28.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 22, 2025
Utama Blog Laman 9

Pencari emas menemukan ketulan emas terbesar pernah digali 150 tahun lalu, berat menyamai seorang lelaki

0

Ketulan emas terbesar yang pernah ditemui adalah seberat seorang lelaki dewasa. Apabila pencari gali bijih John Deason dan Richard Oates menemui ketulan emas yang besar di Australia, mereka berubah status daripada pelombong yang bergelut menjadi jutawan kaya raya dalam sekelip mata.

Bermula tahun 1851, tergoda dengan lombong emas luas baru ditemui di Australia Barat, ratusan ribu lelaki berhijrah ke koloni British itu, yang kemudian dikenali kerubut emas Australia. Namun, sementara ramai pencari emas menemui kuantiti logam berharga yang sederhana, dua pelombong bijih timah yang sentiasa merendah diri akan mendapat rehat terbesar seumur hidup mereka dan juga yang terbesar sepanjang zaman.

Replika ketulan emas Welcome Stranger. (The Epoch Times)

Penemuan rezeki emas yang sangat terkenal berlaku pada 5 Februari 1869. John Deason, seorang pelombong bijih timah berbangsa Inggeris yang kehilangan bapanya di laut semasa kecil, telah berlayar ke Victoria 16 tahun sebelumnya, pada tahun 1853, dengan harapan untuk meraih kekayaannya di Down Under. Deason, yang berasal dari Cornwall dan bapanya seorang nelayan telah disertai oleh rakan pelombongnya bernama Richard Oates, setahun kemudian.

Menurut akhbar tempatan Bendigo Advertiser, lelaki itu telah bergelut dari segi kewangan sebelum penemuannya, malah telah ditolak daripada terus berhutang demi mendapatkan sebungkus tepung hanya seminggu sebelum itu. Sepanjang 15 tahun menghabiskan masa di lapangan pelombongan, mereka hanya menemukan cebisan kecil emas.

Tetapi pada suatu hari bertuah di bulan Februari, takdir telah menyebelahi Deason yang sedang bekerja di permukaan kawasan lombong yang terletak di Bulldog Gully, berhampiran dengan perkampungan Moliagul, di Victoria, apabila penggaliannya terhentak pada ketulan seperti batu besar.

Sekumpulan pelombong bergambar bersama Richard Oates dan John Deason yang menemui ketulan emas terbesar Welcome Stranger di Victoria, Australia pada Februari 1905, bersama isteri dan anak mereka. (The Epoch Times)

Dalam manuskrip tahun 1905, Deason menerangkan bagaimana dia bekerja di pekarangan akar pokok pada pagi itu apabila dia merasakan sesuatu kira-kira satu inci di bawah permukaan: “Saya mengais tanah dengan beliung dan terlihat kilauan emas; kemudian saya meratakanya lebih jauh dan betul-betul di sekeliling ketulan itu.”

Deason cuba mengangkat ketulan itu tetapi pegangan beliungnya terpatah. Jadi dia menggunakan tuil besi dan mengangkatnya. Dibaluti dalam kuarza, ketulan emas berukuran sekitar 2 kaki (0.61 meter) panjang dan hampir sama lebar dan dalam. Anak lelaki Deason berlari dengan teruja lalu memanggil Oates, yang bekerja tidak jauh dari kawasan itu. Mereka mengangkut ketulan emas ke atas kereta kuda menuju ke pondok Deason.

Laporan menyatakan isteri Deason, Catherine, berada di rumah ketika Deason kembali dan mengumumkan bahawa dia mempunyai sesuatu untuk ditunjukkan kepadanya.

Terbiasa dengan tabiatnya membawa beberapa orang ke penginapan mereka untuk menjamu selera, Catherine berkata, “Saya harap ia bukan orang tidak dikenali yang tidak diundang.”

“Tidak, ia adalah tetamu tidak dikenali yang diundang,” kata Deason.

Ukiran kayu ketulan emas Welcome Stranger, diterbitkan dalam The Illustrated Australian News for Home Reader pada 1 Mac 1869. (The Epoch Times)

Kumpulan itu meletakkan tangkapan berat di dalam pendiangan, lalu menyalakan api, dan membiarkan ia terbakar selama kira-kira sepuluh jam. Selepas ia menjadi sejuk, mereka berjaga sepanjang malam untuk memotong kuarza bagi mendedahkan ketulan emas tulen. Beberapa kepingan kecil terputus, dan pencari emas itu memberikan kira-kira 5 auns kepada rakan-rakan mereka, menurut anggaran Deason.

Pada mulanya, pencari emas ini memandang rendah nilai ketulan pada margin yang besar. “Apabila rakan saya datang,” tulis Deason, “Saya berkata, ‘Apa pendapat anda tentangnya, Dick. Adakah ia bernilai 5,000 paun?’ ‘Oh,’ katanya, ‘lebih seperti 2,000 paun’.”

Penilaian rasmi mendapati jumlah berat emas itu adalah sekitar 145 paun (66 kilogram). Sebuah bank tempatan membelinya dengan harga 9,563 paun, kira-kira AS$3 juta (RM13 juta) hingga AS$4 juta (RM17.3 juta) dalam bentuk wang hari ini. Dengan rakan-rakan bertindak sebagai pengawal peribadi, kedua-dua rakan kongsi itu memilih Bank London Chartered di bandar Dunolly, sepuluh batu jauhnya dari penempatan mereka, untuk melakukan transaksi berbanding ke Melbourne, kerana mereka takut dirompak dalam perjalanan.

Orang ramai di bandar itu berhimpun di luar Bank London Chartered kerana teruja untuk melihat ketulan emas terbesar pernah disaksikan bersama kehadiran sepasukan besar anggota polis bagi mengawal keadaan dan hadirin. 

Emas itu yang kemudian dikenali sebagai ‘Welcome Stranger Nugget’ adalah terlalu besar untuk dimuatkan di atas penimbang bank dan terpaksa dipecahkan kepada andas. Setelah ditimbang, didapati 6 paun lebih berat—dalam emas tulen—berbanding pemegang rekod terdahulu, ‘Welcome Nugget’, yang ditemui lebih sedekad sebelumnya di Victoria.

Sebelum penghujung bulan, dan sebelum ‘Welcome Stranger Nugget’ dapat dirakam gambarnya dengan sempurna, ketulan itu telah dicairkan dan emas tulen dihantar ke England, meninggalkan hanya lukisan untuk dijadikan kenangan dan cerita generasi anak cucu.

Replika ketulan emas terbesar di dunia, Welcome Stranger yang dipamerkan di Muzium Victoria, Australia. (The Epoch Times)

Satu setengah abad telah berlalu sejak penampilan luar biasa ketulan emas terbesar itu. Pada tahun 2019, John Tully, presiden Persatuan Sejarah dan Kesenian Goldfields di Dunolly, menyebut penemuan yang menakjubkan itu: “Ia amat penting. Ia adalah ketulan emas terbesar yang pernah ditemui di dunia,” katanya. “Tidak banyak rekod untuk segalanya yang boleh disimpan selama 150 tahun.”

Terutamanya, selepas kegilaan penemuan itu mereda, bekas pelombong bijih timah yang menjadi orang kaya baru itu dengan rendah diri kembali bekerja seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku. 

Sebuah akhbar tempatan, Dunolly & Bet Shire Express, yang menemu ramah pencari gali emas bertuah bulan Februari Deason dan Oates, menulis: “Kami bersyukur dan lega kerana raksasa besar telah jatuh ke tangan lelaki yang kekal tenang dan terus rajin.”

JPJ panggil semula kira-kira 35,000 model kenderaan

0

KUALA LUMPUR: JPJ panggil semula kira-kira 35,000 model kenderaan di bawah siri 3/2024 membabitkan empat syarikat pengeluar kenderaan iaitu Toyota, Mercedes-Benz, Suzuki dan Honda.

JABATAN PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA

Antara model kenderaan Toyota yang terbabit adalah Vios tahun pengeluaran Mac 2023 hingga Februari 2024, manakala Suzuki pula Model V-STRO800DE tahun pengeluaran 2023 dan model Burgman Street EX tahun pengeluaran 2024.

Sementara itu, motosikal Honda pula membabitkan model CBR250RR, CBR250S3A tahun pengeluaran 2022. Bagi jenama Mercedes-Benz pula, kenderaan yang terbabit adalah model A 200, A 250, A 250 4MATIC, AMG 45 S 4MATIC, AMG CLA 45 S 4MATIC, B 200, CLA 200 COUPE dan CLA 250 COUPE yang semuanya dikeluarkan pada tahun 2017-2024.

Menurut JPJ, sejak Julai 2024 hingga September 2024, aktiviti pemanggilan semula produk sedang dijalankan oleh pihak pengeluar kenderaan berkenaan.

Tambah JPJ lagi, pengeluar kenderaan itu akan menghubungi pemilik kenderaan tersebut untuk membuat penetapan tarikh temu janji serta membawa kenderaan untuk pemeriksaan sekali gus menjayakan aktiviti yang sedang dijalankan itu.

JABATAN PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA

JPJ menjelaskan bahawa aktiviti pemanggilan semula produk itu penting bagi mengelakkan kemalangan berlaku yang disebabkan oleh kecacatan pada struktur atau peralatan yang terdapat pada kenderaan berkenaan.

“Keselamatan kenderaan juga adalah penting bagi menjamin pemanduan dan keselesaan pemilik semasa dalam perjalanan.”

“Semestinya, pemilik tidak mahu memandu dengan masalah teknikal yang berpotensi membahayakan, mengancam nyawa dan pengeluar akan membuat pemulihan tanpa sebarang kos kepada pemilik,” Kata JPJ dalam makluman di laman media sosial rasmi.

JABATAN PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA

JPJ berharap kerjasama antara pemilik kenderaan dan pengeluar dapat menjayakan aktiviti pemanggilan semula itu serta dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Rangka warga emas ditemukan dalam rumah

0

KUALA LUMPUR: Rangka warga emas ditemukan dalam rumah di sebuah pangsapuri di Kepong yang dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu.

HMETRO

Mayat lelaki warga emas berusia 60-an tersebut ditemui anaknya yang mencarinya di rumah berkenaan lantaran tidak dapat dihubungi sejak 2020.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, pihak polis menerima laporan daripada anak mangsa pada 5 September lalu.

“Berdasarkan laporan, pengadu sampai di rumah mendapati pintu dalam keadaan berkunci.”

“Selepas memecahkan pintu kelihatan mayat ayahnya sudah meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka,” Katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Sukarno berkata, soal siasat mendapati mangsa tinggal berseorangan selepas bercerai dengan ibu pengadu dan kali terakhir pengadu berhubung dengan bapanya pada 2020.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada keluarga namun tempoh kematiannya tidak dapat dipastikan.

Terdahulu, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai penemuan rangka warga emas di sebuah rumah.

Menerusi mesej tular, mangsa dikatakan pernah memaklumkan kepada rakan dan penduduk mahu pulang ke kampung sebelum kehilangannya.

“Sehinggakan semalam (5 September) anak arwah datang mencari dan pihak pengurusan terpaksa mengumpil kunci untuk melihat keadaan rumah.”

“Ramai terkejut kerana tiada sesiapa yang mengetahui dan tiada bau busuk di kawasan berkenaan,” tulis mesej tular berkenaan.

Pemuda tidak hirau api marak tekad usaha menyelamat arnab dalam sangkar dari rumah terbakar

0

Seorang pemuda menjadi wira selepas berjaya menyelamatkan dua ekor arnab daripada menjadi mangsa korban dalam kebakaran sebuah rumah di Kajang Utama, Selangor, pada 6 September.

Aksi heroik pemuda berusia 17 tahun itu dirakam dalam video TikTok berdurasi seminit yang dimuat naik @banujeeva8 (Balanagamma Punaimuthi).

TikTok

Dalam video yang tular dengan 1.8 juta tontonan, pemuda berkenaan boleh dilihat memanjat tembok konkrit di tepi parit besar dan memijak dahan pokok sambil bergegas memotong sangkar yang memerangkap dua ekor arnab.

TikTok

Ketika api sedang marak dengan asap tebal, pemuda itu tidak menghiraukannya dan mengumpul segala usaha untuk membuka sangkar dengan menggunakan pemotong besi.

TikTok

Dia mengeluarkan beberapa barang yang menghalang arnab yang cuba menjauhkan diri sebelum dapat menggapai salah seekor dan membebaskannya ke dalam parit besar di bawah.

TikTok

Arnab kedua bergerak ke bahagian tengah sangkar sehingga menyukarkan pemuda itu untuk menggapai dan menyelamatkannya.

Selepas bergelut dengan beberapa usaha dalam bahang panas api yang semakin marak, pemuda itu akhirnya berjaya menyelamatkan arnab kedua.

TikTok

Menurut Balanagamma, kejadian berlaku pada jam 1.20 petang ketika dia dan suaminya dalam perjalanan ke tempat kerja.

Pasangan itu berhenti dan menyaksikan sebuah rumah sedang marak terbakar bersama orang ramai yang lain.

“Semua orang hanya dapat melihat. Tiada siapa yang cuba membantu. Ada burung dan arnab masih terperangkap di dalam rumah.

“Sebelum kami memulakan usaha menyelamat, burung-burung itu sudah mati dalam kebakaran.

“Suami saya tidak mahu membiarkan arnab-arnab itu turut mati, jadi dia bergegas pulang ke rumah untuk mendapatkan peralatan dengan meminta bantuan sepupunya, Jason yang berusia 17 tahun,” katanya kepada SAYS pada 9 September.

TikTok

Balanagamma berkata, suaminya melempar alatan itu ke dalam parit untuk digunakan Jason bagi memotong jaring besi sangkar arnab.

Ia mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyelamatkan kedua-dua arnab tersebut.

Balanagamma berkata keluarganya menyelamatkan arnab itu kerana mereka pencinta haiwan, yang memelihara burung merak, arnab, penyu, ayam, ikan, anjing, sugar glider dan kambing di rumah dan ladang mereka.

TikTok

Selepas kejadian itu, Balanagamma merawat sepupunya Jason dengan alatan pertolongan cemas disebabkan dia mengalami lecur ringan semasa misi menyelamat.

Dua ekor arnab comel yang diselamatkan itu telah disatukan semula dengan pemiliknya.

Jambatan di Vietnam runtuh, sekurang-kurangnya 13 masih hilang

0

PHU THO: Tiga orang pertama berjaya diselamatkan selepas insiden jambatan di Vietnam runtuh, manakala sekurang-kurangnya 13 masih hilang.

VnExpress

Media tempatan, VnExpress melaporkan Jambatan Phong Chau yang merentangi Sungai Merah itu dianggarkan runtuh pada pukul 10 pagi Isnin, dipercayai kesan Taufan Yagi yang melanda baru-baru ini.

Insiden jambatan runtuh itu telah menyebabkan beberapa buah kenderaan terjunam ke dalam sungai sekali gus memutuskan hubungan antara daerah Lam Thao dan Tam Nong.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Ho Duc Phoc yang tiba di lokasi bagi mengarahkan operasi menyelamat, siasatan awal mendapati sekitar 10 buah kereta dan dua buah motosikal terjunam ke dalam sungai, dengan 13 orang masih hilang. Phoc menambah, jumlah mangsa akan dikemas kini dari masa ke masa.

Phoc juga berkata, pihak berkuasa sedang mempertimbangkan untuk membina jambatan pontun (jambatan sementara yang disangga atau digalang dengan pontun) di lokasi tersebut.

Hal ini bertujuan bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar selain mengehadkan aliran air sebelum mereka berbincang mengenai pembinaan jambatan baharu.

Bercakap kepada VnExpress, Leftenan Jeneral Pham Duc Duyen, Pesuruhjaya Politik Wilayah Ketenteraan 2 mengatakan bahawa pihak tentera telah mengerahkan beberapa buah bot di sepanjang tebing sungai untuk mencari mangsa dan setakat ini mereka berjaya menyelamatkan tiga orang.

Mereka sedang bekerjasama rapat dengan polis tempatan untuk mengerahkan bot penyelamat. Namun, arus yang kuat dan deras menyukarkan usaha menyelamat.

VnExpress

“Jumlah kematian dan orang hilang masih belum dapat dipastikan kerana rakaman kamera tidak jelas menunjukkan berapa ramai orang yang berada di dalam setiap kenderaan,” Kata Duyen.

Salah seorang mangsa yang terselamat, Phan Truong Son, lelaki berusia 50 tahun dari Komuniti Huong Noi menceritakan bahawa dia sedang dalam perjalanan apabila terdengr bunyi kuat.

Sebelum sempat bertindak, Son jatuh ke dalam sungai bersama motosikalnya. “Ia terasa seperti jatuh ke dasar sungai,” Katanya sambil menambah bahawa dia menggunakan semua tenaganya untuk berenang ke permukaan tetapi begitu letih sehingga hampir tidak boleh bernafas dan berfikir dia mungkin tidak akan selamat.

Son walau bagaimanapun berjaya berpaut pada pokok pisang dan diselamatkan oleh beberapa orang di atas bot yang berdekatan.

Son yang mengalami kecederaan pada tisu lembut kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Tam Nong di wilayah tersebut. Sementara dua lagi mangsa yang terselamat turut menjalani ujian di pusat perubatan itu.

Nguyen Minh Hai, 33, seorang lagi mangsa yang terselamat berkata dia sedang menunggang motosikal bersama Bui Quy Trong, 33, yang membonceng di belakang ketika dia menyedari jambatan itu mula bergegar. Sesaat kemudian, jambatan itu runtuh.

“Paras air sungai tinggi, dan arus lebih kuat daripada yang pernah saya lihat. Nasib baik kami jatuh atas penampan, jadi kami terselamat dan dapat meminta bantuan daripada penduduk tempatan yang menarik kami naik,” Kata Hai.

VnExpress

Trong pula berkata dia mendengar bunyi “boom” kuat dari belakang,namun tidak sempat berpaling sebelum kedua-duanya bersama motosikal terjunam dari jambatan.

Selepas itu, sebuah lori kontena yang datang dari arah bertentangan juga jatuh dan terus dihanyutkan oleh arus yang kuat. “Saya ingat saya akan mati. Tapi nasib baik, motosikal kami tersangkut pada jambatan, kira-kira 4-5 meter dari arus deras,” Kata Trong.

Menurut Jabatan Pengangkutan Phu Tho, hujan lebat dan banjir yang disebabkan oleh Taufan Yagi menyebabkan paras air Sungai Merah meningkat. Arus yang kuat mengubah topografi dasar sungai di sekitar jambatan, menyebabkan salah satu tiang jambatan runtuh dan dua bahagian utama jambatan turut terjunam.

Jambatan Phong Chau dibina dan mula beroperasi pada tahun 1995. Ia diperbuat daripada besi dan konkrit bertetulang pra-tegangangan dengan struktur kekal, direka untuk menampung kapasiti beban sebanyak 18 tan. Jambatan ini terdiri daripada lapan rentang dengan dua rentang yang runtuh diperbuat daripada rangka keluli mudah sepanjang 64 meter, yang dihasilkan di Bulgaria.

Ngo Duc Sau, timbalan pengerusi Jawatankuasa Rakyat Daerah Lam Thao, berkata runtuhan tersebut berlaku ketika cuaca buruk dan paras air sungai yang tinggi. “Kami masih belum mengesahkan jumlah mangsa kerana pihak berkuasa sedang menyemak rakaman kamera dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” Kata Sau.

Pihak berkuasa telah mengepung kawasan jambatan dan menjalankan siasatan mengenai punca runtuhan tersebut. Sau menambah bahawa keadaan jambatan tersebut telah mengalami kemerosotan sejak kebelakangan ini.

YouTuber menghilang diri hampir setahun muncul semula dengan versi kurus turun berat badan lebih 100kg

0

Seorang YouTuber sensasi berjaya memperdaya pembuli siber dan pengikut setianya selama hampir dua tahun selepas sambil diam-diam kehilangan berat badan dengan jumlah yang sangat besar.

YouTuber Nikocado Avocado atau nama sebenarnya Nicholas Perry, mempunyai 4 juta pengikut di YouTube, menjadi terkenal apabila kandungan video makanannya dalam genre ‘Mukbang’ di mana dia dan tetamu videonya menikmati hidangan makanan dengan jumlah berlebihan.

Nikocado Avocado / YouTube

‘Raja Mukbang’ Nikocado telah menjadi pencipta kandungan video di YouTube selama lebih tujuh tahun dan apabila dia mula mempunyai fizikal yang jauh lebih langsing, sekurang-kurangnya berbanding penampilannya dalam video kedua terakhirnya.

Video itu dikongsi hanya tiga bulan lalu, di mana Nikocado berkata dia telah “menghentikan perjalanan kehilangan berat badannya.”

Nikocado Avocado / YouTube

Walau bagaimanapun, Nikocado menarik perhatian para penonton dalam video terbaharu yang dikongsi pada 7 September apabila menampilkan wajah baharu, yang nampaknya lebih langsing dengan kehilangan berat badan sebanyak 250 paun (113 kilogram) dalam masa 7 bulan.

Video yang mengejutkan itu, bertajuk “Two Steps Ahead”, telah mendapat perhatian lebih 30 juta tontonan sehingga kini, bermula dengan Nikocado memakai kepala patung panda gergasi dan semasa dalam karakter, lelaki itu memberitahu penonton, “Saya sentiasa dalam dua langkah ke hadapan.”

Nikocado Avocado / YouTube

Nikocado menambah, “Ini telah menjadi eksperimentasi sosial terbesar sepanjang hidup saya. Ia membimbangkan, ia menarik, ia mencengkam hati ketika memerhatikan mereka semua yang tidak sihat dan keliru berkeliaran di internet untuk mencari cerita, idea, persaingan di mana mereka berasa digalakkan, dilibatkan.”

Nikocado meneruskan dengan berkata dia kini telah bangun dari “mimpi yang sangat panjang” di mana memandangkan telah kehilangan “250 paun berat badannya.”

Nikocado Avocado / YouTube

“Rasa macam baru semalam orang hina saya gemuk, banyak penyakit, hodoh, membosankan dan macam-macam lagi,” katanya.

“Walaupun mereka hina, saya tetap berjaya menjadi seorang yang lebih baik daripada mereka,” tambah Nikocado.

Dalam video lain, bertajuk “hi.” di saluran YouTube yang berasingan Nikocado Avocado 2, Nikocado, bersama burung kakak tua peliharaannya, mempunyai sikap yang lebih mesra di mana dia menerangkan hanya secara ringkas bagaimana telah berjaya melakukan penurunan berat badan itu.

Nikocado Avocado 2 / YouTube

Sebelum mukbang dengan sepinggan besar spageti keju pedas, Nikocado menjelaskan bahawa dia tidak membuat video dalam masa dua tahun dan hanya berkongsi kandungan video lama dengan rakaman awal demi mengekalkan salurannya secara konsisten sambil turut konsisten menjaga kesihatannya.

Pendedahan terbesar Nikocado Avocado sejak itu telah menjadi tular dengan ramai penonton terpegun menyaksikan perubahannya dengan apa yang mereka disifatkan sebagai kisah tergempar dalam sejarah YouTube.

Susulan penampilan baharu Nikocado dalam video itu, pengikut setianya rata-rata telah memuji usahanya yang kini telah berjaya mengamalkan gaya hidup sihat dan mencetuskan inspirasi kepada yang lain untuk berazam menjadi kurus sepertinya.

Nikocado Avocado 2 / YouTube

Bagaimanapun, ada juga yang tidak dapat menerima imej terbaru Nikocado sehingga ada yang sanggup menuduhnya telah mengambil barang terlarang untuk menjadi kurus.

Youtuber berusia 32 tahun kacukan Ukraine-Amerika itu membuka saluran YouTube Nikocado Avocado pada tahun 2014. Kandungan awalnya berkisar tentang kehidupan pengamal vegetarian dan persembahan biola.

Bermula 1 September 2016, selepas berasa kecewa dengan komuniti vegetarian, Nikocado mengumumkan tidak lagi mahu menjadi YouTuber vegetarian, sebaliknya mula merakam video mukbang apabila video pertamanya menerima sambutan baik dengan 50,000 tontonan dalam masa beberapa minggu.

Nikocado Avocado / YouTube

Namun, akibat makan berlebihan dalam siri mukbang yang meraih populariti telah menyebabkan badannya semakin mengembang pernah mencecah 163kg yang menarik perhatian ramai peminatnya. Selebriti internet itu turut menjadi sasaran pembuli siber yang berterusan mengecam penampilan kurang sihatnya itu.

Dalam satu temu bual dengan sebuah majalah pada 2019, Nikocado mengakui bahawa dia mengalami gangguan libido akibat tabiat makan berlebihan. Pada September 2021, Nikocado mendakwa dia mengalami patah tulang rusuk selepas mengalami batuk teruk. 

Nikocado berkata dia kini hanya akan bersiaran di saluran kedua dan membayangkan ura-ura untuk berkongsi lebih lanjut mengenai kisah perjalanannya menurunkan berat badan pada minggu-minggu akan datang.

Tonton video di bawah:

Jumlah korban Taufan Yagi di Vietnam meningkat kepada 9

0

HA LONG: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh susulan Taufan Super Yagi di Vietnam yang memusnahkan bangunan dan mencetuskan tanah runtuh.

BH ONLINE

Menurut media kerajaan, VNExpress empat sekeluarga maut dalam kejadian tanah runtuh di wilayah pergunungan Hoa Binh di utara Vietnam.

VNExpress turut melaporkan bahawa tanah runtuh berlaku ketika tengah malam, selepas hujan lebat selama beberapa jam yang dibawa oleh Yagi, menyebabkan lereng bukit di sebuah rumah runtuh.

“Pemilik rumah berusia 51 tahun berjaya menyelamatkan diri tetapi isteri, anak perempuan dan dua cucunya tertimbus. Tidak lama kemudian mayat semua mangsa berjaya ditemui.”

Terdahulu, Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan berkata, Taufan Yagi yang melanda Vietnam itu membawa angin melebihi 149 kilometer sejam (km/j).

Ketika taufan melanda, infrastruktur musnah, ribuan pokok tumbang, kapal dan bot hanyut serta beberapa kepingan bumbung logam dan papan tanda dilihat berterbangan.

Menerusi kenyataan lain, media kerajaan juga melaporkan bahawa terdapat seorang lelaki terbunuh di jalan raya selepas angin kencang menumbangkan pokok.

BH ONLINE

“Sudah lama saya tidak menyaksikan taufan sebesar ini.”

“Ia menakutkan. Saya tinggal di dalam rumah, dan mengunci semua tingkap saya. Bagaimanapun, bunyi angin dan hujan sukar dipercayai,” Kata Tran Thi Hoa, seorang wanita berusia 48 tahun dari Hai Phong kepada AFP.

Sebelum melanda tanah besar, taufan itu sudah menumbangkan ratusan pokok di pulau Co To, kira-kira 80 kilometer dari tanah besar Quang Ninh.

Selain itu, beberapa bangunan pejabat, sekolah dan rumah di pulau itu juga kini tidak berbumbung akibat angin kencang.

Papan tanda di sekitar pulau itu pula dilihat berselerak manakala talian elektrik terputus dan berselirat ditiup angin.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan bahawa Taufan Yagi adalah taufan paling buruk melanda pulau itu dalam beberapa dekad.

Sebelum melanda Vietnam, ribut itu membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan 92 yang lain, di pulau Hainan di selatan China.

CCTV melaporkan, Taufan Yagi membawa angin lebih 230 kilometer (143 batu) sejam dan menumbangkan pokok serta menyebabkan sekitar 460,000 orang dipindahkan.

“Hainan dilanda hujan lebat dan angin kencang, menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan 92 cedera,” Kata Xinhu yang memetik pihak berkuasa tempatan.

BH ONLINE

Dalam pada itu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh turut menggesa pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan penduduk dari kawasan berbahaya sebelum ribut melanda malah menasihati penduduk lain untuk berada dalam rumah.

Di utara Hai Phong, Thai Binh dan Hanoi, pihak berkuasa tempatan melaporkan kira-kira 20,000 orang dipindahkan dan diletakkan di tempat yang lebih selamat dan lebih tinggi.

Teradapat ramai mangsa yang turut berlindung di sekolah, tadika dan bangunan awam yang lain.

Kementerian Pertahanan berkata, lebih 457,000 orang yang kebanyakannya merupakan kumpulan pekerja profesional turut digerakkan oleh jabatan penyelamat untuk menangani akibat taufan itu.

Kira-kira 2,000 kenderaan dan enam buah pesawat juga dihantar untuk menangani situasi itu.

Tebing sungai runtuh, Gamuda henti kerja pembinaan projek bekalan air Rasau

0

KUALA LUMPUR: Tebing sungai di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) runtuh dan menjejaskan kerja-kerja pembinaan.

BERNAMA

Susulan runtuhan tersebut, air kolam melimpah masuk ke bahagian hadapan tapak pembinaan projek yang terletak di Taman Mas, Puchong, Selangor yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 2 petang pada Sabtu.

“Air melimpah memenuhi tapak pembinaan,” menurut Gamuda Berhad dalam satu kenyataan sambil menambah tiada kecederaan yang dialami pekerja pembinaan mahupun orang awam.

Susulan itu, semua kerja pembinaan di tapak projek bekalan air itu dihentikan sementara bagi menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan.

“Semua pihak di tapak pembinaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan pakar untuk menyiasat punca kejadian dan menentukan tindakan yang sesuai … keutamaan kami ialah keselamatan pekerja, orang awam dan alam sekitar,” Menurut Gamuda.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, JBPM mengarah pihak pengurusan projek itu untuk memberhentikan kerja-kerja pembinaan.

“Runtuhan tebing sungai telah menenggelamkan kawasan pembinaan projek loji rawatan air sedalam 19 meter,” Katanya.

Menerusi kenyataan lain, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata rekahan baharu yang dikesan di tapak projek tersebut dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah yang berlaku susulan kejadian tebing sungai runtuh berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan di lokasi masih terkawal setakat ini.

BH ONLINE

“Pihak bomba menjalankan pemantauan berkaitan arahan untuk henti kerja yang dikeluarkan sebelum ini di lokasi berkenaan.”

“Setakat ini, lokasi kejadian terkawal namun masih ada rekahan dikesan akibat pergerakan tanah susulan kejadian,” Katanya.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelemat Cyberjaya kini berada di lokasi untuk melakukan pemantauan lanjut.

“Kejadian yang berlaku semalam itu tidak membabitkan mangsa. Semua pekerja berjaya keluar daripada tapak pembinaan itu. Pihak bomba turut dimaklumkan bahawa proses runtuhan tebing mengambil masa kira-kira 20 minit.”

“Kejadian dipercayai bermula dengan bunyi akibat pergerakan tanah sebelum siren diaktifkan untuk mengeluarkan semua pekerja ke tempat selamat.”

“Buat masa ini, punca kejadian masih dalam siasatan,” Katanya.

Latif Romly bawa pulang perak, gagal pertahan emas acara lompat jauh

0

PARIS: Impian jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly untuk melengkapkan hatrik emas acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) tidak kesampaian selepas membawa pulang pingat perak di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Dalam acara awal pagi Ahad, lompatan akhir Matvei Iakushev yang bertanding atas tiket Atlet Paralimpik Neutral dengan catatan 7.51 meter (m) menolak Latif yang sebelum itu seakan mempertahankan emasnya dengan catatan terbaik 7.45m pada percubaan ketiga.

@craigansibin/X

Membuka langkahnya di Stade de France, Latif sedikit ketinggalan pada percubaan pertamanya apabila melakukan lompatan sejauh 7.22m, di belakang Hassan Dawshi dari Arab Saudi (7.27m).

Latif kemudian berjaya memimpin kedudukan pada percubaan kedua dengan jarak sejauh 7.43m bagi mengatasi catatan musim terbaiknya 7.30m ketika muncul juara dunia di Kobe, Jepun, Mei lalu dan terus memperbaiki catatan pada lompatan ketiga dengan 7.45m.

Bagaimanapun, atlet berusia 27 tahun itu gagal mengekalkan rentaknya apabila baki tiga percubaan akhirnya dibatalkan sekali gus menyaksikan Iakushev merampas emas dimenanginya sejak Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Atlet Colombia, Jhon Sebastian Obando Asprilla melengkapkan kedudukan podium dengan gangsa menerusi lompatan terbaik 7.38m yang hadir pada percubaan keduanya.

Pencapaian Latif menyaksikan Malaysia menambah satu lagi perak selepas rakan sepasukannya, Muhammad Ziyad Zolkefli menghadiahkan perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).

Malaysia sudah memperoleh dua emas menerusi jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori lelaki 72 kilogram (kg).

Seorang lagi atlet olahraga para negara Eddy Bernard menyumbang gangsa dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Wira selamatkan pasangan terjatuh Jambatan Pulau Pinang dikurnia Bintang Jasa Perkasa Persekutuan

0

KUALA LUMPUR: Anggota tentera yang bergadai nyawa terjun ke laut untuk menyelamatkan pasangan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Januari lalu dikurniakan Bintang Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) bagi menghargai jasa beliau.

Sarjan Mazlan Abdul Rahman, 35, menjadi penerima tunggal bintang berkenaan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di Istana Negara pada 7 September.

Gambar Bernama

Berbekalkan pengalaman sebagai jurulatih jasmani dan sukan, Sarjan Mazlan yang telah berkhidmat dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) selama 14 tahun bertindak berani apabila terjun dari jambatan setinggi 20 meter demi menyelamatkan dua individu terbabit daripada lemas.

Sarjan Mazlan yang pernah terlibat dalam penugasan Misi Pengaman MALBATT 850-9 di Lubnan pada 2022 dan kini bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara, Pulau Pinang menzahirkan rasa kesyukuran serta terharu selain tidak menyangka akan menerima penghargaan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Semasa kejadian apa yang terlintas di fikiran saya hanyalah untuk membantu mangsa,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menceritakan semula detik kejadian, Mazlan berkata ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Petani dan menyedari betapa pentingnya untuk menyelamatkan nyawa manusia dalam bahaya yang selama ini diterapkan dalam TDM.

Mazlan yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah, pernah berkhidmat di Kelantan sebelum dipindahkan ke Pulau Pinang pada hujung tahun lalu.

Gambar Bernama

Bapa kepada dua cahaya mata lelaki berusia tujuh dan tiga tahun ini juga baru sahaja sembuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 31 Julai lalu dan terpaksa menjalani pembedahan di bahagian tangan.

27 Julai lalu, Sarjan Mazlan dianugerahkan Pingat Gagah Perwira (PGP) sempena sambutan Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Kehormatan Negeri di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang.

Beliau turut dinaikkan daripada koperal kepada sarjan sebagai penghargaan atas keberaniannya.