27 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 27, 2024
UtamaBerita UtamaSeorang penumpang insiden Singapore Airlines meninggal dunia

Seorang penumpang insiden Singapore Airlines meninggal dunia

SINGAPURA: Seorang penumpang British berusia 73 tahun meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung manakala sekurang-kurangnya 30 orang cedera dalam insiden Singapore Airlines.

Reuters

Penerbangan yang dijadualkan dari London ke Singapura menerusi pesawat Boeing 777-300ER dilencongkan ke Bangkok selepas pesawat berkenaan dilanda turbulens.

Sementara itu, lebih 140 orang penumpang dan kru penerbangan Singapore Airlines selamat tiba di Singapura pada pagi Rabu selepas pendaratan cemas di Bangkok.

Dzafran Azmir, pelajar berusia 28 tahun yang menaiki penerbangan tersebut berkata kepada Reuters, “Saya melihat orang dari seberang lorong melayang ke kedudukan mendatar sepenuhnya, terhantuk ke siling dan jatuh kembali dalam posisi yang sangat janggal. Mereka mengalami luka besar di kepala, konkusi.”

Foto dari dalam pesawat menunjukkan kerosakan pada panel atas kabin, topeng oksigen dan panel tergantung dari siling serta bagasi bertaburan.

Reuters

Seorang penumpang berkata beberapa orang terhantuk kepala pada lampu di atas tempat duduk dan menyebabkan panel berlubang.

Singapore Airlines yang membawa 131 orang penumpang dan 12 orang kru menerusi penerbangan bantuan dari Bangkok tiba di Singapura sebelum pukul 5 pagi.

Terdapat 211 orang penumpang asal yang terdiri daripada rakyat Australia, British dan Singapura serta 18 orang kru, penumpang yang cedera serta keluarga mereka masih berada di Bangkok.

“Saya mewakili Singapore Airlines, mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang bagi mangsa yang meninggal dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Airlines, Goh Choon Phong.

Insiden itu sedang disiasat oleh Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) serta dibantu oleh wakil daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS. Boeing juga dikatakan akan turut serta memberi sokongan kepada Singapore Airlines.

Dilaporkan penerbangan tersebut mengalami turbulens udara yang teruk secara tiba-tiba dan juruterbang mengisytiharkan perubatan kecemasan dan penerbangan dilencongkan ke Bangkok.

Menurut penyedia penjejakan pesawat FlightRadar 24, data penjejakan penerbangan menunjukkan sekitar pukul 7.49 pagi GMT pesawat mengalami “perubahan mendadak dalam kadar menegak, konsisten dengan turbulens tiba-tiba”.

Reuters

Reuters terdahulu melaporkan Pengurus besar lapangan terbang Bangkok Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn berkata kebanyakan penumpang yang ditemu bual memakai tali pinggan keledar ketika kejadian berlaku.

Singapore Airlines yang terkenal sebagai salah satu peneraju utama penerbangan dunia tidak mengalami insiden besar beberapa tahun lalu.

Insiden terbesar terakhir yang berlaku adalah pada 31 Oktober 2000 di mana seramai 83 daripada 179 orang penumpang maut ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Los Angeles melalui Taipei.

Mengikut rekod dari Rangkaian Keselamatan Penerbangan, Singapore Airlines telah mengalami tujuh kemalangan secara keseluruhan.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI