Bekas pemain badminton negara Tan Boon Heong tampil bersuara sebagai solidariti bersama rakan sepasukannya Lai Pei Jing selepas mendedahkan pernah menjadi mangsa penipuan sebanyak dua kali yang menyebabkan dirinya kehilangan hampir kesemua wang simpanan.
Dalam hantaran di Facebook pada 3 Jun, bekas pemain beregu No. 1 dunia itu berkongsi beliau pernah mengalami nasib yang sama, kehilangan kira-kira RM2.5 juta dalam sindiket penipuan pelaburan.
“Melihat rakan pemain badminton saya ditipu mengingatkan saya yang pernah ditipu juga.

“Ingat, menyerahkan wang hasil titik peluh anda ke tangan orang lain dan mengharapkan untuk mendapatkannya semula adalah mustahil. Saya cadangkan fokus kepada perkara yang anda boleh kawal. Jika anda tidak boleh mengawalnya, jangan melibatkan diri,” tulis Boon Heong.
Melalui Facebook Live, Boon Heong memperincikan bagaimana beliau telah ditipu oleh individu yang dikenalinya, termasuk rakan yang anaknya juga pemain badminton. Boon Heong mendedahkan rakan itu ini telah “menghilang”.
“Saya ditipu sebanyak dua kali, sekali untuk USD500,000 (RM2.3 juta) dan satu lagi RM160,000. Jika anda benar-benar mahu melabur, anda sepatutnya menjadi pegawai bank dan bukannya pemain,” nasihat Boon Heong.
Tambah Boon Heong, beliau mahu menceritakan nasib malangnya di media sosial bagi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika ingin membuat pelaburan.
Pada Ahad, 2 Jun, pemain beregu campuran Lai Pei Jing telah berkongsi di media sosial bahawa beliau telah menjadi mangsa sindiket penipuan.

Dalam hantaran di Facebook, Pei Jing berkata beliau telah kehilangan sebahagian besar wang simpanannya dan memohon diberikan ruang peribadi untuk memproses fikiran dan emosinya.
“Ya, saya telah ditipu hampir semua wang simpanan saya oleh kumpulan penipuan.
“Sejujurnya, ini merupakan tamparan teramat berat kepada saya. Simpanan titik peluh saya hasil kerja keras selama beberapa dekad,” kata pemain berusia 31 tahun itu.
“Ia memerlukan keberanian yang tinggi untuk bersuara mengenai penipuan kerana siapa yang mahu memberitahu orang lain bahawa mereka telah diperbodohkan untuk ditipu, bukan?
“Apabila saya telah menyesuaikan diri dengan situasi itu, saya akan berkongsi lebih lanjut mengenainya. Saya berharap dapat membendung lebih ramai mangsa dan juga memaksa diri saya untuk menerima hakikat bahawa saya telah ditipu,” jelasnya lagi.
Pemain badminton itu menambah beliau kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menjejak sindiket penipuan itu.

Polis berkata mereka telah membuka kertas siasatan terhadap kes Lai selepas menerima laporan mengenainya.
Menurut New Straits Times, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata siasatan awal menunjukkan Lai telah menggunakan aplikasi bernama ‘Dobevil’, di mana mangsa digalakkan untuk membeli dan menjual barangan dalam talian.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.