BUTTERWORTH: Seorang pekerja swasta berkongsi pengalaman 10 jam terkandas dalam perjalanan dari Selangor ke Pulau Pinang pada Jumaat.
Menurut wanita yang mahu dikenali sebagai Sasha, 34, dia yang bercadang pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang dari Selangor terpaksa menempuh kesesakan selama 10 jam.
“Saya dan suami memilih untuk bertolak malam kerana selalu tidak sesak, tetapi sangkaan meleset apabila kenderaan terlalu banyak dan ada beberapa laluan ditutup kerana penyelenggaraan jalan.”
“Bayangkan kami bertolak sekitar 11 malam (semalam) dan tiba di rumah ibu bapa saya hampir 9 pagi tadi, ini pertama kali saya tempuh kesesakan luar biasa seperti ini.”
“Kebetulan cuti sekolah termasuk cuti Hari Malaysia dan Maulidur Rasul maka peluang ini diambil untuk membawa keluarga bercuti dan menghadiri pelbagai majlis,” Katanya.
Terdahulu, tular insiden kesesakan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang apabila kenderaan dilaporkan beratur hampir dua jam untuk memasuki bahagian pulau.
Sementara itu, pengguna media sosial meluahkan rasa lega mengambil keputusan pulang ke kampung menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS).
“Pada mulanya fikir nak memandu, tetapi sebab cuti ini sekejap sahaja, jadi saya tempah tiket ETS sejak dua bulan lalu. Maka tak perlu tempuh kesesakan dan sampai tepat pada masanya,” Katanya.
Peningkatan jumlah kenderaan dari luar berbanding kebiasaan yang menjadikan aliran trafik menghala utara terutama di Pulau Pinang dilaporkan sesak teruk ketika ini.
Berdasarkan beberapa perkongsian di media sosial, kesesakan itu berlaku berkemungkinan disebabkan orang ramai mengambil kesempatan bercuti di negeri ini sempena sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul termasuk cuti sekolah.