KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan outlet barangan mewah, Louis Vuitton, hanya dibenarkan untuk beroperasi untuk khidmat penghantaran, bukan kunjungan terus pelanggan ke kedai.
“Tiada pihak dibenarkan membuat kunjungan terus ke kedai selain perkhidmatan penghantaran untuk mengambil barang-barang yang ditempah pengguna,” menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Twitter malam tadi.
Menurut kementerian, LV dibenarkan beroperasi kerana mempunyai platform e-dagang.
Jelasnya, berdasarkan standard operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), e-dagang dibenarkan menjual barangan penting dan tidak penting kerana ia menepati sekatan pergerakan awam, kecuali bagi pekerja penghantaran.
KPDNHEP menjelaskan perkara itu sebagai respons kepada pertanyaan pengguna Twitter sama ada kedai LV di Bukit Bintang dianggap produk penting kerana dibenarkan dibuka semasa ‘lockdown’ dijalankan.
Sementara itu, penjelasan kementerian bagaimanapun tidak memuaskan hati sebilangan warganet sehingga ada yang mempersoalkan kenapa penghantaran barangan itu tidak dilakukan di gudang.
E-dagang, untuk sebarang produk merupakan salah satu daripada 17 sektor yang dibenarkan untuk terus beroperasi ketika ‘lockdown’ dijalankan kerajaan.