Seorang lelaki menerima gelaran wira sebenar daripada seluruh warganet di China apabila bertindak pantas menyambut kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun yang terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri, dalam kejadian mencemaskan berlaku di Tongxiang, wilayah Zhejiang.
Seorang lelaki berusia 31 tahun, Shen Dong sedang memarkir keretanya di seberang jalan dari pangsapuri berkenaan apabila melihat kelibat seorang kanak-kanak seperti mahu terjatuh.
Shen berkata, pada mulanya dia tidak sedar seorang kanak-kanak yang terjatuh kerana ternampak seperti satu barang, tetapi kemudian mendengar dentuman kuat dari bumbung keluli.
“Saya hanya menyedari ‘benda’ itu adalah kanak-kanak selepas melihatnya terkapai-kapai menghampiri tingkat satu,” katanya.
Shen kemudian dengan segera telah berlari pantas ke arah kanak-kanak itu dan bersedia membuka kedua belah tangannya bagi menyambut si kecil daripada mengelakkannya jatuh terhempas ke atas daratan konkrit.
Sebelum itu, Shen sempat membuat panggilan kecemasan dan memaklumkan pihak berkuasa supaya segera ke tempat kejadian.
Rakaman kamera CCTV menjadi tular di Weibo menunjukkan Shen berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu, yang telah dimuat naik oleh polis tempatan pada Rabu lalu, 20 Julai.
Ketika ditanya lebih lanjut, Shen berkata, “Sejujurnya saya tidak ingat bagaimana kejadian itu berlaku dan saya tidak pasti sama ada tangan saya sakit atau tidak. Apa yang saya ingin tahu ialah saya telah menyambut anak itu, bagi mengelak dia daripada jatuh terhempas..”
“Syukur saya dapat sambut dia tepat pada masanya. Kalau tidak tentu ia lebih mengerikan,” katanya kepada media yang dipetik The Sun.
SCMP melaporkan kanak-kanak perempuan itu kini sedang dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan pada paru-paru dan kaki, namun keadaannya beransur pulih dan stabil.