26.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 23, 2024
UtamaBerita UtamaIbu bapa Zayn Rayyan direman tujuh hari bagi membantu siasatan polis

Ibu bapa Zayn Rayyan direman tujuh hari bagi membantu siasatan polis

PETALING JAYA: Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 tahun, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai pada Disember tahun lalu direman selama tujuh hari, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Jun 2024.

Majistret, Majistret Ainaa Muhammad Kamal mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan suami isteri itu akan direman bermula 1 Jun sehingga 8 Jun.

@bharianmy/X

Sebelum ini, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada jam 8.50 pagi untuk direman.

Sementara itu, peguam mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, Mahmud Abdul Jumaat, berkata kepada media bahawa tangkapan dan reman tujuh hari ke atas ibu bapa kanak-kanak autisme itu adalah berdasarkan perkembangan terbaharu yang diperoleh dalam siasatan polis berhubung kes.

Beliau berkata, kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) direman tujuh hari bermula hingga 8 Jun ini bagi siasatan polis yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Menurutnya, reman tujuh hari yang dibenarkan oleh Majistret Ainaa bagi membolehkan kedua-dua OYDS untuk membantu siasatan polis dengan lebih lanjut.

“Ada perkembangan terbaharu dari segi rekod percakapan OYDS sebelum ini dan termasuk juga ada beberapa perkembangan terbaharu hasil siasatan pihak polis yang telah ditemui.

“Buat masa ini, kita tidak boleh buat sebarang spekulasi. Saya memohon semua pihak untuk bersabar dan mendoakan agar keluarga ini kuat untuk menerima ujian ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding reman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Tambah beliau, kes ini masih dalam tempoh reman dan ia bertujuan untuk memberi masa bagi pihak polis untuk melengkapkan siasatan.

“Sekiranya siasatan tamat, kes berkenaan akan dihantar kepada pihak pendakwa raya dan pada saat itu, suspek utama akan diketahui,” katanya.

Mengenai kemungkinan bukti baharu diperoleh polis atau rekod percakapan mereka sebelum ini yang bercanggah, Mahmud berkata, dua faktor itu mungkin menyumbang kepada penahanan terbabit.

Ketika ditanya mengenai keadaan OYDS, Mahmud berkata kedua-duanya masih dalam keadaan terkejut dan semua pihak tahu kedua-dua mereka adalah ibu bapa Zayn Rayyan.

“Sudah tentu sangat terkejut, OYDS adalah ibu bapa kepada mangsa dan ini adalah satu perkara yang tidak dijangkakan.

“Saya sendiri pun agak terkejut, saya percaya satu Malaysia terkejut mengenai perkara ini. Oleh yang demikian saya memohon semua pihak mendoakan agar keluarga kuat untuk menerima perkhabaran ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin permohonan reman ke atas ibu bapa Zayn Rayyan oleh pihak polis hari ini adalah bertujuan untuk melengkapkan siasatan mereka.

“Kita akan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan telus dan terperinci demi keadilan.

“Sekiranya pihak polis dalam tempoh tujuh hari ini tidak dapat melengkapkan siasatan, mereka boleh memohon untuk permohonan reman kali kedua,” katanya.

Pasangan suami isteri berusia 28 tahun terbabit ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di kediaman keluarganya di Puncak Alam pada jam 11.00 pagi, Jumaat, 31 Mei.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan pasangan suami isteri terbabit.

@staronline/X

“Dua suspek berkenaan direman seminggu untuk siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang termasuk melibatkan motif pembunuhan mangsa.

“Sebab tangkapan dijalankan adalah berpandukan risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang.

“Butiran dan maklumat lanjut berkaitan siasatan masih belum dapat didedahkan setakat ini, sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak autisme itu yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI