Semasa saingan Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada 30 Julai lalu, nasib tidak menyebelahi pemain Jamaica, Samuel Ricketts apabila kasutnya rosak semasa perlawanan dengan skuad badminton Malaysia.
Samuel yang ketika itu sedang beraksi menentang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dalam aksi Kumpulan D acara berpasukan campuran, tiba-tiba telah terkoyak kasutnya yang sekali gus memaksa perlawanan yang berlangsung di Pusat Pameran Nasional Birmingham itu dihentikan buat seketika.

Sejurus itu, jurulatihnya datang menghampiri Samuel untuk memberikan kasut sukan biasa yang mana bukan kasut badminton, yang dipinjamkan oleh rakan sepasukan untuk meneruskan aksi perlawanan itu.
Dalam rakaman video yang dikongsikan di media sosial, terlihat Tze Yong turut menawarkan kasutnya tetapi ditolak secara baik lawannya itu yang mungkin kerana saiznya tidak sama.

Jurulatih skuad Malaysia, Hendrawan kemudian telah datang ‘berkaki ayam’ dari tempat duduk jurulatih sambil menunjukkan saiz kasutnya kepada Samuel dan pemain itu bersetuju untuk memakainya bagi meneruskan aksi dalam perlawanan berkenaan.

Tindakan Jurulatih Hendrawan itu amat menyentuh hati sehingga mendapat pujian ramai warganet di Facebook, Twitter dan Instagram.
Kebanyakannya memuji semangat kesukanan yang amat tinggi ditunjukkan oleh beliau dan sikapnya itu telah berjaya menaikkan nama baik Malaysia dan Indonesia di mata dunia melalui sukan badminton itu sendiri.

Selepas memberikan kasutnya, Jurulatih Hendrawan terus kembali ke bangku jurulatih dengan hanya memakai stoking.
Dalam perlawanan itu, Ng Tze Yong berjaya mengatasi Samuel Ricketts menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-16 dan skuad badminton negara menang 5-0 ke atas Jamaica sekali gus mara ke suku akhir.

Skuad badminton Malaysia berjaya meraih pingat emas dalam acara berpasukan campuran pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 kali ini dengan menewaskan India 3-1 pada 3 Ogos lalu.
Tonton video di sini.