Kalau sebut sahaja pasal haiwan peliharaan pasti setiap orang punya cerita lucu yang tersendiri. Apa yang lebih menyeronokkan apabila dapat berkongsi cerita-cerita lucu itu bersama orang lain.
Seorang netizen dari Jepun, @katopen9 baru-baru ini turut berkongsi cerita lucu mengenai tiga ekor kucing peliharaannya. Kisah tersebut telah dikongsi di laman Twitter miliknya dan telah menarik pelbagai reaksi umum.
Menurut netizen ini ketiga-tiga ekor kucing suka berkumpul di mana dia berada. Antara tempat yang paling suka untuk mereka ‘lepak’ bersama ialah di sofa.
Apa yang lebih lucu ialah mereka bertiga sering duduk seolah-olah seperti gerabak kereta api iaitu seekor di hadapan, seekor di tengah dan seekor lagi di belakang.
Mereka juga sering bertukar posisi seolah-olah ‘kapten’ kereta api perlu bertukar syif kerja. Jadi, mereka akan bergilir-gilir berada di bahagian hadapan untuk ‘memandu’ kereta api.
Persoalannya, mereka hendak ke mana dengan membentuk kereta api tu?
KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan kontroversi yang mengatakan bahawa terdapat pil dari China boleh merawat COVID-19.
Kenyataan tersebut telah dikongsikan di laman Facebook miliknya bersama gambar pil yang dimaksudkan.
Kenyataan yang dibuat berbunyi; “Akhirnya, kita dapat membeli pil rawatan COVID-19 yang terkenal dari China ini di pasaran terbuka di Malaysia sekarang.”
“Ia bukan lagi ubat yang tidak diterima di Malaysia. Terima kasih kepada KKM.”
Menurut laporan yang diperolehi ubat tersebut – Lian Hua Qing Wen, merupakan milik sebuah syarikat tempatan bernama White Heron Pharmaceutical Sdn Bhd.
The Chinese Daily mengatakan dua varian ubat iaitu kapsul dan butiran telah diluluskan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan KKM (NPRA).
Jurucakap dari White Heron Pharmaceutical mengatakan ubat itu telah diluluskan oleh NPRA bulan lalu.
Nanyang Daily melaporkan bahawa ubat tersebut telah diluluskan setelah mengeluarkan bahan yang dilarang di Malaysia iaitu ephedra.
Media tersebut juga mengatakan ubat tersebut akan mula dipasarkan pada masa akan datang.
Mempromosikan ubat itu di laman Facebooknya, White Heron Pharmaceutical mengatakan Lian Hua Qing Wen yang baru diformulasikan berkesan untuk “detoksifikasi, membekal oksigen pada paru-paru, meredakan rasa panas, menghilangkan kahak, melegakan batuk, membantu memerangi virus dan selesema dengan lebih berkesan”.
Syarikat farmaseutikal tersebut secara tidak langsung ada menyebutkan bahawa ubat tersebut dapat digunakan kepada pesakit COVID-19, tetapi hanya menyebutkan bahawa ia berkesan terhadap “virus dan influenza”.
Hantaran Facebook tersebut kemudian telah dipadam setelah ratusan netizen membidas kenyataan ahli parlimen tersebut. Mereka mengkritik kenyataan yang mengatakan pil tersebut boleh ‘merawat COVID-19’.
Sebilangan daripada mereka yang bekerja dalam bidang perubatan mengatakan mereka kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan. Ada juga yang meminta ahli perlimen ini untuk memeriksa fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana ianya boleh mengundang salah faham.
Sebut sahaja tentang Oyen pasti ramai antara kita yang sudah tahu betapa nakalnya kucing berwarna oren ini.
Rasanya hampir di semua tempat ada sahaja spesies yang paling bermasalah ini. Mana tidaknya, kucing oren inilah yang sering membuat ‘onar’ sehingga ramai yang tahu benar dengan telatah mereka.
Kali ini, si Oyen sekali lagi dilaporkan melakukan sebuah kes ‘jenayah’. Kejadian tersebut berlaku kepada sebuah keluarga di Singapura apabila selipar mereka sering hilang.
Menurut ‘mangsa’ mereka sekeluarga berasa pelik apabila salah satu daripada pasangan selipar mereka seringkali hilang. Pencuri selipar hanya mengambil salah satu bukannya kedua-dua belah selipar mereka.
Kisah lucu tersebut diceritakan oleh seorang pengguna Twitter, @amyramrn yang turut memuat naik video yang menunjukkan seekor Oyen yang merupakan dalang di sebalik kejadian curi tersebut.
Its weird that we lost one side of our flip flops 4 times and we wonder why the thief only took one side? Guess what? We finally caught the thief 🤣 pic.twitter.com/HD4ZlSMPPf
Pada mulanya dia menyangka masalah tersebut mungkin dilakukan oleh kakitangan pembersihan yang secara tidak sengaja telah menyapu selipar-selipar mereka ketika melakukan kerja.
Namun, setelah ianya berlaku beberapa kali, mereka sekeluarga akhirnya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) koridor mereka pada 9 Jun lalu dan mendapati imej sebenar pencuri tersebut. Rupa-rupanya Oyen tersebut adalah kucing milik jiran mereka.
Pemilik kucing tersebut kemudian memberitahu bahawa dia sedar kucingnya membawa pulang bermacam selipar. Memandangkan dia tidak tahu siapa pemiliknya jadi dia hanya meninggalkannya di lobi dengan harapan supaya pemilik selipar boleh mengambil semula selipar mereka di situ.
Apa yang paling lucu Oyen nampaknya hanya mencuri selipar yang berjenama contohnya Vans, Adidas dan Puma. Sebenarnya kejadian tersebut telah berlaku tiga kali sebelum ini dan pada kali keempat berlaku barulah mereka tahu siapa yang melakukannya.
Kerosakan yang dilakukan manusia hari ini membuatkan banyak flora dan fauna yang semakin pupus. Antara spesies yang semakin pupus ialah memerang gergasi (giant otter).
Namun begitu, sebuah kejadian mengejutkan telah berlaku apabila Sebastian Di Martino, pengarah sebuah badan, Fundación Rewilding Argentina terserempak dengan seekor giant otter di Sungai Bermejo.
Penemuan tersebut sangat mengejutkan kerana spesies dikatakan telah pupus di Argentina sejak 40 tahun dahulu sehingga ramai berpendapat bahawa spesies memerang ini sememangnya telah pupus sepenuhnya di negara itu.
Martino dikatakan sedang melakukan rondaan di Taman Nasional El Impenetrable, sebuah taman negara yang terletak di utara Argentina pada pertengahan Mei lalu.
Dia tiba-tiba mendengar bunyi percikan di belakangnya dan apabila dia menoleh ke belakang dia melihat seekor haiwan berbulu coklat sedang berenang berhampiran dengannya.
Haiwan tersebut kemudian menyelam ke dalam dan muncul semula ke permukaan. Martino kemudian baru menyedari bahawa haiwan tersebut adalah memerang gergasi yang selama ini telah pupus di Argentina.
Martino berkata, “Saya terkejut dan teruja. Pada mulanya, saya tidak percaya bahawa apa yang saya lihat itu benar.” Dia kemudian segera mengeluarkan telefonnya untuk merakam haiwan tersebut kerana jika tidak orang pasti tidak percaya dengannya yang telah melihat memerang tersebut memandangkan spesies tersebut kali terakhir dilihat sekitar tahun 1980-an.
Masih belum diketahui dari mana asalnya memerang tersebut. Habitat terdekat memerang gergasi sebelum ini adalah di Pantanal, Paraguay yang berjarak ribuan batu.
Martino percaya bahawa memerang tersebut berenang setelah bebas dari keluarga atau mungkin spesies ini sememangnya telah tinggal di Argentina selama ini tanpa ada yang tahu.
Argentina dikatakan akan bertanggungjawab untuk memulihkan spesies memerang ini. Beberapa hari yang lalu, mereka melepaskan semula memerang yang dikurung iaitu Coco dan Alondra dan kembali ke Taman Negara Iberá. Berita baiknya, pasangan memerang itu telah melahirkan 3 ekor anak yang sihat.
Memerang spesies ini adalah memerang terbesar di dunia yang boleh membesar sehingga 1.8 meter. Spesies ini biasanya terdapat di lembah Amazon di Amerika Selatan. Haiwan ini agak bersosial dan sering hidup dalam kumpulan yang besar sekitar 20 ekor.
Mereka mempunyai masa kehamilan antara 9-10 minggu dan melahirkan 1-3 ekor anak. Memerang ini disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Senarai Merah Spesies Terancam IUCN.
Spesies ini terancam oleh pencemaran dan degradasi habitat, penangkapan, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan empangan hidroelektrik, dan perubahan iklim.
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sudah pun diumumkan pada 10 Jun lalu dan kali ini seramai 9,411 pelajar mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.
Ini merupakan peningkatan berbanding 8,876 orang yang memperoleh keputusan yang sama pada tahun 2019.
Untuk berkongsi kegembiraan tersebut, artis tanah air, Wawa Zainal tampil untuk memberikan ganjaran kepada mereka yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Menurut Wawa lagi, para pelajar SPM 2020 yang mengikutinya di laman Instagram perlu kemukakan bukti terlebih dahulu yang mereka meraih 7A dalam peperiksaan tersebut.
“Minimum 7A ok! PM result adik-adik. Kena tunjuk result baru dapat ok. Ok Kak Wawa bagi RM200..,” tulisnya.
Wawa turut memuat naik gambar ‘screenshot’ bukti yang menunjukkan dia telah memberikan RM200 kepada beberapa orang yang telah menghubunginya.
Selain Wawa Zainal, seorang lagi selebriti tanah air, PU Riz juga melakukan hal yang sama dengan memberikan hadiah wang tunai kepada mereka yang cemerlang.
“Saya mencari pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam SPM 2020 yang diumumkan semalam. Mereka hanya perlu DM saya berserta slip keputusan bakal menerima hadiah daripada saya.”
“Setiap seorang akan dapat RM300. Saya mahu berkongsi rezeki dengan adik-adik ini sekali gus mahu memberi galakan kepada mereka untuk terus berusaha pada masa akan datang,” tulisnya di laman Instagram.
PU Riz juga berkongsi gambar antara pelajar yang telah mendapatkan hadiah yang dijanjikan.
Walaupun dia pada mulanya sudah menoleh ke kiri dan kanan sebelum melintas, namun dia tidak dapat mengelak daripada ‘dirempuh’ anjing yang sedang berlari laju itu.
Rebah dibuatnya lelaki tersebut dan mungkin dia berasa keliru dan bingung dengan apa yang dialaminya pada ketika itu.
KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan outlet barangan mewah, Louis Vuitton, hanya dibenarkan untuk beroperasi untuk khidmat penghantaran, bukan kunjungan terus pelanggan ke kedai.
“Tiada pihak dibenarkan membuat kunjungan terus ke kedai selain perkhidmatan penghantaran untuk mengambil barang-barang yang ditempah pengguna,” menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Twitter malam tadi.
Menurut kementerian, LV dibenarkan beroperasi kerana mempunyai platform e-dagang.
Jelasnya, berdasarkan standard operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), e-dagang dibenarkan menjual barangan penting dan tidak penting kerana ia menepati sekatan pergerakan awam, kecuali bagi pekerja penghantaran.
KPDNHEP menjelaskan perkara itu sebagai respons kepada pertanyaan pengguna Twitter sama ada kedai LV di Bukit Bintang dianggap produk penting kerana dibenarkan dibuka semasa ‘lockdown’ dijalankan.
Sementara itu, penjelasan kementerian bagaimanapun tidak memuaskan hati sebilangan warganet sehingga ada yang mempersoalkan kenapa penghantaran barangan itu tidak dilakukan di gudang.
E-dagang, untuk sebarang produk merupakan salah satu daripada 17 sektor yang dibenarkan untuk terus beroperasi ketika ‘lockdown’ dijalankan kerajaan.
KUCHING – Saufi Aiman Yahya, seorang pemain sape’ terkenal dari Sarawak, ditemui mati di pejabat studionya di City Square di Kuching pada malam 10 Jun lalu.
Menurut kenyataan Pusat Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, mereka menerima panggilan dari balai polis Bintawa, meminta mereka membantu untuk mengeluarkan jenazah pada sekitar jam 9.13 malam.
Dalam kenyataan itu, mereka turut memberitahu bahawa mereka memerlukan enam orang anggota penyelamat dari balai bomba Padungan yang menggunakan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang lengkap bagi membawa jenazah dari tingkat dua pusat komersial ke sebuah trak polis yang sedang menunggu.
Punca kematian masih belum dapat diketahui dan jenazah kemudian telah dibawa ke bilik mayat Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
Polis telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut dan punca kematian mangsa sedang disiasat.
Pemain sape’ profesional berusia 31 tahun suatu ketika dahulu telah membanggakan Malaysia dengan memenangi empat pingat emas di Amerika Syarikat pada 2017 lalu.
Selain itu, beliau juga pernah merangkul empat pingat emas dan satu pingat perak dalam Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-21 pada tahun 2017.
Empat emas yang dimenanginya adalah dalam kategori jazz, kontemporari, klasik, dan terbuka (untuk solo atau berkumpulan), dengan pingat perak untuk kategori karya asal.
Saufi telah bermain sape’ selama lebih kurang 10 tahun. Instrumen muzik ini adalah alat muzik tradisional orang Kenyah, yang berasal dari Sarawak.
Beliau merupakan graduan dari Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) juga mengendalikan sebuah syarikat bernama Sape’ Star, yang menyediakan pelajaran sape’ dan menjual alat tersebut.
Seorang pemuda dari Melaka telah menyatakan kekecewaannya dengan perkhidmatan penghantaran J&T setelah dia menerima bungkusan yang rosak dengan barangan yang pecah.
Pengguna Facebook, Tan Xin Hao meluahkan rasa tidak puas hati apabila menerima barang yang dibeli secara dalam talian iaitu skrin komputer berukuran 27 inci rosak teruk dan pecah.
“Ini bukan kali pertama saya menerima barang yang rosak kerana penghantaran anda. Siapa yang akan menanggung kerugian kami?” ujarnya dalam status Facebooknya pada 8 Jun lalu.
Tan kemudian segera melaporkan kejadian itu kepada J&T tetapi tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. Menurutnya lagi, dia tidak menerima sebarang respons daripada pihak J&T dan e-mel mereka juga tidak membenarkan pelanggan untuk memuat naik foto sebagai rujukan.
Namun, setelah hantaran Facebooknya menjadi tular dengan lebih dari 2,200 perkongsian dibuat orang ramai, syarikat penghantaran tersebut telah menghubunginya pada 9 Jun lalu.
Mesej tersebut memberitahu bahawa pihak J&T mengambil maklum akan laporan tersebut dan mereka akan memberitahu kumpulan khas untuk mengambil tindakan lanjut mengenai kejadian tersebut. Mereka akan memaklumkan jika terdapat perkembangan dalam kes tersebut.
Tan berkata syarikat itu kemudian menghubunginya dan memintanya untuk melaporkan masalah itu kepada Shopee, platform dalam talian tempat dia membeli skrin bagi mendapatkan bayaran balik sebelum menghubungi mereka semula di J&T.
Walaupun dia menerima layanan yang tidak memuaskan dari J&T, Tan mengatakan dia bersyukur kerana penjual Shopee bersedia memberikannya unit pengganti secara percuma.
“Tetapi saya masih perlu membayar kos penghantaran dan insurans lagi,” katanya, sambil menambah bahawa skrin komputer tersebut menelan belanja lebih daripada RM900.
Tan berharap pengalamannya dapat mengingatkan pelanggan lain agar berhati-hati ketika memilih syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran untuk membeli-belah dalam talian mereka.
Dia juga berharap agar J&T akan berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan dan penghantaran mereka pada masa depan.
Video tersebut dimuat naik oleh akaun @WahyuYordan, memperlihatkan seorang lelaki yang didakwa sebagai rakannya sedang menunggu giliran untuk disuntik vaksin.