Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sudah pun diumumkan pada 10 Jun lalu dan kali ini seramai 9,411 pelajar mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.
Ini merupakan peningkatan berbanding 8,876 orang yang memperoleh keputusan yang sama pada tahun 2019.
Untuk berkongsi kegembiraan tersebut, artis tanah air, Wawa Zainal tampil untuk memberikan ganjaran kepada mereka yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Wawa melalui Instagram story miliknya memberitahu bahawa dia ingin memberikan ganjaran kepada mereka yang mendapat 7A.
Menurut Wawa lagi, para pelajar SPM 2020 yang mengikutinya di laman Instagram perlu kemukakan bukti terlebih dahulu yang mereka meraih 7A dalam peperiksaan tersebut.
“Minimum 7A ok! PM result adik-adik. Kena tunjuk result baru dapat ok. Ok Kak Wawa bagi RM200..,” tulisnya.
Wawa turut memuat naik gambar ‘screenshot’ bukti yang menunjukkan dia telah memberikan RM200 kepada beberapa orang yang telah menghubunginya.
Selain Wawa Zainal, seorang lagi selebriti tanah air, PU Riz juga melakukan hal yang sama dengan memberikan hadiah wang tunai kepada mereka yang cemerlang.
“Saya mencari pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam SPM 2020 yang diumumkan semalam. Mereka hanya perlu DM saya berserta slip keputusan bakal menerima hadiah daripada saya.”
“Setiap seorang akan dapat RM300. Saya mahu berkongsi rezeki dengan adik-adik ini sekali gus mahu memberi galakan kepada mereka untuk terus berusaha pada masa akan datang,” tulisnya di laman Instagram.
PU Riz juga berkongsi gambar antara pelajar yang telah mendapatkan hadiah yang dijanjikan.
Jadi, kepada yang belum menuntut hadiah, boleh lakukan sekarang! Kepada Wawa Zainal dan PU Riz pula terima kasih atas ganjaran hadiah yang diberikan!