Menu nasi lemak memang menjadi kegemaran ramai ketika sarapan pagi. Ramai yang makan nasi lemak dengan aneka sambal seperti sambal sotong, sambal kerang, ayam sambal, rendang, sambal paru dan lain-lain.
Tetapi yang wajib dan menjadi satu kemestian ialah apabila nasi lemak padu dan ringkas itu adalah dimakan bersama sambal ikan bilis, yang seseorang itu mesti pandai membuatnya.
Ikuti perkongsian Chek Kuna Ahmad menerusi laman Facebook Koleksi Resepi FB seperti di bawah:
Sambal Ikan Bilis
Bahan-bahan:
- Bawang putih
- Bawang merah
- Cili kisar
- Ikan bilis
- Minyak masak
- Pes asam jawa
- 2 biji bawang besar dipotong nipis
- Garam
- Gula
- Serbuk perasa / ajinomoto secukup rasa.
Cara-cara memasak:
1. Sediakan kuali
2. Panaskan 2 senduk minyak masak.
3. Cuci ikan bilis. Toskan. Goreng ikan bilis sehingga garing.
Angkat dan toskan.
4. Masukkan dalam 1 setengah senduk bawang kisar. (Bawang putih dan bawang merah)
Masukkan 1 sudu garam. Garam ini petua untuk bawang cepat garing. Bila bawang sudah garing. Warna keperangan masukkan cili kisar dalam 2 senduk.
5. Masukkan beberapa sudu gula. Gula ini masuk awal sebab untuk cili cepat garing. Masukkan pes asam jawa. Guna pes adabi sebab tak payah bancuh guna air.
6. Kacau rata. Masukkan bawang besar dipotong nipis. Budak-budak tak suka makan bawang kan. Tapi bila buat macam ni tak nampak ada bawang. Biasa orang berniaga nak bagi nampak banyak sambal letak bawang besar ni banyak-banyak.
7. Perlahankan api. Kacau sambal sampai betul-betul garing. Proses ini ambil masa sikit. Bila sudah ramai orang bersin, bermakna sambal tu dah cukup garing.
8. Masukkan air panas atau suam. Dalam 2 cawan. Kacau rata. Biar sambal pekat sikit. Baru masukkan ikan bilis goreng tadi.
9. Kacau rata. Rasakan garam dan gula secukupnya. Tutup api.
Sambal ikan bilis siap.
Nasi Lemak
Bahan-bahan:
- Beras
- 1 biji kelapa parut (kisar – 2 kali perahan santan)
- Garam secukup rasa
- Daun pandan
- Hirisan halia atau serai (jika suka, tak payah letak pun tidak mengapa)
Cara memasak:
1.Cuci beras bersih.
2.Masukkan santan mengikut sukatan beras yang hendak dimasak. Sukatan air dan santan mengikut jenis beras yang biasa dimasak sebab ada yang jenis kena lebih air. Ada jenis yang cepat lembik. Guna kaedah sukatan jari. Ukur berapa tinggi beras dengan jari tengah. Sukatan air/santan sama paras ukuran tinggi beras (jari letak atas beras bukan dalam beras bila sukat paras air)
3.Masukkan garam. Kacau rata.
4.Daun pandan dicuci. Carik-carikkan. Ikat.
5.Masukkan dalam periuk nasi.
6.Masak guna periuk nasi atau masak guna dapur gas. Jika guna periuk nasi kadang-kadang bila separuh masak penekan tu dah naik, boleh angkat periuk dan masak atas dapur gas. Kacau rata. Tutup periuk dan kecilkan api.
7.Masak sehingga nasi betul-betul masak.
Nasi lemak siap dimasak, hidang macam biasa letak timun, telur rebus, kacang dan ikan bilis goreng ikut suka, juga jangan lupa terpaling penting sambal ikan bilis.
Selamat mencuba!