27 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 27, 2024
UtamaGaya HidupKasih sayang tidak mengenal bangsa, lelaki mulia ambil alih tanggungjawab menjaga tiga...

Kasih sayang tidak mengenal bangsa, lelaki mulia ambil alih tanggungjawab menjaga tiga beradik yatim piatu selama 16 tahun

Tanpa sedikit pun berasa bangsa dan agama sebagai halangan, seorang lelaki berketurunan Tionghoa berusia 55 tahun bertindak menunjukkan kebaikan dan belas kasihan luar biasa terhadap tiga beradik berbangsa Melayu setelah mengetahui ibu bapa mereka telah pergi buat selama-lamanya.

Pada usia 12 tahun, Rafei Ahmad Fauzi dan dua adiknya, Rasyid dan Abdul Rahman dihantar ke rumah anak yatim berbeza selepas ibu bapa mereka meninggal dunia selang sebulan pada tahun yang sama. 

Gambar Harian Metro

Bertemu Michael Tong Wai Siong, yang mesra dipanggil Uncle Mike oleh Rafei dan adik-beradiknya, mereka tidak mengetahui kehidupan masing-masing yang berlainan bangsa, budaya dan agama akan berubah selama-lamanya.

Menceritakan bagaimana segalanya bermula kepada Harian Metro, Michael Tong berkata beliau menjadi sukarelawan dan sering melakukan kerja amal di rumah anak yatim di Gombak, di mana menempatkan Rafei.

“Bertemu Rafei buat pertama kali, saya mengetahui tentang kisahnya, dan saya merasakan keinginan yang kuat untuk membantu,” kata Michael.

Memerhatikan kanak-kanak itu yang suka menyendiri, Michael bercakap dengan pengurus rumah anak yatim itu yang dikenali sebagai Umi.

Setelah berbual panjang, Michael menyedari Rafei tidak suka ke sekolah. Ingin memahami keadaannya dengan lebih baik, Michael kemudiannya telah menghubungi sekolah Rafei dan berjumpa gurunya apabila mendapat tahu Rafei menghadapi masalah pembelajaran.

Bertekad untuk membantu Rafei mendapatkan kehidupan lebih baik, Michael mula menghantar kanak-kanak ini ke sekolah setiap hari, memberinya sokongan yang diperlukannya seperti mana ibu bapa normal lakukan. 

Gambar Harian Metro

Berkongsi rutinnya, Michael akan mengambil Rafei dari rumah anak yatim dan menghantarnya ke sekolah setiap hari. Selepas waktu persekolahan, salah seorang pekerja Michael akan menjemput Rafei, menghantarnya ke pusat tuisyen, sebelum Michael menghantarnya kembali ke asrama rumah anak yatim.

“Rutin itu berulang dalam keadaan yang agak lama, sehingga pengurusan rumah anak yatim mencadangkan untuk membawa sahaja Rafei tinggal bersama saya,” kata Michael.

Oleh kerana Rafei ingin tinggal bersamanya, Michael mengambil keputusan untuk menerima kanak-kanak itu sebagai anak angkatnya. 

Namun pada suatu hari, Michael terjumpa nota menyayat hati daripada Rafei, yang meluahkan perasaan rindu terhadap dua adiknya, Rasyid dan Abdul Rahman. 

Membaca nota dan mengetahui betapa rindunya kanak-kanak ini kepada adik-beradiknya, Michael tidak dapat menahan rasa sebak.

“Sehingga kini saya masih ingat nota ditulisnya yang bertanya mengapa mak ayah meninggal dunia awal dan kenapa dia dipisahkan dengan adik-beradik,” kata Michael.

Nota bernada sebak itu telah membuat Michael mengambil keputusan untuk memenuhi hasrat Rafei supaya dapat bertemu adik-beradiknya, yang berada di rumah anak yatim di Klang pada masa itu. 

Tidak sanggup menanggung kesedihan kerana memisahkan ketiga-tiga mereka, Michael kemudian mengambil satu lagi langkah ke hadapan dengan membuat keputusan untuk mengambil adik-beradik Rafei sebagai anak-anak angkatnya.

Mengimbau kembali masa itu, Michael Tong berkongsi beliau tidak mempunyai pengalaman menjaga anak-anak kerana sudah biasa hidup membujang selama ini.

“Saya hanya mengambil Rafei pada mulanya kerana saya tidak pasti sama ada saya boleh mengendalikan lebih daripada seorang anak. Syukurlah, saya menerima sokongan dan bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan. Mereka telah memberikan saya begitu banyak dorongan serta pertolongan,” kongsi Michael.

Selain itu, ibu Michael (Oh Siew Eng) juga mengambil giliran menjaga tiga beradik itu, yang melayan mereka bagai cucunya sendiri.

Gambar Harian Metro

Memahami kepentingan agama untuk anak-anak ini, Michael memastikan mereka meneruskan semua amalan sebagai seorang Muslim, walaupun mereka tinggal bersamanya.

Michael menjalankan tanggungjawabnya dengan memanggil seorang Ustaz ke rumah mereka pada setiap malam, untuk membolehkan kanak-kanak ini mengaji dan belajar agama dengan lebih baik, membolehkan mereka untuk terus mendapat pendidikan agama seperti mana asalnya.

Pada bulan Ramadan, Michael juga akan menyediakan juadah bersahur dan berbuka puasa bersama anak-anak angkatnya. Beliau sendiri melatih kanak-kanak itu berpuasa sejak kecil, memastikan mereka sentiasa berpuasa penuh sepanjang Ramadan.

“Saya masak lauk sahur dan buka puasa untuk mereka, malah kami berpuasa bersama sepanjang Ramadan. Saya buat begitu sejak mereka kecil, beri sokongan agar berpuasa penuh. Di rumah juga, saya jaga sensitiviti agama Islam terutama makanan dan minuman,” kata Michael.

Mengambil peranan sebagai ibu dan bapa kepada 3 kanak-kanak seperti anak sendiri, Michael mengimbau masa bangun seawal jam 5 pagi untuk menyediakan sarapan untuk mereka. Beliau akan menegur, memarahi atau berleter seperti ibu bapa jika mereka nakal kerana sayang dan tidak mahukan apa-apa selain yang terbaik untuk mereka.

“Saya sayang mereka, dan saya mengambil berat tentang mereka, saya mahu mereka menjadi orang berguna,” kata Michael.

Mendedikasikan masa untuk menjaga tiga anak lelaki, Michael yang sehingga kini masih belum berkahwin berkongsi kehidupannya tidak sedikit pun berasa sunyi setelah mengambil Rafei, 29 tahun, Rasyid, 28 tahun dan Abdul Rahman, 24 tahun sebagai ahli keluarganya. 

Michael Tong berkata selepas kisah mereka disiarkan di Harian Metro, beliau agak malu dengan perhatian yang diterima sambil menambah menjaga anak-anaknya dengan niat ikhlas dan tidak mengharapkan balasan.

Gambar Harian Metro

“Sekarang saya gembira melihat tiga anak saya sudah besar, sudah bekerja dan seorang sudah mendirikan rumah tangga, dan saya juga mempunyai dua tambahan R iaitu Rayyan dan Rania, cucu saya,” katanya ketika dihubungi NST.

Michael berharap kisah keluarga mereka mampu memberi teladan kepada yang lain bahawa membantu sesama manusia tidak perlu melihat kepada bangsa dan agama.

“Saya bukanlah orang pertama yang membantu satu sama lain seperti ini. Ada orang Melayu yang membantu orang Cina dan India serta kaum lain dan sebaliknya. Ini bukti kita hidup dalam suasana harmoni walaupun masih ada segelintir yang memainkan isu perkauman.

“Sebagai rakyat negara berbilang kaum kita perlu hidup harmoni dan aman bersama-sama kerana kita semua adalah sebuah keluarga,” tambah Michael.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI