Jepun merancang untuk memasang penghadang yang lebih kukuh selepas pelancong merosakkan hadangan sedia ada yang baru dibina untuk menghalang pemandangan Gunung Fuji.
Bandar Fujikawaguchiko, Jepun yang merupakan tempat tontonan popular Gunung Fuji, baru-baru ini memasang penghadang jaringan untuk menghalang pelancong yang tidak dapat dikawal dan gagal mengikut peraturan.
Penduduk tempatan mengadu para pelancong membuang sampah, menceroboh premis, dan melanggar peraturan lalu lintas di bandar itu, mendorong pegawai bertindak dengan memasang penghadang jaringan hitam.
Bagaimanapun, dalam masa seminggu sahaja, penghadang berjaring itu dikatakan sudah rosak, dengan orang ramai telah menebuk kira-kira 10 lubang kecil di dalamnya.
Walaupun pegawai tempatan mengambil inisiatif dengan menampal lubang itu kembali, namun lubang yang baru tetap muncul setiap hari.
SoraNews24 melaporkan bandar itu merancang untuk menggantikan penghadang jaringan sedia ada dengan penghadang yang lebih kuat, kukuh dan estetik.
Mereka sedang mempertimbangkan warna yang lebih cerah untuk skrin baharu, seperti biru, hijau, perak atau coklat, untuk menjadikan kawasan itu kelihatan lebih ceria dan menunjukkan bahawa ia bukan sekadar ukuran jangka masa pendek.
Datuk Bandar bandar itu, Hideyuki Watanabe, berkata walaupun penghadang masa kini telah menyebabkan kurang sedikit pelancong berkumpul di tempat mengambil gambar, beliau menyifatkan punca lubang-lubang itu dibuat sebagai “kekurangan moral yang mengecewakan”.
Beliau memberitahu pemberita dengan harapannya untuk “mengubah hadangan dengan secepat mungkin”, sebelum musim panas menjelma.
Bandar ini juga merancang untuk memasukkan kod QR pada penghadang untuk menggalakkan pelancong melawat tarikan lain, termasuk lokasi alternatif untuk merakam gambar Gunung Fuji.
Seorang pegawai menyebut mereka akan mempertimbangkan untuk menurunkan penghadang apabila tempat itu mula menjadi kurang popular.
Jepun menyaksikan peningkatan ketara dalam kehadiran pelancong setakat tahun ini. Dalam bulan Mac sahaja, bilangan pelawat antarabangsa melepasi tiga juta orang buat pertama kali dalam sebulan, melebihi paras pra-pandemik pada 2019.
Secara keseluruhan, jumlah pelancong untuk 2023 juga kukuh, mencecah 25 juta pelawat, iaitu 80 peratus lebih tinggi berbanding rekod yang dicatat pada 2019.