29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024
UtamaBerita UtamaSindrom anak pertama, jika tidak diberi perhatian boleh memudaratkan hubungan kekeluargaan

Sindrom anak pertama, jika tidak diberi perhatian boleh memudaratkan hubungan kekeluargaan

Bagi setiap pasangan yang sudah berkahwin, kelahiran anak pertama atau sulung adalah perkara yang dinanti-nantikan. Anak sulung dianggap sebagai penyeri keluarga. Kehadirannya disambut meriah oleh seluruh ahli keluarga termasuk datuk, nenek, saudara-mara dan lain-lain. Anak sulung juga ditatang bagai minyak yang penuh. Semua kemahuan dan keperluannya cuba dipenuhi oleh ibu ayah. Seluruh kasih sayang ibu ayah hanya tertumpu kepada anak sulung mereka sehinggalah hadirnya adik-adik selepasnya.

Apabila lahirnya anak kedua, perhatian ibu ayah terhadap anak sulung mula berubah. Tambahan pula jika jarak antara anak sulung dan anak kedua itu agak jauh, ibu bapa kurang memberi perhatian kepada anak sulung mereka dan menganggap anak sulung mereka sudah boleh berdikari. Jika anak sulung menangis atau membuat perangai, mereka mengatakan anak sulung itu mengada-ngada.

Sedar tidak sedar, anak sulung itu mula memendam rasa. Dia berasakan ibu bapanya sudah tidak sayangkannya. Ada ketikanya anak sulung itu mahu memberontak sebagai isyarat dia juga mahukan perhatian daripada ibu bapanya. Dia mahu disayangi ibu bapa seperti waktu dia tidak mempunyai adik. Namun jeritan hatinya seakan tidak difahami oleh ibu bapanya.

PEXELS

Anak sulung semakin menjauhi ibu bapa apabila keluarga mereka ditakdirkan mendapat anak yang ketiga dan seterusnya. Namun, ibu bapa masih juga belum sedar sekiranya anak sulung itu sebenarnya mengalami sindrom anak pertama.

Apakah itu sindrom anak pertama? Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Jika anda adalah ibu bapa yang sedang menanti kehadiran anak kedua atau seterusnya, mari lanjutkan pembacaan anda. Ini kerana, jika sindrom anak pertama ini tidak diberi perhatian, ia boleh memudaratkan hubungan kekeluargaan.

1. Berperangai aneh.

Anak sulung akan mula menunjukkan sikap aneh seperti pemarah, banyak melawan, mendiamkan diri pada kebanyakan waktu atau pun mengelak daripada ibu bapa. Tindakan ini sebenarnya menunjukkan anak sulung itu berasa cemburu dengan kehadiran adik baharu yang dianggap sebagai pengganti dirinya. Apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah, biarkan sahaja dahulu sehingga masa menjadi ubatnya.

Namun, seiiring berlalunya waktu, ibu bapa perlu cuba merapatkan anak sulung dengan adik baharu. Mungkin ibu bapa boleh meminta anak sulung untuk pegangkan botol susu adiknya sewaktu adiknya minum susu. Anda juga boleh mengajar anak sulung untuk mencium adik baharu itu sebelum dia masuk tidur. Lama-kelamaan, kasih sayang akan mula bercambah dalam diri anak sulung anda terhadap adiknya itu.

2. Mula menunjukkan sikap bertanggungjawab.

Apabila anak sulung anda cuba untuk membiasakan diri membantu anda menguruskan adik baharu, dia sendiri akan mula menyedari bahawa dia juga bertanggungjawab untuk menjaga adiknya. Berikan galakan kepadanya seperti biarkan dia menyapu bedak pada adiknya selepas dimandikan atau pun biarkan dia menjaga adiknya ketika anda sibuk di dapur. Perhatikan sahaja cara dia menjaga atau melindungi adiknya daripada ancaman bahaya.

PEXELS

Namun jangan memaksa anak sulung anda untuk melakukan perkara-perkara tersebut jika dia tidak mahu melakukannya atau pun jika usianya masih sangat muda.

3. Mula menampakkan sikap berdikari.

Anak sulung anda akan mula melakukan perkara-perkara asas sendiri seperti pergi mandi sendiri apabila anda menyuruhnya, kemaskan mainan yang bersepah kerana takut jika si adik mengambil mainan tersebut dan masuk ke dalam mulutnya, makan sendiri dan tidak perlu bersuap lagi dan lain-lain.

Hal ini sebenarnya bagus untuk perkembangan anak sulung anda dalam mendidik sikap berdikari. Namun, ibu bapa perlu mengawasi anak sulung anda dan bukannya membiarkan sahaja dia melakukan semua perkara sendiri sehingga dia berasakan dia tidak lagi disayangi.

4. Bersaing dengan adik-beradik sendiri.

Anak sulung anda akan mula berkelahi dengan adiknya semata-mata untuk dipujuk oleh anda. Tindakan mereka ini disebabkan oleh perasaaan cemburu yang timbul terhadap adiknya. Selain itu, ia menunjukkan bahawa anak sulung anda dahagakan perhatian, tidak mahu berkongsi serta berasakan mereka telah kehilangan keistimewaan sebagai permata keluarga suatu ketika dahulu.

Jika hal ini terjadi, anda perlulah memujuk anak sulung anda itu dan nyatakan yang anda tetap menyayanginya biarpun sudah ada adik baharu.

Tidak dinafikan, kasih sayang adalah perkara rumit yang berlaku dalam kehidupan namun ia perlu diuruskan dengan bijak. Ini kerana jika tersilap langkah, hubungan kekeluargaan boleh menjadi renggang. Lalu, bagaimanakah cara untuk mengelakkan daripada sindrom anak pertama ini berlaku atau berlarutan? Mari menelusuri pedoman untuk menangani masalah tersebut.

1. Beritahu anak sulung anda bahawa dia akan menerima adik baharu tidak lama lagi. Tunjukkan kepadanya gambar-gambar bayi atau biarkan dia merasai sendiri tendangan bayi di dalam perut anda. Perkara ini secara tidak langsung akan membuatkan anak sulung anda teruja dengan kehadiran adik baharu nanti.

PEXELS

2. Jangan pernah membanding-bandingkan anak sulung anda dengan anak yang lain lebih-lebih lagi menyatakan perbandingan tersebut di hadapan anak sulung anda. Perbandingan daripada segi gred pembelajaran, penampilan atau kelakuan mereka.

3. Jangan tetapkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap anak pertama anda. Kata-kata seperti, “Kak long kan anak sulung, mesti tunjuk perangai yang baik. Kalau tidak, macam mana adik-adik nak ikut?” tidak harus anda lontarkan kepada anak sulung anda. Dia pasti akan berasa terbeban, memendam perasaan dan akhirnya memberontak.

PEXELS

4. Tanamkan sifat kepimpinan dalam diri anak pertama. Berikan mereka peluang untuk menjadi kakak atau abang sulung yang terbaik buat adik-adik mereka. Jika mereka tersilap, usah salahkan atau herdik mereka.

5. Berikan anak sulung anda ruang peribadi dan peluang untuk melakukan sesuatu perkara. Namun tetaplah mengawasinya agar dia tidak terjebak dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

6. Luangkan masa berharga bersama anak sulung anda. Tunjukkan kasih sayang anda kepadanya. Nyatakan bahawa anda sangat bersyukur kerana dikurniakan anak sulung yang sangat bertanggungjawab sepertinya. Tidak salah untuk anda ucapkan terima kasih kepadanya yang telah banyak membantu anda dalam menguruskan keluarga dan adik-adik.

PEXELS

Dengan melakukan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, anak sulung anda pasti berasa dirinya sangat dihargai dan tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kepada anda. Namun pokok pangkalnya, ibu bapalah yang harus bijak dalam menghadapi sindrom anak pertama ini.

Jika anda sendiri pernah mengalami sindrom anak pertama hasil didikan ibu bapa anda dahulu, fikirkan semula, adakah anda mahu anak pertama anda melalui perkara sama yang pernah anda lalui dahulu?

Masih belum terlambat untuk anda memperbetulkan keadaan. Ingatlah saat-saat manis ketika pertama kali anda mendakap anak sulung anda.

PEXELS

Sampai bila-bila, anak sulung tetap permata keluarga. Sayangilah mereka!

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI