Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala teruk akibat keracunan makanan selepas bersarapan di Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) di seluruh daerah Gombak, Selangor pada Sabtu, 8 Jun.
Dua orang daripada mereka, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun 7 bulan telah meninggal dunia dalam kejadian keracunan makanan tersebut.

Menurut kenyataan Pengarah Kesihatan Negeri JKNS, Dr Ummi Kalthom Shamsudin, keracunan makanan disyaki berpunca daripada memakan bihun goreng dan telur mata yang telah berubah rupa dan rasa.
Difahamkan, 30 sekolah rendah di daerah Gombak menyertai program berkenaan, di mana sarapan pagi disediakan oleh pengendali makanan dari luar.
Jelas Dr Ummi lagi, mereka yang mengalami gejala terdiri daripada setiausaha, guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga.
“Gejala utama yang dilaporkan adalah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya. Seramai 28 kes telah menerima rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes dimasukkan ke mana-mana wad.
“Sebanyak 2 kes dilaporkan meninggal dunia tanpa mendapat rawatan daripada mana-mana fasiliti kesihatan membabitkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun 7 bulan. Kedua-dua mangsa memakan makanan dipercayai dibawa pulang oleh ahli keluarga,” katanya.
JKNS masih menjalankan siasatan untuk mengesan sebarang kes baharu dan langkah kawalan serta pencegahan bagi mengawal wabak keracunan makanan sedang dijalankan.
Sampel makanan sejak hari kejadian telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan itu.
“JKNS juga meminta individu terbabit yang mengalami gejala segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelak komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini.
Penganjur program dan orang awam perlu berhati-hati dalam memilih premis dan pembekal makanan yang bersih,” sarannya.
JKNS juga mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa.