Seorang pemuda dari Melaka telah menyatakan kekecewaannya dengan perkhidmatan penghantaran J&T setelah dia menerima bungkusan yang rosak dengan barangan yang pecah.
Pengguna Facebook, Tan Xin Hao meluahkan rasa tidak puas hati apabila menerima barang yang dibeli secara dalam talian iaitu skrin komputer berukuran 27 inci rosak teruk dan pecah.
“Ini bukan kali pertama saya menerima barang yang rosak kerana penghantaran anda. Siapa yang akan menanggung kerugian kami?” ujarnya dalam status Facebooknya pada 8 Jun lalu.
Tan kemudian segera melaporkan kejadian itu kepada J&T tetapi tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. Menurutnya lagi, dia tidak menerima sebarang respons daripada pihak J&T dan e-mel mereka juga tidak membenarkan pelanggan untuk memuat naik foto sebagai rujukan.
Namun, setelah hantaran Facebooknya menjadi tular dengan lebih dari 2,200 perkongsian dibuat orang ramai, syarikat penghantaran tersebut telah menghubunginya pada 9 Jun lalu.
Mesej tersebut memberitahu bahawa pihak J&T mengambil maklum akan laporan tersebut dan mereka akan memberitahu kumpulan khas untuk mengambil tindakan lanjut mengenai kejadian tersebut. Mereka akan memaklumkan jika terdapat perkembangan dalam kes tersebut.
Tan berkata syarikat itu kemudian menghubunginya dan memintanya untuk melaporkan masalah itu kepada Shopee, platform dalam talian tempat dia membeli skrin bagi mendapatkan bayaran balik sebelum menghubungi mereka semula di J&T.
Walaupun dia menerima layanan yang tidak memuaskan dari J&T, Tan mengatakan dia bersyukur kerana penjual Shopee bersedia memberikannya unit pengganti secara percuma.
“Tetapi saya masih perlu membayar kos penghantaran dan insurans lagi,” katanya, sambil menambah bahawa skrin komputer tersebut menelan belanja lebih daripada RM900.
Tan berharap pengalamannya dapat mengingatkan pelanggan lain agar berhati-hati ketika memilih syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran untuk membeli-belah dalam talian mereka.
Dia juga berharap agar J&T akan berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan dan penghantaran mereka pada masa depan.