Sebelum ini kira-kira 6 tahun yang lalu pernah tular kisah seorang kanak-kanak berusia 10 tahun bernama Ilham yang mengambil keputusan membantu ibunya berniaga kerana tidak sanggup melihat ibunya bersendirian mencari rezeki untuk menyara keluarga.
Kisah adik Ilham baru-baru ini mula tular semula apabila YouTuber popular yang sering membantu peniaga kecil, FS Channel telah menemui semula adik Ilham yang kini berusia 16 tahun.
Remaja berkenaan masih berniaga pulut panggang dan nasi lemak di tempat yang sama di stesen Rapid KL Light Rail Transit (LRT) Setiawangsa.
“Hampir 6 tahun berniaga membantu ibunya sebab dia kasihan lihat ibunya bersusah payah berniaga untuk bayar rumah sewa dan bil,” jelas FS Channel mengenai adik Ilham.
Adik Ilham berkata dalam video berkenaan, ibunya memasak pulut panggang dengan teliti dan terbaik demi menjaga kualiti rasa dan tekstur kuih berkenaan selain meletak harga yang murah.
“Pulut panggang hanya RM1, rasa dia padat dan sangat sedap. Ibu masak inti pulut panggang sampai 4 hingga 6 jam,” kata adik Ilham.
Adik Ilham turut menzahirkan rasa syukur kerana sepanjang hampir 6 tahun dia berniaga, masyarakat sekeliling sentiasa menyokongnya mencari rezeki di stesen LRT itu.
“Adik Ilham ucap terima kasih kepada cikgu-cikgu di sekolahnya yang kerap bantu meringankan beban keluarganya apabila membeli kuih dan nasi lemak dengan jumlah yang banyak,” jelas FS Channel.
FS Channel telah membeli semua jualan adik Ilham pada hari itu dan turut memberi sumbangan sebanyak RM700 kepada keluarga adik Ilham bagi pihak pelanggan dan penonton saluran itu.
“Saya tak pernah pegang duit banyak ni bang,” kata adik Ilham tidak dapat menahan sebak dan terus mengesat air matanya.
Sesiapa yang selalu menggunakan perkhidmatan LRT Setiawangsa boleh datang menyokong perniagaan adik Ilham dengan membeli makanan jualannya sama ada pulut panggang atau nasi lemak yang bermula pada waktu petang.
Waktu perniagaannya bermula 4.30 petang sehingga habis jualan, manakala Sabtu dan Ahad tidak berniaga.
Firdaus menjelaskan adik-adiknya tetap akan ke sekolah dan hanya membantu ibu mereka berniaga selepas tamat waktu persekolahan.
Tambah Firdaus, ibunya Rita Hasri bukan warganegara Malaysia tetapi berasal dari Medan, Indonesia. Mereka sekeluarga tinggal di sebuah rumah sewa 1 bilik di Keramat dengan sewa RM400 sebulan. Hasil pendapatan bulanan daripada perniagaan itu hanya sekitar RM1,500 untuk menampung keperluan keluarga 5 beranak ini.
Semasa saingan Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada 30 Julai lalu, nasib tidak menyebelahi pemain Jamaica, Samuel Ricketts apabila kasutnya rosak semasa perlawanan dengan skuad badminton Malaysia.
Samuel yang ketika itu sedang beraksi menentang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dalam aksi Kumpulan D acara berpasukan campuran, tiba-tiba telah terkoyak kasutnya yang sekali gus memaksa perlawanan yang berlangsung di Pusat Pameran Nasional Birmingham itu dihentikan buat seketika.
Sejurus itu, jurulatihnya datang menghampiri Samuel untuk memberikan kasut sukan biasa yang mana bukan kasut badminton, yang dipinjamkan oleh rakan sepasukan untuk meneruskan aksi perlawanan itu.
Dalam rakaman video yang dikongsikan di media sosial, terlihat Tze Yong turut menawarkan kasutnya tetapi ditolak secara baik lawannya itu yang mungkin kerana saiznya tidak sama.
Jurulatih skuad Malaysia, Hendrawan kemudian telah datang ‘berkaki ayam’ dari tempat duduk jurulatih sambil menunjukkan saiz kasutnya kepada Samuel dan pemain itu bersetuju untuk memakainya bagi meneruskan aksi dalam perlawanan berkenaan.
Tindakan Jurulatih Hendrawan itu amat menyentuh hati sehingga mendapat pujian ramai warganet di Facebook, Twitter dan Instagram.
Kebanyakannya memuji semangat kesukanan yang amat tinggi ditunjukkan oleh beliau dan sikapnya itu telah berjaya menaikkan nama baik Malaysia dan Indonesia di mata dunia melalui sukan badminton itu sendiri.
Selepas memberikan kasutnya, Jurulatih Hendrawan terus kembali ke bangku jurulatih dengan hanya memakai stoking.
Dalam perlawanan itu, Ng Tze Yong berjaya mengatasi Samuel Ricketts menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-16 dan skuad badminton negara menang 5-0 ke atas Jamaica sekali gus mara ke suku akhir.
Skuad badminton Malaysia berjaya meraih pingat emas dalam acara berpasukan campuran pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 kali ini dengan menewaskan India 3-1 pada 3 Ogos lalu.
Polis Diraja Malaysia, PDRM mendedahkan bahawa tekanan rakan sebaya dan kemahuan diri sendiri punca utama remaja Malaysia terlibat dengan kegiatan lumba haram dan ‘mat rempit’. Perkara ini adalah antara penemuan daripada kajian ke atas golongan remaja yang terlibat dengan aktiviti lumba haram. Kajian yang dijalankan selama tiga tahun ini diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir.
Menurut Roslan, kajian itu telah melibatkan seramai 300 orang mat rempit yang berusia antara 16 dan 27 tahun dari beberapa kawasan di sekitar negeri Johor termasuklah Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Skudai dan Iskandar Puteri. Kesemua mat rempit itu didekati dan ditemu bual untuk kajian tersebut.
Roslan meluahkan rasa kecewaannya kerana apabila isu mat rempit ini diketengahkan, masing-masing hanya tahu menunding jari, mencari siapa yang harus dipersalahkan. Malah ada yang menyalahkan kerajaan, keluarga dan masyarakat.
Tetapi selepas kajian dijalankan ke atas mat rempit itu sendiri, hasil kajian mendapati, remaja yang terlibat dengan aktiviti mat rempit adalah atas kemahuan diri sendiri dan 90 peratus adalah disebabkan tekanan rakan sebaya. Ternyata, ia bukanlah berpunca daripada salah kerajaan, penguatkuasaan atau keluarga seperti yang dicanang di dada-dada akhbar atau media sosial.
Menurut Roslan lagi, isu mat rempit ini masih boleh ditangani dengan baik sekiranya kerajaan bersama badan-badan lain terus mengadakan program untuk remaja seperti program kesedaran. Roslan turut menggesa ibu bapa agar memainkan peranan dalam memberi nasihat kepada anak-anak mereka juga.
Buku berjudul ‘Rempit Barah Dalam Masyarakat – Salah Siapa?’ adalah hasil kajian mengenai mat rempit yang telah dibukukan oleh Roslan.
Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, Roslan berkata, “Mungkin buku ini tidak dibaca oleh mereka yang terjebak mat rempit, mungkin kawan-kawan mereka, jadi saya harap ia boleh memberi kesedaran dorongan sekali gus mereka dapat tahu apa impaknya kepada diri sendiri.”
Tidak dinafikan, pengaruh dan tekanan rakan sebaya memang memberi impak besar kepada remaja. Pada waktu ini, sikap mahu mencuba-cuba membuatkan mereka bertindak di luar jangkaan tanpa memikirkan kesannya pada masa hadapan.
Jadi, untuk membantu menangani isu tekanan rakan sebaya ini, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan bersama-sama. Antaranya ialah:
Betul dan salah. Nasihatkan anak anda bahawa dadah, mencuri atau berlumba motor atau basikal sekali pun secara haram adalah salah. Mungkin mereka berasakan tindakan tersebut adalah ‘cool‘ tetapi sebenarnya tidak. Manakala, bermain futsal atau badminton pada lewat malam itu masih boleh diterima.
Kenali rakan-rakan anak. Ibu bapa perlu lebih prihatin dalam hal ini. Nasihatkan mereka agar bijak memilih kawan. Lebih bagus lagi, jika anda turut mengenali ibu bapa kawan anak anda itu. Dengan ini, masing-masing akan saling melihat, menegur akan perilaku anak-anak agar tidak terjebak dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral.
Menggalakkan komunikasi. Ibu bapa harus bersikap terbuka dengan anak-anak yang menginjak usia remaja. Mereka sangat ‘rapuh’. Mereka memerlukan sokongan dan dorongan daripada orang terdekat yang pastinya jauh di sudut hati mereka, ibu bapalah yang mereka harapkan. Yakinkan anak-anak bahawa andalah orang yang boleh diharapkan atau dirujuk sekiranya mereka berhadapan dengan ancaman tekanan rakan sebaya seperti rakan meminta anak anda cuba menghisap rokok.
Rancangan melepaskan diri. Nasihatkan atau tunjukkan kepada anak anda cara melepaskan diri daripada situasi tidak selesa atau berbahaya. Contohnya, cari alasan untuk anak anda meninggalkan tempat itu apabila dia ditawarkan dengan rokok oleh rakannya.
Menjadi berbeza bukan masalah. Katakan kepada anak anda, menjadi berbeza daripada rakan-rakan yang terlibat dengan aktiviti tidak sihat bukanlah masalah. Yakinkan anak anda untuk menjadi diri sendiri dan dia tidak perlu sentiasa mengikut apa yang orang lain lakukan hanya untuk menyesuaikan diri.
Rindu pada seseorang yang telah tiada di muka bumi ini adalah rindu yang tiada penghujung.
Ketika Leah Menzies teringatkan arwah ibunya yang meninggal dunia pada usianya tujuh tahun, dia berasa terharu setelah mendapati arwah ibunya adalah cikgu tadika teman lelakinya.
Menurut Leah, penemuan manis itu seperti babak dalam drama. Dia berasa terkejut, terharu dan bersyukur kerana sedikit sebanyak rindu pada arwah ibunya itu terubat juga.
Netizen yang menonton video yang dikongsi Leah di Tiktok turut berasa terharu dengan penemuan yang tidak disangka itu.
Menjawab pertanyaan netizen tentang kebenaran perkara itu, Leah mengatakan bahawa ia adalah benar dan bukan cerita rekaan.
Ada juga netizen yang bertanyakan cara untuk menghadapi saat pemergian ibu tercinta. Leah menjawab, ‘teruskan hidup seperti biasa bukan bermakna kita melupakan mereka. Tetapi itu hanya untuk memudahkan anda menghadapi saat kehilangan’.
“Eeee, tak bolehlah macam ni. Asyik nak berdukung je. Macam mana ibu nak buat kerja?”
Ini antara omelan si ibu apabila anak kecilnya mula menangis apabila dia menghilang sekejap daripada pandangan anaknya. Ibu itu bukannya hendak pergi jauh pun, ke bilik air sahaja! Namun, si anak mula menangis. Longgokan mainan tidak dihiraukannya, jeritan suara Didi & Friends daripada televisyen juga gagal menarik perhatiannya. Apa yang dimahukan oleh si kecil itu adalah, ibunya! Yang peliknya, apabila ibu muncul semula, si manja bukan sahaja berhenti menangis, malah tersengih-sengih. Inilah yang dikatakan ‘separation anxiety’, kebimbangan atau ketakutan kanak-kanak apabila berjauhan daripada ibu bapa atau penjaga yang dikenalinya.
Fasa kebimbangan pemisahan yang berlaku dalam kalangan anak-anak kecil berusia antara enam bulan hingga 2 tahun setengah adalah perkara normal.
Menurut Dr. Redza Zainol, ketika anak-anak melalui fasa ini, mereka bukan sahaja akan menangis, malah akan merengek dan mahu didukung atau ‘melekat’ dengan ibunya sahaja.
Sebenarnya bukan dengan ibu sahaja. Situasi ini berlaku juga kepada si ayah. Ada anak yang mahu ‘melekat’ sahaja dengan ayahnya sahaja.
Jadi, bagaimana menangani fasa kebimbangan pemisahan anak-anak kecil ini?
Dr. Redza, melalui hantaran di TikTok telah memberikan tips untuk menghadapi si kecil yang susah berenggang atau berpisah daripada ibu bapa. Caranya ialah dengan mengajarkan si kecil main sembunyi-sembunyi.
Ibu ayah boleh menyorok di belakang pintu atau pun sofa. Kemudian, biarkan si manja merangkak atau berjalan ke arah anda. Di sini, anak akan belajar satu konsep yang dinamakan sebagai ‘object permanence’. Maksudnya walaupun si kecil tidak nampak anda, tapi dia tahu keberadaan anda, dia tahu anda ada dekat dengannya.
Kebimbangan pemisahan adalah berbeza-beza antara kanak-kanak. Ada di antara mereka yang resah walaupun berpisah sekejap seperti ibu pergi ke dapur. Selain itu, ada kanak-kanak yang berterusan resah, bimbang dan takut apabila ditinggalkan ibu bapa di tempat asing seperti di taska atau rumah pengasuh.
Tips lain bagi menghadapi fasa kebimbangan pemisahan anak-anak kecil ialah:
Jangan biarkan si manja anda menentukan siapa yang lebih banyak memujuk antara ibu dan ayah. Ibu dan ayah mesti bekerjasama untuk menghadapi fasa ini.
Jangan pedulikan rengekan namun berikan perhatian kepada tangisan si manja.
Bercakaplah dengan si manja anda. Beritahu kepadanya bahawa anda perlu pergi ke satu-satu tempat, contohnya ke bilik air dan akan kembali semula.
Membacakan atau mereka cerita mengenai kebimbangan pemisahan kepada anak anda. Contohnya, ‘anak itik yang sedang leka bermain itu tiba-tiba terpisah daripada ibunya. Anak itik menangis sambil mencari ibunya namun tidak berjumpa. Tidak lama kemudian ibunya kembali dengan membawakan banyak makanan untuknya. Ibu itik memeluk anak itik dengan penuh kasih sayang’. Rekaan cerita seperti ini akan membuatkan dia berfikiran bahawa dia tidak bersendirian apabila menghadapi perpisahan dengan ibu bapa.
Berikan ganjaran atau kata-kata positif apabila anak anda berjaya dan begitu berani melalui masa-masa perpisahan (semasa ketiadaan anda, anak tidak menangis).
Tetapkan rutin dan ikuti rutin tersebut setiap hari agar anak anda faham bahawa pada sekian-sekian waktu, mereka akan berpisah dengan anda. Contohnya pada pukul enam pagi, anda telah mula menyiapkan dirinya untuk dihantar ke taska atau rumah pengasuh.
Jika anda bercadang untuk menghantar anak anda ke taska atau pengasuh lain, ada beberapa tips yang boleh anda ikuti:
Luangkan masa bersama anak anda di tempat tersebut sebelum anda meninggalkannya. Tujuannya adalah untuk memupuk rasa selesa anak anda di persekitaran baharu, bertemu dengan orang-orang baharu dan suasana yang baharu. Dengan cara ini, anak anda tidak akan berasa takut jika ditinggalkan bersama orang-orang yang baharu dikenalinya itu.
Biarkan anak anda membawa apa-apa barang kesukaannya dari rumah ke taska atau rumah pengasuh seperti bantal peluk atau mainan. Ini supaya dia berasa selamat dan anda bolehlah perlahan-lahan pisahkan barangan tersebut daripadanya apabila dia sudah mula selesa di tempat baharu.
Segera beredar selepas anda menghantar anak anda ke taska atau pengasuh lain. Ucapkan selamat tinggal kepadanya dan katakan kepadanya bahawa anda akan menjemputnya pulang nanti. Nyatakan waktu yang mudah difahami si manja. Contohnya, ‘lepas makan tengah hari, ibu akan datang ambil ya’.
Jangan tunjukkan rasa kecewa seperti menangis atau sedih di hadapan anak anda setelah anda menghantarnya. Jika tidak, anak anda akan keliru dengan perpisahan sementara itu. Dia akan berfikiran bahawa tempat itu tidak selamat atau pun anda sebenarnya mahu meninggalkannya di situ.
Setelah anda menjemput anak anda pulang dari rumah pengasuh atau taska, tunjukkan kegembiraan dan sayang anda terhadapnya.
Jangan memujuk anak anda secara berlebihan. Ini kerana anak anda akan keliru jika berjauhan sementara itu adalah perkara yang benar-benar perlu dibimbangkan.
Sebagai ibu bapa, anda tidak perlu takut untuk bertegas dalam hal ini. Tunjukkan kepada si manja anda bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan sekiranya mereka perlu berjauhan daripada ibu bapa. Inilah masanya untuk anak anda belajar tentang alam persekitarannya. Benar, mula-mula anda juga akan berasa susah dan tidak sampai hati, tetapi lama-kelamaan perasaan tersebut dapat diatasi.
Siapa yang suka makan ikan rebus, patut buat sendiri sahaja di rumah. Kalau anda buat banyak-banyak boleh simpan dalam peti sejuk yang tahan berminggu-minggu.
Jika anda meragui tahap kebersihan dan jaminan halal ikan rebus yang dibeli di luar dan tengok sendiri di pasar cara membuatnya telah kurang percaya seadanya, apa kata anda terus buat sendiri di rumah untuk rasa lebih selamat dan berpuas hati dengan kejadiannya.
Cara paling mudah dalam banyak-banyak cara membuat ikan rebus telah dikongsikan oleh Puan Nor Azua Amlan di Facebook, yang mana tidak perlu letak asam, kerana hanya perlu gaul dengan garam dan perlu dikukus macam biasa.
Dan kemudian kukus selama 1 jam (kalau buat buat banyak masanya 1 jam, kalau sikit kukus boleh kurangkan masa, tidak perlu 1 jam, boleh agak-agak masa mengikut berapa ekor ikan yang dikukus).
Hendak goreng keluarkan awal-awal mana yang perlu, biarkan pada suhu bilik. Contoh kalau hendak goreng pukul 12 tengahari, keluarkan ikan dalam pukul 10 pagi.
Jangan direndam. Bila sudah lembut, terus goreng.
Jangan dibasuh pula. Sebab sebelum kukus ikan, kita sudah bersihkan siap-siap.
Lagipun kalau kita basuh sebelum goreng, takut ikan akan meletup-letup.
Ikan Rebus goreng sangat sedap dimakan digaul bersama nasi panas sebagai penambah selera, letak kicap manis sikit atau dimakan bersama ulam dan sambal belacan atau air asam.
Menu nasi lemak memang menjadi kegemaran ramai ketika sarapan pagi. Ramai yang makan nasi lemak dengan aneka sambal seperti sambal sotong, sambal kerang, ayam sambal, rendang, sambal paru dan lain-lain.
Tetapi yang wajib dan menjadi satu kemestian ialah apabila nasi lemak padu dan ringkas itu adalah dimakan bersama sambal ikan bilis, yang seseorang itu mesti pandai membuatnya.
3. Cuci ikan bilis. Toskan. Goreng ikan bilis sehingga garing.
Angkat dan toskan.
4. Masukkan dalam 1 setengah senduk bawang kisar. (Bawang putih dan bawang merah)
Masukkan 1 sudu garam. Garam ini petua untuk bawang cepat garing. Bila bawang sudah garing. Warna keperangan masukkan cili kisar dalam 2 senduk.
5. Masukkan beberapa sudu gula. Gula ini masuk awal sebab untuk cili cepat garing. Masukkan pes asam jawa. Guna pes adabi sebab tak payah bancuh guna air.
6. Kacau rata. Masukkan bawang besar dipotong nipis. Budak-budak tak suka makan bawang kan. Tapi bila buat macam ni tak nampak ada bawang. Biasa orang berniaga nak bagi nampak banyak sambal letak bawang besar ni banyak-banyak.
7. Perlahankan api. Kacau sambal sampai betul-betul garing. Proses ini ambil masa sikit. Bila sudah ramai orang bersin, bermakna sambal tu dah cukup garing.
8. Masukkan air panas atau suam. Dalam 2 cawan. Kacau rata. Biar sambal pekat sikit. Baru masukkan ikan bilis goreng tadi.
9. Kacau rata. Rasakan garam dan gula secukupnya. Tutup api.
2.Masukkan santan mengikut sukatan beras yang hendak dimasak. Sukatan air dan santan mengikut jenis beras yang biasa dimasak sebab ada yang jenis kena lebih air. Ada jenis yang cepat lembik. Guna kaedah sukatan jari. Ukur berapa tinggi beras dengan jari tengah. Sukatan air/santan sama paras ukuran tinggi beras (jari letak atas beras bukan dalam beras bila sukat paras air)
3.Masukkan garam. Kacau rata.
4.Daun pandan dicuci. Carik-carikkan. Ikat.
5.Masukkan dalam periuk nasi.
6.Masak guna periuk nasi atau masak guna dapur gas. Jika guna periuk nasi kadang-kadang bila separuh masak penekan tu dah naik, boleh angkat periuk dan masak atas dapur gas. Kacau rata. Tutup periuk dan kecilkan api.
Nasi lemak siap dimasak, hidang macam biasa letak timun, telur rebus, kacang dan ikan bilis goreng ikut suka, juga jangan lupa terpaling penting sambal ikan bilis.
Kisah balas budi ini sangat menyentuh hati. Seorang pemuda selalu membelikan makanan untuk diberikan kepada beberapa anjing liar di jalanan hampir setiap hari.
Tanpa menyangka, anjing-anjing ini membalas kebaikan hatinya dengan rasa syukur dan secara automatik menjadi ‘pengawal peribadi’ untuk membantu menjaga motosikalnya!
Menurut pengguna TikTok @abangnaih yang memuat naik beberapa video mengenai anjing liar itu, dapat dilihat dia menghampiri motosikal ‘black panther’ miliknya yang diletakkan di tepi jalan, dan terdapat beberapa ekor anjing sedang rileks berbaring di sebelah motosikal itu.
Apabila abangnaih berjalan ke motosikalnya, dia mengucapkan terima kasih kepada anjing-anjing liar itu dengan terus berkata, “Bos, Terima Kasih! Bos,Terima Kasih!” kerana membantu menjaga motosikalnya, yang mana agak melucukan..
Lelaki itu berkata kepada Guang Ming Daily, selepas dia membeli sesuatu untuk mereka buat pertama kali, kumpulan anjing itu tiba-tiba secara automatik menjadi ‘pengawal peribadi’, dengan tidak berganjak menjaga motosikalnya.
Walaupun dalam video tersebut hanya terpapar 4 ekor anjing, sebenarnya terdapat 6 ekor anjing yang mengawasi motosikalnya.
Pemuda ini kemudian memuat naik satu lagi video di mana dia menunjukkan telah membeli sebungkus ayam goreng mamak untuk diberikan kepada para anjing tersebut, membuktikan yang dia benar-benar sedang memberi mereka ‘gaji’.
Selepas video TikTok ini menjadi tular dengan lebih 218,000 tontonan, ia telah menarik perhatian ramai warganet dengan komen memberi pujian.
Ramai yang menganggap video anjing liar membalas budi dengan menjaga motosikal ‘black panther’ abangnaih sangat comel, malah ada yang memuji serta mendoakan lelaki itu kerana sangat mengambil berat dan prihatin dengan kebajikan haiwan.
Abangnaih berkata dia hanya mampu memberi mereka makan ayam goreng, dan menganggap memberi makan anjing liar hanyalah satu usaha membuat kebaikan yang kecil berbanding orang lain yang melakukan usaha lebih besar.
Bagi setiap pasangan yang sudah berkahwin, kelahiran anak pertama atau sulung adalah perkara yang dinanti-nantikan. Anak sulung dianggap sebagai penyeri keluarga. Kehadirannya disambut meriah oleh seluruh ahli keluarga termasuk datuk, nenek, saudara-mara dan lain-lain. Anak sulung juga ditatang bagai minyak yang penuh. Semua kemahuan dan keperluannya cuba dipenuhi oleh ibu ayah. Seluruh kasih sayang ibu ayah hanya tertumpu kepada anak sulung mereka sehinggalah hadirnya adik-adik selepasnya.
Apabila lahirnya anak kedua, perhatian ibu ayah terhadap anak sulung mula berubah. Tambahan pula jika jarak antara anak sulung dan anak kedua itu agak jauh, ibu bapa kurang memberi perhatian kepada anak sulung mereka dan menganggap anak sulung mereka sudah boleh berdikari. Jika anak sulung menangis atau membuat perangai, mereka mengatakan anak sulung itu mengada-ngada.
Sedar tidak sedar, anak sulung itu mula memendam rasa. Dia berasakan ibu bapanya sudah tidak sayangkannya. Ada ketikanya anak sulung itu mahu memberontak sebagai isyarat dia juga mahukan perhatian daripada ibu bapanya. Dia mahu disayangi ibu bapa seperti waktu dia tidak mempunyai adik. Namun jeritan hatinya seakan tidak difahami oleh ibu bapanya.
Anak sulung semakin menjauhi ibu bapa apabila keluarga mereka ditakdirkan mendapat anak yang ketiga dan seterusnya. Namun, ibu bapa masih juga belum sedar sekiranya anak sulung itu sebenarnya mengalami sindrom anak pertama.
Apakah itu sindrom anak pertama? Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Jika anda adalah ibu bapa yang sedang menanti kehadiran anak kedua atau seterusnya, mari lanjutkan pembacaan anda. Ini kerana, jika sindrom anak pertama ini tidak diberi perhatian, ia boleh memudaratkan hubungan kekeluargaan.
1. Berperangai aneh.
Anak sulung akan mula menunjukkan sikap aneh seperti pemarah, banyak melawan, mendiamkan diri pada kebanyakan waktu atau pun mengelak daripada ibu bapa. Tindakan ini sebenarnya menunjukkan anak sulung itu berasa cemburu dengan kehadiran adik baharu yang dianggap sebagai pengganti dirinya. Apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah, biarkan sahaja dahulu sehingga masa menjadi ubatnya.
Namun, seiiring berlalunya waktu, ibu bapa perlu cuba merapatkan anak sulung dengan adik baharu. Mungkin ibu bapa boleh meminta anak sulung untuk pegangkan botol susu adiknya sewaktu adiknya minum susu. Anda juga boleh mengajar anak sulung untuk mencium adik baharu itu sebelum dia masuk tidur. Lama-kelamaan, kasih sayang akan mula bercambah dalam diri anak sulung anda terhadap adiknya itu.
2. Mula menunjukkan sikap bertanggungjawab.
Apabila anak sulung anda cuba untuk membiasakan diri membantu anda menguruskan adik baharu, dia sendiri akan mula menyedari bahawa dia juga bertanggungjawab untuk menjaga adiknya. Berikan galakan kepadanya seperti biarkan dia menyapu bedak pada adiknya selepas dimandikan atau pun biarkan dia menjaga adiknya ketika anda sibuk di dapur. Perhatikan sahaja cara dia menjaga atau melindungi adiknya daripada ancaman bahaya.
Namun jangan memaksa anak sulung anda untuk melakukan perkara-perkara tersebut jika dia tidak mahu melakukannya atau pun jika usianya masih sangat muda.
3. Mula menampakkan sikap berdikari.
Anak sulung anda akan mula melakukan perkara-perkara asas sendiri seperti pergi mandi sendiri apabila anda menyuruhnya, kemaskan mainan yang bersepah kerana takut jika si adik mengambil mainan tersebut dan masuk ke dalam mulutnya, makan sendiri dan tidak perlu bersuap lagi dan lain-lain.
Hal ini sebenarnya bagus untuk perkembangan anak sulung anda dalam mendidik sikap berdikari. Namun, ibu bapa perlu mengawasi anak sulung anda dan bukannya membiarkan sahaja dia melakukan semua perkara sendiri sehingga dia berasakan dia tidak lagi disayangi.
4. Bersaing dengan adik-beradik sendiri.
Anak sulung anda akan mula berkelahi dengan adiknya semata-mata untuk dipujuk oleh anda. Tindakan mereka ini disebabkan oleh perasaaan cemburu yang timbul terhadap adiknya. Selain itu, ia menunjukkan bahawa anak sulung anda dahagakan perhatian, tidak mahu berkongsi serta berasakan mereka telah kehilangan keistimewaan sebagai permata keluarga suatu ketika dahulu.
Jika hal ini terjadi, anda perlulah memujuk anak sulung anda itu dan nyatakan yang anda tetap menyayanginya biarpun sudah ada adik baharu.
Tidak dinafikan, kasih sayang adalah perkara rumit yang berlaku dalam kehidupan namun ia perlu diuruskan dengan bijak. Ini kerana jika tersilap langkah, hubungan kekeluargaan boleh menjadi renggang. Lalu, bagaimanakah cara untuk mengelakkan daripada sindrom anak pertama ini berlaku atau berlarutan? Mari menelusuri pedoman untuk menangani masalah tersebut.
1. Beritahu anak sulung anda bahawa dia akan menerima adik baharu tidak lama lagi. Tunjukkan kepadanya gambar-gambar bayi atau biarkan dia merasai sendiri tendangan bayi di dalam perut anda. Perkara ini secara tidak langsung akan membuatkan anak sulung anda teruja dengan kehadiran adik baharu nanti.
2. Jangan pernah membanding-bandingkan anak sulung anda dengan anak yang lain lebih-lebih lagi menyatakan perbandingan tersebut di hadapan anak sulung anda. Perbandingan daripada segi gred pembelajaran, penampilan atau kelakuan mereka.
3. Jangan tetapkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap anak pertama anda. Kata-kata seperti, “Kak long kan anak sulung, mesti tunjuk perangai yang baik. Kalau tidak, macam mana adik-adik nak ikut?” tidak harus anda lontarkan kepada anak sulung anda. Dia pasti akan berasa terbeban, memendam perasaan dan akhirnya memberontak.
4. Tanamkan sifat kepimpinan dalam diri anak pertama. Berikan mereka peluang untuk menjadi kakak atau abang sulung yang terbaik buat adik-adik mereka. Jika mereka tersilap, usah salahkan atau herdik mereka.
5. Berikan anak sulung anda ruang peribadi dan peluang untuk melakukan sesuatu perkara. Namun tetaplah mengawasinya agar dia tidak terjebak dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
6. Luangkan masa berharga bersama anak sulung anda. Tunjukkan kasih sayang anda kepadanya. Nyatakan bahawa anda sangat bersyukur kerana dikurniakan anak sulung yang sangat bertanggungjawab sepertinya. Tidak salah untuk anda ucapkan terima kasih kepadanya yang telah banyak membantu anda dalam menguruskan keluarga dan adik-adik.
Dengan melakukan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, anak sulung anda pasti berasa dirinya sangat dihargai dan tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kepada anda. Namun pokok pangkalnya, ibu bapalah yang harus bijak dalam menghadapi sindrom anak pertama ini.
Jika anda sendiri pernah mengalami sindrom anak pertama hasil didikan ibu bapa anda dahulu, fikirkan semula, adakah anda mahu anak pertama anda melalui perkara sama yang pernah anda lalui dahulu?
Masih belum terlambat untuk anda memperbetulkan keadaan. Ingatlah saat-saat manis ketika pertama kali anda mendakap anak sulung anda.
Menjadi penghantar makanan bukan sekadar menghantar makanan, kerana kadangkala pekerjaan mereka disusuli dengan pelbagai cabaran.
Seorang penghantar makanan yang dikenali Khuzaimie @khuzaimie_lemat1.0 baru-baru ini berkongsi pengalamannya di TikTok apabila pada satu pagi, dia telah terserempak dengan seorang warga emas berbangsa Cina yang meminta pertolongannya untuk menghantarnya ke rumah.
Warga emas wanita yang dipanggil ‘auntie’ itu telah menahan Khuzaimie semasa dia sedang bekerja menghantar makanan di kawasan perumahan di Puchong, Selangor.
Apa yang menjadi cabaran buat Khuzaimie ialah ‘auntie’ itu langsung tidak ingat alamat rumahnya dan dia dalam keadaan bingung yang membuatkan pemuda ini menggeleng-geleng kepala.
Dalam video itu, Khuzaimie berkata, “Dia ingat nombor rumah dia 9 je, saya dah pening dah ni, kawasan sini besar!”
Tetapi Khuzaimie yang bimbang akan keselamatan ‘auntie’ ini, tetap terus berusaha mencari rumahnya di sekitar kawasan tersebut, tetapi menemui jalan buntu.
Akhirnya, pemuda ini terpaksa membuat keputusan untuk menghantarnya ke balai polis berdekatan bagi tindakan selanjutnya.
Syukurlah selepas dibawa ke balai polis, pihak polis telah berjaya mengesan keluarga warga emas tersebut dan menghubungi mereka untuk mengambilnya pulang ke rumah.
Tetapi, apa yang mengharukan ialah Khuzaimie amat baik hati apabila terus menunggu ‘auntie’ nya itu sehingga anaknya datang menjemputnya pulang.
Sebelum menyerahkan ‘auntie’ kepada anaknya, Khuzaimie sempat berpesan kepada warga emas itu supaya jangan keluar rumah lagi dan sentiasa berhati-hati.
Keluarga ‘auntie’ itu tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada Khuzaimie kerana sanggup mengenepikan masa berharganya menghantar makanan demi membantu ibu mereka supaya dia dapat pulang ke rumah.
Terharu dengan sikap prihatin dan kebaikan hati Khuzaimie kerana dia benar-benar bimbangkan warga emas itu dan menjaga kebajikannya sampai urusan selesai, macam dia melayan ibu sendiri.