28.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 28, 2025
Utama Blog Laman 286

“Ia berlaku lebih cepat daripada yang dijangka” – Respons Biden terhadap keruntuhan di Afghanistan

0

Setelah berdepan dengan kritikan bipartisan, Presiden Joe Biden pada petang 16 Ogos mengakui bahawa keruntuhan Afghanistan berlaku lebih cepat daripada yang dijangkakan oleh pentadbirannya.

“Ia terjadi lebih cepat daripada yang kami jangkakan”, kata Biden di White House, menyalahkan pemimpin politik dan ketenteraan Afghanistan kerana menyerah dan melarikan diri dari negara itu.

Presiden itu juga menuduh pemerintah Afghanistan menghentikan Amerika Syarikat daripada melaksanakan rancangan pemindahan besar-besaran sebelum menarik diri, lantas menimbulkan krisis kepercayaan.

Ujarnya lagi, pegawai White House dan pegawai perisik AS juga mengawasi secara dekat keadaan di dan beliau juga tidak berasa menyesal menarik diri daripada negara itu.

“Misi di Afghanistan yang berlangsung hampir 20 tahun, dirancang untuk menghilangkan jaringan pengganas al-Qaeda yang berada di belakang serangan pengganas 11 September. AS juga telah membunuh pemimpin pengganas Osama bin Laden satu dekad yang lalu”, kata Biden.

Biden menambah bahawa pencerobohan ke Afghanistan juga bukanlah bertujuan untuk membangun negara atau mewujudkan demokrasi terpusat.

Presiden itu juga enggan menjawab apa-apa soalan. White House mengesahkan kepada wartawan bahawa beliau akan kembali ke Camp David, di mana beliau menghabiskan beberapa hari terakhir untuk bercuti. Presiden itu mengatakan bahawa beliau dan pasukannya sedang mengikuti situasi di Afghanistan dengan teliti.

Dalam ucapannya, Biden menyentuh kekacauan yang sedang berlaku di lapangan terbang Kabul, di mana banyak rakyat Amerika dan warga asing masih berada di sana.

Jelas John Kirby selaku jurucakap Pentagon, tentera AS ditembak oleh penyerang bersenjata, memaksa tentera untuk melepaskan tembakan.

“Kehadiran diplomatik kami telah digabungkan di lapangan terbang juga”, kata Biden, sambil menambah bahawa penerbangan pemindahan akan diadakan dalam beberapa hari mendatang.

Sementara itu, presiden menyatakan bahawa keruntuhan Afghanistan adalah sebahagian tanggungjawab bekas Presiden Donald Trump dalam rundingan perjanjian dengan Taliban untuk memulakan penarikan diri pada 1 Mei 2021, sambil menambah bahawa pentadbirannya terpaksa mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui oleh Trump.

Perang di Afghanistan juga telah menjangkau empat presiden. Kata Biden, beliau terpaksa berhadapan dengan keputusan untuk meningkatkan kekuatan pasukan AS dalam memerangi Taliban ketika musim luruh.

Malah beliau turut mempersoalkan mengapa AS yang harus menambah pasukan untuk bertempur dengan Taliban sedangkan tentera Afghanistan sendiri enggan untuk berperang.

Walaupun Trump menetapkan tarikh 1 Mei, Biden menolak penarikan balik beberapa bulan. Trump juga bersetuju untuk menarik tentera sepenuhnya sebagai pertukaran agar Taliban tidak menyerang pasukan Amerika dan memutuskan hubungan dengan al-Qaeda. Ada yang berspekulasi bahawa Taliban membatalkan tawarannya setelah Biden menolak tarikh itu.

Dalam beberapa pernyataan selama seminggu yang lalu, Trump mengkritik strategi penarikan Biden, dengan bertanya: “Ada sesiapa yang dapat membayangkan penarikan semula tentera kita sebelum memindahkan orang awam dan mereka yang berkhidmat untuk negara serta mereka yang seharusnya diberikan perlindungan?”.

Stephen Miller iaitu bekas penasihat Trump, menulis ‘tweet’ bahawa Biden meninggalkan rancangan perdamaian Trump dan strategi keluar, yang juga termasuk ‘pencegahan’ yang agak berkuasa.

Tambah Miller, Biden telah membuat rancangan penarikan semula dengan sendiri tetapi sebaliknya, rancangan itu gagal – ‘terhempas dan terbakar’.

Hujung minggu lalu, Biden yang sedang bercuti di Camp David berhadapan dengan kritikan bipartisan kerana tidak menangani pengambilalihan Taliban dan mempersoalkan risikan AS.

Bahkan beberapa bekas pegawai dan jeneral Jabatan Pertahanan membandingkan kejatuhan pemerintah Afghanistan dan pemindahan Kedutaan AS dengan kejatuhan Saigon pada tahun 1975, situasi tebusan Iran 1979 atau kejadian Teluk Babi 1961.

Sementara Biden tidak membuat kenyataan di televisyen mengenainya, pemimpin dunia lain – Perdana Menteri UK Boris Johnson dan Canselor Jerman Angela Merkel telah menyatakan kekecewaan masyarakat terhadap bagaimana pentadbiran dan cara AS menangani penarikan dan pemindahan orang asing.

Ketika pengumuman Afghanistan dibuat bulan lalu, Biden mengatakan ia tidak akan serupa dengan kejatuhan Saigon tahun 1975, ketika pasukan komunis Vietnam menguasai ibu kota yang membuatkan berakhirnya Perang Vietnam.

Serangan Taliban mengejutkan pegawai Amerika. Hanya beberapa hari sebelum Taliban memasuki Kabul dengan sedikit perlawanan, penilaian ketenteraan AS meramalkan ia akan memakan masa berbulan-bulan untuk jatuh.

Bercakap pada program TV pagi 16 Ogos, anggota kanan pasukan keselamatan nasional Biden dan pegawai Jabatan Negara menyalahkan kejatuhan itu pada pasukan tentera Afghanistan.

Namun mereka mengakui kepantasan Afghanistan diambil alih oleh Taliban, yang dituduh menyembunyikan kumpulan pengganas seperti al-Qaeda atau jaringan Haqqani. Mereka juga mengatakan bahawa pengawasan mereka selama seminggu terakhir membuatkan mereka tidak berjaga-jaga.

Semestinya faktor kepantasan menyebabkan beberapa bandar ‘jatuh’, kata penasihat keselamatan nasional Jake. Beliau juga menambahkan bahawa tentera Afghanistan tidak memiliki kehendak untuk melawan kumpulan Taliban.

Pada hujung minggu, Setiausaha Negara Antony Blinken mengatakan bahawa Amerika Syarikat mencapai objektifnya di Afghanistan iaitu untuk mengalahkan al-Qaeda setelah serangan pengganas pada 11 September 2001.

Namun masih banyak persoalan mengapa tentera AS kekal di negara Asia Selatan selama hampir 20 tahun dan adakah pemimpin tentera selama bertahun-tahun sengaja memberikan alasan pada rakyat AS tentang sebab mereka masih perlu ditempatkan di sana.

Amerika Syarikat kini akan menumpukan pada keselamatan lapangan terbang Kabul, kata Timbalan Penasihat Keselamatan Nasional Jon Finer kepada wartawan pada Isnin petang.

Tambahan tentera Amerika akan bergerak ke lapangan terbang pada 16 dan 17 Ogos. Pada awal 16 Ogos, White House mengesahkan terdapat sejumlah besar orang Amerika yang masih berada di Afghanistan tatkala kekacauan di lapangan terbang Kabul.

Ambil inisiatif pelajari bahasa Urdu dan Bengali, tugas sukarelawan PPV Stadium Bukit Jalil ini jadi lebih mudah juga buat penerima vaksin spontan tersenyum

0

Apabila seseorang itu berusaha untuk mempelajari bahasa asing dan dapat pula berkomunikasi dengan penuturnya walaupun tidak sefasih mereka, ia pasti akan membangkitkan rasa kebanggaan serta kegembiraan kepada orang lain.

Seorang sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Bukit Jalil telah mengambil inisiatif mempelajari bahasa Urdu dan Bengali kerana mahu memudahkan komunikasi dengan penerima vaksin dari negara Pakistan dan Bangladesh.

@ainsyawani/Twitter

Usahanya itu telah mendapat pujian ramai setelah beliau memuat naik satu video di laman Twitter @ainsyawani yang mendapat tontonan lebih 278,500 kali. 

Sukarelawan ini memberitahu dapat bertutur dalam bahasa itu secara asas dan mudah difahami telah membantu memudahkan tugasnya dalam proses pendaftaran penerima vaksin warganegara asing itu di kaunter PPV Stadium Bukit Jalil.

Dalam ciapannya di Twitter, “Saya cuma mahu berkongsi video ini, saya bertutur dalam bahasa Bengali dan Urdu. Dapat belajar bahasa mereka telah membantu mempercepatkan kerja saya.”

@ainsyawani/Twitter

“Dan saya suka tengok reaksi mereka apabila saya bercakap dalam bahasa mereka. Harap video ini akan menceriakan hari anda,” tulisnya.

Sukarelawan ini yang bertugas di PPV sejak bulan Jun lalu turut cuba mempelajari bahasa Myanmar, Nepal dan Hindi bagi tujuan memudahkan proses pendaftaran vaksinasi buat warga asing di kaunter.

@ainsyawani/Twitter

“Kadang-kadang mereka kurang faham bahasa Melayu atau Inggeris, jadi saya ambil alternatif untuk belajar bahasa mereka bagi memudahkan kerja dua pihak. Setiap kali saya cakap bahasa Bangladesh, mesti mereka tersenyum dengar saya cakap bahasa mereka,” tambah ciapan @ainsyawani di Twitter.

Semoga usaha @ainsyawani akan memberi inspirasi kepada semua untuk mempelajari bahasa asas negara lain yang secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan ilmu diri sendiri sekali gus menimbulkan rasa hormat antara satu sama lain tidak kira apa pun bangsa.

Tonton video di bawah.

“Mahu pancing buaya?”, bapa pening anak nangis, hentak kaki mahu pancing buaya

0

Setiap ibu bapa pastinya cuba sedaya upaya untuk menggembirakan anak-anak dengan menuruti segala permintaan mereka.

Ini kerana mereka tidak mahu melihat anak mereka hampa, namun bagaimana pula jika permintaan anak itu agak tidak masuk akal?

Itulah yang dialami oleh seorang bapa apabila anaknya menangis beria kerana mahu memancing buaya.

“Nanti kita pancing buaya, okay?”, pujuk si bapa. Anaknya juga sempat menunjukkan lokasi yang dirinya mahu.

Perkongsian itu turut mengundang beberapa komen, antaranya :

Aduhai anak. Pening kepala dibuatnya. Bagaimanalah agaknya si bapa mahu penuhi permintaan anaknya itu ya?

Bukan ikan ya, buaya! Anda tontonlah video mereka di sini.

Mustahil untuk mencapai imuniti kelompok kerana varian Delta – saintis AstraZeneca

0

Seorang saintis yang membantu membangunkan vaksin Oxford/ AstraZeneca tampil dengan mengatakan kini adalah hampir mustahil untuk mencapai imuniti kelompok terhadap virus COVID-19 ekoran munculnya varian Delta yang secara agresif menular.

Sir Andrew Pollard yang merupakan profesor jangkitan pediatrik dan imuniti di Universiti Oxford, juga ketua program vaksin universiti berkata demikian dalam mesyuarat parlimen United Kingdom, bahawa ketahanan varian Delta bermakna harapan untuk mencegah penularan virus COVID-19 melalui imuniti kelompok adalah ‘tidak berkemungkinan’.

Sir Andrew Pollard (Gambar Reuters)

Pollard menekankan realiti jangkitan COVID-19 yang berlaku walaupun kepada individu yang telah menerima vaksin penuh, dan mendakwa bahawa nilai ambang imuniti kepompok yang ditetapkan oleh kerajaan seluruh dunia tidak lebih dari sekadar ‘mitos’.

Lebih jelas lagi, beliau mengakui akan kebimbangan kehadiran varian berikutnya yang muncul mungkin “lebih mudah menyebarkannya kepada populasi yang telah divaksin”.

“Masalahnya dengan virus ini adalah yang dia bukan seperti campak. Jika 95 peratus orang telah divaksin campak, maka virus itu tidak dapat menular kepada populasi,” katanya kepada anggota parlimen seluruh parti United Kingdom.

“Kami mengetahui dengan jelas akan koronavirus, bahawa varian ini – varian Delta – akan tetap boleh menjangkiti orang yang telah lengkap divaksinasi, yang bermakna sesiapa sahaja yang masih belum divaksinasi, pada suatu ketika, akan terdedah dijangkiti virus tersebut.”

Gambar Hiasan / Unsplash

Lupakan imuniti kelompok, bersiap sedia dengan endemik COVID-19.

Pada mulanya, kerajaan di seluruh dunia memberi harapan bahawa pemberian vaksinasi akhirnya akan menghasilkan imuniti kelompok dengan keadaan di mana majoriti besar populasi dapat mencapai imuniti kelompok sama ada melalui vaksin atau jangkitan sebelumnya, dan seterusnya melindungi golongan lain yang tidak divaksinasi atau individu yang belum terdedah dengan jangkitan virus.

Tetapi dengan virus COVID-19 dan variannya – terutama Delta – membuktikan bahawa jangkitan masih boleh berlaku di kalangan mereka yang telah divaksinasi, yang nampaknya kebimbangan Pollard mungkin perlu ditimbang berat, sekurang-kurangnya sehingga muncul bentuk penyelesaian yang dapat menjamin penularan akan dapat dihentikan.

“Kami tidak mempunyai apa-apa yang dapat menghentikan virus daripada terus tersebar menjangkiti orang lain,” akui Pollard.

Ramai pakar juga mengatakan perkara yang sama akan kemungkinan virus COVID-19 menjadi endemik – yang bermaksud ia tidak akan hilang dan terus berada dalam masyarakat seperti selesema atau flu.

Gambar Hiasan / Unsplash

Dalam senario seperti itu, nampaknya vaksin masih merupakan jalan keluar yang paling tepat untuk melindungi sebahagian besar populasi.

Walaupun pemberian vaksinasi COVID-19 ketika ini tidak menghilangkan kemungkinan seseorang masih boleh dijangkiti, data terkini menunjukkan bahawa individu telah divaksin yang dijangkiti berkemungkinan besar akan kurang mengalami gejala yang teruk, dimasukkan ke hospital, atau meninggal dunia.

Kajian terbaru yang dilakukan oleh Imperial College London menunjukkan individu divaksinasi sepenuhnya yang berusia antara 18 hingga 64 tahun mempunyai risiko 49 peratus lebih rendah untuk dijangkiti berbanding dengan individu yang tidak divaksinasi.

Selain itu, hasil kajian juga mendapati individu yang diberi vaksin sepenuhnya mempunyai risiko 50 peratus lebih rendah untuk dijangkiti penyakit ini setelah bersentuhan dengan seseorang yang positif atau memiliki virus tersebut.

Gambar Hiasan / Unsplash

Yang bermakna mereka yang secara fizikal perlu menerima vaksin apabila sudah tersedia adalah dinasihatkan untuk wajib mendapatkannya, terutamanya apabila untuk mempertimbangkan faedah utamanya demi melindungi orang sekeliling yang masih belum menerima vaksin atau tidak mampu berbuat demikian ekoran keadaan fizikal tidak mengizinkan.

Semoga penyelidikan vaksin COVID-19 akan segera menghasilkan versi vaksin terbaik dan berkesan imun kepada semua semasa ditawarkan, yang sepenuhnya dapat mencegah penularan virus dengan cara yang sama seperti mana penghasilan vaksin yang mana dapat menghentikan penyebaran penyakit polio dan cacar.

Muhyiddin Yassin letak jawatan sebagai Perdana Menteri

0

Tan Sri Muhyiddin Yassin sah telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri setelah surat perletakan jawatannya itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi oleh Istana Negara di laman Facebook.

Istana Negara/Facebook

Istana Negara/Facebook

Perletakan jawatan itu turut mengambil kira jawatan keseluruhan Jemaah Menteri di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa hari ini.

Susulan daripada keputusan itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan agar Tan Sri Muhyiddin menggalas tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

AP

Terdahulu, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini gagal menarik kerjasama antara parti-parti pembangkang untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN).

AP

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Jemaah Menteri atas khidmat bakti yang dicurahkan selama mentadbir negara sejak 1 Mac tahun lalu.

Malah Baginda turut menyatakan bahawa pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 bukanlah satu pilihan terbaik memandangkan negara masih lagi bergelut dalam memerangi COVID-19.

Gempa bumi melanda Haiti, sekurang-kurangnya 304 maut dan 1,800 cedera

0

Gempa bumi melanda bandar Saint Louis du Sud di barat daya Haiti dengan kekuatan 7.2 skala Richter pada 14 Ogos telah mengorbankan sekurang-kurangnya 304 orang manakala 1,800 dilaporkan cedera. 

Anggota penyelamat kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap dalam banyak bangunan yang musnah teruk akibat bencana.

Negara kepulauan Caribbean ini masih dalam pemulihan selepas dilanda gempa bumi terburuk pada tahun 2010.

Twitter

Pusat gempa yang menggegarkan kediaman sehingga memaksa penduduk setempat melarikan diri, berlaku kira-kira 125 kilometer di sebelah barat daya ibu negara Haiti, Port-au-Prince dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

“Banyak rumah musnah, orang mati dan cedera di hospital,” kata salah seorang mangsa Christella Saint Hilaire kepada AFP.

“Saya berada dalam rumah ketika gempa berlaku. Saya berada dekat tingkap dan saya melihat semua benda jatuh. Bahagian dinding yang roboh menimpa belakang saya, tetapi tidak mencederakan saya,” katanya.

Seorang saksi yang berkongsi beberapa gambar di media sosial menunjukkan gempa bumi itu merosakkan sekolah termasuk rumah di semenanjung barat daya Haiti.

Menurut pejabat pertahanan awam negara itu, beberapa jam selepas gegaran, jumlah kematian meningkat kepada 304 orang dari 29 kematian yang disahkan.

Agensi itu melaporkan ribuan mangsa tercedera dan hilang serta 160 orang maut di selatan negara itu iaitu di pusat gempa.

“Respons awal oleh penyelamat profesional dan orang awam, ramai orang ditarik dari runtuhan. Hospital terus menerima mangsa yang tercedera,” tambahnya.

Ekoran ribuan orang yang cedera, hospital di wilayah paling teruk terjejas akibat dilanda gempa berusaha untuk memberikan rawatan kecemasan.

Hospital di perbandaran Les Cayes, Pestel, Corailles dan Roseaux telah dipenuhi pesakit dan mangsa yang cedera, menurut Ketua Agensi Pertahanan Awam, Jerry Chandler.

Haiti mengisytiharkan darurat negara susulan bencana yang melanda dan pegawai Rumah Putih berkata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sudah meluluskan bantuan segera ke negara itu.

“Dalam masa yang cukup mencabar bagi penduduk Haiti, saya sedih dan bersimpati dengan gempa bumi dahsyat yang berlaku,” kata Biden sambil menambah Amerika Syarikat bersedia untuk menilai jumlah kerosakan dan membantu dalam usaha memulihkan kembali negara berkenaan.

Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry, yang meninjau kawasan dan kerosakan akibat bencana dengan menaiki helikopter telah mengisytiharkan darurat selama satu bulan.

“Perkara paling penting adalah memastikan kita menyelamatkan seberapa ramai yang masih hidup di bawah runtuhan bangunan. Hospital memaklumkan yang berlaku kesesakan dengan mangsa yang cedera dan patah tulang,” katanya.

Beliau turut menyeru penduduk terjejas dan rakyat negara itu supaya bersolidariti dan tidak panik dengan bencana yang berlaku.

Diambil dan dijaga oleh seorang gadis, setiap hari anjing ini berikan hadiah dan kejutan buat tuannya

0

Sebenarnya banyak haiwn yang tahu berterima kasih dan menghargai tuan mereka atau siapa sahaja yang berbuat baik kepada mereka. Mereka mungkin tidak boleh mengatakannya secara lisan tetapi mereka boleh melakukan sesuatu sebagai ucapan terima kasih.

Itulah yang dilakukan oleh seekor anjing bernama Levi yang dahulunya adalah seekor anjing liar tetapi ini telah diadopsi oleh seorang gadis. Jadi, untuk mengungkapkan rasa terima kasihnya kepada tuan barunya, Levi akan menyambut kepulangan tuannya setiap hari di muka pintu. Tidak hanya itu, dia juga sering memberikan kejutan kepada tuannya.

Menurut gadis tersebut dia sering mendapatkan kejutan daripada anjingnya. Apabila pulang ke rumah dia sering mendapatkan hadiah daripada Levi. Ada sahaja barangan yang dibawa oleh Levi dengan menggunakan mulutnya dan diberikan kepada tuannya.

Kadang-kadang itu adalah mangkuk nasi, kadang-kadang lalang di halaman belakang, kadang-kadang mainan sendiri, selimut atau apa sahaja yang ditemuinya. Bahkan ada sebatang kayu besar yang dia tidak tahu dari mana asalnya telah dibawa pulang oleh anjing kesayangannya.

Apa yang lebih comel, terkadang Levi sekali-sekala mengambil bunga dan memberikannya kepada tuannya. Namun, kadangkala Levi mengambil baja yang diletakkan di halaman rumah untuk diberikan kepada tuannya. Levi mungkin tidak tahu apa yang dilakukan tetapi dia tidak sabar untuk dipuji oleh tuannya.

Hanya tidur di atas jalan setiap hari, kucing jalanan ini akhirnya diselamatkan dan gembira sambil menunggu diambil keluarga angkat

0

Tidak semua kucing bertuah mendapatkan tuan yang baik atau tempat tinggal yang hangat dan nyaman. Ada yang terpaksa tinggal di jalanan dan makan apa sahaja sisa yang ada. Mereka juga sering dilihat sebagai kucing jalanan yang kotor dan liar.

Namun begitu, tidak semua kucing jalanan adalah liar dan tidak suka bergaul. Sebenarnya banyak antara mereka yang sangat peramah dan manja. Menurut pengalaman seorang aktivis haiwan di Florida, Carmen Weinberg, dia pernah terjumpa seekor kucing jalanan yang sedang tidur di jalan di sebuah taman di negeri itu.

Kucing itu dilihat agak pendiam dan berkelakuan baik, tetapi kelihatan sangat sunyi. Carmen perlahan-lahan melangkah ke arahnya dan cuba untuk menyentuhnya. Tanpa diduga, kucing itu sama sekali tidak takut kepada orang dan segera bangun dan mendekati Carmen untuk diusap.

Carmen kemudian mencari orang yang menjaga kucing tersebut dan mendapati kucing tersebut sebenarnya dijaga oleh seorang penduduk yang tinggal di kawasan tersebut. Namun begitu, di situ terdapat banyak kucing liar dan kadang-kala penjaga kucing itu tidak sempat menjaga kucing tersebut.

Carmen kemudian memutuskan untuk membawa kucing tersebut kepada pusat pelindungan lain supaya dapat dijaga sepanjan masa. Di sana kucing tersebut pasti akan dijaga selain mendapatkan makanan dan minuman yang diperlukan. Dia juga akan dirawat.

Ketika Carmen datang ke taman itu mengambil kucing tersebut dia sedang tidur. Kucing tersebut walau bagaimanapun tersedar tetapi tidak meawan seolah-olah bersetuju untuk mengikuti Carmen pergi dari tempat itu.

Carmen mengambil kucing itu dan memasukkannya ke dalam sangkar. Ketika menaiki kereta, kucing itu sedikit gementar, tetapi sebaik sahaja sampai di rumah dia mula berehat.

Kucing itu kemudian diberi nama Millie. Carmen melihat Millie sepertinya sangat suka degan persekitaran barunya yang hangat. Di situ Millie mendapatkan makanan yang cukup dan enak. Millie kelihatan sangat gembira tinggal di situ.

Malam itu, kucing Millie akhirnya tidak perlu tidur di lantai konkrit yang sejuk, tetapi tidur di atas katil yang selesa.Dia tidur dengan nyenyak seolah-olah dia tidak pernah tidur dengan nyaman sebelum ini.

Sehari setelah diselamatkan, Millie dipindahkan ke tempat perlindungan kucing. Terdapat ramai sukarelawan di sana, dan kucing-kucing di sana mendapat rawatan perubatan yang lebih baik dan berpeluang mencari rumah keluarga angkat.

Kini Millie hidup dengan baik, dia tidak perlu lagi risau tentang makanan dan tempat tinggal, dan akan menemui keluarga angkat yang sudi menjaganya tidak lama lagi.

Walaupun bawa 6 ekor anak di belakang badan, oposum ini bijak seimbangkan badan di atas wayar

0

Setiap ibu pastinya mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mereka bahkan sanggup untuk melakukan apa sahaja supaya anak mereka selamat dan berada dalam keadaan terbaik.

Contoh terdekat ialah oposum ini yang jelas sekali sangat berhati-hati ketika membawa anak-anaknya yang berada di belakang badannya. Tentunya bukan mudah untuk ‘mengangkut’ sebanyak 6 ekor anak di belakang belakang, tambahan lagi mereka perlu berjalan di atas wayar yang sangat tinggi kedudukannya.

Namun begitu, kegigihan si ibu dan kepandaiannya dalam menyeimbangkan badan adalah sesuatu yang cukup luar biasa. Dengan beban yang berat di atas badan dia tetap bijak untuk seimbangkan badannya ketika berada di atas wayar dan akhirnya kesemua anaknya berjaya dipindahkan.

Bukan mudah untuk jalan di atas wayar seperti itu dengan 6 ekor anak yang dibawa bersama, tetapi percaya atau tidak ibu oposum ini berhasil melakukannya!

Tonton video di sini.

Walaupun setelah divaksin, seseorang masih boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain dengan varian baru COVID-19

0

KUALA LUMPUR- Sejak akhir-akhir ini kes jangkitan COVD-19 di Malaysia sudah mencapai angka 21,000 kes setiap hari. Walaupun program vaksinasi negara semakin rancak namun kemungkinan jangkitan adalah masih tinggi malah penyebaran virus semakin membimbangkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham, orang yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Jadi, orang ramai terus dinasihati untuk terus berjaga-jaga dan memakai pelitup muka. Langkah tersebut bukan sahaja melindungi mereka daripada jangkitan malah dapat mengelakkan orang lain daripada dijangkiti.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham, Cycle Threshold (CT) value ataupun “nilai kitaran ambang” dalam ujian RT PCR yang amat rendah biasanya menunjukkan bahawa kemungkinan besar virus dalam badan merupakan varian Delta.

Menurut Dr Noor Hisham, dalam menghadapi gelombang kedua wabak Covid-19, jarang berlaku nilai CT kurang daripada 20, namun kebelakangan ini kerap wujud nilai CT 12 dan 13, kemungkinan ia adalah varian Delta.

Beliau juga mendedahkan bahawa Kementerian Kesihatan telah meramalkan bahawa jumlah wabak domestik akan secara beransur-ansur merosot pada 24 Jun, namun wabak itu telah melonjak, ia kemungkinan disebabkan varian Delta.

Beliau menegaskan bahawa banyak kajian telah menunjukkan bahawa varian Delta lebih mudah untuk menular, termasuk kajian oleh Pusat A.S. untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit, yang menunjukkan bahawa varian Delta menular seperti cacar air. Hal ini boleh menyebabkan seramai 18 orang boleh dijangkiti hanya berpunca daripada seorang yang dijangkiti cacar air.

Tidak hanya itu, Dr Noor Hisham juga mengatakan bahawa pihak KKM telah
menerima kajian dari China yang menunjukkan bahawa varian tersebut boleh membawa 1,200 kali lebih banyak virus di dalam badan daripada biasa.