28.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 11, 2025
Utama Blog Laman 26

Corak pakaian kontinjen negara ke Olimpik kini lebih menyerlah

0

KUALA LUMPUR: Corak pakaian kontinjen negara ke Sukan Olimpik kini lebih menyerlah setelah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil dengan pembaharuan.

HARIAN METRO

MOM memperkenalkan logo baharu dengan memilih corak belang Harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Tan Sri Norza Zakaria selaku presiden MOM berkata beliau percaya bahawa corak baharu yang dipilih itu dilihat lebih segar dan boleh menaikkan semangat juang kontinjen negara.

Menurut Norza, MOM turut mengambil maklum balas orang ramai dengan melakar kembali logo kibaran Jalur Gemilang mengikut warna asal diiringi lima gegelung Olimpik.

“Reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam, dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket.”

“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.”

“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di Kota Paris nanti,” Katanya menerusi kenyataan rasmi MOM.

Dalam pada itu, MOM memaklumkan bahawa kemeja T berkolar berwarna emas akan mengekalkan corak dan motif yang sama namun menggunakan logo Jalur Gemilang dengan warna asal sebagai tanda menghormati bendera negara.

Selain itu, MOM dapat mencapai kata sepakat dengan pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T tersebut.

“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.”

“Maka itu Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa,” Katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan MOM memutuskan untuk menambah baik pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mendapat maklum balas negatif atas corak pakaian terdahulu.

Remaja mahir pengekodan menang pertandingan anjuran Apple

0

Remaja mahir pengekodan menang pertandingan mencipta aplikasi di Swift Student Challenge (SSC) 2024 anjuran syarikat Apple.

SAYS

Nur Alia Jannah, 16 membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk mahir dalam sesuatu perkara jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Alia mampu mencipta Tracklist, sebuah aplikasi ulasan muzik yang berjaya melayakkannya menjadi pemenang cabaran tersebut.

Remaja yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 Shah Alam tersebut dikatakan hanya belajar sendiri pengekodan (coding).

“Saya terlibat dengan pengekodan selepas mengetahui tentang SSC dan terinspirasi dengan aplikasi yang dipamerkan di WWDC 2021,” Kata Alia kepada SAYS.

Menurut Alia, ini adalah kali ketiga dia melibatkan diri dalam pertandingan seumpama ini.

SAYS

Walaupun tidak mempunyai MacBook, namun Alia tidak menjadikan kekurangan itu halangan untuknya mengetahui lebih lanjut mengenai Swift Playgrounds dengan menggunakan iPad.

Selain daripada mahir pengekodan, Alia juga mahir dalam membuat ulasan muzik dan kemahiran itu melayakkannya menjadi pemenang pertandingan berkenaan.

“Pada mulanya saya mereka bentuk aplikasi untuk menjejak lagu tertentu yang saya dengar – seperti ulasan saya tentang koleksi lagu, artis atau lagu. Kemudian barulah saya sedar yang tiada aplikasi direka untuk pendengar mengulas lagu,” Terang Alia.

Tidak seperti buku dan filem masing-masing punya aplikasi ulasan seperti Rotten Tomatoes dan Goodreads. Manakala untuk lagu belum ada aplikasi ulasan yang disediakan.

Melihat kekurangan tersebut sebagai satu peluang, Alia tanpa ragu-ragu mencipta aplikasi Tracklist bagi memudahkan pendengar lagu memberikan ulasan masing-masing.

Aplikasi Tracklist memudahkan pengguna untuk mengulas lagu berdasarkan tajuk, artis, kategori selain membolehkan mereka mencari judul lagu baharu.

Menurut Alia, dia berdepan dengan cabaran teknikal sepanjang tiga minggu lebih menyiapkan aplikasi berkenaan.

SAYS

“Saya kehilangan fail aplikasi saya dan hanya mempunyai kod sandar yang tidak dikemas kini, jadi saya terpaksa membuat semula beberapa bahagian,” Kata Alia.

Remaja mahir pengekodan ini berjaya mencipta aplikasi tersebut dengan sokongan daripada keluarga, kawan-kawan serta nasihat daripada pakar industri.

“SSC mengajar saya bahawa tiada idea yang boleh diperkecilkan malah idea tersebut mampu ditukar menjadi sesuatu yang lebih besar dan bermakna.”

Alia menekankan bahawa ketekalan, keterbukaan pada maklum balas, dan pembelajaran berterusan adalah prinsip utama yaang perlu ada dalam komuniti pemaju.

Sokongan daripada syarikat Apple juga penting dalam mencungkil bakat anak muda.

“Penting bagi syarikat seperti Apple untuk mendidik dan menggalakkan pelajar dan guru untuk belajar dan mengajar pengekodan – bahasa teknologi,” Kata Alia.

Untuk makluman, aplikasi Tracklist masih berada dalam fasa beta.

Mangsa banjir Sabah meningkat, dua lagi PPS dibuka ekoran cuaca kekal buruk

0

KOTA KINABALU: Situasi banjir di Sabah semakin buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 328 orang daripada 105 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa kawasan, setakat 4 petang, 1 Julai.

Sebanyak 114 mangsa banjir daripada 42 keluarga direkodkan di dua PPS di Penampang dan Putatan pada pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan dua lagi PPS diaktifkan di Tuaran dan Tamparuli berikutan hujan berterusan melanda beberapa daerah di bahagian pantai barat negeri itu sejak 30 Jun.

Facebook

Sebanyak 29 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh, Tuaran, manakala 18 orang daripada lima keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Balai Raya Kampung Bontoi, dekat Tamparuli.

“Hujan yang berlaku di Tuaran sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar dilanda banjir dan penduduk dipindahkan ke dua pusat transit.

“Namun, akibat peningkatan paras air yang masih tinggi menyebabkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memutuskan membuat pengisytiharan pengaktifan PPS di kedua-dua daerah berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, jumlah mangsa di Penampang turut menyaksikan peningkatan dengan sejumlah 165 mangsa daripada 67 keluarga berlindung di PPS Dewan Kebudayaan Penampang berbanding 112 orang daripada 40 keluarga pada sebelah pagi.

Situasi sama turut berlaku di Putatan apabila 116 mangsa daripada 25 keluarga kini ditempatkan di PPS Dewan Sri Putatan, peningkatan ketara berbanding hanya dua mangsa daripada dua keluarga pada sebelah pagi.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri untuk sentiasa bersiap siaga dan bersedia pada musim hujan.

“Pastikan semua longkang dibersihkan. Jangan tunggu hujan baru ambil tindakan. Kita mesti bersedia setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Pusat Kebudayaan Penampang pada 1 Julai.

Hajiji berkata, kerajaan Sabah dan Persekutuan amat prihatin terhadap mereka yang terjejas akibat banjir kilat dan akan membantu semua mangsa.

Wanita berhati mulia korban pertama banjir di Penampang

0

PENAMPANG: Seorang wanita menjadi korban pertama banjir yang melanda Sabah sejak petang 30 Jun, apabila mangsa dihanyutkan arus deras dan ditemui meninggal dunia selepas menghantar makanan kepada penduduk terperangkap bencana itu pada awal pagi 1 Julai.

Nasib malang menimpa Monica Ting Siew Kwong, 37, ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas keluar bersama suaminya, Hii Ding Wei, 39, yang menghantar makanan kepada penduduk terperangkap banjir di Pekan Donggongon dekat Penampang pada jam 1.40 pagi.

Bornean Mania / Facebook

Ketika perjalanan pulang, pasangan terbabit cuba melalui kawasan ditenggelami banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass, sebelum mangsa dihanyutkan arus deras.

Suaminya cuba membantu dengan menarik tangan mangsa, namun arus deras memisahkan pasangan itu apabila mangsa terlepas daripada tangan suaminya sebelum hanyut sehingga pencarian dijalankan penyelamat.

Suami mangsa turut serta mengikuti operasi mencari dan menyelamat bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Penampang. (Gambar Berita Harian)

Ketua Polis Penampang, Superintendan Sammy Newton, ketika ditemui di lokasi penemuan mangsa, berkata mayat mangsa ditemui tersangkut di celah pokok berhampiran rumah penduduk pada kira-kira jam 8 pagi, 1 Julai di Kampung Hungab, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dihanyutkan arus deras.

Mayatnya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis yang memulakan operasi selepas menerima laporan pada jam 1.45 pagi.

Gambar Berita Harian

Terdahulu, pasukan SAR menjumpai kasut yang dipakai mangsa tidak jauh dari lokasi penemuan mayatnya dan ia menjadi petunjuk yang membantu pencarian mangsa.

Sammy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

Nahas bas persiaran Genting: Pemandu babit 2 maut tiada lesen memandu, miliki 27 rekod saman

0

KUALA LUMPUR: Polis mendapati pemandu bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan dua pelancong warga China di Kilometer (Km) 16.5 Jalan Genting Highlands, Bentong, pada pagi 29 Jun didapati tidak memiliki lesen memandu.

Malah pemandu bas berusia 32 tahun terbabit juga mempunyai 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.

@SinarOnline / X

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kesalahan itu dikesan selepas polis melakukan semakan terhadapnya.

“Kita sedang menjalankan siasatan serta akan mengambil tindakan susulan selepas pemandu bas selesai mendapatkan rawatan.

@SinarOnline / X

“Pada masa ini, pemandu terbabit mengalami kecederaan akibat kemalangan,” katanya kepada media.

Zaiham berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.35 pagi itu bas persiaran yang membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri daripada pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di Km 16.5, jalan turun Genting Highlands, Bentong menuju ke Kuala Lumpur.

@SinarOnline / X

“Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari bas manakala dua lagi penumpang lelaki yang juga pelancong warga China yang dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“13 mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala enam lagi menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya.

Sehubungan kejadian ini polis meminta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan terbaru, pemandu bas persiaran membabitkan kemalangan maut berkenaan telah direman selama 4 hari bermula 30 Jun.

Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada jam 10.30 malam.

Suspek akan direman hingga Rabu, maklumnya.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Zhang Zhi Jie meninggal dunia ketika bertanding menentang Jepun

0

JAKARTA: Zhang Zhi Jie meninggal dunia ketika bertanding menentang Jepun dalam perlawanan Kejohanan Badminton Junior Asia di Yogyakarta pada 30 Jun.

TIKTOK

Pemain badminton muda China itu dilihat tiba-tiba rebah di tengah gelanggang ketika berdepan Kazuma Kawano yang terikat mata 11-11.

Pasukan perubatan bergegas memberikan bantuan kecemasan sebelum Zhi Jie dikejarkan ke hospital berdekatan dengan ambulans.

Walau bagaimanapun, Zhang Zhi Jie tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada pukul 11.20 malam (waktu tempatan).

Badminton Asia dalam satu kenyataan di X menyatakan rasa duka cita serta ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan pemain berusia 17 tahun tersebut.

X

“Dunia bulutangkis kehilangan pemain berbakat.” Katanya.

Sindiket jual daging, tulang harimau tumpas

0

SHAH ALAM: Sindiket jual daging, tulang harimau tumpas menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dekat dua lokasi di Rompin, Pahang pada Khamis.

SINAR HARIAN

Operasi itu dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi operasi itu juga, enam orang suspek warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan hidupan liar berjaya ditahan.

Dikatakan jualan Harimau Malaya atau Harimau Belang (panthera tigris jacksonii) di pasaran gelap boleh mencecah sehingga RM300,000.

Selain daging, anggota badan termasuk kulit, tulang, kuku, misai dikhabarkan kononnya boleh dijadikan ubat.

Menurut Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, dua serbuan dijalankan antara pukul 6 petang hingga 8 malam di kawasan tempat letak kenderaan sebuah premis dan sebuah rumah.

“Antara individu ditahan melibatkan dua lelaki tempatan dipercayai bertanggungjawab mencari pembeli bagi urusan penjualan hidupan liar berkenaan.”

“Selain itu, turut ditahan tiga lelaki Orang Asli dipercayai terbabit dalam membantu aktiviti penjualan hidupan liar serta seorang lelaki tempatan dipercayai menyembunyikan rangka tulang harimau terbabit,” Katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

SINAR HARIAN

Keseluruhan rampasan hasil daripada Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dianggarkan berjumlah lebih RM228,000.

“Antara yang dirampas adalah beg berisi rangka kepala harimau belang selain sebuah lagi beg mengandungi tulang-tulang.”

“Selain itu, turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai digunakan membawa bahagian hidupan liar dilindungi yang mahu dijual kepada sindiket serta beberapa telefon pintar,” Katanya.

Sindiket jual daging, tulang harimau ini ditahan di bawah Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010/ Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022.

“Kita akan meneruskan penguatkuasaan membanteras sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan mempertahankan spesies hidupan liar di Malaysia.”

“Mana-mana individu atau pihak yang menjalankan aktiviti pemburuan haram spesies ini atau jenayah hidupan liar lain agar menghentikan serta-merta aktiviti terbabit,” Katanya.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang jenayah berkaitan hidupan liar ke talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.

Terdahulu, PERHILITAN pernah merekodkan kes penjualan anak harimau hidup dengan harga sekita RM3,000 hingga RM5,000.

Penampang dilanda banjir besar, bekalan elektrik terputus di Kota Kinabalu selepas hujan lebat berterusan

0

KOTA KINABALU: Hujan lebat yang berterusan selama beberapa jam sejak awal petang mencetuskan banjir besar di daerah Penampang dan beberapa kawasan rendah di Kota Kinabalu pada Ahad, 30 Jun.

Terdapat beberapa laporan mengenai kenderaan tidak dapat melalui beberapa jalan kerana paras air banjir terus meningkat berikutan hujan lebat dan air mula naik bermula kira-kira jam 1.30 petang.

Bekalan elektrik terputus di kawasan yang terjejas ekoran paras air banjir yang mula naik dengan mendadak.

Keadaan banjir bertambah buruk berikutan air pasang pada kira-kira jam 4 petang.

Media sosial dibanjiri dengan paparan video rumah dinaiki air, penduduk terjejas berjalan menyusuri air banjir separas pinggang dan leher juga banyak kenderaan hampir ditenggelami air sepenuhnya.

Dalam salah satu video, sebuah kereta dilihat diheret air banjir, dipercayai berada di sebuah kompleks pangsapuri di Penampang.

Penduduk Penampang Lester Dominic Mojiliu berkata dia tidak dapat pulang ke rumahnya di Kampung Tanaki kerana laluan itu tidak dapat dilalui walaupun untuk kenderaan pacuan empat roda.

“Saya diberitahu oleh ahli keluarga dan rakan-rakan banyak kawasan di Penampang dinaiki air,” katanya kepada The Star.

“Saya juga mendengar daripada seorang rakan bahawa isterinya menghubungi cemas apabila kereta yang dinaikinya tiba-tiba terhenti ketika dia memutuskan untuk terus memandu merentas air banjir.

“Isterinya bersama anak-anak mereka tetapi mujurlah suami berjaya ke lokasi dengan segera dan mengeluarkan mereka daripada keadaan itu…arusnya agak deras ketika itu,” tambahnya.

Doktor haiwan Dr Randolf Paza berkata kawasannya di Limbanak, Penampang turut dinaiki air sepenuhnya, manakala bekalan elektrik turut terputus.

Beliau menambah mereka telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kebudayaan Penampang bersama keluarganya, menyelamatkan semua yang termampu.

“Saya berharap keadaan menjadi lebih baik dan tidak bertambah buruk tidak lama lagi,” katanya, sambil menambah ini adalah salah satu insiden banjir terburuk yang pernah dialaminya.

Pengendali Shelter of Hope, Adrienne Godfrey Johniu, yang telah mula membawa kucing dan anjing perlindungannya ke bahagian lebih tinggi di rumah perlindungan haiwan itu apabila banjir mula melanda, dan mendoakan agar cuaca lebih tenang.

Willie Jude yang tinggal di Inanam berkata, kawasannya turut mengalami gangguan bekalan air bermula jam 4 petang.

“Jalan utama kami Jalan Kionsom tidak boleh dilalui semua kenderaan pada pukul 5 petang,” katanya.

Pusat pemindahan sementara (PPS) Penampang dibuka pada jam 5.25 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga mangsa banjir daripada sebuah keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Kebudayaan Penampang pada jam 8 malam.

“Hujan lebat di beberapa daerah menyebabkan kenaikan paras air. Susulan itu, kediaman di beberapa kawasan yang kerap berlaku banjir, telah dinaiki air.

“Agensi penyelamat membuat pemantauan di beberapa kawasan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memaklumkan, beberapa kawasan di Penampang dan Kota Kinabalu mengalami gangguan bekalan elektrik akibat bencana berkenaan.

SESB Careline / Facebook

“Kejadian banjir menyebabkan beberapa ‘feeder’ terpaksa ditutup dan SESB dalam tindakan pembaikan dan seterusnya pemulihan bekalan secara berperingkat. Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati kawasan pepasangan SESB,” kata kenyataan itu.

Menurut SESB lagi, antara kawasan yang terjejas ialah Moyog Water Treatment Plant, Lok Kawi Wildlife Park, Pangkalan Tentera Darat Kem Lok Kawi, dan Pejabat Perhutanan Daerah Kota Kinabalu.

“Dua tiang talian voltan tinggi di Jalan Bingaliu Lokub, Kiulu, turut terjejas akibat tanah runtuh.

“SESB memohon maaf atas segala kesulitan dan menjangkakan ada sedikit kelewatan pembaikan bekalan kerana terlalu banyak laluan ditenggelami air,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Penerangan Sabah / Facebook

Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong, dalam satu kenyataan berasingan pula berkata orang ramai yang terjejas akibat banjir yang diisytihar bencana pada jam 7.25 malam 30 Jun, dinasihatkan untuk berpindah ke PPS atau mana-mana tempat yang lebih selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang itu berkata, penduduk yang memerlukan pertolongan boleh terus menghubungi Pusat Kawalan Bencana Daerah Penampang melalui talian 088-715446, Bilik Gerakan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Penampang (088-701120) atau Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang (088-724569).

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan pula memaklumkan, pihaknya menerima 86 panggilan berkait banjir di Penampang, Tuaran, Inanam dan Menggatal.

“Seramai 55 anggota daripada BBP Kota Kinabalu, Penampang, Lintas dan Tuaran telah bergegas membantu mereka yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Menurut JBPM Sabah, operasi menyelamat giat dijalankan, terutama di kawasan Penampang dan Tuaran, manakala berdasarkan maklumat banyak kawasan terputus jaringan jalan raya tetapi banjir kemudian mulai surut di beberapa kawasan.

Dalam perkembangan terkini, seorang wanita berusia 37 tahun menjadi korban pertama bencana banjir yang melanda Penampang.

Difahamkan, mangsa ditemui akibat lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika sedang melintas bersama suaminya di kawasan banjir persimpangan Jalan Penampang Bypass di Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 10 malam Ahad.

Penganjur mohon maaf, MOM putuskan tambah baik pakaian rasmi Sukan Olimpik

0

KUALA LUMPUR: Penganjur mohon maaf, MOM putuskan tambah baik pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

FACEBOOK

Pengarah urusan MY Creative Moments, Wong Kang Woon dalam satu kenyataan berkata majlis pelancaran itu adalah sebahagian daripada atur cara kemuncak sempena Sambutan Hari Olimpik Sedunia 2024.

“Kami menganjurkan Sambutan Hari Olimpik Sedunia selama tiga hari bermula Jumaat, Sabtu dan seterusnya kemuncaknya pada hari Ahad dan diwarnai dengan majlis pelancaran pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.”

“Objektif kami ialah mengkomersialkan Hari Olimpik Sedunia sebagai satu platform mempromosi fungsi dan tanggungjawab MOM sebagai badan yang memayungi persatuan sukan kebangsaan yang mendaftar dan mengurus Kontinjen Malaysia di semua temasya pelbagai sukan antarabangsa.”

“Kami juga mencetuskan kempen Sokong Kontinjen Malaysia dengan menawarkan tiket ke Paris bagi mana-mana individu terpilih yang membeli baju khas Sokong Kontinjen Malaysia di ‘OlympicMas’ TikTok Shop.”

“Secara keseluruhan sambutan Hari Olimpik Sedunia yang menawarkan beberapa mini permainan seperti ping-pong, hanging man, bola baling dan Giant Jingga berserta reruai makanan menerima kunjungan lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari.”

“Kami juga berkerjasama dengan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk menganjurkan pertandingan bola keranjang 3 v 3, selain MORSA untuk Obstacle Tryout.”

“Kempen Sokong Kontinjen Malaysia juga berjaya kerana kami menjual lebih 4,000 helai baju Sokong Kontinjen Malaysia dan pemenangnya sudah diumumkan,” Kata Wong.

Menurut Wong lagi, sambutan Hari Olimpik Sedunia itu kali pertama diadakan di depan khalayak ramai di pusat membeli-belah sebagai antara usaha membantu MOM mempromosi penyertaan Kontinjen Malaysia ke Paris 2024.

“Kami mencetuskan idea ini dan mendapat mandat MOM tanpa menggunakan dana badan itu sebaliknya kami sebagai pihak ketiga dibenarkan mencari penaja sendiri.”

“Spekulasi bahawa kami dibayar untuk menganjurkan sambutan itu tidak benar kerana kami yang mengeluarkan pelaburan dengan jumlah yang agak besar,” Kata Wong.

Terdahulu, dalam satu kenyataan di media sosial penganjur mohon maaf kepada MOM, Kementerian Belia dan Sukan serta peminat sukan negara atas sebarang kekeliruan yang timbul pada majlis pelancaran itu.

Sementara itu, presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil kira maklum balas daripada semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan peminat sukan negara.

“Selepas mengambil kira daripada setiap segi, MOM akur reka bentuk jaket rasmi tidak diterima dengan baik.”

“Oleh yang demikian, MOM memutuskan untuk menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau yang lebih jelas di jaket serta logo MOM yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang,” Katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Norza, MOM akan berbincang dengan Yonex untuk menambah baik reka bentuk jaket yang melambangkan status negara dan memenuhi harapan rakyat.

HARIAN METRO

Katanya lagi, niat asal pasukan reka bentuk memaparkan corak dan reka bentuk untuk jaket yang dilancarkan bertemakan warna emas dianggap menjadi simbol paling tepat mencerminkan aspirasi kontinjen Malaysia membawa pulang emas pertama buat Malaysia.

Versi emas logo MOM yang menggabungkan kibaran bendera dan lima gegelung Olimpuk tersebut menepati garis panduan IOC.

“MOM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan peminat sukan secara umumnya yang mengambil berat terhadap majlis pelancaran dan reka bentuuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 dengan memberi teguran dan pandangan membina.” Katanya.

‘Rumah Biru’ Kampung Baru bakal berpindah, beri laluan pelaksanaan projek

0

Rumah Biru yang popular dan sentiasa mendapat perhatian ramai kerana seni bina tradisional Melayu di Kampung Baru selain menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem, drama dan rancangan televisyen dilaporkan bakal berpindah dan dikosongkan untuk tempoh tiga hingga empat tahun.

Rumah kampung tradisional itu menjadi tarikan menarik pelancong dalam dan luar negara ekoran lokasinya yang cantik berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan bangunan pencakar langit lain di Kuala Lumpur.

Shafiq Abdullah / Facebook

Rumah Biru pernah menjadi lokasi penggambaran filem popular, antaranya Remp-It, Adnan Sempit, Impak Maksima dan lain-lain.

Salah seorang pemilik dan waris, Shafiq Abdullah memaklumkan, pemindahan itu bagi memberi laluan untuk pelaksanaan projek pembongkaran semula palong yang ditanam di bawah tanah rumah tradisional berkenaan.

Shafiq Abdullah / Facebook

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya itu, Shafiq berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur akan mengambil masa kira-kira empat tahun bagi menyiapkan projek tersebut.

“Kampungku Kampung Baru, Kuala Lumpur di Jalan Salleh. Kini telah berakhir menetap di sini dari tahun 1984 hingga 31 Mei 2024.

“Maka dengan ini, secara rasmi kami semua telah keluar dari Rumah Biru untuk tempoh tiga atau empat tahun, dengan harapan selepas ini, kami pulang semula ke tanah kami ini,” katanya dalam hantaran di laman sosial itu.

Shafiq Abdullah / Facebook

Dalam masa sama, Shafiq turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat Rumah Biru yang sering menjadi perhatian sebagai lokasi untuk bergambar kenangan.

Jutaan terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir secara rasmi mahu pun tidak rasmi ke rumah kami untuk bergambar.

“Mohon maaf salah silap kami sepanjang tempoh tersebut. Rumah Biru ‘Sign OFF’,” tulisnya.

Shafiq Abdullah / Facebook

Dalam perkongsian berasingan, Shafiq turut terkejut apabila permintaan pengguna Facebook untuk mengikutinya di laman sosial turut meningkat.

Ini susulan perkembangan dikongsi awal Jun lalu itu disiarkan di beberapa portal berita dan terdapat salah faham bahawa Rumah Biru akan dirobohkan.

Shafiq Abdullah / Facebook

“Hai korang, projek belum bermula lagi ya dan untuk makluman semua, rumah kami ini InsyaAllah tidak dirobohkan. Kami diminta keluar bagi memudahkan projek yang akan berlangsung.

“Sekiranya apa-apa berlaku pada masa hadapan, InsyaAllah pemaju akan baik pulih seperti sedia kala. Sama-sama kita berdoa selepas tamat projek ini, kami boleh pulang ke kampung halaman kami ini,” jelasnya dalam hantaran Facebook pada Khamis, 27 Jun.