KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan kontroversi yang mengatakan bahawa terdapat pil dari China boleh merawat COVID-19.
Kenyataan tersebut telah dikongsikan di laman Facebook miliknya bersama gambar pil yang dimaksudkan.
Kenyataan yang dibuat berbunyi; “Akhirnya, kita dapat membeli pil rawatan COVID-19 yang terkenal dari China ini di pasaran terbuka di Malaysia sekarang.”
“Ia bukan lagi ubat yang tidak diterima di Malaysia. Terima kasih kepada KKM.”
Menurut laporan yang diperolehi ubat tersebut – Lian Hua Qing Wen, merupakan milik sebuah syarikat tempatan bernama White Heron Pharmaceutical Sdn Bhd.
The Chinese Daily mengatakan dua varian ubat iaitu kapsul dan butiran telah diluluskan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan KKM (NPRA).
Jurucakap dari White Heron Pharmaceutical mengatakan ubat itu telah diluluskan oleh NPRA bulan lalu.
Nanyang Daily melaporkan bahawa ubat tersebut telah diluluskan setelah mengeluarkan bahan yang dilarang di Malaysia iaitu ephedra.
Media tersebut juga mengatakan ubat tersebut akan mula dipasarkan pada masa akan datang.
Mempromosikan ubat itu di laman Facebooknya, White Heron Pharmaceutical mengatakan Lian Hua Qing Wen yang baru diformulasikan berkesan untuk “detoksifikasi, membekal oksigen pada paru-paru, meredakan rasa panas, menghilangkan kahak, melegakan batuk, membantu memerangi virus dan selesema dengan lebih berkesan”.
Syarikat farmaseutikal tersebut secara tidak langsung ada menyebutkan bahawa ubat tersebut dapat digunakan kepada pesakit COVID-19, tetapi hanya menyebutkan bahawa ia berkesan terhadap “virus dan influenza”.
Hantaran Facebook tersebut kemudian telah dipadam setelah ratusan netizen membidas kenyataan ahli parlimen tersebut. Mereka mengkritik kenyataan yang mengatakan pil tersebut boleh ‘merawat COVID-19’.
Sebilangan daripada mereka yang bekerja dalam bidang perubatan mengatakan mereka kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan. Ada juga yang meminta ahli perlimen ini untuk memeriksa fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana ianya boleh mengundang salah faham.