32.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 10, 2026
Utama Blog Laman 199

Minta pemandu ke tepi untuk ambulans lalu, polis trafik kemudian ‘escort’ ambulans bagi lancarkan perjalanan

0

Sejak kebelakangan ini banyak kisah tidak enak tentang keculasan pihak polis ketika menjaga lalu lintas yang melibatkan ambulans didengari. Di media sosial khususnya banyak video yang membuktikan di mana ambulans terpaksa berhenti di jalan raya semata-mata untuk membenarkan laluan golongan ‘kayangan’.

Kejadian seperti itu sememangnya tidak harus berlaku sehingga ramai netizen yang menzahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati akan apa yang berlaku. Mereka turut mempersoalkan nyawa pesakit di dalam ambulans yang sepertinya tidak dilihat penting oleh sesetengah orang. Insiden ini terus hangat diperkatakan netizen di media sosial yang rata-rata mengecam tindakan tidak wajar pihak berkuasa.

Di sebalik semua itu, sebuah lagi kisah melibatkan ambulans muncul di media sosial. Kali ini, tidak seperti yang berlaku sebelum-sebelum ini, pihak polis trafik dilihat menjalankan tugas mereka dengan betul. Jika sebelum ini pihak polis memberhentikan ambulans (walaupun siren dibunyikan) tetapi kali ini pihak polis trafik telah mengiringi ambulans supaya perjalanan mereka lebih lancar.

Kejadian tersebut dirakamkan berlaku di Jalan Tun Razak pada 9 Mac lalu. Seorang polis trafik dilihat memberhentikan motosikalnya di tengah jalan dan mula memberhentikan kenderaan lain. Tidak lama selepas itu muncul kereta polis yang mengiringi rombongan bas yang dikatakan sedang membawa anggota-anggota polis.

Untuk memastikan trafik terus bergerak hanya satu lorong dibuka untuk kenderaan lalu. Namun, selepas melihat ada ambulans di belakang, anggota polis tersebut mula mengarahkan kereta untuk ke tepi bagi memberi laluan kepada ambulans tersebut.

Banyak kenderaan yang mula berhenti untuk memberi laluan kepada ambulans tersebut yang akhirnya membolehkan perjalanan ambulans menjadi lebih lancar. Bunyi dan nyalaan siren menunjukkan bahawa ambulans sememangnya dalam kecemasan dan tidak boleh menunggu lama untuk terus ke hospital.

Melihat ambulans tersebut muncul polis trafik terus mengiringi van ambulans dan terus meneruskan perjalanan. Orang ramai yang turut memberikan kerjasama juga wajar diberikan pujian kerana demi ambulans mereka sanggup berhenti dan tidak mementingkan diri sendiri.

Melihat apa yang berlaku rata-rata netizen di Facebook memuji anggota polis tersebut yang nampaknya sangat peka dengan situasi ketika itu. Ramai juga turut mendoakan kesejahteraan pihak polis tersebut.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Sempadan Malaysia akan dibuka mulai 1 April: PM Ismail Sabri

0

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada 8 Mac 2022 bahawa sempadan Malaysia akan dibuka semula pada 1 April, susulan fasa peralihan ke endemik.

“Dengan ini, warganegara Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah boleh keluar masuk negara seperti sebelum pandemik,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Beliau berkata pengembara antarabangsa tidak perlu lagi memohon MyTravelPass, kerana pelaksanaannya akan dimansuhkan.

Twitter

“Kami percaya sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik akan dapat beroperasi dengan sepenuhnya sekali lagi,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pelawat atau rakyat Malaysia yang pulang, dan telah menerima vaksin lengkap, tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.

Bagaimanapun, mereka mesti menjalani ujian RT-PCR dua hari sebelum berlepas dan tertakluk kepada ujian RTK-antigen profesional dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Twitter

“Menteri Kesihatan akan mengumumkan butiran lanjut esok (9 Mac), dengan prosedur operasi standard (SOP) yang juga akan didedahkan tidak lama lagi,” tambah Ismail Sabri.

Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa protokol baharu COVID-19 yang akan berkuat kuasa pada 1 April.

SOP baharu termasuk:

  • Kedai makan dan restoran akan dibenarkan beroperasi selepas 12:00 tengah malam dan tanpa had waktu, bergantung kepada syarat lesen perniagaan masing-masing.
  • Vaksinasi bukan lagi syarat keperluan untuk perjalanan atau kerja merentas negeri.
  • Tiada lagi had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti perkumpulan ramai.
  • Tiada lagi syarat penjarakan fizikal untuk acara keagamaan.

Walau bagaimanapun, pemakaian pelitup muka dan pendaftaran masuk di premis dengan MySejahtera masih wajib dipatuhi setiap individu dan MySJTrace diwajibkan di tempat tertutup.

Perdana Menteri Ismail Sabri juga berkata walaupun jumlah kes COVID-19 kekal tinggi, namun kadar kemasukan ke hospital kekal terkawal dan Malaysia mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi.

The Star melaporkan 99 peratus daripada kes COVID-19 baru-baru ini adalah ringan atau tanpa gejala.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Wanita cantik jual pau tepi jalan ini rupanya selebriti Bienda yang tidak kisah kerja keras majukan perniagaan

0

Ada yang kata kerja keras dahulu mengalahkan bakat dan rupa, maka baru selepas itu ada bakat dan rupa tidak perlu bekerja keras.

Baru-baru ini, tular di media sosial dengan rakaman video heboh mengatakan terdapat seorang ‘penjual pau cantik bak bidadari’ yang berniaga di tepi jalan berhampiran Petronas terletak di Jalan Kuching, Kuala Lumpur. 

Instagram

Ramai yang kagum dan terpesona melihat kecantikannya, sambil berkata penjual pau itu sangat cantik tetapi sanggup berada di bawah terik matahari sepanjang hari untuk bekerja keras.

Instagram

Apabila rakaman video tersebut ditonton ramai pengguna media sosial, warganet terkejut apabila mendapat tahu ‘penjual pau cantik’ itu sebenarnya adalah penyanyi dan pelakon terkenal Nor Razlinda Razali atau nama pentasnya dikenali Bienda.

Instagram

Rupanya Bienda yang kini berusia 36 tahun dan anak kepada penyanyi Sheeda itu membantu suaminya yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual makanan ringan roti pau berkualiti tinggi.

Instagram

Apa yang mengejutkan, video yang dirakam secara rahsia itu menjadi tular hanya selepas para peminat Bienda menyedarinya.

Instagram

Perniagaan pau yang dikenali sebagai Papapau Bienda Gebu baru dimulakan oleh suami Bienda yang dahulunya turut berada dalam industri yang sama sebagai penerbit di Media Prima Berhad.

Instagram

Penyanyi dan pelakon yang merendah diri ini gemar menceburi bidang perniagaan kerana beliau sudah lama mengusahakan perniagaan tudung dan inner sendiri yang dijual menerusi dalam talian dan media sosial. Bienda berkata berniaga di tepi jalan tidak banyak perbezaan kerana ia tetap menjalankan perniagaan.

Instagram

Nampaknya Bienda selebriti cantik yang bukan biasa-biasa, sebaliknya seorang wanita gigih yang didorong dengan matlamat untuk berkongsi gelaran usahawan berjaya bersama suaminya. 

Syabas dan selamat maju jaya kepada pasangan ini yang bekerja keras dalam perniagaan mereka.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Terkejut lihat anjing nakal gelumang lumpur lepas mandian 4 kali, rupa lain baka pun lain tersalah sangka lain jadi

0

Seekor anjing jalanan yang nakal ini bergelumang lumpur pekat sebelum diselamatkan. Entah di mana dia bermain, seluruh badannya dipenuhi lumpur sehingga bulunya berubah menjadi macam tanah liat terracotta.

Tidak pasti anjing jalanan lincah ini baka apa pada ketika semua orang memandangnya buat pertama kali. Ada yang kata dia si Golden Retriever.

Facebook

Si comel dilihat lincah bermain seorang diri dengan badan kotor berlumpurnya sebelum pihak penyelamat dari Hospital Haiwan Yichang Dezhong United di China ini datang untuk merawat dan menyelamatkannya. Mereka merakamkan video ketika menyelamatkan anjing ini.

Facebook

Mereka cuba memujuk anjing itu dengan membawanya masuk ke dalam hospital haiwan untuk memandikannya kerana dia ini teruk berlumpur, takut nanti berubah pula menjadi anjing askar terracotta yang pegun.

Penyelamat memeriksa badan anjing yang jinak ini tetapi tidak menemui apa-apa parasit, walaupun dia terlalu kotor dan sudah berapa lama tidak dibersihkan.

Facebook

Pada mulanya, ramai menyangka anjing ini dari baka Golden Retriever sebab dia terlalu lincah dan peramah serta bijak pula bersembunyi di dalam rak ketika mendengar kakitangan hospital haiwan itu mengajaknya mandi.

Facebook

Macam tahu saja memang tidak suka mandi, dia ini mesti lari dari rumah dan pernah ada tuan.

Facebook

Tarik punya tarik, akhirnya anjing kotor ini berjaya dibawa masuk ke dalam bilik air untuk dimandikan.

Facebook

Punyalah air lumpur yang pekat keluar, bersama tanah liat dalam tab mandi itu.

Facebook

Pertama kali bilasan membuang lumpur, tersumbat saliran dan singki tab mandi.

Facebook

Dan cuba teka berapa kali anjing ini dibilas untuk mandian bersih berkilau? 

Empat kali anjing itu dimandikan, untuk menjadi bersih dan berbau harum.

Facebook

Selepas banyak kali mandi dan menjalani ‘grooming’, semua orang terkejut apabila melihat rupanya anjing ini bukan baka Golden Retriever tetapi Border Collie.

Facebook

Tidak hairanlah dia nampak macam bijak sangat ketika tidak mahu mandi tadi dan mesti lari dari rumah sebab merajuk dengan tuan.

Facebook

Oleh kerana hospital haiwan tidak dapat mengesan tuannya, anjing ini telah ditempatkan di situ buat sementara.

Facebook

Mereka menamakan si Border Collie berwarna kopi susu cerah ini Danhuang maksudnya Eggyolk. Comel je nama!

Facebook

Memang sesuai sangat dengan kelincahannya itu, semua orang pun Danhuang Eggyolk suka menyapa.

Facebook

Menjengah di ruangan komen Facebook, ramai netizen yang terkejut melihat anjing kotor itu rupanya anjing yang sangat comel dan cantik, dan mereka juga tidak sangka yang dia bukan baka Golden Retriever.

Facebook

“Eggyolk sangat lincah dan comel.”

“Sebelum mandi tadi, dia nampak macam emas, si golden.”

“Emas tipu rupanya..”

“Comel sangat, jadi anjing lain selepas dimandikan 4 kali,” kata mereka.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Rotan murid 11 tahun hingga luka, guru dijatuhi hukuman penjara 6 bulan

0

PUTRAJAYA: Seorang guru agama dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana menyebabkan kecederaan kepada muridnya dengan merotan di kakinya lima tahun lalu, kerana budak itu enggan berjumpa dengannya seperti yang diarahkan.

Adib Abd Halim, 28, turut didenda RM2,000, maksimum yang dibenarkan mengikut undang-undang kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa, ketika itu berusia 11 tahun.

Terdahulu, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk P. Ravinthran dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara memutuskan bahawa pindaan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi adalah salah di sisi undang-undang.

“Mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, denda maksimum yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi RM2,000. Oleh itu, hukuman yang dikenakaan oleh Mahkamah Tinggi terhadap responden (Muhammad Adib) adalah menyalahi undang-undang.

“Sehubungan itu, keseluruhan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak sah kerana tidak selaras dengan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dengan ini diketepikan dan Mahkamah ini mengembalikan semula hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret sebelum ini,” kata Hakim Hanipah.

Pada 16 November 2018, Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap Muhammad Adib selepas didapati bersalah mencederakan bekas anak muridnya yang pada ketika itu berusia 11 tahun.

Pada 26 Jun 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM4,000. Muhammad Adib telah menjalani hukuman penjara itu dan membayar denda terbabit.

Pada 28 Ogos 2017, Muhammad Adib didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar dengan cara memukul dengan rotan di kaki kiri dan kanan mangsa di sebuah sekolah di daerah Hulu Langat di sini, pada 16 Ogos tahun sama dan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Adib dikatakan telah merotan mangsa selepas enggan menunaikan solat. Bagaimanapun, keterangan saksi-saksi termasuk mangsa dan bekas guru agama itu menunjukkan pelajar terbabit dirotan kerana tidak berjumpa dengan gurunya itu selepas dipanggil untuk berbuat demikian.

Sewaktu membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Hanipah menyatakan, ketika Hakim Mahkamah Tinggi mengganggu hukuman yang dijatuhkan oleh majistret, Hakim terbabit langsung tidak menyentuh apakah kesilapan yang dilakukan oleh mahkamah terdahulu (Mahkamah Majistret) dan prinsip hukuman yang digunakan.

Keadaan tersebut mewajarkan Mahkamah Rayuan untuk campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Selain itu, berdasarkan rekod rayuan, Mahkamah Rayuan mendapati adalah jelas bahawa Mahkamah Majistret mengenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang.

“Faktor-faktor yang telah diambil kira oleh majistret dalam menentukan hukuman ke atas responden adalah antara lain tahap kecederaan yang dialami oleh mangsa sehingga menyebabkan mangsa dimasukkan ke dalam hospital selama dua hari.

“Selain itu, Mahkamah Majistret juga telah mengambil kira faktor mitigasi yang dikemukakan oleh responden dalam menjatuhkan hukuman,” kata Hakim Hanipah.

Selepas mengembalikan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret sebelum ini, Hakim Hanipah memerintahkan agar wang denda terlebih bayar sebelum ini iaitu sebanyak RM2,000 dikembalikan semula kepada Muhammad Adib.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Tips hilangkan ‘tahi lalat’ pada pakaian, rupa-rupanya mudah sahaja caranya!

0

Ramai antara kita yang berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk memastikan pakaian sentiasa bersih. Biasanya kita memang sudah membasuh dengan bersih, tetapi kadangkala kita tidak perasan dengan kulat atau ‘tahi lalat’ yang mula muncul.

Apa yang lebih menyedihkan jika tahi lalat itu terkena pada pakaian kesukaan kita. Buat golongan wanita pula, tahi lalat paling mudah terkena pada telekung dan untuk menghilangkannya memang tidak mudah.

Mungkin anda sudah menggunakan pelbagai cara dan sabun basuh tetapi masih belum berhasil. Jangan risau lagi kerana sebenarnya ada cara yang boleh digunakan untuk menghilangkan tahi lalat pada pakaian.

Berikut adalah cara dan tips yang dikongsikan melalui Facebook Pesan Bonda yang boleh dilakukan oleh anda. Selepas ini jangan buang dahulu pakaian yang terkena tahi lalat ya!

  1. CUKA

Cuka adalah bahan semula jadi yang selamat dan berkesan untuk membunuh kulat serta menghilangkan baunya yang kurang menyenangkan. Ia juga sesuai untuk anda yang mempunyai kulit sensitif atau mereka yang ingin mencuci pakaian bayi.

Caranya, campurkan 1 cawan cuka putih ke dalam 1 baldi air dan rendamkan selama sekurang-kurangnya 1 jam. Kemudian, cuci bahagian berkulat dengan menggunakan sabun pencuci / detergent. Gunakan air yang sedikit hangat semasa memberus dan membilas pakaian supaya kulat lebih mudah ditanggalkan.

Jika ingin digunakan pada fabrik lain seperti sofa atau langsir, masukkan larutan cuka ini ke dalam botol spray dan semburkan terus pada bahagian yang bertahi lalat. Kemudian gosokkan dengan berus yang sesuai dan bilas seperti biasa dengan detergent.

2. BAKING SODA

Selain menggunakan cuka, anda boleh menggunakan baking soda sebagai salah satu cara menghilangkan tahi lalat pada pakaian. Ianya efektif untuk digunakan dalam bentuk pes atau secara terus. Seperti cuka, ia juga boleh menyerap bauan yang keluar daripada kulat.

Cara pertama adalah dengan membuat pes baking soda. Campurkan sedikit air pada baking soda dan terus sapukan pes ini pada bahagian baju yang berkulat. Biarkan seketika dan kemudian beruskan seperti biasa.

Jika kulat masih belum tanggal, anda boleh menambahkan sedikit cuka putih pada serbuk baking soda tersebut. Kedua-dua bahan ini sering digunakan bersama kerana ia berkesan membunuh spesis kulat yang berbeza. Melalui pemerhatian, cara ini adalah yang paling berkesan dan digemari oleh ramai ibu-ibu!

3. JUS LEMON DAN GARAM

Perahkan sebiji lemon dan campurkan jus lemon tersebut dengan sedikit garam sehingga ia menjadi pes.

Gunakan pes ini untuk disapukan pada bahagian yang bertahi lalat. Kemudian, beruskan seperti biasa. Anda juga boleh merendamkan pakaian dalam larutan lemon dan garam ini dalam air suam selama 1 jam. Selepas itu, bilaskan seperti biasa.

4. PELUNTUR

Peluntur/ bleach atau lebih dikenali sebagai Clorox adalah sebuah kompaun yang sangat kuat dan berkesan untuk membunuh kulat pada pakaian. Namun, ia juga akan melunturkan warna. Jadi, cara ini hanya sesuai untuk pakaian berwarna putih sahaja ya!

Caranya, larutkan sedikit peluntur bersama air dan gunakan berus untuk menanggalkan tahi lalat tersebut. Taburkan sedikit sabun pencuci serbuk dan ulangi langkah ini beberapa kali sekiranya ia masih belum tanggal.

Seeloknya, gunakan air yang sedikit hangat untuk membilas dan mencuci pakaian tersebut. Sekiranya pakaian adalah daripada fabrik lembut dan sensitif, rendamkannya dalam larutan peluntur selama sekitar 20 minit, mengikut sukatan pada produk.

5. VANISH
Selain peluntur, satu lagi produk boleh anda gunakan adalah serbuk atau cecair ‘Vanish’ yang boleh dibeli di pasaran. Ia sesuai digunakan pada pakaian putih mahupun yang berwarna.

Caranya, sapukan ‘Vanish’ pada bahagian fabrik yang ada kesan tahi lalat, dan biarkan seketika sekitar 5-10 minit. Kemudian, beruskan sedikit dan bilas. Selepas itu, cuci seperti biasa dengan sabun pencuci.

JEMURKAN BAWAH CAHAYA MATAHARI

Selepas mencuci pakaian yang terkena kulat, jemurkannya di bawah sinaran matahari untuk kesan yang lebih efektif.

Untuk mencegahnya daripada berulang, keringkan dahulu pakaian yang berpeluh atau lembap sebelum dimasukkan ke dalam bakul baju kotor. Baju yang terkena susu atau makanan juga boleh direndamkan secepatnya supaya kotoran lebih senang ditanggalkan.

Sumber: Facebook

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Wanita kedua terkaya Australia duduki senarai hanya dalam tempoh 9 tahun, cadang derma kekayaan bernilai AS$16.5 bilion

0

Wanita kedua terkaya di Australia ini menjana wang pertamanya dengan menjual tatu semburan di pameran Perth, tetapi kini mengetuai kuasa besar teknologi multinasional yang bernilai lebih daripada Telstra, tetapi beliau mempunyai cita-cita yang lebih besar.

Platform reka bentuk grafik DIY Canva yang diasaskan oleh Melanie Perkins kini bernilai lebih daripada AS$55 bilion, yang mana beliau dan pengasas bersama yang juga suaminya Cliff Obrecht memiliki 30 peratus, iaitu lebih AS$16.5 bilion (RM69 bilion).

Pertumbuhan menakjubkan itu menyaksikan Canva membawa keuntungan hampir AS$1 bilion sebelum Disember lalu, yang telah didorong oleh ledakan kerja dari rumah akibat COVID-19 yang telah menganugerahkannya 60 juta pelanggan di 190 negara.

Gambar Daily Mail

Selepas permulaan yang merendah diri, Melanie Perkins yang sangat bercita-cita tinggi pada usia 34 tahun, telah dianggap dalam kalangan penggiat teknologi sebagai mesra dan berwawasan tetapi pesaing ‘sengit’ dengan taksub menyatakan semua orang perlu menggunakan laman webnya, lapor AFR.

“Kami mahu setiap orang di planet ini menggunakan Canva,” katanya dalam panggilan video kepada 2,500 kakitangan syarikat itu pada Disember.

Melanie juga memberitahu kakitangan syarikat itu akan menjadi salah satu syarikat paling berharga di dunia. Ia sudah bernilai lebih daripada Telstra dan menghampiri nilai Fortescue Metals Group milik Andrew Forrest.

Gambar Daily Mail

Tetapi mereka tidak bercadang untuk menyimpan kekayaan itu.

Pada bulan Disember, Melanie Perkins mendaftar dengan Bill Gates di Giving Pledge, yang komited untuk memberikan harta mereka pada sepanjang hayat. Itu boleh berlaku dalam beberapa cara, termasuk menubuhkan badan amal mereka sendiri.

Misi utamanya adalah untuk menghapuskan kemiskinan tegar.

Gambar Daily Mail

“Kami mempunyai kepercayaan yang sangat optimistik iaitu sentiasa cukup wang, muhibah, dan niat baik untuk menyelesaikan kebanyakan masalah di dunia,” ikrar mereka dalam surat daftar itu.

“Kami rasa ia bukan sekadar peluang besar, tetapi tanggungjawab yang penting, dan kami mahu menghabiskan sepanjang hayat kami bekerja ke arah itu.”

“Siapa yang memerlukan semua wang itu? Secara peribadinya?” kata Melanie.

Oleh itu, pengasas bersama Cliff Obrecht dan rakan perniagaan mereka yang lain, Cameron Adams, bersetuju untuk Melanie Perkins mengendalikannya.

Gambar Daily Mail

“Beliau dengan jelas adalah bos,” kata Cameron Adams.

Sementara Cliff Obrecht pula berkata, “Beliau selalunya betul.”

Perkins dan Obrecht bertemu di Universiti Western Australia dan pada satu ketika pernah menjana pendapatan bersama-sama dengan menjual tatu semburan di pameran tempatan.

Sebelum mereka bertemu, Melanie Perkins adalah seorang peluncur ais figura yang bercita-cita tinggi, bangkit awal untuk berlatih pada pukul 4.30 pagi sebelum menghadiri Kolej Sacred Heart.

Gambar Daily Mail

Selepas waktu sekolah, beliau menjual skaf buatan tangan di pasar dan kedai tempatan.

Melanie Perkins mengambil subjek ekonomi dan perdagangan di universiti dan menjana wang secara sambilan dengan mengajar reka bentuk grafik kepada rakan-rakan sekuliahnya.

Melanie mendapat idea untuk membuka perniagaan reka bentuk grafik pada tahun 2005 dan memulakan Canva, perniagaan buku tahunan sekolah dikenali Fusion, dari bilik rehat ibunya.

“Teman lelaki saya menjadi pengasas bersama, dan kami bermula di ruang tamu rumah ibu saya,” katanya.

Gambar Daily Mail

Pasangan itu bermula dengan pinjaman bank dan rebat cukai sebanyak AU$5,000, yang mereka gunakan untuk mengiklankannya dalam talian dan menghantar contoh buku tahunan ke sekolah.

Mereka memulakan Canva pada tahun 2013, membeli URL canva.com dengan harga AU$2,500 serta berpindah ke Sydney pada 2014 untuk mengembangkan perniagaan.

Melanie Perkins bekerja tanpa jemu untuk mencari pelabur apabila Canva berkembang, ditolak 100 kali sebelum pintu itu mula dibuka.

Selepas mempelajari cara yang betul dalam mengembangkan perniagaan, Melanie memperoleh pembiayaan AS$1.5 juta, dengan Lars Rasmussen, pengasas bersama Peta Google, iaitu salah seorang pelaburnya.

Gambar Daily Mail

Salah satu langkah perniagaan terawal Melanie dan Cliff ialah meyakinkan jurugambar untuk mengambil 25 sen untuk penjualan gambar mereka di pustaka imej Canva, berbanding dengan bayaran sekali sahaja yang mereka boleh dapatkan daripada Getty.

Cliff Obrecht dapat meyakinkan jurugambar apabila Canva menjadi besar, mereka akan menghasilkan lebih banyak lagi kerana gambar itu akan dijual beribu-ribu atau berjuta-juta kali.

Angka terkini Canva menyatakan lapan bilion reka bentuk yang luar biasa telah dihasilkan menggunakan platform itu, dan 400 juta pembentangan berjaya dicipta.

Canva diramalkan berkembang kepada 4,000 kakitangan pada tahun ini.

Gambar Daily Mail

Pasangan Melanie dan Cliff berkahwin di Pulau Rottnest pada Januari 2021 tetapi masih tinggal di Sydney, di teres sederhana Surry Hills yang mereka beli dengan harga AU$1.7 juta yang merupakan harga purata rumah pinggir bandar dalam Sydney.

Pasangan itu menjalani kehidupan yang sederhana walaupun meraih kekayaan bernilai besar daripada firma reka bentuk grafik yang berkembang pesat.

“Mel dan saya komited untuk memberikan semua wang kami demi menjadikan dunia tempat yang lebih baik,” kata Cliff kepada The Australian.

“Saya fikir dengan menjalankan sebuah syarikat besar dengan penilaian yang begitu ketara sekarang, adalah menjadi satu kewajipan kami untuk menggunakannya hingga menjadi kekuatan demi kebaikan dan menjadikan dunia tempat yang lebih baik,” katanya.

Gambar Daily Mail

Cliff Obrecht berkata beliau melamar isterinya dengan cincin pertunangan bernilai hanya AS$30, dan pasangan itu sebaliknya menumpukan untuk membelanjakan wang mereka bagi tujuan seperti memperbaharui sistem kesihatan global.

“Kami hidup cukup sederhana, dan kami tidak benar-benar melihat keperluan untuk hanya kekayaan dan kekayaan. Keutamaan bagi syarikat adalah pendidikan, kerana kami benar-benar merasakan mendidik golongan yang kurang bernasib baik boleh memberi mereka peluang untuk memecahkan kitaran,” kata Cliff Obrecht.

Dan Melanie Perkins menambah beliau berharap dapat membawa lebih banyak kesaksamaan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik melalui kedudukan kuasanya dalam dunia perniagaan.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Elak sotong bau hanyir dan jadi kecut bila masak, guna asam keping ini

0

Cakap sahaja pasal sotong dalam masakan apa pun, ia pasti jadi kegemaran ramai tambah lagi kalau sotong itu dapat yang besar dan segar apabila anda membeli di pasar.

Selalunya bila dimasak, sotong yang besar itu jadi kecut dan mengecil. Dan sebenarnya ada cara hendak jadikan saiz sotong besar kekal dengan saiznya menggunakan asam keping.

Gambar Hiasan / Pixabay

Ikuti perkongsian oleh pengguna Facebook Zin Rose di bawah.

Elak sotong jadi kecut dan hanyir bila masak.

Mula-mula siang sotong, buang semua tulang sotong dan dakwat.

Selepas cuci bersih, masukkan kepala sotong ke dalam badan sotong supaya nanti senang kerja memasak. 

Cara-cara:

1. Masukkan kepala sotong ke dalam badan sotong. Letakkan 4 atau 5 asam keping.

Facebook

2. Rebuskan sotong selama 5 hingga 8 minit. Tutupkan api.

Facebook

3. Kemudian toskan dan sotong boleh dimasak dengan resipi kegemaran.

Facebook

Hasilnya sotong tidak hanyir, saiz kekal tidak mengecut apabila dimasak.

Gambar Hiasan / Pixabay

Dan paling penting, kepala sotong itu nampak melekat elok pada badan sotong.

Bolehlah cuba!

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Eskalator terbakar di Jalan Ampang bukan bawah seliaan Rapid Rail

0

Rapid Rail Sdn Bhd menjelaskan pada 7 Mac bahawa eskalator di Jalan Ampang yang terbakar pada awal pagi Isnin bukan berada di bawah seliaannya.

Rapid Rail berkata dakwaan gambar tular di media sosial sebuah eskalator di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park yang terbakar adalah tidak tepat dan menimbulkan kebimbangan di kalangan pengguna, yang mana sebahagian mereka kemudian menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Facebook

“Eskalator tersebut merupakan sebahagian daripada jejantas pejalan kaki yang digunakan orang awam untuk melintasi Jalan Ampang. Ia bukan milik atau di bawah selenggaraan Rapid Rail,” jelas satu kenyataan pada 7 Mac.

“Difahamkan semua pihak yang terlibat sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia serta kontraktor bagi mengenal pasti punca kebakaran,” tambah kenyataan itu.

Twitter

Rapid Rail memberi jaminan bahawa langkah keselamatan di stesen LRT akan dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna, dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mencari jalan alternatif supaya para pengguna dapat mengakses stesen LRT dengan mudah dan selamat.

Kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 5.16 pagi 7 Mac dan tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa, menurut kenyataan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Banjir kilat landa Kuala Lumpur sekali lagi, ribuan kereta tenggelam pada waktu puncak

0

Berikutan hujan lebat petang 7 Mac, beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir kilat terutama di ibu negara.

Kira-kira jam 4 petang pada 7 Mac, tular video dan gambar menunjukkan sebahagian Kuala Lumpur ditenggelami air keruh akibat banjir kilat.

Banjir itu menenggelamkan beribu kereta yang diletakkan di tempat letak kereta terbuka dan bawah tanah di sekitar bandar, serta kereta di lebuh raya yang terperangkap semasa kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Video oleh Bernama Radio di Twitter pada jam 4.27 petang, yang dilaporkan orang awam, menunjukkan seorang lelaki memanjat bumbung keretanya bagi mengelak air banjir yang sedang naik setelah terperangkap di Jalan Kuchai Lama.

Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Kia Peng, Jalan Kuchai Lama, Lebuh Ampang, dan beberapa bahagian di Lebuhraya KESAS.

Banjir kilat itu turut mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong SMART membabitkan laluan masuk dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar, serta pintu keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan pada 7 Mac, Sungai Gombak telah melepasi ‘paras bahaya’ di Jalan Tun Razak, menurut Berita Harian.

Sementara itu, ratusan rumah ditenggelami air selepas hujan lebat yang tidak henti-henti di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dalam ciapan di Twitter memaklumkan bahawa kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan telah pun bertindak segera membantu mangsa banjir yang terperangkap di rumah dan dalam kereta mereka dengan pemindahan ke pusat pemindahan sementara.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa negeri.

Cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga 13 Mac di Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Sabah, menurut laman web METMalaysia.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: