman itu dan juga zaman ini.

Jika rekaan ini benar-benar wujud, semua orang pasti ingin mencubanya. Cuma permukaan tanah itu bukankah begitu luas, mengapa anda perlu mengapungkan diri di atas air?

#3. Baca tajuk utama akhbar di kaca televisyen

Dari perspektif generasi moden terkini, rekaan ini sudah tentu sangat lucu, tetapi dari perspektif ‘menerima pengetahuan dan informasi berita dari skrin televisyen’, gambar ini sebenarnya sangat mirip dengan konsep menonton berita di telefon bimbit anda sekarang.

Generasi masa lalu sudah membayangkan tetapi tidak pula menyangka dengan kejutan bahawa pada masa kini, anda bukan sahaja dapat membaca tajuk utama surat khabar pagi di skrin kecil, tetapi anda juga dengan pantas menerima pelbagai maklumat dalam masa beberapa saat. Konsep dari masa lalu dan masa kini yang sama, bukan?

#4. Pengangkutan pada tahun 2022: Kabin Kaca Peribadi

Gambar ini adalah imaginasi Walter Molino pada tahun 1962. Gambar ini secara khayalannya digambarkan berlaku pada tahun 2022. Pakaian orang-orang dalam gambar yang popular pada zaman itu, tetapi alat pengangkutannya sangat baru, pelik dan agak mewah. Sekiranya pandemik COVID-19 terus merebak tidak kebah, adakah senario ini mungkin akan berlaku?

#5. Pesawat masa depan yang dibayangkan pada tahun 1970-an

Ramai orang tidak suka menaiki pesawat kerana ia sempit dan tidak selesa, tetapi bagaimana jika pesawat itu sendiri adalah kelab udara? Anda tidak perlu bersesak-sesak selama berjam-jam di tempat duduk kecil, tetapi anda boleh berehat di kolam renang dan bebas bergerak. Mungkin pusat membeli-belah pun ada di dalam pesawat, yang akan membuat semua orang gembira pergi membeli-belah di udara. Percutian telah pun bermula sebaik sahaja anda menaiki pesawat!

Tetapi jika pesawat jenis ini bergelut dengan ribut udara dan masalah enjin, apa pula yang akan berlaku? Tidak takutkah?

#6. Orang Amerika pada tahun 1914, membayangkan fesyen tahun 1950-an

Bolehkah anda bayangkan bagaimana fesyen itu akan kelihatan dalam masa 50 tahun? Gambar ini diterbitkan dalam majalah Life pada tahun 1914. Dibayangkan orang-orang pada masa hadapan di tahun 1950-an telah melihat fesyen tahun 1914 yang begini dan berkata, “Bukankah mereka sangat lucu?” 

Sudah tentu, fesyen pada tahun 1950-an sama sekali masih konservatif dan tidak terdedah serta tidak masuk akal seperti pakaian orang Rom kuno dalam gambar seperti itu, tetapi sangat sukar untuk memahami trend fesyen dan ramalan trend fesyen antarabangsa pada masa hadapan. Kerana dengan peredaran zaman kini, ramai orang sudah terdedah seperti itu. Kita hari ini boleh katakan mereka ini tidaklah begitu mengarut dan lucu.

#7. Masyarakat tahun 1908 membayangkan bandar masa depan

Bayangan bandar-bandar masa depan, dengan penduduk yang padat dan tanah yang tidak mencukupi, dapatkah mereka turun naik dengan pantas?

Gambar ini adalah gambaran bandar masa depan yang dibayangkan oleh orang yang hidup pada tahun 1908. Ia seperti bayangan imaginasi pereka bangunan dan bandar yang tidak masuk akal. Adakah boleh manusia benar-benar boleh tinggal di bandar seperti itu pada suatu hari nanti?

#8. Imaginasi konsep ‘membeli-belah dari rumah’ pada tahun 1940-an

Gambar ini membayangkan konsep ‘membeli-belah dari rumah’ pada tahun 1940-an, dan sejujurnya, ia hampir sama dengan keadaan kita sekarang. Walaupun cara membeli-belah dalam talian sekarang amat mudah, dan terdapat banyak perkhidmatan mewah seperti penghantaran dalam masa setengah hari, saluran membeli-belah menerusi televisyen masih memenuhi sudut budaya pengguna.

#9. Sukan Olimpik 2020

Hari ini pada tahun 2021, Sukan Olimpik terkesan dengan pandemik COVID-19. Tidak diketahui sama ada Sukan Olimpik kali dapat diadakan dengan kejayaan atau tidak, tetapi orang zaman dahulu nampaknya menaruh kepercayaan bahawa Sukan Olimpik moden kita amat berjaya menerusi imaginasi mereka.

Gambar ini menunjukkan bahawa perjalanan luar biasa ke angkasa seperti sudah biasa dilakukan. Para atlet dihantar ke bulan dengan roket untuk menyertai Sukan Olimpik dan memenangi pingat meraih kejayaan untuk negaranya dengan bangga.

#10. Generasi muda tahun 1930-an membayangkan komunikasi masa depan

Lukisan ini digambarkan oleh seorang pengarang yang hidup pada tahun 1930-an, yang membayangkan cara komunikasi masa depan. Orang memakai fon kepala dan memegang skrin berbentuk cermin bujur untuk bercakap dengan orang lain yang berada jauh di tempat lain.

Berbanding zaman moden terkini, imaginasi ini secara tiba-tiba menjadi sangat tepat. Walaupun rekaan dan peranti yang digambarkan oleh orang dalam lukisan berkenaan tidak sama dengan telefon pintar kita sekarang, tetapi konsep keseluruhannya adalah sangat serupa secara ajaibnya.

Kucing nakal terperangkap di tingkat 13 kondominium diselamatkan abang bomba

0

Jika anda memelihara haiwan di rumah, anda pasti tidak mampu kekal marah kepada haiwan tersayang meskipun haiwan tersebut telah melakukan sesuatu yang cukup membimbangkan dan menyakitkan hati.

Inilah yang terjadi kepada seorang wanita apabila dia terpaksa menghubungi pasukan bomba dan penyelamat setelah menyedari salah seekor kucingnya sedang ‘berehat’ di luar balkoni yang setinggi 13 tingkat!

Menurut wanita yang dikenali sebagai Syahirah ini, insiden itu berlaku di kondominium yang terletak di Bukit Jalil. Pada hari kejadian, Syahirah telah meminta pekerja pembersihan untuk membersihkan rumahnya.

Dia telah membenarkan pekerja itu masuk ke rumah sekitar jam 8 pagi sementara dia masuk ke bilik tidurnya.

Facebook

Sekitar jam 11.30 pagi, Syahirah terjaga dari tidur dan menyedari salah seekor kucing peliharaannya tidak berada di rumah. Sebaik sahaja dia mengajukan persoalan tersebut kepada pekerja berkenaan, wanita itu menunjukkan arah luar tingkap dan alangkah terkejutnya dia apabila melihat kucingnya itu sedang berada di kawasan yang sangat sempit dan tinggi!

Facebook

Sekitar jam 12 tengahari, Syahirah terus membuat panggilan kecemasan dan dalam tempoh 20 minit, seramai lima anggota bomba telah tiba ke rumahnya untuk melancarkan misi penyelamatan. Syahirah turut menyatakan bahawa pegawai-pegawai bomba berkenaan sempat membuat jenaka bagi menenangkan dirinya.

Facebook

Mereka kemudian meneruskan misi dengan mengikat tali pada tiang sebelum memanjat keluar dari tingkap bilik tidur Syahirah. Nasib baik kucing ini kekal tenang dan membiarkan dirinya diselamatkan oleh abang-abang bomba berkenaan.

“Mereka tahu bagaimana nak tenangkan saya dan sangat tangkas dalam menyelamatkan kucing saya. Selepas diselamatkan, saya terus membebel pada kucing saya selama beberapa minit sebelum memeluk dan menciumnya. Selepas itu kami tidur bersama-sama”.

Facebook

Jelas Syahirah lagi, ini merupakan kejadian kali kedua yang berlaku kepadanya. Oleh demikian, dia berjanji akan lebih berhati-hati dan sentiasa peka terhadap keberadaan kucing-kucing kesayangannya serta memastikan tingkap sentiasa ditutup.