Seorang rakyat Malaysia dilantik sebagai profesor urologi di Universiti Cambridge, yang pertama dalam bidang ini selama sejarah 812 tahun institusi berkenaan.
Profesor Vincent J. Gnanapragasam merupakan profesor urologi pertama yang dilantik oleh universiti kedua tertua di dunia itu, demikian menurut rekod universiti.
“Sejauh yang saya dapat cari menerusi rekod perpustakaan Universiti Cambridge, belum ada Profesor Urologi di universiti sebelum ini, jadi saya percaya saya adalah yang pertama,” kata Profesor Vincent, yang pernah menjadi pensyarah dengan universiti itu sejak 13 tahun yang lalu.
Profesor Vincent juga merupakan pakar urologi perunding kehormat di hospital universiti.
Perjalanan kariernya di United Kingdom bermula ketika beliau mendaftar di sekolah perubatan di Newcastle pada tahun 1988 dan lulus dengan PhD.
Sebelum itu, beliau memulakan pendidikan awal di SK La Salle Petaling Jaya sebelum melanjutkan pendidikan sekolah menengah di Singapura.
“Kepakaran saya adalah dalam pengkhususan barah prostat, mengkaji penyakit, dan pengurusan ke atas pesakit,” katanya.
“Saya dilantik sebagai saintis klinikal di sana melalui penghargaan peribadi dari Cancer Research UK dan berpindah ke Cambridge pada tahun 2008,” tambah Profesor Vincent.
Profesor Vincent yang berusia 52 tahun berasal dari Petaling Jaya, berkata perjalanannya ke jawatan profesor berada di luar kebiasaan kerana kini universiti memutuskan untuk menukar gelaran pegawai akademik dari “Reader” kepada “Profesor Universiti”.
“Saya dinaikkan pangkat menjadi Reader pada tahun lalu. Ini adalah gelaran akademik yang telah wujud di Universiti Cambridge selama beratus-ratus tahun,” jelasnya.
“Tahun ini universiti memutuskan untuk menukar gelaran akademik rasmi mereka dan Reader kini dianggap Profesor, oleh itu gelaran rasmi saya adalah Profesor Urologi,” tambah Profesor Vincent, yang dilantik jawatan itu pada awal Oktober.
Pencapaian beliau dalam bidang ini termasuk mencipta alat yang dapat melakukan biopsi prostat untuk lelaki yang disyaki mengidap barah prostat dengan lebih selamat.
Alat yang dinamakan CamProbe itu mempunyai risiko jangkitan lebih rendah dan dilakukan di bawah ‘local anaesthetic’ menggunakan laluan transperineal (kawasan di bawah testis).
Ciptaan alat ini bersifat transformatif kerana diagnosis prostat semasa memerlukan jarum biopsi yang perlu melalui dinding usus untuk mencapai ke prostat. Ini boleh menimbulkan risiko jangkitan bakteria dari dalam usus memasuki sistem urin dan aliran darah.
“Kemahiran, bakat dan inovasi boleh datang daripada siapa sahaja. Tiada sesiapa yang boleh dihalang peluangnya untuk merealisasikan potensi diri dengan sepenuhnya. Perlu melalui pelbagai cabaran, persaingan dan kesukaran, baharu seseorang akan memperolehi sesuatu yang bermakna,” katanya.
Menurut laman web universiti, Profesor Vincent juga memiliki beberapa paten dan telah memenangi pelbagai anugerah untuk penyelidikannya.
Ini termasuk anugerah CE Alken, Pingat Persatuan Penyelidikan Urologi, Profesor Hunterian dan Anugerah Naib Canselor Universiti Cambridge untuk Impak Penyelidikan (Penyelidik Ditubuhkan).
Majoriti kita lazimnya amat menggemari makanan laut misalnya ketam, kerang, udang, sotong, lala dan sebagainya.
Namun proses mengeluarkan isinya agak payah bukan? Ia ternyata melambatkan proses memasak seterusnya terutamanya jika melibatkan makanan laut bercengkerang seperti kerang ataupun lala.
Beberapa hari lalu, tular video kemunculan beberapa ekor gajah dipercayai di Taman Bandar Tiram, Johor Bahru.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, pihaknya mengesahkan rakaman video CCTV tersebut di kediaman penduduk yang tular di laman media sosial.
Kejadian difahamkan berlaku pada jam 5:17 pagi pada 19 Oktober lalu, melibatkan 2 ekor gajah berkeliaran dari Batu 14 Setengah Sungai Tiram ke kawasan belakang Pulada.
Tambahnya, haiwan liar tersebut juga dipercayai melintasi Taman Perumahan Bandar Tiram.
“Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Bahru, mereka mendapat makluman daripada orang awam berkaitan gajah berkenaan pada 8.30 pagi”.
Namun setakat ini, polis masih tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda awam mahupun kemalangan jiwa di kawasan tersebut.
Selain gajah berkenaan, pihak Perhilitan juga difahamkan sedang mencari seekor harimau yang turut tular di laman media sosial.
Individu yang lengkap menerima 2 suntikan dos vaksin jenis Sinovac sekurang-kurangnya 3 bulan lalu akan diberi dos penggalak jenis Cominarty (Pfizer) secara heterologous.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dos penggalak itu akan diberikan kepada individu berusia 60 tahun ke atas sebagai permulaan berikutan saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Pemberian dos penggalak secara heterologous ini adalah secara penggunaan ‘off-label’ dan dijadikan sebagai cabang kajian dalam kajian The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination (RECoVaM) serta kajian kesan advers serius selepas vaksinasi (SAFECOVAC) kepada semua penerima”.
Ujarnya lagi, pemberian dos penggalak akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
Individu yang layak juga akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera dan khidmat pesanan ringkas (SMS) buat individu yang tidak mempunyai aplikasi berkenaan.
Kaedah temujanji pemberian dos penggalak ini akan ditambah baik daripada masa ke masa dan tidak lama lagi, individu boleh membuat janji temu menerusi sistem yang sedang dibangunkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Baru-baru ini, pelakon Alec Baldwin dikatakan menembak sepucuk pistol ‘prop’ ketika berada di set pengambaran sebuah filem sehingga membunuh seorang sinematografi.
Pengarah filem tersebut juga dikatakan mengalami kecederaan. Ekoran kejadian tersebut pihak berkuasa kini menjalankan siasatan untuk mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku.
Halyna Hutchins, sinematografer di Rust, dan pengarah Joel Souza ditembak pada hari Khamis di sebuah padang pasir di Santa Fe.
Jurucakap Syerif Daerah Santa Fe, Juan Rios berkata, detektif sedang menyiasat jenis peluru yang telah dilepaskan dan bagaimana tembakan dilakukan. Walau bagaimanapun, tiada tuntutan segera yang dibuat.
Tidak jelas apakah Baldwin tampil pada saat penembakan atau berapa banyak peluru ditembak. Tidak banyak yang diketahui mengenai senjata tersebut.
Baldwin kemudian membuat ciapan di Twitter dengan menyatakan ucapan takziah kepada keluarga Hutchins dan menyebut tembakan itu sebagai sebuah kemalangan.
1- There are no words to convey my shock and sadness regarding the tragic accident that took the life of Halyna Hutchins, a wife, mother and deeply admired colleague of ours. I'm fully cooperating with the police investigation to address how this tragedy occurred and
“Tidak ada kata-kata untuk menyampaikan rasa terkejut dan sedih saya mengenai kemalangan tragis yang meragut nyawa Halyna Hutchins, seorang isteri, ibu dan rakan sekerja kami yang sangat dikagumi. Saya bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan polis,” tulisnya di Twitter.
“Hati saya hancur untuk suaminya, anak lelaki mereka, dan semua yang mengenali dan menyayangi Halyna.”
2- I am in touch with her husband, offering my support to him and his family. My heart is broken for her husband, their son, and all who knew and loved Halyna.
Pelakon berusia 63 tahun yang terkenal dengan wataknya dalam filem 30 Rock dan The Hunt For Red October kelihatan seolah-olah kebingungan ketika dilihat di luar pejabat sheriff.
Hutchins, 42, telah dihantar ke hospital, di mana dia disahkan meninggal dunia. Souza, 48, dibawa dengan ambulans ke pusat perubatan.
“Butirannya tidak jelas pada masa ini, tetapi kami sedang berusaha untuk mengetahui lebih lanjut, dan kami menyokong siasatan penuh terhadap peristiwa tragis ini,” kata presiden Persatuan Sinematografi Antarabangsa, John Lindley dan pengarah eksekutif, Rebecca Rhine dalam satu kenyataan.
Timbalan Syerif memberi maklum balas kira-kira pukul 2 petang kepada panggilan kecemasan 911 yang diterima dari set filem di Ladang Bonanza Creek.
Kawasan ladang tersebut dikatakan telah digunakan untuk puluhan filem, termasuk Tom Hanks Western News Of The World baru-baru ini.
“Siasatan ini tetap terbuka dan aktif,” kata Rios dalam satu kenyataan.
“Tiada pertuduhan difailkan berhubung kejadian ini. Saksi terus ditemu ramah oleh detektif. “
Hutchins, lulusan 2015 dari Institut Filem Amerika, bekerja sebagai pengarah fotografi pada filem aksi Archenemy 2020, yang dibintangi oleh Joe Manganiello. Dia dinamakan “bintang yang semakin meningkat” oleh American Cinematographer pada 2019.
“Saya sangat sedih kehilangan Halyna. Dan sangat marah bagaimana kejadian ini boleh berlaku di set,” kata pengarah Archenemy Adam Egypt Mortimer di Twitter.
Sebelum ini Baldwin pernah bekerjasama Souza dalam filem Crown Vic pada 2019. Filem pertama yang dikreditkan oleh Souza, Hanna’s Gold pada tahun 2010, adalah pengembaraan harta karun yang menampilkan pelakon Luke Perry.
JOHOR BAHRU- Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi keadaan kesihatan menerusi status ‘Insta Story’ milik baginda dengan mengatakan bahawa baginda dijangkiti Covid-19.
“2 weeks of covid, and now, (dua minggu kena Covid dan sekarang).
“Few weeks ‘down time’ physically and psychologically, thank you for well wishes, but now. (beberapa minggu berehat fizikal dan psikologi, terima kasih atas ucapan doa, tapi sekarang),” tulis baginda.
Tunku Ismail turut berkongsi bahawa baginda kini sudah kembali sembuh.
Umum mengetahui reptilia buaya bersifat sangat liar, agresif dan berbahaya. Sekiranya manusia terserempak dengan buaya, majoriti akan bertindak untuk mengelak atau menghindari.
Kisah yang agak berlainan apabila seorang nelayan dari Costa Rica telah menyelamatkan nyawa seekor buaya yang cedera. Mereka telah hidup saling memerlukan selama lebih 20 tahun, menjadikan hubungan legenda antara manusia dan buaya ini begitu luar biasa.
Pada tahun 1989, nelayan muda bernama Chito telah menemui buaya yang cedera parah di tepi sungai Parasmina di Costa Rica. Dilaporkan pada ketika itu seorang petani bimbang haiwan ternakannya akan diserang oleh seekor buaya lalu dia telah menembaknya.
Mata kiri buaya itu telah ditembak. Chito terserempak dengan buaya itu yang berbaring dalam keadaan tenat di tebing sungai, menunggu ajal. Chito tidak sanggup melihatnya, dan segera mahu menyelamatkannya dengan bantuan rakan-rakan. Buaya itu dibawa naik ke dalam bot dan Chito membawanya pulang untuk memberinya rawatan sehingga sembuh.
Chito menamakan buaya itu Pocho dan menjaganya dengan baik. Bahkan pada waktu malam, Chito akan menemani Pocho dengan tidur bersamanya. Chito berkata kepadanya yang dia tahu Pocho telah dicederakan oleh manusia dan tanpa putus asa terus berbual dengannya.
“Pada mulanya saya memberinya makanan dan dia enggan makan, sehingga pada satu hari dia akhirnya menerima makanan yang diberikan. Saya cuba menyentuh dan bercakap dengannya, dengan harapan dia dapat merasakan yang saya mengambil berat dan mahu memberitahunya tidak semua manusia itu membahayakan,” kata Chito.
Setelah beberapa bulan, keadaan fizikal Pocho beransur pulih, dan Chito membawanya ke sungai berdekatan untuk membebaskannya ke alam liar. Tanpa menyangka pada keesokan hari Pocho berjalan kembali mengikuti bau Chito dan muncul di hadapan beranda rumah Chito.
Chito amat terkejut dengan berkata, “Saya fikir pada masa itu juga, mungkin buaya ini dapat dijinakkan dengan beberapa kali percubaan.”
Dan sungguh mengagumkan kerana pada setiap kali Chito memanggil nama Pocho, seperti dia memahaminya, tidak ubah seperti haiwan peliharaan kucing dan anjing yang bergegas mendakap pemiliknya.
Chito berusaha keras untuk menjinakkan Pocho dan merapatkan hubungan dengan buaya istimewa itu sehingga sanggup menceraikan isteri pertamanya kerana itu.
“Dia tidak memahami diri saya dan menganggap saya menghabiskan terlalu banyak masa dengan Pocho, jadi saya tidak peduli. Saya boleh mencari isteri yang lain. Boleh mencari pasangan lain, tetapi Pocho ini unik, hanya ada satu di dunia,” katanya.
Chito berkahwin semula tidak lama kemudian dengan isteri yang lebih memahami dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan. Sudah pasti yang dia tidak pernah menyesal dengan keputusannya untuk mengeratkan hubungannya dengan Pocho pada masa itu.
Pada mulanya, Chito bimbang sekiranya Pocho buaya peliharaan ini ditemui oleh pihak berkuasa, maka dia akan dibawa pergi. Jadi Chito melindunginya secara senyap-senyap di dalam sebuah kolam di hutan berdekatan rumahnya, tetapi masih memikirkan amat berisiko Pocho akan dirampas pihak berkuasa.
Menurut undang-undang Costa Rica, Chito perlu mendapatkan permit dan kebenaran memelihara haiwan reptilia ini dari Kementerian Alam Sekitar negara itu.
Selepas membuat permohonan, kerajaan akhirnya bersetuju untuk membenarkan Chito menjaga dan memelihara Pocho di bawah pengawasan pegawai kementerian berkenaan. Setelah kisah hubungan luar biasa Chito dan Pocho tersebar dengan meluas dalam laporan media tempatan, mereka turut menjadi terkenal di Chile, Amerika Syarikat, United Kingdom bahkan di seluruh dunia.
Ramai pelancong mula berkunjung ke Costa Rica untuk melihat Pocho, jadi Chito mula mengadakan pertunjukan interaktif secara kecil-kecilan bersama Pocho pada setiap hujung minggu, dengan mengenakan bayaran kepada pengunjung sebanyak AS$2 (RM8.00) seorang sebagai ganjaran jasa baik haiwan itu menghiburkan mereka.
“Pocho kawan baik saya. Saya tidak mahu menggunakannya sebagai hamba. Beri layanan dengan cara yang sama seperti saya manusia, dan saya tidak akan mengeksploitasinya,” tegas Chito mengenai bayaran itu.
Selain memahami namanya yang dipanggil oleh Chito, Pocho juga suka memeluk dan mencium Chito, malahan dia amat menyukai ketika Chito menyentuh perutnya. Bukan sahaja para pelancong suka melihat Pocho dengan sifat jinak dan penyayangnya yang mengagumkan, malahan para saintis dan pakar tingkah laku haiwan juga musykil ingin membuat kajian.
Seorang penerbit filem dari Afrika Selatan, Roger Horrocks, membuat filem dokumentari “The Man Who Swims With Crocodiles” mengenai Chito dan Pocho. Dalam dokumentari itu, Roger berspekulasi yang Pocho mungkin boleh menjadi jinak dan hilang naluri memburu disebabkan oleh luka tembakan yang menembusi otaknya. Roger berpendapat yang Pocho mungkin akan kembali ke alam liar pada suatu hari nanti.
Tetapi Chito sendiri telah memilih untuk mempercayai persahabatannya dengan Pocho ketika berkata, “Sekiranya saya dan Pocho tidak dapat menjalin hubungan baik, saya mungkin telah diserang dan saya boleh akur menerima hakikat itu dalam masa-masa awal dua atau tiga tahun, tetapi kami telah hidup bersama selama 20 tahun.”
Chito terus mengukuhkan kepercayaan dan hubungannya bersama Pocho. Buaya Pocho hidup dengan baik bersama hatinya yang damai dan lembut sehingga akhir hayat. Pocho menghembuskan nafas yang terakhir kerana sakit tua pada 11 Oktober 2011. Pakar haiwan menganggarkan usia Pocho adalah sekitar 60 tahun ketika dia meninggal dunia.
Chito mengadakan upacara pengebumian khas secara besar-besaran untuk Pocho pada hari itu. Semasa hari upacara pengebumian, ramai penduduk tempatan telah hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada buaya teramat istimewa ini.
Chito begitu sedih dan terus menangis pada hari pengebumian Pocho. Baginya, Pocho seperti ahli keluarga sendiri, yang tiada galang ganti.
Setelah kematian Pocho, Chito masih berkomitmen untuk memberitahu kisah buaya hebat bernama Pocho, dengan harapan untuk mengingatkan dunia bahawa terdapat buaya berhati lembut dan amat bersyukur pernah hidup dengan harmoni bersama manusia di dunia ini.
Dua tahun kemudian, Chito dilaporkan terus melatih buaya lain sebagai haiwan peliharaan. Seekor buaya yang diadopsi telah dinamakan sebagai Pocho II.
Tetapi semua orang percaya dalam hati Chito, seekor buaya unik sungguh istimewa, yang jinak dan lembut bernama Pocho tidak pernah dapat diganti sekali lagi.
Rakaman pembesar suara megafon ini lazimnya digunakan oleh pihak berkuasa tempatan mahupun agensi kerajaan yang lain untuk menyampaikan maklumat kepada awam secara bergerak.
Namun tidak terlintas dek akal apabila ianya digunakan untuk mempromosikan ais krim bata. “Perhatian, ais krim bata kini berada di kawasan anda dengan 6 jenis flavour”.
Ada perisa coklat, strawberi, durian, vanila, keladi dan jagung..
Pasti penduduk di sana terpinga-pinga tatkala pertama kali mendengar ‘pengumuman’ sedemikian. Rupa-rupanya promosi jualan ais krim!
Berikutan tularnya video tersebut, rata-rata pengguna Facebook turut berkongsi pengalaman lucu melibatkan jualan ais krim bata tersebut.
China memenjarakan 20 individu kerana rasuah menyebabkan hotel yang digunakan untuk kuarantin runtuh di China pada tahun lalu.
Kejadian itu menyebabkan kemarahan umum di dalam talian memandangkan standard bangunan yang buruk di negara berkenaan.
Gara-gara kejadian itu, 29 mangsa dilaporkan mati manakala 50 lagi cedera apabila Hotel Xinjia di bandar Quanzhou, China runtuh.
Ketika itu, hotel 66 bilik berkenaan menampung puluhan individu yang diperintahkan untuk kuarantin setelah mereka melawat kawasan yang tinggi kadar jangkitan kes COVID-19.
Siasatan rasmi kemudian mendapati 3 tingkat telah ditambah secara haram pada struktur 4 tingkat yang asal, serta juruaudit keselamatan telah bekerjasama dengan pemilik hotel untuk membuat laporan palsu mengenai bangunan itu.
Pemilik hotel, Yang Jinqiang telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana menyebabkan kemalangan serius, memalsukan dokumen rasmi serta menawarkan rasuah.
Manakala 12 individu lain dijatuhi hukuman penjara antara 2 setengah tahun hinggalah 13 tahun atas kesalahan serupa.
Selain itu, tujuh pegawai awam dijatuhkan hukuman penjara antara dua tahun dan lebih dari enam tahun kerana melakukan jenayah termasuk rasuah dan pengabaian tugas.
Pengguna media sosial pada masa yang sama turut mengecam kelaziman bangunan China yang dibina dengan teruk kekerapan runtuh yang relatif.
Bangunan runtuh ataupun kemalangan sebegitu adalah perkara lazim yang berlaku di China, lazimnya disebabkan oleh standard pembinaan yang lemah.
Pada bulan Julai lalu, sebuah hotel bajet di bandar timur Suzhou juga runtuh dan meragut 17 nyawa.
Pencinta haiwan lazimnya tidak sanggup membiarkan apa-apa jenis haiwan dibiarkan begitu sahaja, lebih-lebih lagi jika masih kecil.
Itulah yang dirasai oleh wanita bernama Nikki Robinson ini apabila dia ternampak seekor rakun yang hanya berusia 4 minggu bersendirian di tepi sebatang jalan pada suatu hari.
“Ia amat menyentuh hati saya. Saya tidak boleh membiarkan sahaja ianya berlaku”, kata Nikki. Oleh kerana Nikki agak sibuk bekerja, ibunya Linda membantu memberikan susu pada rakun terbabit.
Rakun yang diberi nama Little Hands itu diberikan susu menerusi botol sebanyak 5 kali sehari, sekaligus membuatkan Linda berasa bahawa dialah ibu kepada Little Hands.
“Kali pertama ibu saya menyuapkan botol susu padanya, dia berasa ‘cair’ melihat Little Hands. Ibu saya menjaganya dengan rapi. Little Hands sukakan sentuhan maka dengan itu, ikatan antara mereka tercipta”.
Namun demikian, Linda enggan menghalang Little Hands pulang ke habitat asalnya jika rakun itu membesar dengan sihat dan baik.
“Little Hands dibiarkan hidup di luar rumah. Ibu saya meletakkan makanan di luar untuknya. Little Hands bebas ke mana sahaja dan pulang untuk makan sehinggalah dia sudah bersedia untuk meninggalkan kami”.
Sungguhpun sudah bebas hidup di alam liar, Little Hands masih lagi menjenguk keluarga angkatnya itu. Malah rakun comel itu masih lagi manja dan mesra.
“Pernah sekali ibu saya duduk di buaian di luar, Little Hands datang dan duduk di sebelahnya. Apa yang Little Hands mahukan adalah usapan pada dagu dan tubuhnya”.
Pejam celik, sudah 3 tahun Little Hands hidup sendiri di alam liar namun dia masih lagi pulang ke rumah keluarganya itu untuk mendapat pelukan daripada ‘ibunya’.
Difahamkan bahawa Linda turut membawa pulang anak rakun yang ditinggalkan sendirian untuk dijaga buat sementara waktu, samalah seperti Little Hands.
Pada setiap tahun, rakun-rakun tersebut akan dilepaskan semula ke habitat asal dan mereka masih lagi pulang ke rumah Linda kadang kala untuk melawat ‘ibu’ kesayangan.
“Setiap hari, ibu akan duduk di luar dan menunggu. Walaupun kesemua rakun itu sudah pun besar, mereka akan tetap melawat ibu. Ia menggembirakan ibu saya”.
Malah kesemua rakun itu juga sayangkannya. Terima kasih Linda, sifat penyayangnya ternyata memberi sinar hidup buat haiwan-haiwan tersebut.