“Eeee, tak bolehlah macam ni. Asyik nak berdukung je. Macam mana ibu nak buat kerja?”
Ini antara omelan si ibu apabila anak kecilnya mula menangis apabila dia menghilang sekejap daripada pandangan anaknya. Ibu itu bukannya hendak pergi jauh pun, ke bilik air sahaja! Namun, si anak mula menangis. Longgokan mainan tidak dihiraukannya, jeritan suara Didi & Friends daripada televisyen juga gagal menarik perhatiannya. Apa yang dimahukan oleh si kecil itu adalah, ibunya! Yang peliknya, apabila ibu muncul semula, si manja bukan sahaja berhenti menangis, malah tersengih-sengih. Inilah yang dikatakan ‘separation anxiety’, kebimbangan atau ketakutan kanak-kanak apabila berjauhan daripada ibu bapa atau penjaga yang dikenalinya.
Fasa kebimbangan pemisahan yang berlaku dalam kalangan anak-anak kecil berusia antara enam bulan hingga 2 tahun setengah adalah perkara normal.
Menurut Dr. Redza Zainol, ketika anak-anak melalui fasa ini, mereka bukan sahaja akan menangis, malah akan merengek dan mahu didukung atau ‘melekat’ dengan ibunya sahaja.
Sebenarnya bukan dengan ibu sahaja. Situasi ini berlaku juga kepada si ayah. Ada anak yang mahu ‘melekat’ sahaja dengan ayahnya sahaja.
Jadi, bagaimana menangani fasa kebimbangan pemisahan anak-anak kecil ini?
Dr. Redza, melalui hantaran di TikTok telah memberikan tips untuk menghadapi si kecil yang susah berenggang atau berpisah daripada ibu bapa. Caranya ialah dengan mengajarkan si kecil main sembunyi-sembunyi.
Ibu ayah boleh menyorok di belakang pintu atau pun sofa. Kemudian, biarkan si manja merangkak atau berjalan ke arah anda. Di sini, anak akan belajar satu konsep yang dinamakan sebagai ‘object permanence’. Maksudnya walaupun si kecil tidak nampak anda, tapi dia tahu keberadaan anda, dia tahu anda ada dekat dengannya.
Kebimbangan pemisahan adalah berbeza-beza antara kanak-kanak. Ada di antara mereka yang resah walaupun berpisah sekejap seperti ibu pergi ke dapur. Selain itu, ada kanak-kanak yang berterusan resah, bimbang dan takut apabila ditinggalkan ibu bapa di tempat asing seperti di taska atau rumah pengasuh.
Tips lain bagi menghadapi fasa kebimbangan pemisahan anak-anak kecil ialah:
- Jangan biarkan si manja anda menentukan siapa yang lebih banyak memujuk antara ibu dan ayah. Ibu dan ayah mesti bekerjasama untuk menghadapi fasa ini.
- Jangan pedulikan rengekan namun berikan perhatian kepada tangisan si manja.
- Bercakaplah dengan si manja anda. Beritahu kepadanya bahawa anda perlu pergi ke satu-satu tempat, contohnya ke bilik air dan akan kembali semula.
- Membacakan atau mereka cerita mengenai kebimbangan pemisahan kepada anak anda. Contohnya, ‘anak itik yang sedang leka bermain itu tiba-tiba terpisah daripada ibunya. Anak itik menangis sambil mencari ibunya namun tidak berjumpa. Tidak lama kemudian ibunya kembali dengan membawakan banyak makanan untuknya. Ibu itik memeluk anak itik dengan penuh kasih sayang’. Rekaan cerita seperti ini akan membuatkan dia berfikiran bahawa dia tidak bersendirian apabila menghadapi perpisahan dengan ibu bapa.
- Berikan ganjaran atau kata-kata positif apabila anak anda berjaya dan begitu berani melalui masa-masa perpisahan (semasa ketiadaan anda, anak tidak menangis).
- Tetapkan rutin dan ikuti rutin tersebut setiap hari agar anak anda faham bahawa pada sekian-sekian waktu, mereka akan berpisah dengan anda. Contohnya pada pukul enam pagi, anda telah mula menyiapkan dirinya untuk dihantar ke taska atau rumah pengasuh.
Jika anda bercadang untuk menghantar anak anda ke taska atau pengasuh lain, ada beberapa tips yang boleh anda ikuti:
- Luangkan masa bersama anak anda di tempat tersebut sebelum anda meninggalkannya. Tujuannya adalah untuk memupuk rasa selesa anak anda di persekitaran baharu, bertemu dengan orang-orang baharu dan suasana yang baharu. Dengan cara ini, anak anda tidak akan berasa takut jika ditinggalkan bersama orang-orang yang baharu dikenalinya itu.
- Biarkan anak anda membawa apa-apa barang kesukaannya dari rumah ke taska atau rumah pengasuh seperti bantal peluk atau mainan. Ini supaya dia berasa selamat dan anda bolehlah perlahan-lahan pisahkan barangan tersebut daripadanya apabila dia sudah mula selesa di tempat baharu.
- Segera beredar selepas anda menghantar anak anda ke taska atau pengasuh lain. Ucapkan selamat tinggal kepadanya dan katakan kepadanya bahawa anda akan menjemputnya pulang nanti. Nyatakan waktu yang mudah difahami si manja. Contohnya, ‘lepas makan tengah hari, ibu akan datang ambil ya’.
- Jangan tunjukkan rasa kecewa seperti menangis atau sedih di hadapan anak anda setelah anda menghantarnya. Jika tidak, anak anda akan keliru dengan perpisahan sementara itu. Dia akan berfikiran bahawa tempat itu tidak selamat atau pun anda sebenarnya mahu meninggalkannya di situ.
- Setelah anda menjemput anak anda pulang dari rumah pengasuh atau taska, tunjukkan kegembiraan dan sayang anda terhadapnya.
- Jangan memujuk anak anda secara berlebihan. Ini kerana anak anda akan keliru jika berjauhan sementara itu adalah perkara yang benar-benar perlu dibimbangkan.
Sebagai ibu bapa, anda tidak perlu takut untuk bertegas dalam hal ini. Tunjukkan kepada si manja anda bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan sekiranya mereka perlu berjauhan daripada ibu bapa. Inilah masanya untuk anak anda belajar tentang alam persekitarannya. Benar, mula-mula anda juga akan berasa susah dan tidak sampai hati, tetapi lama-kelamaan perasaan tersebut dapat diatasi.