31.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 7, 2026
Utama Blog Laman 157

Barangan yang perlu dielak daripada ditinggalkan dalam kereta anda

0

Kereta merupakan keperluan yang kita gunakan setiap hari dalam urusan harian.

Ada yang menganggap kereta sebagai rumah kedua apabila mereka meninggalkan pelbagai barangan di dalamnya. 

Daripada barangan keperluan diri, barangan elektronik sehinggakan makanan dan minuman.

Gambar Hiasan / Pixabay

Tahukah anda meninggalkan barang-barang sedemikian boleh mengundang bahaya terutama apabila kereta kerap diparkir dan didedahkan di bawah sinaran terik matahari atau cuaca panas?

Berikut adalah antara barangan yang anda perlu elakkan daripada ditinggalkan di dalam kereta.

1. Penyala api

Gambar Hiasan / Pixabay

Penyala api atau ‘lighter’ menjadi barang wajib bagi mereka yang merokok.

Amat berbahaya meninggalkan penyala api di dalam kereta anda di bawah terik matahari kerana haba yang terkurung di dalam kereta boleh menjadi gas di dalam ‘lighter’ dan ini boleh mendatangkan risiko berlaku letupan.

2. Barangan elektronik

Gambar Hiasan / Pixabay

Barangan elektronik ini termasuk telefon pintar, vape, power bank dan kamera mempunyai bateri di dalamnya dan ia boleh menyebabkan letupan apabila suhu menjadi terlalu panas.

Asid atau alkali dari sel bateri tersebut boleh mengakibatkan kulit melecur dan meninggalkan kesan parut kecederaan yang lama pada badan pemandu atau penumpang kereta yang terdedah kepadanya.

3. Ubat-ubatan

Gambar Hiasan / Pexels

Ubat-ubatan juga antara salah satu benda yang kerap disimpan di dalam kereta. Sesetengah pemilik kereta berpendapat adalah lebih mudah jika berlaku apa-apa kesakitan atau kecemasan di masa hadapan, ubat-ubatan telah tersedia di dalam kereta.

Namun, sebenarnya ubat-ubatan menjadi tidak baik terdedah di bawah cuaca panas. Anda perlu menyimpan ubat-ubatan pada suhu bilik. Jadi jangan menyimpannya di dalam kereta.

4. Barangan kosmetik

Gambar Hiasan / Pixabay

Barangan kosmetik termasuk krim dan suncreen, sepatutnya hendaklah disimpan di tempat yang kering dan bersuhu bilik.

Ini kerana, jika ditinggalkan pada suhu yang panas, kompaun kimia di dalam produk-produk ini boleh berpotensi untuk menjadi beracun.

5. Minuman

Gambar Hiasan / Pixabay

Bagi minuman ringan soda dalam tin akan mengembang dan seterusnya meletup jika terdedah kepada suhu yang tinggi.

Bagi minuman di dalam botol plastik pula, ia amat sensitif terhadap haba dan akan membebaskan bahan beracun ke dalam cecair yang berada di dalam botol berkenaan. 

Gambar Hiasan / Pixabay

Jika diminum secara berterusan, ia boleh membahayakan sistem di dalam badan.

6. Makanan

Gambar Hiasan / Pexels

Segelintir pemandu sangat gemar meninggalkan makanan di dalam kereta. Bermula pelbagai snek sehingga ke gula-gula. Memanglah sedap menjadi kudapan semasa memandu.

Tetapi tahukah anda, sesetengah makanan akan luput tarikh dalam masa seminggu dan ia boleh mengakibatkan keracunan makanan.

Gambar Hiasan / Pixabay

Malah, ia juga boleh mengundang kedatangan tetamu tidak diundang seperti semut dan lipas.

Jadi, janganlah anda menyimpan barang-barang ini di dalam kereta.

Pelajar taruh nyawa meniti batang paip untuk menyeberang Sungai Mansiang di Keningau

0

Kemudahan asas yang terhad menyebabkan murid dan pelajar yang tinggal di Kampung Mansiang Baru, Keningau, Sabah menyeberangi sungai dengan hanya meniti batang paip.

Rakaman video yang telah tular di media sosial pada 26 Julai lalu memaparkan sekumpulan pelajar sekolah kelihatan memberanikan diri dan mempertaruh nyawa ketika meniti batang paip untuk merentasi Sungai Mansiang yang deras, malah berhati-hati ketika melangkah.

Facebook

Video berkenaan mendapat perhatian ramai apabila ia menunjukkan air sungai melambung tinggi pada musim hujan, dan bergelora.

Para pelajar lelaki dan perempuan memanjat pagar batang paip dengan berpaut kuat mengguna tangan sambil meniti, sementara ibu bapa mereka memerhati dengan cemas di tepi sungai.

Facebook

Bagi yang tidak biasa melihat, tindakan para pelajar ini pasti membahayakan, namun bagi penduduk kampung berkenaan, ia hanyalah cabaran kehidupan mereka di kawasan pedalaman yang kekurangan infrastruktur asas.

Kampung Mansiang Baru terletak kira-kira 120 kilometer dari Kota Kinabalu di bawah DUN Tulid dan dalam kawasan Parlimen Pensiangan.

ADUN Tulid, Flovia Ng berkata beliau sudah mendapatkan peruntukan bagi membina jambatan merentasi Sungai Mansiang di perkampungan berkenaan.

Katanya, peruntukan untuk membina jambatan itu diperolehi melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 23 Jun lalu dan kini sedang dalam proses dokumentasi untuk cabutan tender. 

Facebook

Beliau melawat kampung berkenaan pada Januari lalu dan memberitahu penduduk akan kemungkinan menggunakan peruntukan khas Adun untuk pembinaan jambatan gantung.

Flovia berkata situasi yang dilihat dalam video yang tular itu hanya berlaku ketika air sungai melimpah disebabkan hujan lebat.

“Sebelum ini ada ‘Low River Crossing’ merentasi Sungai Mansiang sebagai laluan penduduk untuk menyeberangi sungai yang airnya cetek ketika tahap normal. Cuma ia tidak dapat dilalui ketika banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Kini, keutamaan Flovia adalah memastikan jambatan segera dibina demi memastikan kebajikan penduduk terpelihara.

Facebook

Isu kesukaran perhubungan akibat ketiadaan jambatan atau jambatan usang di perkampungan sebelum ini dilaporkan di Nabawan, Sandakan dan Pitas.

Pada April lalu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan di Nabawan terpaksa menggunakan rakit buluh dan kaedah ‘zip line’ menggunakan tong dram untuk menyeberang sungai selepas jambatan rosak dihanyutkan arus deras ketika banjir awal tahun ini.

Bagaimanapun, tindakan telah diambil untuk membina semula jambatan gantung yang hanyut itu.

Tonton video di sini.

7 jenis snek sihat yang ibu bapa perlu beli untuk anak

0

Makanan ringan sebenarnya tidak semuanya dikategorikan sebagai tidak sesuai untuk diberikan ibu bapa kepada anak-anak kerana merasakan kandungan nutrisinya adalah tidak sihat. 

Dr. Mazliana Mazlan menerusi laman Facebooknya berkongsi, ibu bapa boleh memilih makanan ringan versi sihat dengan memberikan buah-buahan kering.

Gambar Hiasan / Pixabay

Ikuti perkongsian berikut:

7 jenis jajan sihat untuk anak yang ibu bapa patut beli

Ada banyak sangat jajan berkhasiat rupanya. Cuma kita je yang tak perasan. Contohnya, buah kering macam ni, antara jajan yang kita boleh bagi untuk anak buat makanan snek.

Dari kita bagi makanan tinggi proses, yang langsung tiada nutrisi untuk tubuh anak, baik kita bagi makanan sebenar daripada buah yang dikeringkan macam ini kan.

Walau nutrisi tidak sama macam anak makan buah sebenar, tapi ia antara pilihan lebih baik berbanding jajan tinggi gula, garam, MSG dan pengawet.

1. GOJI BERRIES

Facebook

– Fiber, zat besi, vitamin A dan C.

2. BLUEBERRIES KERING

Facebook

– Tinggi phytonutrein yang bertindak sebagai antiradang dan antioksida.

3. CRANBERRIES KERING

Facebook

– Sumber vitamin B, vitamin C dan vitamin E.

4. KISMIS 

Facebook

– Tinggi zat besi dan baik untuk sistem penghadaman.

5. APRIKOT KERING

Facebook

– Ada kandungan vitamin A, E, magnesium dan copper (tembaga).

6. BUAH TIN KERING 

Facebook

– Tinggi vitamin, magnesium, zat besi dan kalsium.

7. PRUN KERING 

Facebook

– Sumber vitamin A, K dan fiber.

Berikan anak buah kering dalam kuantiti yang sederhana. Buah yang dikeringkan, kandungan air sudah tiada, jadi buah akan tinggi dengan kandungan gula semula jadi.

Sebaiknya, cari buah kering yang tiada tambahan gula, supaya bayi pun boleh makan sekali. Baca ramuan kalau hendak tahu ada tambahan gula atau tidak.

Gambar Hiasan / Pixabay

Di Aeon semua jenis buah kering ini ada. Boleh cari di Shopee juga kalau ibu bapa berminat hendak cuba beri makanan ringan berkhasiat ini kepada anak-anak.

Banyakkan makanan sebenar untuk anak-anak makan di rumah.

Kucing tiba-tiba ‘naik angin’, pekerja ini kena terkam dan cakar sampai terpaksa lari selamatkan diri curi perhatian warganet

0

Tingkah laku kucing memang tidak boleh dijangka walaupun selebihnya memanglah kucing itu haiwan peliharaan yang comel dan sentiasa menghiburkan.

Baru-baru ini tular di TikTok apabila sebuah video menunjukkan seekor kucing berwarna putih tiba-tiba mengamuk dan mula menerkam dan mencakar-cakar seorang pekerja di rumah kucing.

TikTok

Pada mulanya, dilihat dalam paparan video seorang pekerja wanita sedang membersihkan sangkar kucing.

TikTok

Namun, secara tiba-tiba kucing dalam sangkar itu hilang kawalan dan mula naik angin lalu menyerang pekerja wanita terbabit, sehingga menyebabkannya terpaksa keluar dari bilik kucing tersebut untuk menyelamatkan diri.

TikTok

“Kucing ni On Heat, bila letak luar sangkar untuk bersihkan sangkar dia terus mengamuk bila ada kucing jantan lain provoke dia,” kapsyen pengguna TikTok@abang_kucing dari Whiskers Pet House dalam video itu.

TikTok

Difahamkan pekerja wanita itu telah mengalami beberapa cakaran di lengan, paha, kaki dan tangan yang penuh dengan 3 kesan gigitan di lengan.

TikTok

Pekerja wanita itu kemudian dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

TikTok

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet memberikan reaksi berasa takut dengan kucing dan ada juga pernah merasai pengalaman yang sama.

TikTok
TikTok

Kucing kalau mengamuk memanglah menakutkan, dengar bunyi gaduh tu pun dah takut meow!

Resipi sushi halal tanpa mirin, modal buat sendiri di rumah pasti lebih murah

0

Rasanya penggemar sushi boleh habis duit beratus ke restoran sushi untuk menikmati hidangan popular dari Jepun itu.

Dengan modal lebih murah, apa kata anda buat sendiri di rumah. Paling penting sushi ini dijamin halal tiada mirin, selain anda boleh berseronok menghabiskan masa bersama keluarga sambil bergotong-royong membuatnya di rumah.  

Ikuti perkongsian resipi Sushi Halal dari Puan Siti Hazneza Abdul Hamid di bawah:

Facebook

Bahan dan langkah penyediaan Sushi Halal seperti berikut:

1. NASI SUSHI

Facebook

Bahan-bahan:

1 cawan beras (guna beras biasa pun boleh).

2 cawan air.

Langkah-langkah penyediaaan:

1. Masak seperti biasa.

2. Apabila nasi sudah masak, alihkan ke dalam bekas lain dan gembur-gembur sedikit supaya wap panas keluar.

3. Masukkan:

  • 2 sudu makan cuka
  • 3 sudu teh gula
  • 2 sudu teh garam

4. Gaul dengan kaedah ‘folding’ (kaup-mengaup) macam kita buat adunan kek dan kemudian lalukan sudip seperti membuat garisan.

5. Nasi perlahan-lahan akan jadi melekit.

6. Rasa nasi sushi. Jika mahu lebih masam, tambah cuka dan kaup semula. Jika mahu lebih masin, tambah garam.

2. INTI TAMAGO (TELUR GULUNG)

Facebook

Inti yang senang dibuat ialah tamago (telur gulung).

Bahan-bahan:

  • 2 biji telur.
  • Secubit garam.
  • Hirisan daun bawang (jika mahu).
  • Hirisan cili merah (jika mahu).
Facebook

Cara penyediaan:

1. Pukul telur dengan garam.

2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali (lebih cantik jika kuali berbentuk empat segi). Pastikan api kecil.

3. Tuang sedikit telur dan lenggang kuali supaya telur nipis dan rata pada kuali.

4. Apabila telur sudah masak, gulung perlahan-lahan sehingga ke tepi kuali.

5. Biarkan telur yang digulung dalam kuali.

6. Tambah sedikit lagi telur dan ulang semula sehingga semua telur digunakan.

7. Gulungan akan membesar.

8. Hiris sederhana nipis.

Facebook

Jika gulungan dibuat dengan lebih cermat, tamago akan lebih cantik.

3. BAHAN LAIN UNTUK INTI

Facebook

Bahan-bahan dan cara penyediaan:

1. Sosej

  • Kukus dan belah empat memanjang.

2. Ketam tiruan

  • Kukus.
  • Sebahagian belah tengah memanjang.
  • Sebahagian belah tengah melintang.

4. KANI MAYO (KETAM DENGAN MAYONIS)

Facebook

Bahan-bahan dan cara penyediaan:

1. Ketam tiruan dikukus dan hiris halus.

2. Mayonis secukupnya.

3. Sedikit cuka (jika mahu).

Inti lebih boleh letak pada croissant dengan daun salad.

5. SALAD TUNA

Facebook

Bahan-bahan dan cara penyediaan:

1. Isi tuna dalam minyak sayuran.

2. ½ bawang besar saiz sederhana – dicincang halus.

3. ½ biji tomato – buang biji dan air dan dicincang halus.

4. 1 biji limau kasturi – diperah air (boleh ganti dengan perahan lemon, limau nipis atau cuka).

5. Lada hitam secukup rasa.

6. Mayonis secukup rasa.

Jika mahu pedas, boleh tambah cili padi.

Inti lebih boleh buat sandwich atau wrap dengan tambahan daun salad dan sayur segar kegemaran.

6. CENDAWAN SHITAKE TERIYAKI

Facebook

Bahan-bahan dan cara penyediaan:

  • 5 kaki batang cendawan shitake (jika hendak guna cendawan butang dalam tin pun boleh).
  • ½ biji bawang besar saiz sederhana – dicincang halus.
  • 1 sudu teh halia-bawang mesin.
  • 1 sudu makan madu.
  • 1 sudu makan kicap lemak manis.
  • 1 sudu makan kicap cair.
  • ½ sudu makan serbuk cili (jika mahu pedas).

1. Panaskan minyak, tumis semua bahan dan biar sehingga garing.

7. DAUN NORI

Facebook

Daun nori beli di pasaraya. Yang ini harganya separuh daripada jenama lain kerana yang jenama lain itu daun nori sudah dipanggang dan diperisakan.

LANGKAH-LANGKAH PENYEDIAAN SUSHI HALAL

Facebook

1. SUSHI TAMAGOYAKI (TELUR GULUNG)

Facebook

Bahan-bahan dan cara penyediaan:

1. Sediakan air suam ditambah dengan sedikit cuka untuk celup tangan supaya nasi tak melekit.

2. Ceduk nasi sushi dan bentukkan lonjong-lonjong.

3. Potong nori agak-agak ½ inci lebar.

4. Letak tamago atas nasi dan balut daun nori di tengah-tengah. Letak sedikit air di hujung nori untuk lekat.

2. GANKAN MASHI (KAPAL PERANG)

Facebook

Gankan mashi bentuk yang paling senang. Lebih senang dan cepat daripada yang di atas.

Bahan-bahan dan cara penyediaan:

Kita hanya perlu potong daun nori mengikut garis-garis yang sedia ada ~1 inci dan balut di sekeliling nasi sushi yang lonjong-lonjong tadi.

Daun nori ada dua bahagian: kasar dan licin berkilat. Bahagian kasar sentiasa kena pada nasi ya.

Anak-anak pun boleh buat bentuk ini.

Facebook

Sudah siap gankan mashi, letak inti. Boleh letak inti banyak-banyak.

3. SUSHI KAPPA MAKI (TIMUN) DAN BERBEZA INTI

Facebook

Bahan-bahan dan cara penyediaan:

Bila-bila pergi makan sushi atau beli dalam kotak sekalipun, kappamaki/ timun ni mesti ada. Comel-comel saja.

1. Guna separuh daripada daun nori.

2. Basahkan tangan dengan air celupan, ambil sedikit nasi sushi dan tekan-tekan atas daun nori sebelah yang kasar.

3. Letak hirisan timun di tengah-tengah. Jika tidak sampai ke hujung, ‘sambung’ dengan hirisan kedua.

4. Angkat daun nori paling dekat dengan anda dan gulung ke dalam sambil memadatkan gulungan.

5. Bahagian hujung daun nori boleh disapu sedikit dengan air untuk lekat.

Facebook

Untuk gulungan lebih besar, guna sehelai daun nori. Yang ini inti cendawan teriyaki, sosej dan timun.

Facebook

Siap! Hanya dua cawan beras dan sedikit bahan-bahan sedia ada di rumah. 

Facebook

Mudah sahaja membuat Sushi Halal di rumah. Tambah sedikit kicap cair dan wasabi, memang best makan sushi sampai kenyang.

Selamat mencuba!

Detik cemas anak kecil 2 tahun terjatuh dari tingkat 5 pangsapuri dan disambut pantas lelaki wira sebenar

0

Seorang lelaki menerima gelaran wira sebenar daripada seluruh warganet di China apabila bertindak pantas menyambut kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun yang terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri, dalam kejadian mencemaskan berlaku di Tongxiang, wilayah Zhejiang.

Seorang lelaki berusia 31 tahun, Shen Dong sedang memarkir keretanya di seberang jalan dari pangsapuri berkenaan apabila melihat kelibat seorang kanak-kanak seperti mahu terjatuh.

Gambar Weibo

Shen berkata, pada mulanya dia tidak sedar seorang kanak-kanak yang terjatuh kerana ternampak seperti satu barang, tetapi kemudian mendengar dentuman kuat dari bumbung keluli.

“Saya hanya menyedari ‘benda’ itu adalah kanak-kanak selepas melihatnya terkapai-kapai menghampiri tingkat satu,” katanya.

Gambar Weibo

Shen kemudian dengan segera telah berlari pantas ke arah kanak-kanak itu dan bersedia membuka kedua belah tangannya bagi menyambut si kecil daripada mengelakkannya jatuh terhempas ke atas daratan konkrit.

Gambar Weibo

Sebelum itu, Shen sempat membuat panggilan kecemasan dan memaklumkan pihak berkuasa supaya segera ke tempat kejadian.

Gambar Weibo

Rakaman kamera CCTV menjadi tular di Weibo menunjukkan Shen berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu, yang telah dimuat naik oleh polis tempatan pada Rabu lalu, 20 Julai.

Gambar Weibo

Ketika ditanya lebih lanjut, Shen berkata, “Sejujurnya saya tidak ingat bagaimana kejadian itu berlaku dan saya tidak pasti sama ada tangan saya sakit atau tidak. Apa yang saya ingin tahu ialah saya telah menyambut anak itu, bagi mengelak dia daripada jatuh terhempas..”

“Syukur saya dapat sambut dia tepat pada masanya. Kalau tidak tentu ia lebih mengerikan,” katanya kepada media yang dipetik The Sun.

Gambar Weibo

SCMP melaporkan kanak-kanak perempuan itu kini sedang dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan pada paru-paru dan kaki, namun keadaannya beransur pulih dan stabil.

Wira penghantar pizza taruh nyawa redah api keluarkan 5 penghuni dari rumah marak terbakar

0

Seorang lelaki penghantar piza berusia 25 tahun mempertaruhkan nyawanya sendiri demi menyelamatkan dua kanak-kanak dan tiga remaja dari sebuah rumah yang marak dijilat api di Indiana, Amerika Syarikat.

Jabatan Polis Lafayette menerusi laman Twitter memaklumkan Nicholas Bostic sedang memandu dan bertugas menghantar piza apabila dia melihat sebuah rumah mengalami kebakaran.

Facebook

Bostic segera berhenti dan meluru masuk ke dalam rumah itu dan segera menyelamatkan seorang remaja berusia 18 tahun dan empat kanak-kanak dan remaja yang berada di bahagian belakang rumah.

Insiden itu berlaku di Lafayette, Indiana pada 11 Julai lalu. Rakaman yang dirakam oleh kamera badan pegawai polis menunjukkan Bostic meluru keluar sambil membawa seorang kanak-kanak dari rumah yang marak terbakar.

@LafayetteINPD/Twitter

Rakaman juga menunjukkan pemuda berani itu menyerahkan kanak-kanak berkenaan kepada salah seorang petugas pasukan penyelamat dan bomba sambil terdengar dia berkata, “Saya selamatkan semuanya..”

“Semuanya okay? Bayi itu okay? Tolong beritahu semuanya okay,” Bostic bertanyakan keadaan kesemua kanak-kanak dan remaja itu ketika meminta bantuan perubatan.

Jabatan Polis Lafayette memaklumkan Bostic berjaya menyelamatkan empat adik-beradik berusia 1, 6, 13 dan 18 tahun dan seorang remaja berusia 13 tahun yang menumpang tidur di rumah itu.

@LafayetteINPD/Twitter

Penghantar piza itu berlari ke pintu belakang dan menuju ke tingkat atas sebelum mengeluarkan kanak-kanak dan remaja. 

Mereka kemudian memberitahunya terdapat seorang lagi kanak-kanak berusia 6 tahun yang masih berada di dalam.

Bostic kembali masuk meredah api dan walaupun asap semakin menebal, dia berjaya menemui kanak-kanak itu. Wira ini kemudian menumbuk cermin tingkap supaya mereka dapat meloloskan diri keluar ke tempat yang lebih selamat.

@LafayetteINPD/Twitter

Jabatan polis memaklumkan Nicholas Bostic ‘kecederaan serius’ semasa kejadian itu.

Dia mengalami sesak nafas kerana menyedut terlalu banyak asap dan juga lengan kanannya cedera teruk kerana terkena kaca, tetapi keadaannya beransur pulih dan telah dibenarkan keluar hospital.

Kanak-kanak berusia 6 tahun itu “secara ajaib tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” menurut polis.

@LafayetteINPD/Twitter

“Aksi heroik Nicholas Bostic telah menyelamatkan nyawa. Sikap tidak mementingkan dirinya semasa kejadian ini memberi inspirasi, dan beliau telah mengagumkan ramai orang dengan keberanian, ketabahan dan ketenangan teguh dalam menghadapi ancaman begitu berbahaya,” kata Datuk Bandar Lafayette, Tony Roswarski. 

Jabatan Polis Lafayette, Jabatan Bomba Lafayette dan Bandar Lafayette sentiasa berterima kasih atas campur tangan Nicholas dan ingin mengiktirafnya secara terbuka atas tindakan beraninya,” tambah datuk bandar dalam kenyataan media.

@LafayetteINPD/Twitter

Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial turut memuji tindakan wira penghantar pizza itu. “Superhero untuk ini dan wira setiap hari untuk piza,” tulis seorang pengguna Twitter.

“Cerita wira sebenar yang suatu hari nanti akan diceritakan kepada anak cucunya..”

“Bravo penghantar piza..” tambah seorang lagi.

Tonton video di bawah:

Budak lelaki 9 tahun dari Malaysia mungkin menyelesaikan masalah tandas graviti sifar NASA

0

Membuang air kecil atau besar di angkasa sentiasa menjadi dilema sekian lama buat angkasawan.

Tetapi melalui ciptaan seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dari Malaysia, para angkasawan mungkin akan menikmati pengalaman bilik mandi bebas tangan tidak lama lagi.

Zyson Kang Zy Sun ialah juara ‘National Aeronautics and Space Administration’s (NASA) Lunar Loo Challenge 2020’ dalam kategori junior.

Tangkap Skrin / YouTube

Menurut New Straits Times, ciptaan “Spacesuit Lunar Toilet” oleh Zyson Kang boleh dipasang pada pakaian angkasawan dan berfungsi dalam persekitaran mikrograviti di angkasa dengan mencipta vakum untuk menyedut cecair.

Apa yang angkasawan perlu lakukan ialah menggerakkan kaki mereka dan menekan picagari yang dipasang pada but untuk mencipta daya sedutan bagi menyedut sisa manusia dari titik pelepasan ke dalam bekas.

Ciptaan Zyson Kang telah menewaskan 897 peserta dari 85 negara.

Chong Soo Sheong, 43 tahun yang pernah melatih Zyson Kang di pusat sains I Discovery World di Shah Alam, berkata reka bentuk pemenang ciptaan muda itu bukanlah satu kebetulan.

Tangkap Skrin / YouTube

“Zyson mempunyai kebolehan dan bakat dalam bidang ciptaan. Dia seorang yang gemar membaca bersama pemikiran sangat ingin tahu. Sains begitu menggembirakannya, terutamanya bidang astronomi,” kata Chong.

Chong berkata Zyson memulakan projek itu pada bulan Jun, sebelum menyerahkan modelnya kepada pasukan NASA untuk dinilai pada Ogos.

“Pada 29 Oktober, NASA menjemputnya untuk membentangkan model itu di webinar. Pasukan NASA kagum dengan kesederhanaan modelnya.”

“Tandas tidak memerlukan bateri atau bekalan elektrik. Apabila anda menggerakkan kaki anda, air kencing akan mengalir ke dalam bekas yang terletak dalam but angkasawan.”

Semasa webinar dengan pasukan NASA, Zyson Kang menambah perantinya juga boleh digunakan oleh doktor dan jururawat.

“Reka bentuk ini bukan sahaja boleh digunakan di bulan,tetapi ia juga boleh digunakan sebagai tandas perubatan,” kata kanak-kanak berusia sembilan tahun itu kepada salah seorang ahli panel, yang terpesona dengan penyampaian comel Zyson.

Tangkap Skrin / YouTube

“Memandangkan kita kini dalam pandemik, kadang kala doktor dan jururawat perlu membuang air kecil atau besar. Jadi mereka boleh melakukannya dengan peranti ini walaupun ketika mereka sedang menyelamatkan orang,” katanya.

Untuk menghuraikan lebih lanjut, Chong berkata ciptaan Xyson Kang boleh membantu profesional perubatan untuk melegakan diri mereka semasa kecemasan tanpa perlu membuka Peralatan Pelindung Diri (PPE).

Walaupun Xyson Kang kini seorang pencipta yang berjaya, pelajar genius ini bercita-cita untuk menjadi ahli genetik pada masa hadapan.

Tonton video di bawah:

Insiden baling bahan letupan dalam sungai di Taman Negara, ramai kaki pancing kesal

0

Sekumpulan pemancing kesal dengan tindakan individu yang membaling bahan letupan di Jeram Perahu dekat Sungai Sepia di Taman Negara pada 16 Julai lalu.

Seorang pemancing yang enggan dikenali berkata, pada hari kejadian, tapak kem mereka dikunjungi satu rombongan yang terdiri daripada 20 orang termasuk tokoh-tokoh kenamaan.

“Pada mulanya kami ingat kedatangan mereka untuk membuat tinjauan, namun selepas berbual seketika, tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang kuat.

Facebook

“Kami sangka bot rosak rupanya bunyi daripada bahan letupan yang dibaling ke dalam sungai oleh jurubot rombongan itu.

“Rasanya ada beberapa biji dibaling ke dalam sungai dan selepas ditegur, kumpulan rombongan itu terus beredar dari tempat kejadian,” dakwanya, memetik sumber Sinar Harian.

Beberapa rakan mereka juga turut terserempak dengan beberapa individu yang sedang menjala ikan di bahagian atas jeram tersebut.

“Kami kesal dengan tindakan mereka kerana aktiviti menjala memang tidak dibenarkan di Taman Negara,” ujarnya.

Twitter

Susulan insiden tersebut, satu laporan polis telah dibuat pada 19 Julai agar pihak yang berwajib mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sementara itu, wakil kumpulan pemancing dikenali Mat berkata, beliau kesal dengan insiden tersebut yang berlaku di kawasan tumpuan pelancong.

“Ini trip pertama saya anjurkan ke lokasi terbabit dan dikejutkan dengan insiden sebegini.

“Ketika kejadian saya berada di hulu sungai dan dimaklumkan oleh peserta mengenai insiden ini.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat segera dan bertindak mengikut undang-undang agar insiden sama tidak berulang dan sebagai pencinta alam, lokasi seperti di Taman Negara perlu dipelihara sebaik mungkin,” katanya.

Facebook

Dalam perkembangan lain, polis mengesahkan menerima laporan berkaitan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang yang didakwa menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, laporan diterima pihaknya berkenaan kes itu yang tular di media sosial.

Bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk melakukan siasatan awal berhubung kes itu.

“Pihak polis sedia maklum dan menyerahkan siasatan awal kepada Perhilitan. Kita hanya mengetahui kejadian ini menerusi media sosial,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Sanggup terjun laut demi menyelamatkan si comel, lelaki ini dipuji sikapnya

0

Tindakan seorang lelaki berbaju biru yang terjun ke dalam laut demi menyelamatkan seekor kucing dipuji oleh netizen. Video berdurasi kurang satu minit itu telah ditonton di TikTok sebanyak 1.4 juta kali manakala di Facebook pula ialah 4.2 juta kali.

Video yang dimuat naik di TikTok oleh sailormilo itu memperlihatkan seorang lelaki tanpa ragu-ragu terjun ke dalam laut. Kemudian, dia terus berenang menuju ke arah seekor kucing yang terjatuh ke dalam laut.

Kucing itu dilihat sedang berpaut pada bahagian bawah kapal dengan keadaan bahagian bawah badannya terendam di dalam air.

Apabila kedudukannya semakin hampir dengan kucing, lelaki itu membuka baju yang dipakainya. Dengan menggunakan baju itu, dia mengambil kucing tersebut dan mengangkatnya dengan lebih tinggi daripada paras air laut.

Dengan menggunakan tangan kanannya, lelaki itu pusing dan berenang kembali sambil membawa kucing dengan menggunakan tangan kirinya. Lelaki berjiwa besar itu berenang menuju ke kapal di mana rakannya telah menunggu ditangga dan bersiap sedia untuk menyambut kucing yang telah diselamatkan itu.

Dengan penuh berhati-hati, rakan lelaki itu mengambil kucing dan menghantarnya ke atas kapal. Syukurlah semuanya selamat.

Orang ramai yang menonton video tersebut tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada lelaki tersebut. Mereka bersyukur kerana ada penyelamat yang sanggup terjun ke dalam laut demi menyelamatkan nyawa si comel. Mereka juga mendoakan agar lelaki itu dikurniakan rezeki yang melimpah ruah kerana telah menyelamatkan nyawa seekor haiwan.

Melalui komen-komen disosial media, dikatakan lelaki yang terjun itu merupakan seorang tentera laut dan netizen yang mengetahui akan hal tersebut telah mengesahkannya. Orang ramai berpendapat tentera laut Malaysia memang terbaik.